• RSS

04 May 2012

Diari Cikgu 7 (versi cerpen)

Manik-manik peluh di dahi mula merinik jatuh. Meleleh laju ke pipi kanan dan kiri. Dikesat cepat dengan bahu kanannya. bahu kirinya terkaku kerana berat menggalas beban sebuah beg yang sarat dengan beberapa buah buku. Manakala tangan kirinya pula memegang erat tiga buah buku lain.

Lelaki Cina itu berjalan perlahan ke arah pintu. Menarik tombol pintu rapat ke rusuk kanan. Mukanya dimaniskan semanis kurma. Tarikan utama pesan majikannya. Sekalian mata yang berada di bilik itu cepat-cepat melarikan pandangan. Seolah-olah seperti melihat hantu. Masing-masing bergegas pantas bagaikan lipas tercabut sayap.

Seorang Guru Cina lelaki. Jarinya yang sedari tadi menari di papan kekunci komputer ribanya semakin rancak tariannya. Seorang Guru Melayu perempuan. Tangannya cekap memandu pen sedang menulis, juga semakin laju gerakannya. Dua orang Guru Perempuan Cina berusia 30-an yang sedang asyik bersembang, semakin rancak ceritanya. Malah dibuka-buka pula cerita baru. Entah bila akan habis.

Lelaki Cina itu sedar perubahan yang berlaku. Tetapi dicekalkan juga hatinya. Ditebalkan juga mukanya. Dia berjalan dengan langkahan positif dan yakin. Walaupun dia sudah mampu menjangkakan apa tindak balas yang akan diterima. Dia mendekati Guru Cina lelaki. Dengan bersungguh dia menunjukkan buku yang dipegangnya. Dipromosikan sehabis baik. Diceritakan segala kelebihan. daripada reka bentuk, peribadi penulis, hinggalah kerugian yang akan ditanggung jika tidak mendapatkannya. Seolah-olah tanpa buku rujukan Sains yang ditunjukkan itu, kaburlah masa depan pelajar sekalian.

Belum pun sempat lelaki itu membuka begnya untuk mengeluarkan buku yang lain, guru tersebut berkata," tak apa! saya dah ada banyak koleksi buku rujukan."

"Ok. tak apalah. Terima kasih cikgu!", sambut lelaki itu dengan wajahnya yang masih tersenyum seperti tadi. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Dengan mata yang masih dipaku di hadapan monitor, guru itu menjawab," sama-sama."

Sasaran seterusnya ialah guru melayu perempuan.

"maaf cikgu, saya mengganggu. Saya ada beberapa bu..."

"Eyh, tak apa. tak apa! Saya dah ada banyak. Semalam baru datang seorang jual buku macam awak. Pun saya tak beli juga. Sebab saya dah ada banyak..."

Belum sempat lelaki cina itu menghabiskan ayat, guru perempuan itu sudah memotong.

"tapi cikgu, buku saya ni, lebih update." dia mencuba nasib. Manalah tahu guru perempuan ini berubah hati.

"Alah, semua buku sama saja isinya. Oklah, saya ada kelas ni. Saya pergi dulu..", pintas guru itu sambil mengemaskan buku dan terus meninggalkan lelaki cina termangu-mangu.

Riak sedih yang cuba hadir, cepat ditahan. Dibetulkan bibir untuk menguntum senyuman yang dibuat-buat. Jelas kelihatan palsunya.

Sasaran terakhir dua orang guru perempuan cina berusia 30-an. Jarak lelaki cina itu dengan mereka hanya kira-kira tujuh meter sahaja. Dia melangkah laju kearah mereka dengan harapan, ada rezeki hari ini. Sekurang-kurangnya terjual sebuah buku pun jadilah. Baru beberapa sahaja langkah, dua orang guru perempuan cina itu sudah bangun daripada tempat mereka.
"Eyh, jom pergi kantin. Saya laparlah." ajak seorang daripada mereka.
"jom! cepat sikit..", balas rakannya..

Lelaki itu berasa kecewa. Dia hanya melihat mereka berlalu begitu sahaja. Langkahnya kaku. Dilihat sekitar kawasan bilik guru itu, tiada lagi yang berpotensi dijadikan sasarannya. Hatinya kian bimbang. Apa agaknya respond majikannya nanti apabila dilaporkan tiada satu pun buku yang berjaya dijual pada hari ini. Kali ini, dahinya berkerut. Tiada lagi senyuman dibibirnya. Keluhan berat dilepaskan.

Sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu, sempat dia menjeling sebuah meja berpenghuni di tepi pintu itu. Seorang guru perempuan praktikal melayu melontarkan senyuman kepadanya. Bukan senyuman menggoda tetapi senyuman semangat. Tersirat mesej senyap memujuk supaya lelaki itu terus berusaha mencari rezeki. Biarpun dia bukan seagama dan sebangsa dengannya, namun guru itu sangat memahami perasaannya.  Lelaki itu hanya membalas dengan senyuman hambar. Sambil jelas keluhannya dilepaskan dan tangannya menolak daun pintu seluasnya-luasnya segera ingin keluar dari tempat yang dirasakan malang itu.




2 comments:

nur atikah shaari said...

sedih jugak baca..takpelah,lain orang lain rezekinya...=)

Azlinda Amin said...

rezeki rahsia Allah, datang dari pelbagai arah, cara dan bentuk. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...