Alhamdulillah. 2 september lepas, genaplah umur saya 20 tahun. Transformasi dari umur belasan kepada puluhan. seperti biasa, saya dihujani dengan pelbagai sms bermula jam 12.00 malam hinggalah 11.30 malam berikutnya. terima kasih tidak terhingga saya ucapkan buat semua yang mendoakan kesejahteraan dan keberkatan umur saya dan telah memenuhkan inbox dan memeriahkan wall facebook saya. =)
Ucapan selamat yang paling istimewa sudah tertentu daripada bonda yang tersayang. Seawal jam 10.30 malam saya sudah menerima panggilan daripadanya. “selamat hari lahir anakandaku.. semoga sentiasa sihat, dimurahkan rezeki, dipanjangkan umurnya.. nanti balik kita sambut ok?”
Kebiasaannya ulang tahun kelahiran tidak lari daripada sambutan meriah. Diraikan dengan ucapan, kad, kek yang ditulis atas permukaannya dengan ucapan selamat serta nama dan lilin dan hadiah yang pelbagai. Tidak lupa juga pada usikan-usikan ‘surprise’ daripada teman-teman. Ketika saya bersekolah dahulu, ini adalah perkara wajib. Menjelang malam hari lahir saya, saya mesti bersiap sedia. Pasti ada perkara yang’ kurang diingini’ berlaku. Itu dulu..Zaman nakal-nakal.
Walau apa pun jua, sebenarnya ulang tahun kelahiran itu amat sinonim dengan kematian. Setahun umur kita bertambah, beribu langkah kita mendekati mati. Muhasabah. Merenung kembali dalam diri….
Berdasarkan cerita emak, saya dilahirkan pada jam 12.30 malam dalam keadaan songsang di rumah secara normal. Subhanallah. alhamdulillah Allah panjangkan umur saya dan emak. Kasihan emak. Sudah pasti kesakitan melahirkan saya luar biasa daripada adik beradik saya yang lain.
Allah yang menetapkan semua. Apa hikmah saya dilahirkan begitu? Wallahualam. Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha Luas. Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hambanya. Menjejakkan kaki ke gerbang umur puluhan ini, membuatkan saya lebih banyak menghitung diri. Apalah yang telah saya lakukan selama 19 tahun yang lepas…Adakah dosa semata-mata? Atau pahala yang akan dilemparkan semula kepada saya kerana kurangnya kualiti pahala tersebut? Nauzubillah..
Dan di ruang kehidupan yang sementara ini, apa pula perkara yang bakal saya hadapi… Siapakah saya dua tahun akan datang? Tiga tahun seterusnya? Adakah saya akan ketemu lagi ramadhan tahun hadapan? Sempatkah lagi saya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 21? Wallahualam..
Pertambahan umur kali ini bukan sekadar angka. Tapi ia menuntut perkara dan usaha yang pelbagai. Penggalian ilmu yang lebih mendalam, Mutaba’ah amal yang lebih istiqamah, pengurusan nyawa yang lebih tersusun, keputusan yang lebih matang, pilihan yang lebih tepat, fokus yang lebih mendalam, lebih sabar meladeni sikap manusia yang pelbagai, dan mungkin juga menjadi perfectionist dalam sesetengah hal. Banyak lagi… lebih memahami niat yang ikhlas akan menjayakan matlamat dakwah dan berjaya meleburkan hati-hati insan terpilih untuk lebih mengenal Tuhannya..jangan sampai keliru dengan hasutan syaitan yang sentiasa kreatif untuk menyesatkan manusia. mereka tidak akan putus asa untuk menukarkan ibadah yang kita lakukan kepada maksiat. Ingat! Semakin tinggi iman seseorang, maka ujiannya juga tinggi. Lihat orang yang sesat, bukankah mereka dari golongan berilmu? Masya Allah..
Dunia yang semakin mengelirukan. Juga lebih berhati-hati dengan penyakit wahan (cinta dunia, takut mati)
Adakah kamu sudah menjadi manusia yang berguna di dunia ini?
0 comments:
Post a Comment