• RSS

20 July 2012

Cakar Ayam

Sedari tadi Hakim mencangkung di situ. Di tepi sungai tempat dia dan anak kampong selalu bermain menghabiskan masa. Matanya memerhatikan air sungai yang tenang dengan harapan ketenangan itu dapat merawat hatinya yang sedang remuk, namun setelah sejam berlalu, usahanya hanya sia-sia. Hakim mendongak pula. Dia mencari kelibat burung yang dapat dilihat bayangnya di air tadi. Ceria sekali burung itu terbang bebas. Mungkin ia baru sahaja pandai terbang memandangkan saiznya yang masih kecil. Hakim merenung tajam burung itu.

 “Arghhhh!, kau menambahkan lagi sakit hati aku, burung!” Hakim menjerit memarahi burung yang tidak berdosa itu sambil tangannya membaling batu ke arah burung tersebut. Mujur burung kecil itu pantas mengelak.

 “Huh!”, Hakim mendengus setelah sedar sasarannya tidak mengena.

 Dia kembali menunduk. Dia sudah penat. Lututnya yang tadi rapat ke dada kini dilonggarkan. Dia duduk bersila pula. Kedua tapak tangannya dikembangkan. Dia merenung kedua belah tapak tangannya dengan hati yang benar-benar kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri.

 Dia teringat kejadian di sekolah tadi. Guru Bahasa Melayunya, En Sarpan mengajar mereka murid darjah tiga simpulan bahasa baru. Sememangnya Cikgu Sarpan akan memulakan pengajarannya setiap hari dengan menulis satu simpulan bahasa baru di papan hitam. Semua murid akan menyalinnya di dalam buku tulis khas untuk simpulan bahasa sahaja. Usaha ini bukanlah idea Cikgu Sarpan sebaliknya, inilah cadangan daripada Guru Besar untuk memastikan semua murid di sekolah itu mengekalkan kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika UPSR di darjah enam nanti.

 “Murid-murid, simpulan bahasa yang kita akan belajar pada hari ini ialah cakar ayam. Maksud cakar ayam ialah tulisan yang buruk.” Cikgu Sarpan menerangkan maksud simpulan bahasa itu setelah menulisnya di papan hitam.


 “Contoh ayatnya ialah, tulisan Hakim yang macam cakar ayam itu, amat sukar dibaca oleh sesiapa pun.” Cikgu Sarpan memberikan contoh sambil memandang Hakim.


 Satu kelas kemudiannya riuh dengan ketawa terbahak-bahak. Semua memandang Hakim dengan pandangan hina. Rakannya, Lukman yang duduk di sebelahnya menolak-nolak kepala Hakim. Cikgu Sarpan terpinga-pinga. Dia tidak sedar yang dia sudah tersalah ketika menggunakan contoh nama bagi ayat tadi. Dia terlupa yang Hakim sememangnya mempunyai tulisan yang buruk.


 Hakim berlagak selamba. Dia hanya menyalin apa yang cikgunya tulis di hadapan papan hitam ke dalam buku. Kelas kembali senyap setelah ditenangkan oleh Cikgu Sarpan. Sesekali dia memandang Hakim ingin tahu reaksinya. Bimbang juga dia jika kata-katanya sebentar tadi melukai muridnya itu. Namun, Hakim tetap seperti biasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cikgu Sarpan berasa lega.


 Hati Hakim bagai dicincang-cincang. Amat pedih sekali. Dia menekup mukanya dengan kedua tapak tangannya sambil menangis tersedu-sedu. Dia mengutuk dan memaki dirinya.


 “kenapa tulisan aku buruk? Kenapa tulisan aku tak cantik? Kenapa? Aku cacat ke?”, berdengung bunyinya. 
Hakim menangis sambil mengherdik dirinya. Tangannya masih menutup mukanya. 


 Hakim sedar, tulisan tangannya memang tak cantik. Saiz satu huruf dengan huruf yang lain tidak sama. Kejap kecil, kejap besar. Susunannya juga terabur. Kadang kala senget. Kadang kala tegak. Bentuk dan susunan yang tidak sama itulah yang membuatkan tulisan Hakim benar-benar buruk. Puas dia berlatih untuk mencantikkan tulisannya. Ibunya siap menyediakan buku khas untuk anaknya itu berlatih menulis supaya tulisannya berubah menjadi cantik dan kemas sejak dia darjah satu tapi, itu semua tidak menunjukkan perubahan positif kepada Hakim. 


 Hakim benar-benar tertekan. Dengan apa yang telah terjadi di dalam kelas tadi, menambahkan lagi bengangnya. Dia nekad untuk berbuat sesuatu yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. Hakim menoleh ke kanan dan kiri bagi memastikan dia hanya seorang diri di tepi sungai itu. Dengan pantas, Hakim mengeluarkan sebilah pisau lipat.


"Zapppp!!!"


Hakim mengaduh kesakitan. Dia menggosok-gosok tangannya yang pijar. Mujur, Cikgu Sarpan sempat menepis. Pisau yang dipegang Hakim tercampak ke dalam sungai.


Rumah Cikgu Sarpan memang dekat dengan sekolah. Hanya memakan masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Dia memang selesa berjalan walaupun dia mempunyai sebuah kereta. Sedang dia berjalan tadi, tiba-tiba dia terdengar suara kanak-kanak menangis itu yang membuatkannya sempat menyelamatkan Hakim daripada mengelar tangannya.


"Astaghfirullahalazim, Hakim!! apa yang awak cuba buat ni?" Cikgu Sarpan bertanya dengan suara yang kuat. 

"Ss.. saya..saya..." Hakim tergagap mahu menjawab. Gerun benar dia melihat guru bahasa melayunya itu. Pertama kali melihat wajahnya marah begitu.

"Saya..saya kecewa dengan diri saya, cikgu! tulisan saya tak cantik...." Hakim memberi jawapan sambil mengelap hingusnya yang mula meleleh.

"Jadi, dengan mengelar tangan, dapat mencantikkan tulisan awak?" suara Cikgu Sarpan rendah sedikit tetapi masih tegas.

Hakim hanya menggeleng. Dia sendiri tidak percaya dengan keputusan berani yang dia lakukan itu. Lumrah kanak-kanak di peringkat umur mumaiyiz yang tidak berfikir panjang ketika membuat keputusan.

"Hakim, saya ke yang menyebabkan awak berkelakuan begini.." Cikgu Sarpan rasa bersalah. Egonya direndahkan demi menebus kesalahannya kepada anak muridnya itu.

"Cikgu tak salah.. Saya yang.... Argh!!tulisan saya memang buruk! hodoh!" Hakim kembali menjerit.

"Hakim, Hakim..Mari sini, dengar cikgu nak cakap." Cikgu Sarpan memaut bahu Hakim yang kecil itu. Lalu memimpinnya untuk duduk. Hakim hanya menurut.

"Hakim, dalam peperiksaan pertengahan tahun hari tu, berapa markah awak dalam matematik?" Cikgu Sarpan menyoal lembut.


"90", Jawab Hakim perlahan.


"Sains?"


"84"


"Agama Islam?"


"100"


"Bahasa Melayu?"


"80"


"Hampir semua mata pelajaran awak dapat gred A, betul?" Cikgu Sarpan meneruskan soalan. 


Hakim hanya membalas dengan anggukan.


"Pernah tak awak ucapkan alhamdulillah dengan setiap A yang awak dapat tu?"


Tanpa menunggu jawapan Hakim, Cikgu Sarpan meneruskan lagi.

"Ucapan Alhamdulillah adalah sekecil-kecil tanda kita bersyukur kepada Allah. Allah dah kurniakan pelbagai jenis nikmat kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Allah dah kurniakan Hakim nikmat kehidupan, kepandaian, dan ke'handsome'an malah banyak lagi nikmat yang Allah dah beri.." kata Cikgu Sarpan sambil mencuit hidung Hakim.

Hakim tersenyum mendengar perkataan 'kehandsomean' itu.


Cikgu Sarpan terus menyambung " tapi kenapa Hakim masih mengeluh dan tak berpuas hati dengan satu sahaja ujian yang Allah berikan iaitu tulisan yang tak cantik? Hakim nak salahkan Allah sebab beri kekurangan ni kepada Hakim?


Hakim hanya diam membisu.


"Ingatlah Hakim. Barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, Allah akan tambah lagi nikmat. tapi jika kita kufur akan nikmat Allah, hati-hatilah dengan azab yang Allah akan berikan." Tambah Cikgu Sarpan. Dia teringat akan kata-kata Naqib usrahnya di kampus. Sering kali mengingatkan firman Allah ini setiap kali memulakan usrah.


"Dengan melukakan tangan awak, tak dapat mengubah sikit pun tulisan awak nanti. Malah, awak dah dikira berdosa sebab menzalimi diri awak sendiri!"


Hakim mulai insaf. Dia sedar, dia hampir melakukan perkara yang paling bodoh sekali dalam hidupnya.  Dia memeluk Cikgu Sarpan sekuat hati.


"maafkan saya, cikgu! saya tak nak diazab oleh Allah..." Hakim teresak-esak kembali menangis.


Cikgu Sarpan mengusap-usap kepala Hakim."sudahlah tu, Hakim. Insya Allah, semua yang baik dan buruk datang daripada Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti bersyukur dan bersabar. Hakim anak soleh kan!," 




  


4 comments:

Khairina 'Izzati said...

bila cikgu linda menulis..mantop! :D

nur sakinah radzuan said...

mantop,mantop,mantop.
Anugerah menulis.

NORAZLINDA AMIN said...

berusaha semampunya, hasil tak seberapa. Kurniaan Yang Esa. anda semua penilainya...

anda juga mampu sebenarnya :)

AyAm BErKoKoK said...

Ada lebih bAIknyA kiTa B'sABAR.. Terima dgn iKhlas HATI trBuka luas.. BeLajar dari kesilapan.. Teruskan meningkat pRetasi diRi..

SAY: I CAN CHANGEEEEEEEEEE IT..! (o_O)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...