• RSS

29 July 2011

Ramadhan Universiti Tarbiyah


Tinggal beberapa hari lagi kita bakal didatangi bulan Ramadhan. Hadirnya sebagai tetamu selama 30 hari  membawa 1001 rahmat, maghfirah dan kesucian. Bersedia untuk memberi kemuliaan kepada insan sekalian alam yang sudi memuliakannya. Ramadhan jauh berbeza dengan bulan islam yang lain bukan sahaja kerana mengenai pahala yang digandakan. Malah ia adalah sebuah universiti tarbiyah untuk mendidik kita menjadi lebih baik dari sudut fizikal, intelektual, emosi dan spiritual.

Sihat
Puasa mempunyai banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh. Semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan. Puasa juga mampu mengeluarkan toksin/racun dari dalam tubuh dan meggantikan sel-sel yang rosak seterusnya meningkatkan daya tubuh kerana manusia mampu menjalani terapi secara semulajadi. Puasa sudah diakui menjadi penyembuh terhebat dalam menangani penyakit, bahkan di Amerika ada pusat puasa yang diberi nama “ Fasting Center International, Inc” dengan pesakit yang datang dari 220 buah Negara mereka mencadangkan puasa untuk program penurunan berat badan, mengeluarkan toksin tubuh, memperbaiki tenaga, kesihatan mental, fizikal dan meningkatkan kualiti hidup. Benarlah seperti hadith nabi saw .

“Berpuasalah kalian, niscaya kalian akan sehat.” (HR. Ibnu Sunni dan Abu Nu`aim).



Jika benar puasa meningkatkan kualiti hidup, maka tiadalah alasan untuk kita memperbanyakkan tidur ketika bulan ini. Bukan juga mengurangkan produktiviti Negara seperti yang dinyatakan oleh bekas Presiden Tunisia, Habib Bourguiba. Ramadhan dan puasa tidak salah tetapi sikap umat islam yang berpuasa itu sendiri yang mengakibatkan persepsi ini timbul. Ayuh kita ubah bagaimana kita menguruskan puasa supaya ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada semua pekerjaan yang dilakukan agar ianya dinilai ibadah di sisiNya.


Sabar 

   “Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah aku berpuasa (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim”)

Umum mengetahui ramadhan adalah bulan untuk semua umat Islam berpuasa. Bukan sahaja puasa menahan diri dari makan dan minum malah, juga berpuasa daripada melihat atau terlibat dengan perkara-perkara lagha, lucah dan seumpama dengannya seperti yang diajarkan dalam hadith tersebut. Hadith ini mengajar kita untuk bersabar tatkala dimaki, diherdik, juga apabila digelar bodoh dalam perdebatan malah pelbagai lagi perbuatan yang boleh menggugat tahap kesabaran hati manusia. Jangan disahut api pergaduhan yang kadang kala cuba dinyalakan. Tapi katakanlah aku berpuasa.
Mari kita contohi sirah Rasulullah saw. Ketika seorang Badawi bertindak biadab kencing di dinding rumah Allah,  apakah tindakan nabi ketika itu?
Sahabat sudah bangun mahu menegahnya namun ditahan Nabi.

 Baginda  katakan “ biarkan dia selesai urusannya”.

 Lalu diminta air dan baginda membersihkannya sendiri. Islam bukan mengajar umatnya untuk menjadi bacul, tidak jantan dan pasif. Tetapi Islam mengajar untuk kita menjadi sabar dan proaktif. Kuatnya kita bukan diukur pada yang menangnya bertumbuk, juga bukan pada yang berjaya mendiamkan lawannya di dalam perdebatan tetapi umat yang kuat ialah apabila yang berupaya mengawal nafsu amarah. Salurkan kemarahan pada tempat yang sesuai. Di sinilah ramadhan bertindak sebagai pendidik emosi.

Ibadah

“ Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari)

Subhanallah. Sememangnya Allah itu Maha Pemurah. Dia yang berhak mengganjari setiap amalan hambaNya. Banyak lagi hadith yang mengkhabarkan berita gembira mengenai ganjaran-ganjaran pahala yang dijanjikan bagi setiap ibadah yang dilakukan. Ini termasuklah kurniaan Allah pada kita satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar yang penuh barakah.

Ibadah yang dimaksudkan, bukanlah hanya menjurus kepada ibadah spiritual seperti solat dan membaca Al-Quran sahaja malah lebih dari itu. Segala amalan harian yang kita lakukan semuanya dikira ibadah seandainya cara dan tujuan amalan tersebut betul dan tidak menyalahi syariat Islam. Makan yang berpada ketika berbuka supaya ringan untuk menunaikan terawih dan tahajud maka makan itu dikira ibadah. Berkerja dengan penuh amanah dan disiplin juga boleh dikira ibadah. Bagi yang merokok, berjihad menahan ketagih itu juga dikira ibadah. Tidur yang tidak berlebihan juga dikira ibadah. Maka dengan ini, segalanya akan dilipat gandakan ganjarannya.



Oleh itu, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga di atas keistimewaan di bulan Ramadhan yang dianugerahkan khusus untuk kita umat Islam seantero dunia. Ingatlah,  syaitan dirantai bukan dihapuskan. Jadi nafsu perlu dikawal untuk menjauhi bukan diacah menghampiri perkara yang tidak sepatutnya. Transformasikan diri dan jiwa untuk menjadi manusia yang baru.  Jadikan bulan ramadhan sebagai universiti tarbiyah. Agar kita layak untuk dianugerahi ijazah takwa di sisi Allah bagi mengharungi bulan-bulan yang seterusnya.  Insya Allah

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...