• RSS

19 September 2010

(sambungan) sebuah hidayah

“Tiiidaaaaaak! Aku tak mati lagi!”, Hindun tidak puas berteriak.
Hindun terduduk di suatu sudut. Dia menangis semahunya. Jiwanya serabut. Perasaan terkilan memenuhi relung jiwanya. Kepalanya digeleng-gelengkan kerana seboleh-bolehnya mahu menafikan apa yang dilihat sebentar tadi. Kakinya dihentak-hentak ke lantai.

“Aku tak boleh mati! Masih banyak benda yang aku kena buat. Study aku tak habis lagi. Aku perlu ada kerjaya. Masa depan aku panjang lagi. Aku muda lagi!,” Hindun menjerit lagi. Dia masih tidak mahu menerima kenyataan. Duniawi terasa berat untuk dilepaskan.

“Uhuk! Uhuk… aaa…”, Hindun menangis semahunya. Bahunya turut sama terhejut-henjut seiring dengan esakannya. Perpindahan ke alam barzakh itu nampaknya tidak dapat langsung diterima. Dia sudah tidak keruan. Rambutnya ditarik-tarik. Pipinya ditampar-tampar. Kadang-kala kepalanya turut dihantuk ke dinding.

“Hiiindun!”

Satu suara keras memanggilnya. Sangat keras. Ibarat petir. Tidak mustahil ia mampu memekakkan telinga yang mendengarnya ketika itu.
Mata Hindun yang merah kerana menangis, terbeliak. Dia terkejut namanya dipanggil dengan kuat . Tangannya menutup kedua-dua telinganya. Kepalanya menoleh-noleh ke kanan dan kiri mencari siapakah yang memanggilnya sebentar tadi. Badannya menggigil dengan sendirinya dek kerana cemas dan ketakutan.

“Hoi! Hindun!”Suara itu berteriak lagi.

“kkkau… kau ..siapa ha?”, balas Hindun teragak-agak.

“Aku siapa itu tak penting! Tapi kau siapa itu yang lebih penting sekarang!”,jawab suara itu.Hindun melingas di setiap sudut. Masih mencari-cari arah daripada mana suara itu datang. Sunyi sepi sahaja ketika ini. Tiada bunyi lain selain daripada bunyi suara mereka berdua.

“siapa kau? Dan apa tujuan kau dijadikan?”, suara itu menyoal Hindun.

Hindun bertambah bingung. Soalannya dijawab dengan soalan yang sama diajukan kepadanya. Ya soalan yang pertama mungkin mudah baginya. Sudah tentu dia adalah manusia yang diciptakan daripada tanah liat hitam dan busuk tapi, mengenai soalan kedua dia terlupa. Apa tujuan manusia dijadikan? Dia ligat berfikir mencari jawapan. Otaknya kuat bekerja. Menyelak kembali fail-fail memori lama yang mungkin dia boleh perolehi jawapannya dalam memori sekolah agama tempat dia menimba ilmu dahulu. Soalan yang tidak memerlukan kira-kira seperti matematik dan uji kaji seperti sains ini mengambil masa yang sangat lama untuk dijawab.
Akhirnya dia ingat jawapannya yang pernah dibaca dalam buku teks yang dia sempat khatamkan dari kulit ke kulit sebelum menduduki peperiksaan ketika zaman dia bersekolah.

“aaku..aku……aku manusia. Dan ttu..tujuan aku dihidupkan adalah untuk beribadah kepada Allah”, Jawab Hindun gagap.

“oh! Kau sedar diri kau manusia ya? Dan…Wah! kau yakin kau dihidupkan untuk beribadah,”suara itu menyindirnya.

Hindun tersentak. Kata-kata itu seperti menampar pipinya. Dia senyap. Suasana amat sepi. Tiada bunyi cengkerik. Deruan angin juga tiada. Gelap pekat zulumat.
Tiba-tiba, suasana sepi tadi didatangi dengan bacaan dua ayat Al-Quran.

Az-Zariyat: 56
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."

Al-Baqarah:30
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Mungkin dalil ini adalah jawapan bagi soalan tadi.

“adakah kau sudah benar-benar mengabdikan diri kau kepada Allah?,” suara itu kembali menyoalnya.

Hindun tidak menjawab

“Hoi! Jawab!.”

Kali ini jeritan suara itu menyakitkan tubuhnya. Belakang badannya terasa seperti dilibas dengan jeritan suara itu. amat perit.

“aaaaaaaargh… ss.ssa..sakit…” Hindun mengerang kesakitan.

“jawab!”

Hindun dipukul lagi dengan suara itu. Berkali-kali. Walaupun hakikatnya tiada sebarang objek pun yang menyentuh tubuhnya. Hanya suara itu. tapi Hindun berasa sakit. Jeritan itu membuatkan dia sakit.

“Kau degil! Kau ego! Kau sebenarnya telah lupa hakikat kau dijadikan Allah di bumi ini. Kau tak bersyukur! Apa kau ingat dengan hanya cemerlang dalam pelajaran, mampu meluluskan kau untuk menjawab soalan munkar nakir di kubur nanti?”.

Suara itu memukul Hindun habis-habisan. Kulit belakang badannya mulai terkoyak. Darah merah deras mengalir.
Hindun mengerang kesakitan. Dia menangis. Kali ini lebih kuat. Dia menjerit.

“tt..Ta..Tapi, bukankah menuntut ilmu juga dikira ibadah?..”. Hindun cuba membela dirinya.

“Ya benar apa yang kau katakan. Tapi, adakah kau ikhlas menuntut ilmu itu kerana Allah? Bukahkah kau mementingkan diri sendiri?! Bukankah kau langsung tidak menghiraukan rakan kau yang selalu ingin meminta bantuan daripada engkau untuk mengajarkannya? Kau hina mereka… Kau katakan mereka bodoh! Kononnya kau seorang yang pandai hingga kau lupa ada yang Maha Bijaksana di atas sana. Sekarang, semuanya sudah terlambat. Kau tidak layak untuk diangkat sebagai orang yang berilmu di sisi Allah. Bersedialah di barzakh sana! Rumah sempit penuh ular berbisa, gelap dan tiada siapa akan mendengar pertolongan kau!.. dua malaikat siap sedia menanti kau di sana. Bersedialah! ”

Suara itu menakutkan Hindun. Dia menangis sambil menahan kesakitan. Dia masih tertiarap sambil cuba mengangkat mukanya. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya. Luka di belakangnya sangat pedih seperti ditambah dengan siraman asid.

“Aa..aaduh.. Sakitnya Ya allah.. Ya aku sedar aku salah… Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah…. Selama ini aku hidup dengan penuh kebanggaan dan sikap sombongku Ya Allah… Aku terlalu mengejar dunia. ..Sedangkan negeri yang kekal sebenarnya adalah akhiratMu Ya Allah… Aku terlalu bangga dengan kejayaan ku dan selalu merendah-rendahkan orang lain. Sedangkan aku lupa itu semua adalah pemberian dariMu Ya Allah….”

Hindun mulai insaf. Dalam kesakitan yang teramat itu, dia cuba juga untuk berdoa.

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku takut untuk menghadapi munkar dan nakir di dalam kubur nanti ya Allah... Aku yakin aku tidak mampu untuk menjawab soalan mereka ya Allah… Aku sakit ya Allah.. Argh.. Aku takut akan ular berbisa di dalam kubur itu ya Allah. Aku takut akan dibakar api neraka ya Allah. Tolong ya Allah! Hidupkanlah aku walau sesaat untuk aku bertaubat kepadaMu ya Allah yang Maha Pengampun dan penyayang….”

Hindun berdoa. Suara Hindun tersekat-sekat. Dia menyebut kembali segala dosa-dosanya. Dia teringat solat lima waktu yang selalu diabaikan. Auratnya yang tidak sempurna ditutup. Pakaian ketatnya. Malah mengejek Asmah yang memakai tudung labuh seperti hantu. Ya! Asmah. Dosanya pada Asmah terlalu banyak. Dia selalu menyakitkan hati teman sebiliknya itu. begitu juga dengan ibunya di kampong. Dia selalu menjadikan assignment sebagai alasan ketika ibunya meminta dia pulang ke rumah. Sedangkan ibunya selalu rindu padanya tambahan pula Hindun adalah anak tunggalnya.

“ibu! Maafkan Hindun ibu. Hindun anak derhaka. Hindun selalu anggap ibu ni batu penghalang untuk Hindun berjaya. Hindun anak derhaka ibu.. Tolong Hindun, ibu.. Hindun dah mati. Kubur tu gelap ibu.. Hindun takut ibu.. hindun nak cium bau syurga ibu.. Hindun tak nak masuk neraka..”

“Ya Allah.. hidupkanlah aku walau sesaat untuk aku bertaubat dan meminta ampun kepada semua orang Ya Allah..”

Hindun sekali lagi meminta untuk dihidupkan semula.

"(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah Aku (ke dunia), Agar Aku berbuat amal yang saleh terhadap yang Telah Aku tinggalkan. sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan."

Sekali lagi bacaan ayat Al-Quran bergema memenuhi ruang itu.

“ttiiidak!!! Tolong!! Ya Allah!” Hindun menjerit sekuat hatinya. Anak tekaknya seperti hendak terkeluar.

Hindun sepertinya tahu apa jawapan daripada doanya sebentar tadi. Dia sudah terlambat. Dia sudah mati. Tiada apa yang dia boleh lakukan melainkan bersedia menghadapi alam barzakh dan menunggu amalnya dihisab di mahsyar kelak.

“Aaaaaargh..Tiiidaakkk! jangan…….”

Tiba-tiba suasana gelap bertukar terang benderang. Matanya silau. Tangannya menutup matanya.

“Hindun! Hindun!.. bangun. Kenapa ni? ,” suara Asmah lembut. Dia yang sedang berzikir di tikar sejadah usai solat tahajud, terperanjat dengan jeritan Hindun.
Hindun yang melihat Asmah memakai telekung, menjerit ketakutan lalu menekup mukanya dengan tangannya. Dia meronta-ronta.

“aaaaa.. jangan!,”

“Hindun, kenapa ni? Ni aku lah Asmah. Kau mengigau ni.” Asmah kehairanan melihat Hindun begitu. Dia seperti baru sahaja melihat hantu.
Hindun segera bangun duduk bersila di atas tilamnya. Tubuhnya berpeluh. Dia meraba belakang badannya. Tidak sakit dan tiada darah. Dia memeluk Asmah.

“Asmah... Tolong aku Asmah. Aku sakit. Aku kena azab. sakit sangat. Badan aku koyak.”

“Astaghfirullah..Ish. Kau mimpi ni. Cuba istighfar.” Asmah memujuk tenang.

“tak Asmah. Dalam mimpi tu, Aku mati. Lepas tu, aku kena pukul. Ya Allah,sakitnya..”

“Asmah, jangan tinggalkan aku... Bimbing aku ke jalan yang benar..selama ini aku lupa pada kekuasaan Allah. Aku lupa pada rezeki yang Allah bagi. Aku lupa akan ilmu yang Allah bagi. Aku sombong..aku selalu hina kau. Maafkan aku Asmah. Tolong aku Asmah, jangan tinggalkan aku seorang di neraka.. bawa aku bersama kau masuk syurga.” Hindun menghina dirinya. Tangannya menggenggam erat tangan Asmah. Kata-katanya penuh mengharap.
Asmah tersenyum. Dia memeluk Hindun erat.

“sahabatku Hindun, Aku bukanlah insan yang dijamin syurga. Aku juga manusia biasa yang masih belajar mengenal erti hidup. Balasan syurga dan neraka bukan kita yang tentukan. Itu semua hak Allah. Kita sebagai hambaNya memang kena sentiasa mengharapkan kehidupan yang terbaik di akhirat sana. Caranya? Mentaati suruhannya, meninggalkan larangannya, dan amal makruf nahi mungkar. Sama-samalah kita berusaha menggapai kesejahteraan di akhirat dan merebut cintaNYA.. Insya Allah sahabatku..”

“insya Allah…”balas Hindun lemah. Pelukannya bertambah erat. Pipi Asmah dicium tanda kasih seorang sahabat. Air matanya bertambah deras. Dia bersyukur Allah masih menyayanginya. Segala apa yang dilaluinya sebentar tadi terasa seperti benar-benar terjadi. Siapakah yang menyoalnya dalam mimpinya tadi, tidak penting. Yang lebih utama, dia benar-benar ingin bertaubat.

Manakala Asmah tidak henti-henti memanjatkan syukur pada Allah. Selama ini, saban malam dia berdoa supaya dilembutkan hati sahabatnya itu. Alhamdulillah. Allah mengabulkan doanya.

Kedua-dua sahabat itu masih berpelukan. Jauh di suatu sudut, ada makhluk yang sedang berduka. Misinya kali ini gagal.

“argh! Damn!” dia menjerit.

Hatinya penuh benci melihat Asmah dan Hindun berpelukan. Cita-citanya untuk menyesatkan Hindun dan mempengaruhi Asmah melakukan maksiat berkecai. Malah Hindun pula yang insaf dibimbing Asmah. Perancangan lebih kemas dan kreatif harus segera dilaksanakan bagi menyesatkan mangsa seterusnya. Hal Asmah dan Hindun serah saja pada ketua mereka yang lebih berpangkat. Mungkin si Jeneral itu lebih berpengalaman luas dalam menyesatkan manusia.

Siapakah makhluk ini? Siapa lagi kalau bukan satu-satunya makhluk yang tidak mahu sujud pada manusia suatu ketika dahulu, iblis laknatullah!

-T.A.M.A.T-

1 comments:

Ms sunsWeetz said...

ingatkan hindun da mati rupanya mimpi...ehm anyway best2x...insaf sape yang membacanye..boleh membwa kepada peringatan dan kesedaran ..alhamdullillah=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...