Alhamdulillah. Nikmat yang Allah berikan untuk saya menghirup nafas pada hari ini memaksudkan saya sudah boleh mendaftar mengundi secara rasmi. J ketika menulis ini, telefon bimbit saya selang beberapa minit berbunyi menandakan mesej masuk. Infiniti terima kasih saya ucapkan buat mereka yang tidak putus-putus mengucapkan selamat ulang tahun dan mendoakan yang baik-baik buat saya. Semoga doa tersebut Allah kembalikan kepada anda semua . Walaupun Mark Zuckerberg menjadi orang perantaraan ucapan tersebut, saya tetap menerimanya dengan hati yang senang.
Kalau kebanyakkan orang menyambut hari lahir tepat jam 12 malam, maka saya anjakkan sedikit menjadi 12.30 malam kerana saya dilahirkan ketika itu. Tiada doktor dan peralatan canggih. Saya hanya disambut oleh seorang nenek yang menjadi bidan terjun untuk menjadi bidan dan setelah itu diambil alih tugas memotong tali pusat oleh jururawat yang datang lewat ke rumah. Ibu saya yang hebat ini melahirkan saya dengan selamat secara normal walaupun saya berada dalam keadaan songsang ketika dilahirkan. Alhamdulillah..
Lahirnya seorang lagi puteri bongsu yang comel ini, secara automatisnya mencabut gelaran ‘adik’ kepada abang saya. Cukuplah empat tahun dia menjadi bongsu buat sementara.
Saya menerima pendidikan formal pertama di Tabika KEMAS Parit Nawi ketika berumur lima tahun. Memakai uniform rasmi baju kurung bercorak petak-petak empat segi kecil berwarna merah selama dua tahun.
Umur tujuh tahun, saya mendaftar di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi. Satu-satunya murid yang memakai tudung di dalam kelas itu. Hasil tarbiyah daripada keluarga mungkin.
Enam tahun bersekolah rendah, saya meneruskan lagi pengajian di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu Negeri Sembilan. Berbekalkan pengalaman yang zero berada jauh dengan keluarga, saya tegarkan hati dan kuatkan semangat untuk kekal di sana selama lima tahun. Di sana saya belajar pelbagai perkara mengenai kehidupan. Saya bukan seorang ahli badan dakwah. Bukan juga seorang Lembaga Pengawas. Mungkin itu menjadi faktor saya ‘mudah diterima’ oleh rakan-rakan sekeliling. Saya hidup dengan gaya sendiri. Di sekolah ini saya mula minat untuk membaca. Novel dan Majalah I antara yang saya tidak missed setiap kali keluar bandar hujung minggu. Saya pernah mempunyai mini walkman yang dulu dipanggil ‘transistor’ (barang yang sangat HARAM dibawa) untuk mendengar IKIM. Walaupun saya dikira nakal kerana melanggar beberapa peraturan asrama, namun saya juga antara golongan yang selalu ditolak kehadapan untuk menjadi imamah di surau puteri. (saya tidak pasti mengapa dan bagaimana mereka thiqah dengan saya). Jadi, saya bukanlah golongan ‘skema’ juga bukan golongan ‘otai’ jauh sekali golongan ‘bermasalah’ yang menyebabkan markah merit rumah sukan ditolak. Saya adalah saya. Golongan pertengahan. Erm.. mungkin.
“ awak tak nak turun dengar tazkirah? Dah cukup ke ilmu di dada?! ” Jerit seorang senior kepada seorang junior. Tegurnya macam bagus. Tapi, dia sendiri juara masbuk setiap kali solat berjema’ah.
Ya! Tarbiyah di sini memang aneh. Peraturan dan amalan yang diwajibkan hanya kepada junior. Senior? Hmm.. Hakikatnya mereka hanya ditakuti bukan dihormati.
Apa yang pasti, di sinilah saya belajar untuk faham mengapa peraturan diwujudkan, etika berpakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya kesalkan, namun ia tidak menafikan tarbiyah yang saya terima di sekolah ini.
Saya bukan golongan cerdik pandai yang selalu score dalam apa jua peperiksaan. Maka kerana itulah guru-guru tidak ramai yang kenal dengan pelajar low profile seperti saya ini. kecuali dengan Ustazah Salwa dan Ustazah Nuri guru bahasa Arab komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, Cikgu Ainah guru kimia dan Sir Phua Wee Lan guru matematik.
Tamat SPM, memasuki zaman matrikulasi. KMNS adalah pilihan pertama ketika mengisi borangnya secara online. Semua ahli keluarga sangat marah apabila saya membuka hal sebenar selepas surat tawaran diterima. Mereka mahukan saya di KMJ memandangkan kedudukannya dekat dengan kediaman saya di Muar. Tapi pada saya, jarak yang jauh antara rumah dan tempat kita menuntut ilmu adalah salah satu faktor kejayaan seseorang. Erm.. ini teori saya sendiri yang bukan hasil kajian. Antara faktor saya sengaja memilih KMNS adalah kerana ketika itu saya merasakan sangat sukar untuk saya memadamkan memori di sekolah dan memulakan hidup baru di negeri sendiri. Meraih ilmu di sini sangat menyeronokkan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sentiasa membantu dalam pelajaran. Di sini juga saya membina kembali semangat untuk belajar dengan gigih demi menebus ‘kekurangan’ dalam SPM dahulu. Alhamdulillah.. diberi pensyarah yang baik, rakan-rakan yang baik, bi’ah yang elok hasilnya Allah anugerahkan pointer yang baik. Kata-kata senior yang saya sentiasa pegang “ SPM tidak menjamin siapa kita di masa hadapan” memang benar-benar menjadi kenyataan.
Pertengahan 2009 saya bergelar mahasiswa di UTM Skudai. Idea untuk menulis perihal universiti tiba-tiba hilang dek kerana terlalu banyak yang ingin saya catatkan di sini. Makanya, cukuplah sekadar ini. Saya Norazlinda binti Hj Amin bin Hj Shamsudin seorang mahasiswa tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik. Menjadi ahli Persatuan Mahasiswa Islam secara rasmi pada tahun yang sama saya mendaftar sebagai mahasiswa dan diterima untuk menjadi salah seorang penggerak Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan. 2011 saya diberi taklifan sebagai Timbalan Pengerusi Lujnah yang sama iaitu lujnah pendidikan atau lebih saya senangi menggelarnya lujnah tarbiyah. Allah meletakkan saya di sini. Medan ini. lujnah ini.
Menangis, ketawa, senyum, sedih, suka dan duka. semuanya menjadi sebuah adunan yang bakal menghasilkan kek yang lazat. Hakikatnya ini bukan keluhan tanda kesal. Tapi sedikit lelah letih. Lelah kerana berusaha untuk memberikan yang terbaik. Terbaik buat ummat sana sehingga lupa hakikat manusia tiada yang sempurna. Suasana persekitaran pula kadang kala bertindak kejam hingga mengharamkan saya untuk lemah. “ INI TARBIYAH!!!! “ jeritnya. Ya saya redha. Lantas saya sapu tangisan yang hampir kering. Saya cuba berdiri. Alhamdulillah kekuatan dariNya saya sambut. “sudah aku katakan, Allah sebaik-baik tempat untuk mengadu” getus separuh hati.
Senyum, senyum dan terus senyum. Syukur, syukur dan syukur. Syukur kepada Allah yang memberi tarbiyah. Makanya, saya pakukan segala kekurangan lalu dan berusaha menjadikan 2011 adalah tahun bahagia buat saya dalam diari kekal ini. semoga ianya kan terus kekal membuatkan saya dan anda semua terus tabah, istiqamah dan thabat meneruskan sisa-sisa 2011 sempena ulang tahun yang ke 21 ini.
Selamat Ulang Tahun Kelahiran wahai diri.. 21 masih muda. Banyak lagi sumbangan yang kau boleh berikan buat Islam. Namun tahukah kamu bila maut bakal menjemputmu? 21 tahun mungkin menjadi umur muda mungkin juga umur tua buatmu.. Ingatlah wahai diri.. titik!
1 comments:
Sanah Helwah ya Sohibati,
barakallahu a'la 'umriki..
kullu ahwal wa entum fi rahmatillah Abadan-abada.
^_^ this is not a story coz u'll made it history..
Post a Comment