• RSS

19 July 2013

Doa

Doa itu suatu permintaan daripada hamba kepada Tuhan. Sebuah komunikasi ghaib yang hanya boleh dibenarkan dengan iman. Meminta agar dipenuhi segala kemahuan, dihilangkan segala kekusutan, diberi petunjuk segala keraguan, diberi jawapan segala persoalan, ditabahkan segala ujian.

Hamba meminta dan terus meminta. Disulami dengan esak tangisan. Di sebalik tangis itu hamba mencari kekuatan. Kekuatan untuk terus berdoa dan menanti jawapan dari Tuhan.

Ar-Rahman itu tidak pernah tidur. Tidak pernah jauh. Malah sentiasa dekat dengan hambaNya. Lebih dekat daripada urat nafas. Dia suka mendengar rintihan hamba. Sentiasa sayang akan hamba. Doa yang dipinta, hajat yang dipohon sentiasa dimakbulkan. Kemahuan hamba diganti dengan keperluan. Kekusutan diganti dengan ketenangan. Keraguan diganti dengan keyakinan. Persoalan diberi jalan. Dan ujian diberi kesabaran.


Meminta pada Tuhan memang tiada ruginya. Meminta pada makhluk mungkin bisa mengundang kecewa. 

18 July 2013

I'm home!


Allahumasolli’ala Muhammad wa barik wasalam ‘alaih..

Alhamdulillah wa syukru lillah.. Berada di rumah adalah perasaan yang sangat ‘heaven’ buat semua mahasiswa. Apatah lagi jika dia seorang mahasiswa yang jarang balik kampong dan sudah tamat pengajian. Diam tak diam, sudah sebulan saya duduk di rumah secara tetap. Sekejap saja masa berlalu.

Orang selalu tanya saya, cuti ni buat apa je? Saya katakan pada mereka, “ duk berzikir je lah”. Kelihatan poyo tapi itu perkataan yang lebih baik daripada menganggur. Terkesan juga sebenarnya melihat rakan-rakan sekuliah saya yang terus mencari kerja sebagai guru ganti di sekolah. Sudah pastinya, lumayan dan mampu bermewah syawal nanti. Tak semua rakan saya yang menjadi guru ini. Hanya dua orang. Dan mereka ni, bakal mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Makanya, memang patut pun mencari duit itu adalah lebih awla bagi mereka.

Bukanlah bermaksud saya tidak mahu menjadi guru ganti kerana malas, bukan jua kerana tidak ada peluang. Tapi, saya rasa saya nak berehat. Serabut tesis dulu pun, belum hilang lagi. Emak tidak memaksa saya berkerja. Tidak pula menyuruh. Semuanya terpulang kepada saya. Makanya, saya lebih selesa menjadi suri rumah buat masa sekarang. Berkhidmat untuk mak, cuba untuk meringankan beban selagi termampu. Insya Allah..


Ramadhan kali ini, azamnya luar biasa. Azam ramadhan versi dapur saya, “katakan TIDAK pada bazaar ramadhan”. Kami berusaha untuk memasak sendiri semua makanan.  Dan emak juga menyokong penuh azam ini. Alhamdulillah setakat ni, belum sekali pun menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan dan moga ia kekal hingga ke akhirnya. Azam ini adalah berkaitan mendidik nafsu. Didik nafsu supaya merasa cukup dengan rezeki yang sudah ada. Banyak kelebihan yang saya dan mak dapati dari azam ini. Antaranya ialah jimat. Saya bagi contoh. Dengan wang RM2 kita hanya boleh mendapat paling banyak, 6 biji karipap. Sedangkan harga sepaket tepung cap sauh adalah RM2.40 dan setengah paket tepung boleh menghasilkan kira-kira 20biji karipap. Dengan azam ini juga, maka peluang terbaik saya untuk mengasah skill memasak termasuklah kuih-muih. Hidangan keluarga saya biasa-biasa saja. Masakan kampung, orang jawa, tradisional, dan yang penting berkhasiat. Maka, tiadalah chicken chop, spageti, pavlova, dan lain-lain itu. 

Malamnya pula, kebiasaannya berterawih di Masjid kampung. 20 rakaat, surah lazim. Dua orang Imam, bergilir setiap malam. Tiada perubahan. tiada transformasi. semenjak saya berumur 7/8 tahun hinggalah menjangkau 23 tahun. semuanya sama saja. Tiada langsung usaha untuk Ihya' ramadhan di masjid ini. Tiada iftar jamaie. Tiada moreh. tiada tazkirah. semuanya seolah-olah acara ritual yang diadakan saban tahun. Sepatutnya JAIJ buatlah sesuatu. Pantau masjid-masjid di kampung dan berikan peruntukan untuk menjemput Imam tahfiz atau mana-mana ustaz yang boleh memberikan pengisian rohani kepada jemaah masjid. Tidak perlulah sentuh isu-isu besar seperti Mesir, syria dan sebagainya. Sekurang-kurangnya makcik-makcik ini faham merapatkan saf itu satu kesempurnaan solat berjemaah! Itu belum lagi Imam yang solat seperti berlari 100meter ketika solat terawih. Laju sungguh! solat seperti nak cepat habis. Nak kejar apa, saya pun tak tahu. Malu saya berimamkan orang UMNO seperti ini. 

 Allah.. saya rindu dengan suasana terawih di UTM. Bacaan Imam Hafiz yang meniru gaya bacaan Syeikh  Rashid Mishary itu mampu menitiskan air mata jika dihayati..

Cuti kali ini juga, saya belajar memandu. Ambil lesen secara sah. 

Seperkara lagi..

Mohon doakan saya diberikan jawapan atas segala kebuntuan. Tiba masanya Allah menguji. Dan ketika itulah kita sedar betapa lemahnya kita sebagai hamba untuk membuat keputusan. Dan, kita ini sebenarnya terlalu hina dan tiada daya untuk menentukan nasib sendiri walau dalam kadar sekelip mata. 

Lahawlawala quwwata illa billah..

Ramadhan Al-Mubarak. Celakalah orang yang tidak diampunkan dosanya ketika tamat Ramadhan nanti. Nauzubillah.

Oh ya. Hadith mengenai ramadhan itu diawalnya rahmat, ditengahnya pengampunan dan diakhirnya pembebasan itu bersifat dhaif. Sila rujuk artikel Dr Zaharuddin Abdul Rahman. Rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada dosa itu tidak berfasa. Allah berikan semuanya pakej dalam bulan ini.

Wallahualam. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...