• RSS

20 September 2011

Bogel Menuju Tuhan


Begini.

Kamu lengkap berpakaian, sedang berjalan. Memandang terus ke hadapan, tidak ada pilihan untuk berpatah balik, kecuali Tuhan benarkan system kiraan waktu ke belakang.

Iaitu, contoh- selepas rabu ialah Selasa. Selepas jam 7 ialah jam 6.

Tidak wujud hukum itu. Bukan hukum alam.

Yang tadi, memang lengkap berpakaian. Dari atas kepala jatuh ke kaki.kemas, segak, cantik, anggun, ayu, hensem, kacak, cun, macho, cun, sweet, cute dan semua adjektif positif. Tanpa mengira gender.

Kerana bila kita mula mengenali pemikiran sendiri, mula menggunakan otak, mula peka dengan sosial kehidupan, waktu itu umur sudah lebih kurang besar.

Seperti baru terjaga dari tidur. Waktu itu bangun dari katil adalah keputusan sendiri, angkat tangan adalah keputusan sendiri, capai tuala adalah keputusan sendiri. tidak seperti mimpi yang kita sendiri pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menggerakkan plot mimpi tadi.

Sebab itu sedar-sedar, kita sudah berjalan. Bukan baru melangkah mula.

Jadi, dengan lengkapnya berpakaian yang sedang berjalan, itulah kehidupan. Terus berjalan. Namun kejap-kejap berjalan, rambut kita ditiup angin. Habis rosak gayanya.

Itulah halangan. Kita jalan lagi terusnya. Dengan gaya rambut malapetaka.

Kejap-kejap kita jalan lagi, kasut kita terpijak lumpur. Itu juga salah satunya halangan. Kita jalan lagi dengan kasut berlumpur.

Kejap-kejap kita jalan lagi, baju tercarik terkena benda tajam. Habis terburai menampakkan bahagian badan. Atau aurat. Kita berhenti untuk mengenal pasti apakah halangan yg mencarikkan baju kita tadi. Kita jerit, kita marah, kita menangis dek baju yang tercarik robek. Betul-betul marah kenapa dicarikkan!

Kita perlu jalan lagi. Kalau baju itu tercarik kecil, kita pasangkan lagi ke badan. Kalau cariknya besar, kita tanggalkan saja. Walau tak berbaju, kita  harus berjalan.

Kejap-kejap kita jalan lagi, seluarnya ditarik. Putus butang di pinggang. Langsung londeh ke bumi. Baju tadi sudah dibuang maka separa bogel meninggalkan seluar yang londeh habis.

Mahu pulang ke belakang sekarang? Ingat, tiada hukum pukul tujuh jadi enam selepasnya. Tiada.

Tidak ada jalan lain, samada pegang seluar itu atau tanggalkan sahaja.

Begitulah lengkapnya pakaian ditarik, dicarik, disentap oleh ekhidupan. Satu-persatu dirosakkan, diambil.

Kita perlu terus ke hadapan, walau tiada baju, walau tiada seluar. Jikalau harus berbogel untuk sampai ke hujung, akan aku lakukan.

Kerana dihujung itu mati.

Di hujung itu Pencipta yang menunggu kita.

Dan siapa yang sedar, rupanya yang menarik, mencarik lengkapnya pakaian tadi, adalah Tuhan. Iaitu dugaanNya.

Baju dan seluar tadi cumalah modeniti, duniawi status latar zaman yang langsung tidak bernilai, kerana yang akhirNya ialah kita (yang berbogel sendirian) dan amalan kepadaNya.

Inilah perjalanan hidup berdugaan, penuh kesakitan, sebelum menuju Tuhan.




Tajuk: Bogel Menuju Tuhan
Penulis: Zahiril Adzim
Penerbit: Orange Dove Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM30.00
Bilangan muka surat: 87
Sumber: MPH Skudai

Nota:
1.   Ini adalah himpunan sajak dan catatan Zahiril Adzim, pelakon popular Juvana
2. Abaikan tajuknya. ambil isinya.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...