• RSS

17 November 2014

Nampak macam betul

[1]
"Sebenarnya ayat Al-Quran yang kata potong tangan bagi pencuri tu, boleh dikiaskan dengan tangannya dihadkan."

"maksud kau?"

"bila kita masukkan pencuri dalam penjara, maka kita dah laksanakan lah yang Allah cakap dalam quran tu. Kita hadkan tangannya."

"Ha'ah eh. betul jugak"

 [2]
"Anjing tu makhluk Allah. Tak ada masalah pun nak pegang, peluk dan cium dia."

"Ehh.. Kan najis weyh."

"Memang la najis. Lepas kita pegang, kita sertu la dengan air tanah tu"

"Ha'ah eh. betul jugak."

[3]
"Ehh.. sebelah kau tu, abang ke kakak?

"Err.. Entah. Kakak kot. mekap tebal tu. seksi pulak tu"

"Jap aku test"

buat-buat terlanggar bahu manusia tersebut lalu terkeluarlah suara garau

"Woi! buta ke!"

"ok. confirm lelaki!"


****************************************

Isu [1], hukum hudud bagi pencuri adalah potong tangan. Berdasarkan syarat tertentu. Antaranya, kemampuan orang tersebut, tahap ekonomi negara tersebut, perlukan saksi, mangsa yang dicuri memberi maaf atau tidak, dan sebagainya.

Isu [2], pengamal Mazhab Syafie di Malaysia, meletakkan anjing dan babi sebagai najis mugholazoh (berat). Cara penyuciannya adalah dengan sekali basuhan air tanah dan 6 kali air mutlak. Sungguhpun anjing itu comel, tiada apa yang mengurangkan tahap kenajisan ia. Bila ia dikategorikan sebagai najis berat, bukan soal mudah atau senang  untuk anda sucikan najis tersebut yang menjadi penentu hukum, Tapi ia jatuh kepada sengaja atau tidak anda memegang najis tersebut. Terpegang, tersentuh, tidak mengapa. tapi tetap kena bersuci. Hukum memegang, bermain-main dengan najis ialah haram. Sama juga seperti anda berak di tandas, lalu anda ambil air kencing dan tahi anda lalu lumurkan ke badan, selfie, dan main baling-baling dengan tahi anda tersebut. Walaupun ia sekadar najis mutawasitah (sederhana), perbuatan anda bermain-main dengan najis tetap haram.

Isu [3]
Memakai pakaian berlainan jantina hingga menyerupai jantina tersebut, adalah haram.

************************************

Mungkin sesetengah orang akan nampak, "syadid giler" Islam ni. Semua haram, haram, haram.

"Itu tak boleh, ini tak boleh. Apa pun tak boleh".

Ya. Memanglah. Islam memang syadid dalam menjaga hak hambanya. Islam memang syadid untuk memastikan umatnya suci dan bersih terhindar daripada penyakit. Islam memang syadid dalam menjaga kehormatan dan keselamatan umatnya.

Kita sayang Islam. Tapi sampai hati kita pertikaikan hukum Islam dan tafsir ayat quran dan hadith ikut logik dan nafsu kita. Bila hukum tu dirasakan tak ikut selera kita, kita mulalah kata tak relevan. ulama' dulu tak ikut waqi'. Boleh pula persoal kenapa perlu ikut Mazhab?

"Mazhab ni ulama' je yang reka. Kita perlu ikut terus pada Rasulullah."

Sibuk pertikai kemampuan ulama'. Imam Syafie penat-penat menuntut ilmu, Imam Ghazali hafal jutaan hadith. Demi untuk memastikan umat yang malas seperti kita mudah mengamalkan Islam dalam seharian. Itu pun kita pertikai lagi kitab-kitabnya.

Para salafus soleh menuntut ilmu dari mulut-mulut guru. Kita yang 'bajet faqeh' menuntut ilmu daripada whatsapp group sambil baring-baring atas katil.

Astaghfirullah. Dunia akhir zaman, apa sahaja lah yang mampu menyelamatkan kita selain menuntut ilmu daripada guru yang mursyid. 

wallahu'alam. wallahu'alam. wallahu'alam.

Nota:
Hukum yang saya nyatakan di atas adalah yang saya dapat daripada ceramah-ceramah yang saya terdengar, terlihat, dan terpergi. Semoga Allah selamatkan saya daripada menjadi Al-Kazzab

22 September 2014

Wassini

"awak, kalau saya salah tolong tegur saya selalu"

"tegur saya kalau nampak saya buat sesuatu yang tak kena"

"jangan biarkan saya hanyut dalam kemungkaran"

"kami sebagai pimpinan amat mengharapkan teguran dan nasihat daripada sahabat-sahabat sekalian"

***

Ini semua ucapan ketika kita sedar. Ketika air mata taubat masih penuh di kelopak mata. Ketika iman sedang tinggi meningkat.

Tapi apabila sampai suatu keadaan kita berada dalam maksiat, dan lalai, lalu datang sahabat setia yang pernah dipertanggungjawabkan untuk memberi nasihat kepada kita, apa benar kita masih boleh terima nasihat tersebut?

Mungkinkah ego yang bersarang dalam diri mampu tunduk sujud ke tanah menyembah ke bumi lalu menerima nasihat dengan sepenuh hati?

Belum tentu.

Dan akhirnya permintaan 'wassini' itu sekadar retorik.


26 August 2014

99 Cahaya di Langit Eropah

Pada pengamatan saya, Indonesia antara negara yang maju dalam menghasilkan filem yang sarat ibrah. Barat sudah tak perlu ceritalah. Walaupun filem-filem berbaur lucah dan kuntilanak agak mengganggu di ruang cadangan-cadangan di sebelah kanan youtube, sekurang-kurangnya filem yang diadaptasikan daripada novel dari negara ini, tidak memualkan dan mempromosikan cinta,cinta dan cinta.

Tidak seperti di Malaysia, terlalu banyak yang mahu diadaptasi hingga meracun pemikiran generasi akan datang supaya menjadi gedik di media. Yang belum berkahwin dan sudah berkahwin masing-masing berlumba-lumba untuk melakonkan semula kisah yang mereka tonton.

Tidak tahulah salah siapa. Salah filem yang kurang kualiti atau mentaliti masyarakat sekarang yang tidak mahu mencari ibrah dalam filem tersebut.

Mana tidaknya, apabila suatu filem ditayangkan, ulasannya akan berbunyi begini, "Alah.. Kenapa heronya tak 'handsome'?

"Perempuan ni kurang 'match' dengan wataknya"

"'Endingnya' sepatutnya bukan begini.."

Jauh daripada pandangan nilai dan moral. Apatah lagi yang lebih besar iaitu ibrah. Hak memberi pandangan itu ada benarnya tapi cara pandangan itu diberi menunjukkan tahap mentaliti seseorang.

99 Cahaya di Langit Eropah hasil karya Guntur Soeharjanto khabarnya kisah benar seorang mahasiswa PHD di Vienna Austria.

Benarlah jauh berjalan, luas pemandangan. Banyak juga cabaran.

Cabaran untuk menjadi agen Islam di negara Eropah. Cabaran untuk menjawab soalan-soalan Stephen yang tidak percaya Tuhan, cabaran untuk melembutkan Khan yang terlalu syadid, cabaran untuk mengelak godaan Maarja, cabaran untuk berhadapan dengan ketegasa seorang supervisor PHD.

Itu baru manusia.

Belum lagi ketika berhadapan dengan penyesuaian waqi' tempat dan masa. Terpaksa solat di ruangan agama lain turut menyembah patung tuhan mereka, masuk ke gereja untuk memanaskan badan, ponteng solat Jumaat dengan penuh rasa bersalah akibat ujian mingguan subjek 'Research Method' yang tidak boleh diubah waktunya dan sebagainya.

Kuncinya, sabar. Kerana hanya dengan sabar akan menjadikan fikiran mampu berkerja dengan rasional. Rangga sabar dengan pertanyaan Stephen "Di manakah pejabat Tuhan?", Rangga sabar dengan isterinya Hanum dalam menyuruhnya memakai tudung hingga akhirnya Hanum memakai sendiri tudung kerana seorang kanak-kanak kecil Aisya. Rangga juga sabar dalam melembutkan Khan supaya tidak terlalu ekstrim melayan Stephen.

Seterusnya, filem ini juga menonjolkan beberapa babak yang mampu membuat bulu roma meremang melihat ke'izzahan Islam. Contohnya ketika Rangga azan maghrib di atas menara Eiffel, ukiran Lailahaillallah di jubah lukisan mother Maria, di lukisan jubah seorang Raja, garis lurus 'Arch of Triomphe' yang terus mengarah ke Kaabah, dan banyak lagi. Perancis, Austria, Sepanyol dan Turki ialah negara yang menjadi latar tempat yang sangat indah.

Sayangnya, saya bukan orang sejarah yang hadam siapa itu Kara Mustafa Pasha dan beberapa kisah ketamadunan. Bagi mereka yang cekap, pasti mudah untuk menangkap ketika Fatma menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Hanum.  

Filem ini ada dua siri. Cari dan tontonlah kedua-duanya.

Wallahu'alam.




06 August 2014

Syawal dan ritual

Yang dinamakan ritual itu ialah adat. Kebiasaan. Benda yang selalu dibuat lalu menjadi ikutan sepanjang zaman. Bezanya dengan ibadat ialah niat dan ganjaran. Ibadat itu syaratnya niat kerana Allah dan ada ganjaran di sisi Allah. Manakala adat itu tiada niat yang spesifik dan melakukannya juga tidak mendapat apa-apa. Tak semua adat boleh jadi ibadat. Tapi semua ibadat boleh jadi adat.

Pendek kata,

Adat boleh jadi ibadat dengan niatnya.

Ibadat boleh jadi adat dengan istiqamahnya.

Kaitannya dengan syawal ialah apabila terlalu banyak adat yang dibesarkan HANYA ketika syawal.

[1] Pergi kubur
Ramai masyarakat Islam di Malaysia menjadikan ini sebagai amalan di pagi raya. Buktinya, ada orang selfie di sana. Gila! Ziarah kubur sepatutnya jadi amalan sedih. Mengingat ahli keluarga yang tiada di sisi juga insaf mengingat mati. Tapi lain pula jadinya. akhirnya ia menjadi amalan ritual suka-suka. Yang si perempuan tidak menutup aurat, jalan selamba dan malang sekali jika yang berhalangan turut masuk ke kawasan kubur tanpa rasa bersalah.

[2] Bermaaf-maafan
Memang bagus amalan ini. Bermaaf-maafan ketika hari raya adalah bidaah yang baik untuk dilaksanakan. Tapi, apa pula gunanya jika ia sekadar maaf di bibir tidak pula dihati. Buktinya, apabila singgah ke rumah sebelah, diumpat pula tuan rumah pertama tadi.

Banyak lagi amalan yang ada, tapi cukuplah ini sahaja.

Pada saya, menyambut syawal di umur begini, biasa-biasa sahaja. Keseronokan dan kemeriahan yang sangat terasa ialah apabila semua sanak saudara datang berkumpul dan makan dengan penuh bersemangat tanpa mengungkit-ungkit bilangan kalori dan diet. Juga dapat berbual bersama dengan mengenepikan gadjet itu sudah cukup sebagai tanda penghargaan besar buat tuan rumah.

Tapi, apa-apa pun syawal kali ini sangat dahsyat bagi saya kerana:
1. 2 hari sebelum syawal, saya sesak nafas akibat kepenatan membersihkan kawasan rumah.
2. 2 Syawal saya terlupa makan nasi dan akhirnya perut masuk angin lalu saya muntah-muntah keesokan harinya.  

sekian.




14 July 2014

Retorik dan Ramadhan

Ramadhan bulan tarbiyah. Kata-kata ini sangat epik bagi orang yang faham maksud tarbiyah. Sangat 'mainstream' jika ianya di'share' dan menunggu 'likers'. Tapi sejauh mana erti tarbiyah itu difahami dan dicari dalam diri itu adalah lebih penting.

Saya beri contoh, program tarbiyah di kampus. Acara ritual setiap kali di awal program, pengarah program akan memberi peringatan begini, "ini ialah program antum. Jika antum semua rasa ini program tarbiyah, maka antum semua akan rasa ini program tarbiyah. Jika antum semua menganggap ini semua sekadar modul, terpulanglah pada antum semua."

Dan biasanya peserta akan menjawab dengan menunjukkan wajah yang berkerut-kerut.

 Dan peserta yang masih menganggap modul program itu retorik selalunya akan berpendapat "tarbiyah kan berlaku sepanjang hidup. Bukan dalam program je. Tak realistik langsung!"

Dan pastinya, di antara peserta itu pastinya ada yang berbisik"solat taubat kat dalam program je ke? Hmm.. retorik belaka"

Ya. Memang modul itu diada-adakan. Diadakan hasil 'brain storming' insan-insan lemah yang sudi berkorban masa dan akal fikiran demi untuk Islam.

Ya memang tarbiyah itu sepatutnya berlaku sepanjang masa. Bukan sekadar program. Ya. tarbiyah ruhiah itu sentiasa perlu dibuat di luar program. Tidak dinafikan sama sekali.

Tapi, hakikatnya kita ini manusia lemah. Sangat lemah. Memerlukan medan untuk mujahadah. Perlukan sahabat-sahabat untuk mencari kekuatan. Perlukan bantuan 'modul retorik' untuk biasakan dalam dunia sebenar.

Beruntunglah orang yang sudah dilahirkan dalam keluarga tarbiyah sedari dalam kandungan. Beruntunglah orang yang boleh melihat setiap yang berlaku dalam dirinya dengan kaca mata tarbiyah. Beruntunglah orang yang boleh sentiasa bergaul dengan ulama' dan diberi kefahaman beragama dengan sekali talaqi. Beruntung dan bersyukurlah. Kerana hanya dengan syukur mengingatkan kamu kepada Tuhan yang Maha Memberi dan tidak mudah-mudah menghina orang di sekelilingmu yang tidak senasib denganmu.

Apa kaitannya dengan Ramadhan?

Ramai orang rajin membaca Al-Quran dalam bulan Ramadhan. Rajin solat berjemaah, rajin qiamulail dan amalan-amalan sunat yang lain. Malah, ramai juga yang menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu 'turning point' dalam hidupnya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.

Memang betul, kita seharusnya menjadi hamba Allah. Bukan hamba Ramadhan. Kita sepatutnya beribadah bukan bermusim tapi sepanjang masa. Betul. Tapi kita hanya manusia biasa. Hamba Allah yang lemah yang masih memerlukan medium untuk menjadi lebih baik.

Kita tak tahu di sebalik hati para sahabat itu mungkin ada yang terkesan dengan 'modul retorik' itu. Kita tak tahu mungkin nilai istiqamah itu bermula dari dalam program. Kita juga sangat tak tahu hidayah Allah itu tiba dalam bentuk apa.

Ramadhan yang penuh keberkatan itu Allah berikan kepada hambaNya dengan penuh rahmat. Pahala puasa yang Allah terima tanpa perantaraan malaikat dan rahsia malam Al-Qadar menunjukkan Allah sangat Maha Penyayang pada kita. Bukan Allah tak tahu kelemahan hambaNya yang sentiasa pelupa tapi,  tidak pula pernah Allah tarik semula kelebihan-kelebihan yang ada dalam Ramadhan itu dek kerana kealpaan kita. Allah sentiasa ada. Bersama kita. Hambanya yang hina.

Dalam lambakan ibadah yang dilakukan mungkin ada satu yang ikhlas lalu membuahkan istiqamah.
Dalam beberapa siri taubat yang dizahirkan mungkin ada satu yang mampu memeliharanya kembali kepada maksiat.

Jangan mudah menghina orang, kerana hanya Allah yang berhak menghina bagi orang yang suka menghina. Nauzubillah..



04 July 2014

Sahabat: punching bag

Apa perbezaan kawan dan sahabat?

"Kawan tu orang yang ada pada masa  senang. Sahabat orang yang ada pada masa senang dan susah."

Itu perbezaan mudah antara sahabat dan kawan.

Sahabat tempat berkongsi kesedihan. Sahabat juga boleh jadi tempat meraikan kegembiraan. Sahabat sangat diperlukan ketika diminta nasihat dan pendapat. Sahabat sangat diharapkan untuk memahami perasaan dalam apa jua keadaan.

Sahabat superb!

Tapi kadang-kadang, kita terlupa. Bahawa sahabat  juga ada perasaan. Ada perasaan yang perlu dijaga. Ada tingkah yang perlu disabari.

Kadang-kadang kita terlupa lagi, kita terlalu mendahulukan perasaan sendiri daripada perasaan sahabat.

Jika kita sedang gembira dan datang kepada sahabat yang sedih, perasaan siapa agak-agaknya yang kita dahulukan?

Jika kita bergurau dengan sahabat , adakah kita benar-benar yakin sahabat boleh menerima dengan gurauan kita? Dan jika sahabat kita tak boleh menerima gurauan tersebut, kita paksa pula dia menerima dengan kata "rileks la. Kau ni, bergurau pun tak boleh!"
 
Jika kita sedang sedih dan datang kepada sahabat yang sedang gembira, adakah kita berhak untuk  memaksa sahabat turut merasai kesedihan kita?

 Dan kerana paksaan itulah kadang-kadang boleh menyakiti perasaan sahabat.

Lalu apa bezanya nilai seorang sahabat dengan 'punching bag'?

26 June 2014

Solehah

Apa ye erti solehah? Terlalu banyak tafsir dan kaedah untuk mentafsir. Dua gaya tafsiran yang paling popular ialah dengan mengangkat dirinya atau menafikan orang lain. Tidaklah juga saya tahu yang mana satu usul tafsir yang sebenar. Maklumlah orang jahil juga saya ini. Cuma apa yang saya kongsikan di bawah ini ialah maksud solehah menurut kaca mata saya.

Pada saya, solehah itu ialah apabila muslimah...
1. Yakin, dirinya cantik dan tidak pernah membandingkan dirinya dengan orang lain kerana dia bersyukur dengan pemberian Allah yang terbaik itu.
2. Menjaga kebersihan dirinya, mewangikan dirinya sekadarnya supaya selesa untuk dipeluk dan dicium ketika bersama-sama sahabat-sahabat sejantinanya dan yang halal untuknya.
3. Sedar akan kekurangan ilmu dalam diri dan seterusnya menyahut seruan kewajipan menuntut ilmu.
4. Berasa bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa/ atok neneknya yang sudah uzur kerana tahu keperluan dirinya untuk membantu mereka ketika wudhuk dan solat.
5. Jika dia sudah tiada bapa, dia membantu ibunya mencari wang untuk menyara adik-adiknya yang masih sekolah.
6. Yang turun ke medan masyarakat, ambil tahu jiran sebelah yang mengandung anak luar nikah, jiran depan rumah yang kurung anak OKU, jiran sebelah kiri yang tak sekolah sebab tak cukup duit bayar yuran dan jiran belakang yang setahun tak dapat posting.
7. Yang tahu jaga diri walau dalam sunyi atau pun dalam ramainya manusia. (turun berdemo dan jaga ikhtilat VS duduk dalam bilik tapi berchatting  'galok' dengan lelaki bukan mahram)
8. Yang menundukkan pandangan ketika terlihat lelaki kacak dan tidak berapa kacak. Samada di jalanan ataupun di alam maya.
9. Meningkatkan kemahiran memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya ketika cuti di rumah. Bukan yang mengadap fb 24jam dengan alasan dakwah dan sanggup biar mak yang buat semua kerja tu.
10. Yang sedar kewajipan dakwah pada keluarganya penting. Sama penting dengan kepentingan dakwah di lapangan masyarakat.
11 Berusaha untuk menghindarkan diri dari menjadi fitnah, sungguhpun tujuan perbuatannya baik. (Keluar malam dengan bertemankan muhrim dan tidak pulang terlalu lewat)
12. Yang rajin buat assignment (T_T)
13. Yang tidak membiarkan emak atau ayah dahulu yang telefon menanyakan khabarnya.
14. Yang pulang menziarahi emak ayah selalu (T_T)
15. Jika mereka sudah berkahwin, yang tidak selalu berkongsi gambar-gambar atau aktiviti-aktiviti 'sweet' bersama pasangannya kerana ia sedikit sebanyak mengganggu hati-hati orang bujang (ibarat makan di hadapan orang puasa di siang hari)
16. Yang tahu pilihan pakaian yang menutup aurat kewajipan atasnya bukan buat sebab nak jaga hati muslimin.
17. Yang meminta izin bakal suaminya untuk berkerja demi membayar hutang PTPTN dan membalas jasa abang-kakak, mak-ayahnya yang telah menyaranya ketika belajar.
18.Yang tidak merasa dirinya paling solehah (sesaat merasa diri suci, maka bermulalah kejahilan dalam diri)
19. Yang penuh dengan nilai common sense.
20. Yang hormat orang tua dan mudah didekati masyarakat.

Sebelum tulis, ada terfikir banyak benda. Tapi bila dah tulis jadi sikit lah pula. Saya yang menulis maksud solehah di atas ini sedang berusaha untuk mencapai maksud tersebut. Mohon doanya..

Saya tahu, contoh ikutan wanita solehah itu sudah pastinya adalah daripada ister-isteri Rasulullah, puterinya dan para sahabiah. Namun, saya tetap juga mencari-cari contoh wanita-wanita solehah yang ada di depan mata untuk menenangkan jiwa hamba yang fitrahnya mahu mencari ini.

Saya pernah berjumpa dengan Isteri Sheikh Rohimuddin dari Indonesia. Wanita berniqab, pakainnya jubah putih biasa. Tudungnya dililit menutup dada dan pinggul. Ketika kami ingin bergambar, dibuka niqabnya tanda mahu dikenali dengan lebih rapat nanti-nanti dan diminta supaya tidak disebarkan gambar tersebut.

Saya juga pernah berjumpa dengan Isteri Ustaz Muhadir Haji Joll ketika Karnival Mahabbah IKIM di Angsana JB tempoh hari. Pakaiannya juga biasa-biasa. Sekilas pandang, kecil molek seperti Ustazah Naemah Pusat Islam UTM. Ustazah memakai baju kurung bunga-bunga biru kehijauan sedondon tudung labuhnya. Dipin kemas brooch kilat tapi tidak silau di dagunya. Kemas. Sungguhpun tidak memakai niqob di muka, tapi beliau meniqobkan akhlaknya. Berjalan-jalan sekitar booth jualan ketika suaminya sedang menyampaikan tausiyah di pentas. Namanya yang indah itu seindah juga bahasanya menyantuni kami. (kalau nak tahu namanya yang sedap itu boleh pm)

Hakikatnya, solehah itu tidak penting pada definisi. Tapi cukup sekadar memaksudkannya dengan akhlak.

wallahu'alam.

# kredit kepada sahabat yang membuatkan diri rasa nak menulis di sini semula setelah sekian lama. Uhibbukifillah :) 

21 March 2014

Usrah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Duduk rapat-rapat dalam satu bulatan. Lutut bertemu lutut. tangan kemas memegang tafsir Al-Quran berwarna-warni.

"Assalamualaikum. Sihat semua? sebelum pergi jauh, mari kita buka majlis dengan al-Fatihah"

Dan selepas itu, naqibah memulakan bicara. Lalu disambut pula dengan hujah dan huraian ahli-ahli usrah yang lain.

Apabila sampai di ayat renungan, amaran semua berwajah muram. Gundah. Insaf.

Dan apabila sampai di bahagian suka, ceria, semua berwajah gembira, syukur.

Terasa ukhuwah apabila sama-sama berkongsi kesedihan dan meraikan kegembiraan bersama.

Saya tidak berhajat untuk menerangkan apa itu usrah, rukun usrah dan sebagainya. Cuma, apa yang saya tahu, saya tak pernah rasa diri saya yang terbaik ketika dalam usrah. Pengalaman selama menjadi naqibah dan ahli usrah penuh dengan pahit manis. Dan pada saya tiada istilah gagal atau berjaya dalam membawa usrah. Asalkan ia berjalan maka tiadalah label yang patut diletakkan kepadanya. Yang penting adalah usaha. Usaha untuk mengikat ukhuwah. Usaha untuk berdakwah. Usaha untuk mendisiplinkan diri. Usaha untuk meng'isi' diri dengan ilmu dan seribu usaha dan mujahadah yang ditutuntut dalam diri bagi mengalahkan sifat malas, takut dan mudah mengalah dalam diri.

Saya hanya orang biasa. Dan tak pernah menjadi hebat. Mad'u saya pernah lari. Mad'u saya pernah menyakitkan. Siapa yang tidak 'sakit' jika tiba-tiba dapat sms begini,

"Kak Linda, saya minta maaf. Saya tak boleh ikut usrah"

Siapa yang tak terguris hati bila mad'u melarikan diri apabila terlihat naqibahnya seperti lori sampah.

Tapi saya terima itu semua sebagai medan untuk tarbiyah diri. Ya mungkin penyampaian saya yang tak best. Atau saya sememangnya orang yang 'busuk' yang tak mampu untuk menjadi seorang daie.

Tapi, kalau kita bicara soal kemampuan, sampai mati pun hakikatnya kita rasa tak mampu.

dan bila mati nanti apa yang mahu dijawab kepada Allah jika kita ditanyakan soalan "apa yang kamu buat sebagai seorang ahli harakah islamiyah di kampus?

Allahurobbi..

Sungguhpun, saya pernah jatuh dengan usrah, tapi saya teruskan juga dengan penuh kekuatan yang saya minta dari Allah. Sungguh, Alhamdulillah. kehadiran adik-adik yang masih mahu menerima diri ini menjadi sebahagian daripada mereka sungguh menjadi suatu rahmat bagi saya.

Alhamdulillah 'ala kulli hal. :)

03 March 2014

Seringkali daie itu terlupa..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Secara fitrahnya semua orang suka kepada kebaikan. Dan definisi baik itu berbeza-beza pada setiap golongan manusia. Ada orang, pada dia memakai tudung dengan baju lengan pendek itu sudah cukup baik. Dan ada juga orang tidak pernah merasa dirinya baik hatta dia sudah memakai niqab.

Kebiasaannya, apabila seseorang itu geng-geng kopiah dan tudung labuh , maka semua orang akan nilai perbuatannya. Makanya, di zaman facebook yang sedang menggila ini, itu sahajalah medium yang dirasakan terbaik untuk menilai manusia.

[1]
Suhana baru sahaja mahu berjinak-jinak memakai tudung. Syukurnya pada Allah yang telah memberi hidayah kepadanya untuk menutup aurat. Padanya, inilah pencapaian terbaiknya sepanjang dia hidup mencecah umur tiga puluhan ini. Tapi, biasalah. Suhana ni jenis orang yang suka ambil gambar. Bukan mahu menunjuk tapi sekadar suka-suka. Dimana-mana sahaja berselfie. Macam-macam fesyen tudung digayakan. Maklumlah dia mampu untuk itu. Sikit pun dia tidak rasa keburukan pada hobinya itu kerana apa yang dia faham, apa salahnya ambil gambar dan post di instagram dan  fb. Bukankan gambar itu aku menutup aurat?

[2]
Sofia sudah lama istiqamah dengan pakaian lengkap menutup auratnya. Alhamdulillah syukurnya pada Allah tidak terhingga kerana lahir dalam keluarga yang mementingkan soal tarbiyah Islamiyah sejak dari dalam kandungan lagi. Dia juga seorang daie. Selain aktif berpersatuan, dia juga aktif berfacebook. Medium dakwah katanya. Maka di akaunnya memang penuh dengan kata-kata hikmah. Nilai angka rakannya juga meningkat ribuan. hampir setiap hari ada sahaja rakan baru. Entah kenal atau pun tidak asalkan ada mutual friend seorang pun dia approve. Mad'u katanya. Hampir setiap hari, ada sahaja peringatan yang dikongsikan di statusnya. Bagus. Dan ada juga peringatan yang bunyinya agak sinis dan menyindir. Padanya, pandai-pandailah mahu terasa. Semoga insaflah siapa yang membacanya.

Status itu berbunyi begini, "Ada orang dia rasa dirinya dah cukup baik pakai tudung. tapi dia lupa pada satu sifta malu. Ya. sifat malu yang menjadi perisai seorang wanita solehah itu. Kepada semua perempuan yang suka berselfie tu, silalah bertaubat. Tak payah nak tunjuk sangat lah kecomelan muka tu. Nanti kat kubur dimakan ulat juga"

Suhana salah seorang rakan Sofia. Bukan rakan baik tapi pernah baik. Dia terasa hati sungguh. Segera dia unfriend Sofia. Dan membalas 'bom' di statusnya.

"Eh. Aku punya fb, aku punya sukalah. Aku tak susahkan kau pun. Aku nak post gambar aku, sebab aku bangga aku mampu pakai tudung. Siapa kau untuk control aku?"

 Suhana tidak membacanya. Dan sampai bila-bila pun dia tidak tahu Sofia terasa hati dengannya.

Maka hiduplah Sofia dengan penuh kebencian dan dendam. Tenggelam dengan suatu pandangan skeptik terhadap mereka geng-geng Islamik yang suka menghukum dan melabel.

Dan begitu juga hidup Suhana. Berasa bangga dan berjaya mengaku metode dakwahnya berjalan sempurna.

Padahal, hakikatnya sebaliknya.

Seringkali daie itu terlupa. Bahawa marhalah dakwah itu ada tiga iaitu taarif, takwin dan tanfiz. Daie juga terlupa lagi, bahawa kebaikan yang dinyatakan pada situasi dan keadaan yang salah, tidak mampu menjadi penawar malah mungkin bisa menjadi racun. Lagi-lagi daie itu terlupa pada santunnya sifat Rasulullah dalam menasihati para sahabat yang berbagai watak dan kefahamannya dalam ISlam.

Jika tidak, masakan jawapan Rasulullah tatkala apabila didatangi sahabat yang bertanya mana satukah amalan yang paling baik, jawapannya berbeza-beza. Ada sahabat pertama, Nabi jawab, Beriman kepada Allah dan RasulNya, berjihad di jalan Allah dan menunaikan ibadat haji yang mabrur. Manakala apabila Ibnu Mas'ud pula yang bertanya apakah amalan yang terbaik, Nabi saw pula menjawab solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah.

Mengapa jawapan kepada Ibnu Mas'ud berbeza dan sedikit high level?

 Kerana beliau merupakan sahabat Nabi yang terawal memeluk Islam.

Nah. marilah kita mengaplikasikan dakwah gaya Nabi.

Wallahu'alam. Mohon tegur salah silap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...