"Walau macam mana pun perangai mereka, kita perlu untuk sentiasa ikhlas mengajar mereka." nasihat guru pembimbing saya.
"Insya Allah kak..."jawab saya sambil mengangguk-angguk kepala.
Setiap kali habis mengajar kelas 'tersebut', saya mengadu kepada beliau. Mengadu akan keresahan saya terhadap perangai anak-anak murid saya.
"Pelajar cina nya bercakap dari awal kelas sampai habis. Ada yang tidur. Yang melayu pula tak mahu menyalin nota. Berjalan dan bergurau tak sudah-sudah. Macam mana nak buat kak?"
Ini adalah keluhan saya hampir sepanjang LM. Guru pembimbing saya hanya tersenyum. Dengan sabar, beliau memberikan nasihat dan kata semangat agar saya terus kuat dan tabah. Sabar sungguh beliau melayan kerenah guru hingusan seperti saya. Sabar itulah yang perlu saya warisi.
Saya bersyukur kerana diberi taklifan untuk merasai pengalaman mengajar dua kelas yang ibarat langit dan bumi. Keduanya sama mencabar, sama risiko, sama bebannya. Yang membezakannya ialah, cara pengajaran dan psychology. Apa perlu dibuat jika ditanya soalan yang susah oleh pelajar pintar? Apa perasaan guru apabila pelajar bercakap di belakang? Apa perlu dibuat jika diloyar burukkan dan diketawakan beramai-ramai? Semuanya memerlukan kemahiran tertentu yang mungkin ia tidak diajar secara praktikal ketika microteaching. Setelah terjun ke realiti sebenar barulah, kreativiti untuk mengendali anak-anak murid begini akan terbentuk.
Ustaz Hasrizal mengatakan "Sukakan kanak-kanak, kita suka bahagian yang menyukakan sahaja. Bahagian comelnya, bahagian suka bermainnya, bahagian suka diagah, bahagian pandai bergaya di hadapan kamera. Semuanya indah dan menjadi kenangan."
"Anak-anak itu, sukanya tidak bersyarat. Suka semasa mereka comel, suka semasa mereka buat perangai. Suka semasa mereka tidak banyak meragam, suka semasa mereka tidak habis-habis membuat ragam. Semasa menjadi kebanggaan, semasa mencetus keaiban. Semasa menghiburkan, semasa memeningkan."
Maka saya juga ingin mengatakan sukakan anak-anak murid bukan suka apabila yang datang itu pelajar pandai, baik, kacak, cantik, patuh, senyap, kaya dan yang suka memberi hadiah."
Anak-anak murid itu suka dan sayangnya tidak bersyarat. Suka ketika mereka patuh dan suka ketika mereka ingkar. Suka ketika mereka rajin dan suka ketika mereka malas.Bukan suka dengan membiarkan mereka ketika membuat 'perangai' tetapi suka diikuti dengan strategi untuk mendidik mereka menjadi insan berguna. Marah bukan diiringi dendam tetapi marah untuk mendidik. Hilangkan kebencian, tambahkan kasih-sayang.
Bukankah guru itu tugas mulia?
"Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya". (Riwayat Muslim)
Maka dengan itu, usahalah semampumu untuk menjadi guru yang terbaik buat anak-anak murid kita. Doakan sentiasa agar mereka berjaya. Insya Allah. :)
0 comments:
Post a Comment