Minggu Pertama (19-23 march 2012)
Bismillah. Alhamdulillah wa syukrulillah..
Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah saw serta
ahli keluarga baginda..
Hati berdebar bukan kepalang. Baju sudah digosok kemas. Tudung
pun dah disediakan sesuai padan dengan bajunya. Surat pemberitahuan LM juga
sudah dimasukkan ke dalam fail. Tanda nama sudah diletakkan di tempat yang
sesuai supaya esok, tidak terlupa untuk memakai. Malam menjelma, mata masih
belum mahu tidur. Membayangkan perkara-perkara positif sebagai doa untuk hari
esok. Insya Allah semuanya baik-baik sahaja.
Bangun dengan segar, bersiap seadanya. Kasut sedikit tumit
disarung menambah tinggi diri yang agak rendah. Fail dirapatkan ke dada. Beg
tangan disangkut di bahu kanan. Bismillah.. kaki memulakan langkah. 10 minit
masa berjalan dari rumah ke sekolah. Masuk sahaja pintu sekolah, sememangnya
menjadi perhatian ramai pasang mata. Daripada guru hinggalah murid. Maklumlah,
melihat wajah asing yang lagaknya seperti sebahagian daripada warga sekolah.
“eh,eh.. cikgu barulah…” bisik seorang murid.
“pheeeeewit…” siulan menguji.
Langkah dipercepatkan ke pejabat sekolah supaya lebih
selamat. Surat ditunjukkan tanda meminta restu. Kerani membawa kami ke tapak
perhimpunan. Duduk di barisan kedua dari hadapan, memenuhi kerusi kosong. Berada
di hadapan hampir 900 orang pelajar. Muka dimaniskan sehabis baik dengan
harapan menidakkan pandangan negatif warga sekolah.
Usai perhimpunan, Tuan Pengetua meminta kami menuggu di
pejabatnya. Kami akur.
Masuk ke dalam pejabat pengetua, kami berbual mesra.
Pengetua mengalu-alukan kedatangan kami dan menceritakan latar belakang
murid-murid di sekolah tersebut supaya kami bersiap sedia merancang strategi
penyampaian pengajaran. Murid bermasalah berpunca daripada masalah keluarga. Bukan
sahaja ekonomi malah juga institusi
kekeluargaan.
Seminggu ROS dihabiskan dengan melawat, menghafal dan
mengambil gambar tempat-tempat penting dalam kawasan sekolah. Terutama sekali
kelas.
Seminggu ini juga kami mencari kesesuaian ruang untuk
bernafas. persekitaran yang baru, udaranya juga baru. jadi segala persiapan
mesti disediakan. Mental dan fizikal. Supaya nanti tiada yang sakit-sakit dek
kerana dibaham persekitaran yang baru. (Oh tidak..ayat apa la aku buat ni)
Dalam pemerhatian seminggu ini tidak banyak yang saya
pelajari mengenai murid-murid melainkan gurunya. Biasalah.. macam-macam ragam. Hakikat
kepelbagaian sikap manusia bergelar guru. Baik atau buruk sebenarnya
masing-masing mahukan yang baik. Tapi faktor luaran dan dalaman itulah yang
membawa kepada keburukan. Namun siapalah kita untuk mengatakan sia-sia bagi jerit
payah seharian mereka mendidik anak-anak untuk mencapai kejayaan.
Jadual waktu sudah diterima. Menunggu masa masuk ke kelas
minggu hadapan..
0 comments:
Post a Comment