• RSS

29 September 2013

Uncle kawan abah

Assalamualaikum wbt..

Allahumma solli 'ala Muhammad wabarik wa salim..

Dua minggu lepas, pagi-pagi lagi saya bergegas ke kaunter tiket Sri Puteri mencari tiket ke Batu Pahat. Mahu pulang segera menghabiskan jam kredit belajar memandu. Hari itu, hari jumaat. Orang pun tidak terlalu ramai. Tidak sesak seperti selalu. Selepas membayar harga tiket, seorang uncle berbangsa cina di belakang saya, rupa-rupanya mahu ke destinasi yang sama dengan saya. Tua tetapi cergas orangnya. Amoi di kaunter meminta saya menjaga uncle ini.

adik, you tolong tengok-tengokkan uncle haa.. nanti kalau bas sudah sampai you beritahu sama dia ya..” kata amoi bermata sepet.

“Ok. Boleh2.” Kata saya menggangguk senyum.

“Uncle, jom!”

Macam biasa, duduk tepi jalan sambil mata awas kepada nombor plat bas yang tiba. Lama sungguh.

“lu mau balik batu pahat, lumah lu kat mana?” uncle memulakan perbualan.

“owh.. rumah saya kat muar. Tapi biasa ambil bas ke batu pahat. Lagi dekat.” Jawab saya.

“muar dekat mana?”uncle bertanya lagi.

parit jawa.”

“palit jawa kat mana? Rumah saya kat palit jawa juga..”

“dekat parit nawi..”

“owh… lumah lu kat parit nawi.. saya tau. Saya tau. Situ ha. lulu saya ala solang kawan. Kilija bandar muar tapi sikalang lama sulah saya tak nampak itu olang. Namanya Amin. Lu ala kenal tak?”

Amin? Kerja Bandar muar? Ermm… itu ayah saya, uncle!” jawab saya hampir menjerit.

Waaaa… itu bapak lu ah? Mana lia pigi? Sulah lama wa tak nampak lia..?”

“Uncle….. abah lama dah meninggal…”

“ Ohh… soli ah. Saya tak tau.. patutla lama sula saya tak ala nampak lia… lia meninggal sebab apa?”

Dan banyak lagi perbualan antara kami. Uncle ni sangat baik. Umurnya menjangkau 77 tahun. lebih tua daripada arwah abah kalau dia masih ada. Tapi orangnya sangat cergas. Dia datang dari Muar untuk kerja di Singapura tempat anaknya. Dia tak habis-habis memuji kebaikan abah. Katanya, dia kawan rapat abah. Habis dia bercerita pada semua orang yang lalu-lalang di sekitar tempat saya menunggu bas tanda dia sangat excited berjumpa saya anak sahabat baiknya. Sampainya di Batu Pahat, uncle tadi ingin belanja saya minum. Tapi saya menolak kerana segan dan saya ingin segera pulang kerana hari hendak hujan. Demi tidak menghampakan, uncle tadi belanja pula saya tiket bas Batu Pahat ke Muar. Allahurobbi. Semoga Allah beri hidayah kepada uncle tadi untuk memeluk Islam.

Kerja terakhir abah saya dulu, adalah pengawal keselamatan di sebuah bank di Bandar Muar. Dengan rezeki itulah, kami sekeluarga bahagia. Pernah juga sesekali rasa sempit dan susah. Tapi, tetap Alhamdulillah masih cukup dan bahagia. Berkerja di bank, abah jumpa ramai orang. Abah baik dengan semua orang. Tak kira lelaki, perempuan, tua, muda, cina atau india, semua abah baik. Kalau ada orang perlukan bantuan untuk urusan di bank, abah selalu tolong. Sebab tu juga ramai orang di Bandar Muar kenal abah. Tidak hairanlah juga ramai orang yang kami sekeluarga tak kenal datang berziarah ketika abah meninggal.

Sebab itu, bila isteri Mat Yo marah pakcik pengawal keselamatan, saya terasa. Terasa seperti dia kurang ajar pada abah saya!

Berbuat baik bukan untuk pujian. Tapi untuk bekalan di hari kemudian. Mana tahu, kerana baiknya ketika hidup, anak cucu kita juga mendapat tempias kebaikan yang dilakukan. Semoga Allah menghimpunkan roh abah bersama para solehin dan mukminin. Marilah kita berdoa supaya sentiasa menjadi baik buat sekalian ummah. Tunggulah abah, anakmu ini sedang berusaha menjadi yang solehah untukmu.

wallahualam


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...