• RSS

25 August 2011

Di mana ikhlas kita?


Tersebutlah kisah di zaman pemerintahan khalifah, tercetusnya sebuah peperangan antara kaum muslimin dan kuffar. Strategi peperangan sudah dirancang sebaiknya. Segala kelengkapan juga sudah dikemas rapi. Maka berangkatlah semuanya ke tempat musuh berkubu.

Setibanya di sana, semuanya terkejut. Kubu benteng yang dibina oleh pihak lawan sangat rapat. Tiada langsung ruang yang boleh diceroboh. Tenteranya juga tiada tanda-tanda untuk keluar.

Setelah bermesyuarat, hasil syura memutuskan tentera Islam berkampung di hadapan kubu benteng tersebut sambil setiap daripada tentera tersebut berusaha memikirkan cara untuk menyelinap ke dalam kubu tersebut.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, musim sejuk pun hampir tiba. . Tentera kafir masih berdegil untuk tidak keluar daripada tempatnya. Tentera Islam pula semakin gelisah. Idea yang diharapkan masih belum kunjung tiba.

Hinggalah ada seorang tentera yang akhirnya didatangi ilham. Kebetulan khemahnya sangat berdekatan dengan dinding kubu tersebut. Tanpa pengetahuan tentera-tentera yang lain, beliau merobek dinding tersebut dengan menggunakan pisau. Sedikit demi sedikit, papan kayu yang kukuh itu terkikis.  Sekali pandang, entah bila akan tembus. Hari demi hari, robekan tersebut semakin besar. Hinggalah akhirnya terbentuk lubang yang membolehkan seorang tentera untuk masuk.

Setelah itu, masuklah seorang tentera dan membuka pintunya dari dalam bagi membolehkan semua tentera Islam masuk ke dalam kota tersebut dengan mudahnya dan akhirnya tentera musuh dapat ditawan.

Ketika sesi post-mortem..

“ wahai tentera muslimin sekalian, setelah dikenalpasti antara kunci kemenangan kita semua ialah kerana kebijaksanaan salah seorang daripada kamu yang membuat lubang di dinding kubu tersebut. Siapakah tentera yang bijak ini? Silalah beritahu sekarang kerana Khalifah, berhajat untuk memberikan ganjaran” seru panglima.

Suasana disambut sepi. Tiada seorang pun yang mengaku.

“ silalah mengaku kerana saya perlu menyiapkan laporan peperangan kita ini dan perlu dihantar kepada Khalifah.”

Semuanya masih senyap.

Panglima mulai gundah kerana laporan yang Khalifah pinta masih belum disiapkan gara-gara tentera yang bijaksana tersebut belum dijumpai.

Hari berganti hari hinggalah sepurnama lamanya.

Di suatu malam yang gelap pekat, Panglima didatangi oleh seorang lelaki yang berpakaian hitam dan menutup keseluruhan muka kecuali dua matanya.

“ Assalamualaikum wahai panglima.” Ujar lelaki tersebut.

“ waalaikumsalam wahai pemuda”, Jawab Panglima.

Tanpa sempat Panglima menanyakan siapakah gerangan lelaki tersebut, lelaki itu bertanya,
“saya tahu Panglima sekarang dalam keadaan resah kerana laporan peperangan tempoh hari masih belum siap bukan?”

“ ya benar! ” Panglima menjawab sambil menganggukkan kepalanya berkali-kali.

“ jangan bimbang, saya tahu siapakah tentera yang bijak itu.”

“ wah! Akhirnya saya jumpa dengan si bijak itu.” Ujar Panglima dengan gembira.

“ namun, si bijak tersebut telah menetapkan dua syarat kepada pendedahan identity beliau ini”

“ ya silakan beritahu apakah syarat tersebut.”

“ pertama, tentera tersebut tidak mahu namanya diketahui. Kedua, dia juga tidak mahu menerima sebarang ganjaran oleh Khalifah dan siapa sahaja.” Lelaki tersebut menjawab dan terus beredar pergi dan terus hilang dalam kegelapan malam membiarkan Panglima termangu-mangu sendirian.

Kisah ini ada diriwiyatkan dalam kitab-kitab sirah lama bagi menghuraikan sifat ikhlas dalam diri individu muslim. Dalam setiap tulisan tersebut hingga kini, tentera yang bijaksana itu tidak diketahui oleh penulis. Beliau hanya digelar “ si bijaksana kunci kemenangan Islam”

Sahabatku sekalian, sekarang tepuk dada kita dan tanyakan pada iman. Siapakah di antara kita yang benar-benar ikhlas melakukan setiap pekerjaannya kerana Allah semata-mata tanpa mengharapkan pujian manusia, penghargaan majikan, dan penganugerahan pangkat? Pemuda dalam kisah ini tidak pernah dikenali oleh mana-mana makhluk hingga kini kecuali Allah Ta’ala. Nilailah sendiri di mana tahap keikhlasan kita.

Jom bina dan tingkatkan keikhlasan kita dalam bulan Ramadhan ini!  Semoga ia menjadi batu loncatan untuk kita terus ikhlas dalam bulan-bulan berikutnya kelak.
Wallahualam.


 nota:
1. tazkirah ini disampaikan oleh Dr Ramli bin Awang Ketua Jabatan, Jabatan Program Luar, Fakulti Tamadun Islam, UTM Skudai pada jam 8.00 pagi tadi di pejabat fakulti.
2. sepanjang bulan Ramadhan ini, FTI mengadakan sesi tazkirah pendek setiap pagi. saya lihat ia satu insiatif bagi meningkatkan kerohanian dan produktiviti semua pekerja seterusnya ia dapat menyangkal dakwaan Habib Bourguiba, " puasa mengurangkan produktiviti negara"



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...