• RSS

31 May 2011

Aku, Isabella dan Tok Kenali


Tajuk: Aku, Isabella dan Tok Kenali
Penulis: Bob Lokman & Riduan Mohamad Nor
Penerbit: Jundi Resources
Bilangan muka surat: 157
Harga: Sem. Malaysia RM16.00 Sabah/Sarawak RM18.00

Buku ini merakamkan kisah hidup seorang penggiat seni tanah air yang terjun ke medan dakwah sepenuhnya kini iaitu saudara Bob Lokman atau nama sebenarnya Abdul Hakim Lokman. Anak kelahiran Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan ini rupa-rupanya merupakan cicit Tok Kenali. Tok Kenali atau nama sebenarnya Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani merupakan ulama’ tersohor di nusantara pada abad ke-20 dahulu. Beliau telah berguru di Mekah dengan ramai ulama seperti Syeikh Muhammad Zain, Syeikh Muhammad Fathani dan ramai lagi.

Kisah kehidupan Bob Lokman penuh dengan warna-warni. Suka duka pahit getir beliau menempuh kehidupan jelas mematangkan dirinya. Kegelapan yang beliau pernah hadapi sebelum ini merupakan ujian dan cabaran Allah kepadanya dan kini alhamdulillah beliau kembali kepada fitrah. Kehebatan beliau dalam berpidato di bangku sekolah, keberanian dan kebolehan menjadi pengacara, dan nilai artistik sebagai penulis lirik lagu Isabella merupakan pakej lengkap beliau yang saya kira sangat berguna untuk beliau menyebarkan dakwah kepada umat yang kian parah ini.

 

 


UPSR

Selesai solat maghrib, kedengaran deruman motorsikal dari rumah sebelah. Motor Along.
“ awalnya along hantar Haziq ke tiusyen.”
Tuntas, memori 9 tahun dahulu menggamit kembali. Ketika umur saya sebaya dengan Haziq 12 tahun, abah juga melakukan perkara yang sama. Sekolah yang sama. Bezanya, abah hanya sempat menghantar saya ke tiusyen hingga awal Mac tahun itu dan abah selalu mengulang-ulang ayat ini.
“ nasib baik abah ada. Nanti kalau abah tak ada, sapa la agaknya nak hantar Linda pergi tiusyen malam-malam macam ni”
Dan saya tidak pernah sedar signal itu. Tidak terfikir langsung akan kehilangan abah ketika umur semuda itu. Al-Fatihah buat abah. Zaman anaknya sudah berlalu. Kini cucunya bakal mengukir nama di sekolah itu. Semoga berjaya Mohd Haziq Hazmi. 5A UPSR Insya Allah!

Mohd Haziq Hazmi b. Ameludin b Amin berbaju kuning

nota:
1. tarikh UPSR adalah pada 13-15 september 2011


Aku di Permusafiran (3)


23 Mei 2011
Ustazah bersiap awal. 6.30 pagi beliau sudah keluar bertolak ke sekolah tempat beliau bertugas. Maka saya juga tidak mahu melambatkan perjalanan saya untuk pulang ke Muar memandangkan saya sudah berjanji dengan bonda tersayang untuk mengejar bas pagi. Dengan bantuan Najihah, saya berjaya sampai di Terminal One, Seremban jam 8.30 pagi. Pengalaman saya selama lebih enam tahun di Negeri Sembilan membantu saya untuk tidak langsung berasa sukar untuk mencari kaunter tiket ke Muar. Kawasan terminal bas tidak banyak berubah. Dunkin’  Donuts masih di kedudukan asalnya. Gerai-gerai majalah dan makananjuga masih saya hafal tempat letaknya. Mesin ATM BSN juga masih ada. Yang bertukar hanyalah platform bas. Platform bas Muar sudah bertukar ke platform 35. Juga harga tiket. 2007, tiket ke Batu Pahat bast Transnasional hanyalah RM11.90 tetapi kini, RM15.40. Adeyh!

Sementara bas tiba pada jam 10.30 pagi, saya duduk menunggu di kerusi baru. Lebih kukuh dari yang sebelumnya. Mata memerhati keadaan di sekitar terminal. Sangat rindu. Rindu ketika 6 tahun lalu saya bermustautin di negeri ini. Daerah ini. Jujur, saya lebih familiar dengan Terminal One, Seremban berbanding Skudai Parade, Angsana dan Stesyen Bas Larkin. Sungguh!
Terlihat platform 30, mengingatkan saya ketika kami menunggu bas untuk membawa kami ke sekolah pulang daripada outing. Rindu benar untuk memakai baju batik sekolah yang berwarna biru yang juga sangat dibenci oleh ramai pelajar kerana jenis kainnya yang sukar digosok dan mudah berkedut.
Lima tahun bersekolah di SMAP Labu, setahun setengah di KMNS membiasakan diri saya dengan bas. Sangat mudah untuk saya bermusafir dengan bas.

Bas ke Muar/batu Pahat jam 10.15 sudah pun tiba. Pemandunya sudah mengarahkan penumpang untuk beratur dan duduk di tempat  asing-masing. Hati makin sayu. Entah bila lagi akan menjejakkan kaki di negeri ini. Perkebumian memori silam ini.
Permusafiran saya tamat di sini. =)

Aku di Permusafiran (2)

22 Mei 2011

Seawal 7.30 pagi kami sudah bersiap untu meneruskan lagi permusafiran. Pemilik kediaman Kak Aini Amirah dan Kak Raehan yang akan pulang ke Terengganu malamnya kami tinggalkan dengan perasaan sayu. Memandangkan masing-masing sudah menamatkan ijazah sarjana muda, ini bermakna ruang untuk kami berjumpa kembali sangat terbatas. Melainkan jika mereka berhasrat untuk menyambung master di UTM. Saling memberi nasihat agar tabah dan hati-hati dalam meneruskan langkah perjalanan yang sering didugai ombak laut yang menggila tidak ikut musim.

Perjalanan diteruskan. Kali ini bertiga. Saya masih menjadi co-pilot. Melalui Lebuhraya Lekas. Nilai tujuannya. Sekali lagi tanpa peta yang lengkap sekadar papan tanda dan gerak hati sebagai panduan. Singgah di Stesyen KTM Batang Lepas menghantar Hamizah. Pesanan yang ‘luar biasa’ sempat diberikan.
Kini tinggal kami berdua. Jam menunjukkan 9 pagi. Masih awal untuk saya dan Syuhada ke tempat perjumpaan. Lalu kami membuat keputusan untuk ke USIM bertemu sahabat di sana

“ cantiknya USIM ni.. bangunannya Islamik”
 “ha’ah la.. cantik! Memang la islamik. Kan universiti sains ISLAM malaysia.”
Syuhada mengerutkan dahi.
“ye la.. kita universiti TEKNOLOGI malaysia. Sebab tu la bangunan-bangunan fakulti kita penuh dengan unsur teknologi. Lagi pun, bangunandekat UTM kebanyakkannya bangunan lama. USIM ni baru. Sebab tu nampak lebih cantik”. Saya cuba menanamkan husnudzan di hatinya. =)
“uhuk. Terbaek!”

Kami tersenyum. Memang saya akui rekaan bangunan di USIM sangat cantik. Contohnya seperti bangunan fakulti Pengajian Al-Quran & Sunah yang mempunyai replika Al-Quran di puncak bangunannya. Sangat cantik. Pujian yang saya berikan ini bukanlah bermaksud saya menidakkan keindahan rekaan bangunan fakulti di UTM yang salah satunya menyerupai Jusco. Saya sayang UTM. =)

Selesai solat sunat dua rakaat di USIM, kami bergegas ke tempat perjumpaan. Tiba agak lewat. Sudah ramai sahabat yang menunggu. Sesi ta’aruf dimulakan. Perbincangan berlansung. Ukhuwwah sempat bertaut. Jam 3 petang semuanya selesai. Alhamdulillah. Pada mulanya saya berniat untuk segera pulang ke Muar selesai perjumpaan tersebut tapi, memandangkan saya masih belum bertemu dengan seorang insan yang wajib saya temui jika saya berkunjung ke Seremban atau Nilai, saya membatalkan niat tersebut. Alhamdulillah Najibah dan kembarnya Najihah mempelawa saya bermalam di rumah mereka bagi mempertemukan saya dengan insan tersebut.

Ustazah Nuri bt Abdul Hak adalah insan tersebut. Ummi kepada Najihah&Najibah. Ustazah saya yang mengajar saya apa itu mufrad, musanna, jamak, muzakkar, muannas, jamak taksir, mubtada’, khabar, fa’il, maf’ul dan banyak lagi ilmu dalam bahasa arab ketika tingkatan empat dan lima. Pesanan berguna yang masih saya ingat hingga kini.

“ kita ni kalau nak mahir dalam bahasa arab, kena dekatkan diri dengan Al-Quran. Insya Allah, mudah”. 

Begitu dakwahnya kepada kami sebelum memulakan kelas. Hubungan kami sangat rapat. Semakin rapat apabila saya bersahabat dengan anaknya di kolej matrikulasi. Ustazah semakin mantop. Kini sudah menjadi pengetua di Sekolah Menengah Sains Rantau Panjang. Semalaman di rumah ustazah, banyak yang kami kongsikan. Saya semakin teruja apabila mendapat tahu bapa ustazah, ustaz Abdul Hak dikenali ramai oleh penduduk Kampung Belukar Juling, Endau Mersing dan ustazah juga pernah mengajar di Masriyah, Simpang Renggam sebelum beliau mengajar di SMAP Labu.

bersama Ustazah Nuri. gambar diambil pada tahun 2008


Fakulti Pengajian Al-Quran & Sunah. Gambar ihsan Google



Aku di Permusafiran (1)

21 Mei 2011

Saya bersama tiga orang sahabat dengan lafaz bismillah memulakan permusafiran ke Negeri Sembilan.  Dengan memegang amanah sebagai co-pilot maka saya bertanggungjawab untuk memastikan pemandu NBK8505 tidak mengantuk dan kebajikannya sentiasa terjaga di sepanjang pemanduannya. Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh seluruh warga kereta.

Hampir tiga jam perjalanan melalui lebuhraya, kereta sudah memasuki daerah Bahau. Kampung Sialang tujuan sebenar. Segera saya menutup buku yang dibaca. Sengaja ingin menjamu mata dengan keindahan sawah padi yang menghijau. Tiba di satu simpang, sahabat kami sudah pun menunggu untuk membawa kami ke rumahnya. Sejuk mata memandang pemandangan di kanan dan kiri sepanjang perjalanan. Suasana kampung indah nan permai.

Sampai di rumahnya, senyuman ibu bapanya menyambut kami. Tanpa menunggu panjang, kami dijamu ketika keletihan belum pun reda. Masakan nogori sangat mantop! Tiada yang berani menolak nasi tambah. Alhamdulillah..

Usai solat jama’ qasar dan berehat sejam dua, kami meneruskan permusafiran ke Pasir Besar Gemas atau lebih spesifiknya, Palong 2. Kali ini kami berlima. Berbekalkan papan tanda yang ada kami mengambil masa satu jam untuk ke sana. Memasuki pintu gerbang kawasan felda ini, papan tanda zikrullah menghiasi kanan kiri jalan. Subhanallah… Alhamdulillah… Allahuakbar.

Kami ke sana adalah untuk menziarahi sahabat kami yang baru sahaja mengalami kemalangan di jalan raya. Pertama kali saya melawat beliau adalah ketika beliau masih tidak sedarkan diri di wad ICU, Hospital Sultanah Aminah. Kini, keadaanya alhamdulillah beransur pulih. Melihat beliau sudah gagah berjalan cukup menggembirakan kami. Mata kanannya masih bengkak. Rahangnya belum pulih sepenuhnya menyebabkan komunikasi kami agak terbatas. Begitu juga dengan tangan kanannya yang menghadapi sedikit masalah di bahagian siku hingga ke jari yang menyebabkan beliau tidak mampu menggerakkannya. Kami sangat kagum dengan kadar kesembuhannya yang agak cepat saya kira. Mungkin kerana berkat doa warga kampus yang tidak putus-putus dan semangat motivasi beliau dan ahli keluarganya untuk sembuh. Alhamdulillah.. semoga beliau segera sembuh sepenuhnya seperti sedia kala.  Hampir sejam di sana kami segera mengundur diri kembali ke Kampung Sialang, Bahau.

6.00 petang, kami berhenti di sebuah surau di tengah-tengah kampung kawasan sawah padi. Kereta diparkir. Kami keluar berjalan kaki. Menegur sapa pakcik makcik yang sedang memancing di sungai sawah. Teruja mereka apabila diberitahu asal kami daripada UTM Skudai. Sawahnya masih menghijau menandakan padi belum masak. Tenang sekali. Damai jiwa. Subhanallah.. alam yang sedang bertasbih inilah punca kedamaian yang hadir tatkala ini.

Malam itu masing-masing keletihan. Solat, makan dan menjengah buletin utama untuk mengikuti perkembangan bencana tanah runtuh yang menimpa Rumah Yatim At-Taqwa, Hulu Langat Selangor. Sempat juga kami bertazkirah seminit dua sebelum melelapkan mata. Dan saya, menghabiskan baki pembacaan Aku, Isabella dan Tok Kenali tulisan Bob Lokman dan Ustaz Riduan Mohamad Nor.        
Jalan-jalan...

Lewat ini kurasakan, kasih kian ku dambakan, resah hati yang ke pendam, pada takdir dan harapan...Ceyh..

padi yang belum masak

damai

Simpang ke rumah Suhaimi



Add caption





surau tempat NBK8505 parking. surau yang dilengkapi kemudahan wireless. semoga kariah surau menggunakannya sebaiknya


senja



pemandu yang banyak berjasa


nota:
1.  semua foto adalah daripada lensa kamera Hamizah Hashim. Jutaan terima kasih buat beliau. =)

20 May 2011

misteri Pulau Besar

Disember 1996

Mutiara-mutiara peluh sudah mula membasahi dahi. Kanak-kanak perempuan itu resah. Dia sekejap-sekejap memusingkan badan ke kanan dan ke kiri. Tidurnya terganggu kerana suhu di dalam khemah itu bukanlah suhu ideal untuk dia dibuai mimpi. Dia mengeluh. Tersedar di tengah-tengah malam begini sangat meresahkan jiwanya. Suhu yang ada menyegarkan matanya untuk tidak ngantuk.   Akhirnya dia duduk. Matanya meninjau segenap isi khemah semuanya kelihatan lena. Dia membetulkan duduknya dan mula memasang niat untuk keluar menghirup udara segar di waktu malam. Kepalanya sudah dijengukkan ke tingkap kecil khemah yang berada di atas kiri kepalanya. Sunyi. Gelap. Tangannya sudah hampir membuka zip pintu khemah.
Tiba-tiba, sayup-sayup di kejauhan dia terdengar sesuatu. Semakin lama suara itu semakin hampir. Dia bergegas menekup mukanya kembali di pembaringan. Niatnya untuk keluar dari khemah termati serta merta. Dia kaku terdiam. Mengamati suara tersebut.

Subhanallah walhamdulillah wa lailahaillallah wa allahuakbar… suara itu berulang-ulang kali. Kedengaran ia dizikirkan oleh kanak-kanak lelaki kira-kira seusianya. Dengusan nafasnya menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut sedang berlari anak. Lidahnya lancar melagukan zikir dengan bersungguh-sungguh.
Budak perempuan tadi menarik nafas lega kerana apa yang didengarinya bukanlah hilaian menakutkan sebaliknya zikir yang menenangkan. Dia khusyuk mendengar. Siapakah yang berani keluar bermain di pantai malam-malam begini? Sangat bersemangat budak lelaki itu berzikir. Semakin diamati, suara itu makin menjauh dan terus hilang. Dan matanya lena kembali.

Mei 2011

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan. Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini. Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan ajaran Islam.

Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail. 


Nota:
1.       Sangat terkilan kerana saya tidak diberi keberanian untuk meninjau rupa kanak-kanak lelaki yang berzikir sambil berlari itu
2.       Saya yakin dia bukan kanak-kanak manusia biasa.


17 May 2011

kemuncup

Cabaran dan dugaan itu lumrah. Apatah lagi jika namanya orang berjuang. Dalam laju mengayun langkah, pasti akan ada kemuncup yang cuba-cuba menduga. pantas menerkam kaki si pejuang. sekadar ingin menguji tahap keimanan. Bisa kemuncup tidaklah sebisa duri. Namun, kemuncup yang berceracak itu mencuri keselesaan yang ada. si pejuang tetap tegar. terus melangkah tanpa dihirau kemuncup yang menumpang memberatkan langkahnya. Sesekali si pejuang terpandang kemuncup di kakinya, dia tersenyum. Takjubnya, si pejuang itu tidak sekali-kali menyalahkan kemuncup itu. Dia redha. kemuncup itu tarbiyah buat dirinya. kemuncup ini perlu ada! dengus hatinya. Demi menyelamatkan umat ini.....

Sungguh aku perlukan kemuncup itu. Kemuncup itu pasti kan ku rindu..

~NBK 8505~
~2.30 pm~
~17 mei 2011~

07 May 2011

Selamat Hari Ibu, Emak!



  Entri khas untuk emak saya dalam blog ini: satu, dua, tiga, empat!


Si Blogger Kampung



Judul: Si Blogger Kampung
Penulis: Zamri Mohamad & Hafizul Hilmi
Bilangan muka surat: 198
Penerbit: PTS Professional Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM14.00 Sabah/Sarawak RM16.00
Sumber: Hadiah pemberian Kak Rohayati

Siapa sangka anak kampung tidak boleh berjaya? Siapa kata tikar mengkuang sudah tenggelam dengan permaidani dan tidak mampu menjamin kewangan yang menguntungkan?

Mulakan perniagaan blog anda dengan menjawab soalan berikut:
Siapa saya? Apakah produk saya? Bagaimana cara memesan produk saya?  Di mana saya?
          
Perkenalkan diri dan produk. Mudahkan pembeli dengan memberitahu cara pesanan dan harga. 

Kehadiran Haeqal di kampung tersebut memberi nafas baru buat Kampung Mangga, Pulau Besar Melaka. Jika dahulu kampung mangga hanya terkenal dengan Pokok Mangganya, maka kini kampung tersebut sudah terkenal dengan pelbagai perniagaan kecil. Semuanya kerana blog! 

Asyraf dan Juwaini tidak perlu lagi menjunjung tikar mengkuang yang besar ke setiap ceruk kampung bagi membantu ibu mereka menjual tikar mengkuang. Puan Jamilah tidak perlu lagi mengharapkan pembeli yang selalu mengambil kesempatan di atas kesempitan hidupnya. Semuanya bisa berubah dengan perniagaan di blog!

Perniagaan di blog satu-satunya perniagaan yang boleh dijalankan dengan senyap dan selamat. 

Nota:
1.        Latar tempat yang  digunakan, Pulau Besar mengingatkan saya pada satu kisah misteri . (next entri)
2.        Saya tak tahu kenapa, watak Juwaini dalam cerita ini, saya bayangkan ia seorang perempuan walaupun sudah ada karikatur watak di muka surat hadapan.
3.        Tahniah buat penulis !

03 May 2011

Menjadi guru pakej

Hari ini saya menerima kunjungan seorang sahabat. Sahabat yang  sebelum ini telah benyak memberi bimbingan  dan membawa saya ke medan ini hampir dua tahun yang lepas. Kedatangan ‘surprise’nya benar-benar menjadi. Memang saya rindu benar dengan naqibah saya dan Alhamdulillah Allah pertemukan kami walaupun masa yang ada amat singkat.

Saya merasa teruja. Sibuk  bertanya itu dan ini mengenai kehidupannya sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah pedalaman di Sarawak. Jelas, menurut kak Yati kehidupannya amat sukar di sana. Cabaran menghadapi murid-murid yang rosak akhlaknya, makanan halal yang sukar diperolehi, dan keseorangan membawa Islam. Dan yang paling beliau terasa diuji adalah mengenai teori dakwah yang diperolehi di kampus tidak mudah diaplikasikan di sana.

Saya terbungkam mendengar cerita beliau satu persatu. Memandangkan saya juga bakal menjadi seorang guru, pengalaman ini harus saya dalami sebagai ilmu persediaan kelak. Amat payah  jalan itu. Saya sudah mula merasa bahang kesukaran menjadi seorang guru. 

Tugas guru bukan sekadar mengajar. Malah mendidik. Atau lebih harakinya mentarbiyah.  Bermula dengan isi kandungan pelajaran yang ditekankan, akhlak juga harus dibentuk di sini. Bagi seorang daie, aqidah tunjang utama yang mesti diluruskan terlebih dahulu.  Wasilahnya tidak boleh semberono. Harus teliti dalam usaha mendekati hati pelajar. Psikologi, dan pendekatan yang digunakan bukan semestinya lembut tapi ketegasan juga penting bagi mengubah sifat jahiliyah yang ada dalam diri sesetengah anak-anak muda zaman kini dan seterusnya. Dakwah generasi i-pad memerlukan guru yang pakej. Tarbiyah, dakwah dan siasahnya harus sentiasa seimbang. Silap pertimbangan, maka lari bertempiaranlah hati mad’u yang baru mula-mula mengenal apa itu Alif, Ba, Ta.

Ditambah lagi dengan bebanan kerja-kerja pentadbiran sekolah, melayan karenah anak murid, guru-guru, kakitangan sekolah, ibu bapa malah masyarakat yang sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya pada guru. Tidak hairanlah jika baru-baru ini ada kajian yang membuktikan guru merupakan golongan paling ramai yang menghadapi penyakit psikologi. (sinonimnya, gila!) 

Saya kembali fokus kepada Kak yati.

Perkongsian demi perkongsian. Bermula dari kisah dakwah kampus, hinggalah ke hal-hal peribadi. Baitul muslim. Saya banyak mendengar. Juga mencelah sekali sekala. Saya cuba melihat  matang dalam hal ini. Masing-masing menyatakan impian dan cita-cita. Jelas pentingya institusi ini bagi menjamin keberlansungan dakwah di luar kampus. Apatah lagi yang memahami cabaran seorang guru di sekolah pedalaman. Hmm.. Apa pun jua, Insya Allah jodoh itu pasti akan datang pada saat, waktu, dan masa yang tepat pada insan yang benar-benar ikhlas.

Hampur dua jam berlalu. Masih belum puas rasanya berkongsi cerita. Orang semakin ramai di Meranti. Akhirnya masing-masing akur.  Kami sama-sama mengalirkan air mata. Entah bila lagi akan bertemu. Arked Meranti itu menjadi saksi pertemuan kami pada Julai 2009 dan juga perpisahan  kami pada 3 Mei 2011.  Saya masih ada masa dua tahun untuk persiapkan diri ke medan tempur yang sebenar. saya meminta doa agar dipermudahkan urusan di sini. Dan Kak Yati juga mohon didoakan supaya terus kekal kuat dan tabah menghadapi mehnah dan tribulasi yang sedang dihadapi. Insya Allah kak. Siiru ‘ala barokatillah..

Nota:
1.       Semua profession punyai cabaran masing-masing.
2.       Baitul muslim bukan sekadar bahan gurauan gelak ketawa.
3.       Sila ‘menjengah’ sekali-sekala alam di luar kampus. Bagi mengetahui realiti sebenar cabaran hidup.
4.       Sayangi naqibah anda supaya anda juga disayangi anak usrah anda.
5.       Saya menghantar Kak Yati hingga ke airport petang ni. (-_^)/
6.       Kak yati hadiahkan buku “Si Blogger kampung “ pada saya. Alhamdulillah.. Kebetulan BELUM  mendapatkannya.. =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...