Usaha tu tindakan sungguh-sungguh. Tindakan yang menggerakkan anggota fizikal. Tindakan yang luar biasa. Tindakan yang memerlukan keberanian mengambil risiko yang mana, natijahnya boleh jadi baik atau buruk.
Semua manusia mengaku sudah berusaha. Tapi, tak semua sedar adakah mereka sudah benar-benar berusaha atau mereka sekadar membuat perkara rutin sahaja.
Contohnya,
Izz mahu menjadi pelajar cemerlang dalam kelasnya. Hari-hari dia pergi sekolah, beri tumpuan ketika guru mengajar, dan membuat kerja sekolah. Tapi, malangnya pencapaiannya masih begitu-begitu sahaja.
Yang dikatakan usaha itu, apabila dia membuat latihan selain daripada apa yang guru beri, mengulangkaji pelajaran lebih dari biasa, dan rajin bertanya guru di luar kelas.
Dalam apa pun yang sedang kita lakukan sekarang, teruslah berusaha dengan memaknakan erti usaha itu.
Umurnya semuda 20 tahun. Tapi dunia menangis kehilangannya.
Umur saya 23. Tapi kalau saya mati saat ini, tiada apa yang perlu ditangisi. Kerana hilangnya saya bukanlah satu kehilangan buat Islam dek kerana kurangnya diri dalam menyumbang.
Ya. Saya belajar. Tapi ilmu saya untuk apa? siapa yang bakal mendapat manfaat untuk ilmu saya ini?
Ya. Saya naqibah. Tapi adakah mad'u saya memperoleh sesuatu akan apa yang saya sampaikan itu?
Ya. Saya ahli jemaah. Tapi apa yang jemaah saya dapat dengan adanya saya sebagai ahlinya?
Ahmad Ammar. Hidupnya disibukkan dengan manfaat. Himmah mencari kebenaran. Sibuk memberi bantuan.
Tapi kita hari ini, disibukkan dengan apa? Sibuk mencari kesalahan manusia. Sibuk mengejar kemewahan dunia. Hanyut dengan kelalaian.
Pengakhiran Ammar, syahid. Semadi di sisi sahabat Nabi.
Pengakhiran kita? wallahu'alam.
Motivasi husnul khatimah itu bermula dengan segala perbuatan yang diniatkan kerana Allah. Kerana itu perbezaan ibadah dengan yang bukan. Segalanya? Ya. segalanya termasuklah niat ketika membuka laptop untuk memulakan assignment.
Kerana dengan niat dan himmah yang tinggi ikhlas itu, segala yang kita lakukan hari ini, Insya Allah bermanfaat buat ummat. Doalah selalu. Allahumusta'an.
Hasil daripada keputusan peperiksaan di matrikulasi, alhamdulillah saya terpilih untuk menghadiri temuduga di USM penang untuk ijazah sarjana muda farmasi. Pelbagai persediaan saya lakukan. Meneliti beberapa jenis ubat, berlatih bercakap di hadapan cermin dan sebagainya. Walaupun ini bukan kali pertama pengalaman saya ditemuduga, namun perasaan kali ini sangat berdebar memandangkan, menjadi seorang farmasi adalah cita-cita saya semenjak SPM. Akhirnya sampai juga hari yang ditunggu, saya bertolak ke penang seorang diri dengan menaiki bas..
Yakin dan berani. Itulah yang saya rasakan ketika ditemubual oleh tiga orang panel tadi. Dengan jawapan yang saya rasakan logik dan relevan, saya yakin untuk terpilih!
Seminggu kemudian, saya perlu bersedia pula untuk menghadiri temuduga di UTHM untuk ijazah sarjana muda pendidikan. Persediaan saya, biasa-biasa saja. Kak ngah sudah 'menyumbat' pelbagai bahan bacaan kepada saya. Namun, tidak saya endahkan.
Ketika berhadapan dengan panel penemuduga pula, saya biasa saja. Sudah lah menjawab soalan dengan jawapan yang berulang-berulang akibat hilang point, muka tak yakin, gaya cakap pun sudah nampak tak bersungguh malah, ketika diminta untuk mengajar selama 10 minit, Saya katakan kepada panel, saya rasa saya tidak mampu untuk mengajar. Dan di situ juga panel tersebut memberi motivasi, "awak boleh! Ajar ja apa-apa". Kemudian, saya pun mengajar saja. entah apa-apa. Itulah perasaan ketika itu.
Akhirnya, keputusan upu keluar. Saya gagal ke USM tetapi berjaya ke UTM. Saya menangis semahu-mahunya. Impian untuk menjadi seorang pharmaciest hancuq berkecai..
Dengan iman yang sangat tipis ketika itu, berhari-hari jugalah baru saya redha. Puas emak memujuk.. Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan dosa saya ini..
Itu kisah saya 3 tahun lepas. Sekarang, saya sudah pun di tahun akhir ijazah sarjana muda sains pendidikan matematik. Mustahil jika saya masih tidak ikhlas dalam bidang ini ketika ini.
Terasa diri sangat bodoh ketika itu. Mengapalah perlu mengambil masa berhari-hari baru hendak redha dengan qada' qadar Allah. Sedangkan semestinya kita tahu Allah itu akan memberikan apa yang kita PERLU berbanding apa yang kita MAHU. Dia Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.
Saya mahukan ilmu farmasi, tapi Allah berikan ilmu menjadi seorang murobbi. Alhamdulillah. Saya berdoa untuk ilmu yang baik, tapi Allah berikan ilmu yang terbaik.
Dengan tahap tekanan kesibukan di saat ini, saya tidak pasti saya mampu atau tidak untuk menghadapinya jika saya berada dalam bidang farmasi. Dengan kesusahan subjek minor kimia yang saya ambil sekarang, saya tidak dapat bayangkan tahap kesusahan jika saya belajar kimia dalam farmasi. Fuh! Semoga Allah mempermudahkan..
Dalam sekalian hal, marilah kita berhusnu dzan kepada Allah. Dia yang Mahu Berkuasa ke atas setiap masa depan hambaNya.
Di saat kita berdoa untuk berjaya, Allah berikan kegagalan kecil agar kita terus berusaha.
Di saat kita berdoa untuk keluasan masa, Allah berikan kesempitan kecil agar kita berdisiplin menghargai masa yang ada.
Di saat kita berdoa untuk kekayaan harta, Allah berikan kesempitan wang agar kita bersyukur dan berjimat.
Dan, di saat kita berdoa untuk segera diberikan jodoh, Allah lambatkan sikit untuk memberi kita keluasan masa untuk bersedia.
Makanya, teruskanlah berusaha dan berdoa.
Dalam segenap inci kehidupan, percayalah, padanya ada hikmah!
"Ok. Saya bagi masa seminit dari sekarang fikirkan apa-apa topik yang anda semua rasa patut untuk anda kongsikan kepada semua orang." Dr Razali memberi arahan selepas memulakan kelas dengan membaca al-fatihah.
Semua pelajar tunduk. Ada juga yang tergaru-garu kepala. Masing-masing sibuk memikirkan apalah topik yang ingin dikongsikan. Pensyarah Kimia Analisis saya yang ini memang begitu. Setiap hari ada sahaja benda baru yang dilakukan dalam kelas.
"Ok. Cukup. Linda, bangun dan pilih tiga nama rakan kamu. Saya nak, awak jaga masa seminit untuk setiap orang bercakap" Dr memberi arahan kepada saya.
Saya senyum dan bangun dengan semangat. Sedikit lega kerana sekurang-kurangnya saya terlepas dari memberi perkongsian. Dengan muka sedikit 'kejam', saya pun memilih tiga nama.
Pelajar pertama berkongsi mengenai enjin kapal terbang. Pelajar kedua berkongsi mengenai sifat manusia dan pelajar terakhir berkongsi mengenai tips menghilangkan stress dengan menjaga hubungan dengan Allah.
Usai mereka memberi perkongsian, Dr membuat kesimpulan daripada aktiviti tersebut.
"Apa yang saya cuba ingin sampaikan ialah, topik perbualan kita seharian adalah menggambarkan siapa kita dan kepentingan perkara tersebut pada diri kita. Contohnya awak tengok bola malam tadi maka keesokannya topik bola sahajalah yang mengisi ruang perbincangan awak dengan orang lain. Dengan itu kita sudah boleh menilai orang tersebut menganggap isu bola adalah perkara penting dalam hidupnya dan perlu untuk dia kongsikan kepada orang lain. Oleh itu, pelajar sekalian, cuba kita tanamkan kepada diri kita bercakaplah, berkongsilah perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang lain." satu resolusi kemas daripada Dr.
Saya menganggukkan kepala dan menyebut Insya Allah dalam hati.
Benar apa yang dikatakan Dr Razali. Cuba kita muhasabah kembali. Tanyakan pada diri apakah topik yang selalu menjadi perbincangan kita sepanjang hari ini? minggu ini? bulan ini? tahun ini? sepanjang hidup ini?
Dalam tidak sedar, topik perbincangan itulah yang menunjukkan dimana prioriti isu tersebut diletakkan dalam diri kita seterusnya menggambarkan siapa kita sebenarnya. Atau dengan cara mudahnya, cukuplah dengan sekadar melihat apa yang ditulis di status facebook dan twitter kita. Macam-macam ada. Ada yang suka menulis mengenai baitul muslim, cinta, siasah, macam mana cara nak tumbangkan kerajaan, usrah, dakwah, tarbiyah,dan tidak terkecuali PSM (aduh! terasa..). Semuanya menggambarkan dengan jelas bahawa itulah kepentingan yang kita letakkan dalam hidup sekarang.
Hmmm... sama-samalah muhasabah.
Saya ada seorang sahabat yang hidupnya dari pagi hingga petang asyik cakap pasal baitul muslim sahaja. Tidak kisahlah dengan siapa pun dia berjumpa. Status di fb jangan cakaplah. Memang penuh berbunga-bunga. Katanya, baitul muslim penting bagi memastikan kesinambungan gerak kerja jema'ah.
Ada juga sahabat saya yang pagi hingga ke malam, asyik bincang pasal usrah. Tidak kisah dengan siapa dia berjumpa, mesti dia tanya pasal usrah. Katanya, Usrah tunjang tarbiyah. Tidak boleh tinggal usrah.
Hmm...macam-macam.
Samalah saya pun. Kadang-kadang entah apa-apa yang saya post di fb. Itu pun menggambarkan betapa 'entah apa-apalah" saya ni.
Oleh itu, marilah kita betulkan kembali prioriti dalam hidup kita. Letakkan kepentingan itu mengikut fiqh awlawiyat dan 'delete' semua yang lagha dan tidak berguna. maka, secara automatisnya tingkah laku dan segala isi percakapan kita mesti akan menjadi lebih bermanfaat.
sekadar coretan ringkas sebelum melelapkan mata. Rentetan daripada post di facebook sebelum ini,
"Ok kelas, nota kat papan hitam ni, memang untuk perhiasan je. tak perlu salin ye. latihan ni pun tak payah buat. tengok je. kamu mesti dah hebat kan?! dan saya mengajar di depan ni pun, kamu tak perlu dengar. anggap jelah saya tak wujud kat dalam kelas ni. Memang itu tujuan kamu semua sekolah kan?"
#agak-agak kalau cakap macam ni kat anak murid esok, apa respond mereka ye ?
Ramai yang memberikan komen yang baik serta cadangan yang bagus. Tidak kurang juga kata-kata berbentuk nasihat apa yang diperlukan sebagai seorang guru yang baru bertatih macam saya. Sengaja saya ingin mewujudkan perasaan melakolik dalam kelas. Tapi, kaedah ini belum lagi saya cuba. Saya tidak mengharap untuk menjadikan ia realiti kerana bagi saya ini adalah pilihan terakhir.
kisah di kelas hari ini, sebelum ke kelas, saya betulkan niat. Cuba untuk menjadi positif semampunya. "hari ini, aku tak nak marah dalam kelas 4 C (bukan kelas sebenar)"
Tiba waktu, saya masuk dengan wajah ceria. Cuba menyabarkan diri untuk tidak melenting apabila melihat beberapa orang pelajar masih tidur ketika salam dijawab beramai-ramai.
"Ok kelas, sebelum ni kita belajar apa?" cuba ingin melihat ingatan pelajar dalam kelas minggu lepas.
"gabungan operasi set." jawab seorang pelajar.
"Ok. Bagus! ada yang ingat. So, maknanya, kita dah habis tajuk set minggu lepas. Jadi hari ini kita masuk tajuk baru iaitu Penaakulan matematik ataupun in english we call mathematical reasoning."
sesetengah pelajar menganga.
"Ok. sekarang, perhatikan apa yang saya buat." saya mulakan tajuk baru. Saya baling pemadam papan hitam ke belakang kelas. Semua pelajar saya senyap dan menoleh ke belakang. Mungkin menjangkakan ada yang menjadi mangsa balingan. tapi sebenarnya itu sekadar balingan kosong.
"Sekarang saya nak tanya, logik atau tidak kalau saya katakan, pemadam papan hitam itu bercakap.?" saya mulakan set induksi untuk menarik minat pelajar dalam topik ini.
" logik cikgu" jawab seorang pelajar sambil tersengih-sengih ingin menduga saya barangkali. Pelajar itu saya abaikan.
" tak logik cikgu!!" majoriti daripada kelas menjawab.
"Ya bagus. sememangnya semua objek yang tidak hidup, semuanya tidak boleh bercakap. Ilmu logik inilah yang kita akan belajar dalam tajuk ini.Kita akan belajar bagaimana ingin menentukan logik dari sudut matematik." saya menerangkan sedikit lebar.
Pelajar yang tidur sudah bangun terpisat-pisat. pelajar yang lain mula membetulkan duduk dan membuka buku teks.
maka bermulalah sesi pengajaran hingga akhirnya..
Hari ini saya merasakan sangat selesa mengajar. Tiada satu pun perkara yang menyakitkan berlaku. Di celah-celah sesi pengajaran, sempat saya bertanya seorang pelajar yang selalunya 'nakal' ketika saya mengajar.
" Kenapa saya rasa kelas hari ini ok ye?" "Cuba cikgu tengok siapa yang tak datang hari ni?" jawab pelajar tersebut berwajah selamba.
"tapi saya tengok, awak pun selalu buat hal juga kalau saya mengajar bila ada mereka." saya cuba ingin melihat respondnya.
"saya kan kawan baik diorang cikgu, saya mesti layan diorang cikgu. Kalau tak, nanti ada yang terluka..." jawab pelajar itu dengan tersengih.
Adeyh.. pelajar ini sangat baik hari ini. Jelas, jiwanya sememangnya ingin belajar namun, apabila adanya pelajar 'parasit' yang menghasut untuk tidak menghiraukan saya ketika mengajar, maka dia terpaksa melayan demi 'semangat ukhuwwah yang tidak bertempat" ini.
Aduhai anak-anak muridku, cetek benar fikiran mereka. Sanggup memusnahkan diri sendiri demi persahabatan parasit ini..
Sebelum melangkah keluar, hati saya sedikit berbunga kesyukuran apabila sempat menangkap kata-kata seorang pelajar
"Giler ah.. selalunya aku tak sabar-sabar bila lah nak habis matematik. tapi hari ni, tak rasa pun macam belajar matematik. tahu-tahu dah habis kelas...."
Semoga 10 minggu yang berbaki benar-benar mentarbiyah saya untuk menjadi seorang murobbi. Ameen ya Rabb!! Mohon doanya ya.. ^_^
Alhamdulillah. Nikmat yang Allah berikan untuk saya menghirup nafas pada hari ini memaksudkan saya sudah boleh mendaftar mengundi secara rasmi. J ketika menulis ini, telefon bimbit saya selang beberapa minit berbunyi menandakan mesej masuk. Infiniti terima kasih saya ucapkan buat mereka yang tidak putus-putus mengucapkan selamat ulang tahun dan mendoakan yang baik-baik buat saya. Semoga doa tersebut Allah kembalikan kepada anda semua . Walaupun Mark Zuckerberg menjadi orang perantaraan ucapan tersebut, saya tetap menerimanya dengan hati yang senang.
Kalau kebanyakkan orang menyambut hari lahir tepat jam 12 malam, maka saya anjakkan sedikit menjadi 12.30 malam kerana saya dilahirkan ketika itu. Tiada doktor dan peralatan canggih. Sayahanya disambut oleh seorang nenek yang menjadi bidan terjun untuk menjadi bidan dan setelah itu diambil alih tugas memotong tali pusat olehjururawat yang datang lewat ke rumah. Ibu saya yang hebat ini melahirkan saya dengan selamat secara normal walaupun saya berada dalam keadaan songsang ketika dilahirkan. Alhamdulillah..
Lahirnya seorang lagi puteri bongsu yang comel ini, secara automatisnya mencabut gelaran ‘adik’ kepada abang saya. Cukuplah empat tahun dia menjadi bongsu buat sementara.
Saya menerima pendidikan formal pertama di Tabika KEMAS Parit Nawi ketika berumur lima tahun. Memakai uniform rasmi baju kurung bercorakpetak-petak empat segi kecil berwarna merah selama dua tahun.
Umur tujuh tahun, saya mendaftar di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi. Satu-satunya murid yang memakai tudung di dalam kelas itu. Hasil tarbiyah daripada keluarga mungkin.
Enam tahun bersekolah rendah, saya meneruskan lagi pengajian di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu Negeri Sembilan. Berbekalkan pengalaman yang zero berada jauh dengan keluarga, saya tegarkan hati dan kuatkan semangat untuk kekal di sana selama lima tahun. Di sana saya belajar pelbagai perkara mengenai kehidupan. Saya bukan seorang ahli badan dakwah. Bukan juga seorang Lembaga Pengawas. Mungkin itu menjadi faktor saya ‘mudah diterima’ oleh rakan-rakan sekeliling. Saya hidup dengan gaya sendiri. Di sekolah inisaya mula minat untuk membaca. Novel dan Majalah I antara yang saya tidak missed setiap kali keluar bandar hujung minggu.Saya pernah mempunyai mini walkman yang dulu dipanggil ‘transistor’ (barang yang sangat HARAM dibawa) untuk mendengar IKIM. Walaupun saya dikira nakal kerana melanggar beberapa peraturan asrama, namun saya juga antara golongan yang selalu ditolak kehadapan untuk menjadi imamah di surau puteri. (saya tidak pasti mengapa dan bagaimana mereka thiqah dengan saya). Jadi, saya bukanlah golongan ‘skema’ juga bukan golongan ‘otai’ jauh sekali golongan ‘bermasalah’ yang menyebabkan markah merit rumah sukan ditolak. Saya adalah saya. Golongan pertengahan. Erm.. mungkin.
“ awak tak nak turun dengar tazkirah? Dah cukup ke ilmu di dada?! ” Jerit seorang senior kepada seorang junior. Tegurnya macam bagus. Tapi, dia sendiri juara masbuk setiap kali solat berjema’ah.
Ya! Tarbiyah di sini memang aneh. Peraturan dan amalan yang diwajibkan hanya kepada junior. Senior? Hmm.. Hakikatnya mereka hanya ditakuti bukan dihormati.
Apa yang pasti, di sinilah saya belajar untuk faham mengapa peraturan diwujudkan, etika berpakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya kesalkan, namun ia tidak menafikan tarbiyah yang saya terima di sekolah ini.
Saya bukan golongan cerdik pandai yang selalu score dalam apa jua peperiksaan. Maka kerana itulah guru-guru tidak ramai yang kenal dengan pelajar low profile seperti saya ini. kecuali dengan Ustazah Salwa dan Ustazah Nuri guru bahasa Arab komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, Cikgu Ainah guru kimia dan Sir Phua Wee Lan guru matematik.
Tamat SPM, memasuki zaman matrikulasi. KMNS adalah pilihan pertama ketika mengisi borangnya secara online. Semua ahli keluarga sangat marah apabila saya membuka hal sebenar selepas surat tawaran diterima. Mereka mahukan saya di KMJ memandangkan kedudukannya dekat dengan kediaman saya di Muar. Tapi pada saya, jarak yang jauh antara rumah dan tempat kita menuntut ilmu adalah salah satu faktor kejayaan seseorang. Erm.. ini teori saya sendiri yang bukan hasil kajian. Antara faktor saya sengaja memilih KMNS adalah kerana ketika itu saya merasakan sangat sukar untuk saya memadamkan memori di sekolah dan memulakan hidup baru di negeri sendiri. Meraih ilmu di sini sangat menyeronokkan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sentiasa membantu dalam pelajaran. Di sini juga saya membina kembali semangat untuk belajar dengan gigih demi menebus ‘kekurangan’ dalam SPM dahulu. Alhamdulillah.. diberi pensyarah yang baik, rakan-rakan yang baik, bi’ah yang elok hasilnya Allah anugerahkan pointer yang baik. Kata-kata senior yang saya sentiasa pegang “ SPM tidak menjamin siapa kita di masa hadapan” memang benar-benar menjadi kenyataan.
Pertengahan 2009 saya bergelar mahasiswa di UTM Skudai. Idea untuk menulis perihal universiti tiba-tiba hilang dek kerana terlalu banyak yang ingin saya catatkan di sini. Makanya, cukuplah sekadar ini. Saya Norazlinda binti Hj Amin bin Hj Shamsudin seorang mahasiswa tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik. Menjadi ahli Persatuan Mahasiswa Islam secara rasmi pada tahun yang sama saya mendaftar sebagai mahasiswa dan diterima untuk menjadi salah seorang penggerak Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan. 2011 saya diberi taklifan sebagai Timbalan Pengerusi Lujnah yang sama iaitu lujnah pendidikan atau lebih saya senangi menggelarnya lujnah tarbiyah. Allah meletakkan saya di sini. Medan ini. lujnah ini.
Menangis, ketawa, senyum, sedih, suka dan duka. semuanya menjadi sebuah adunan yang bakal menghasilkan kek yang lazat. Hakikatnya ini bukan keluhan tanda kesal. Tapi sedikit lelah letih. Lelah kerana berusaha untuk memberikan yang terbaik. Terbaik buat ummat sana sehingga lupa hakikat manusia tiada yang sempurna. Suasana persekitaran pula kadang kala bertindak kejam hingga mengharamkan saya untuk lemah. “ INI TARBIYAH!!!! “ jeritnya. Ya saya redha. Lantas saya sapu tangisan yang hampir kering. Saya cuba berdiri. Alhamdulillah kekuatan dariNya saya sambut. “sudah aku katakan, Allah sebaik-baik tempat untuk mengadu” getus separuh hati.
Senyum, senyum dan terus senyum. Syukur, syukur dan syukur. Syukur kepada Allah yang memberi tarbiyah. Makanya, saya pakukan segala kekurangan lalu dan berusaha menjadikan 2011 adalah tahun bahagia buat saya dalam diari kekal ini. semoga ianya kan terus kekal membuatkan saya dan anda semua terus tabah, istiqamah dan thabat meneruskan sisa-sisa 2011 sempena ulang tahun yang ke 21 ini.
Selamat Ulang Tahun Kelahiran wahai diri.. 21 masih muda. Banyak lagi sumbangan yang kau boleh berikan buat Islam. Namun tahukah kamu bila maut bakal menjemputmu? 21 tahun mungkin menjadi umur muda mungkin juga umur tua buatmu.. Ingatlah wahai diri.. titik!
Hari ini saya menerima kunjungan seorang sahabat. Sahabat yang sebelum ini telah benyak memberi bimbingan dan membawa saya ke medan ini hampir dua tahun yang lepas. Kedatangan ‘surprise’nya benar-benar menjadi. Memang saya rindu benar dengan naqibah saya dan Alhamdulillah Allah pertemukan kami walaupun masa yang ada amat singkat.
Saya merasa teruja. Sibuk bertanya itu dan ini mengenai kehidupannya sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah pedalaman di Sarawak. Jelas, menurut kak Yati kehidupannya amat sukar di sana. Cabaran menghadapi murid-murid yang rosak akhlaknya, makanan halal yang sukar diperolehi, dan keseorangan membawa Islam. Dan yang paling beliau terasa diuji adalah mengenai teori dakwah yang diperolehi di kampus tidak mudah diaplikasikan di sana.
Saya terbungkam mendengar cerita beliau satu persatu. Memandangkan saya juga bakal menjadi seorang guru, pengalaman ini harus saya dalami sebagai ilmu persediaan kelak. Amat payah jalan itu. Saya sudah mula merasa bahang kesukaran menjadi seorang guru.
Tugas guru bukan sekadar mengajar. Malah mendidik. Atau lebih harakinya mentarbiyah. Bermula dengan isi kandungan pelajaran yang ditekankan, akhlak juga harus dibentuk di sini. Bagi seorang daie, aqidah tunjang utama yang mesti diluruskan terlebih dahulu. Wasilahnya tidak boleh semberono. Harus teliti dalam usaha mendekati hati pelajar. Psikologi, dan pendekatan yang digunakan bukan semestinya lembut tapi ketegasan juga penting bagi mengubah sifat jahiliyah yang ada dalam diri sesetengah anak-anak muda zaman kini dan seterusnya. Dakwah generasi i-pad memerlukan guru yang pakej. Tarbiyah, dakwah dan siasahnya harus sentiasa seimbang. Silap pertimbangan, maka lari bertempiaranlah hati mad’u yang baru mula-mula mengenal apa itu Alif, Ba, Ta.
Ditambah lagi dengan bebanan kerja-kerja pentadbiran sekolah, melayan karenah anak murid, guru-guru, kakitangan sekolah, ibu bapa malah masyarakat yang sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya pada guru. Tidak hairanlah jika baru-baru ini ada kajian yang membuktikan guru merupakan golongan paling ramai yang menghadapi penyakit psikologi. (sinonimnya, gila!)
Saya kembali fokus kepada Kak yati.
Perkongsian demi perkongsian. Bermula dari kisah dakwah kampus, hinggalah ke hal-hal peribadi. Baitul muslim. Saya banyak mendengar. Juga mencelah sekali sekala. Saya cuba melihat matang dalam hal ini. Masing-masing menyatakan impian dan cita-cita. Jelas pentingya institusi ini bagi menjamin keberlansungan dakwah di luar kampus. Apatah lagi yang memahami cabaran seorang guru di sekolah pedalaman. Hmm.. Apa pun jua, Insya Allah jodoh itu pasti akan datang pada saat, waktu, dan masa yang tepat pada insan yang benar-benar ikhlas.
Hampur dua jam berlalu. Masih belum puas rasanya berkongsi cerita. Orang semakin ramai di Meranti. Akhirnya masing-masing akur. Kami sama-sama mengalirkan air mata. Entah bila lagi akan bertemu. Arked Meranti itu menjadi saksi pertemuan kami pada Julai 2009 dan juga perpisahan kami pada 3 Mei 2011. Saya masih ada masa dua tahun untuk persiapkan diri ke medan tempur yang sebenar. saya meminta doa agar dipermudahkan urusan di sini. Dan Kak Yati juga mohon didoakan supaya terus kekal kuat dan tabah menghadapi mehnah dan tribulasi yang sedang dihadapi. Insya Allah kak. Siiru ‘ala barokatillah..
Nota:
1.Semua profession punyai cabaran masing-masing.
2.Baitul muslim bukan sekadar bahan gurauan gelak ketawa.
3.Sila ‘menjengah’ sekali-sekala alam di luar kampus. Bagi mengetahui realiti sebenar cabaran hidup.
4.Sayangi naqibah anda supaya anda juga disayangi anak usrah anda.
5.Saya menghantar Kak Yati hingga ke airport petang ni. (-_^)/
6.Kak yati hadiahkan buku “Si Blogger kampung “ pada saya. Alhamdulillah.. Kebetulan BELUM mendapatkannya.. =)
Motivasi pagi di IKIM : kaca mata emosi dan spiritual
Motivator memulakan bicara dengan mengajak para pendengar agar sentiasa bermotivasi. Ramai orang yang termotivasi apabila mendengar ceramah motivasi. Namun ada juga yang tidak. Perubahan harus dipupuk dan diusahakan. Bukannya dengan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
Situasi yang diutarakan , anda sedang menunggu sahabat anda yang berjanji ingin bertemu dengan anda pada jam 2 petang. Namun, rakan anda tersebut hanya datang dua jam kemudian. Bagaimanakah anda menangani situasi tersebut?
Kita boleh menangani situasi tersebut dengan tiga cara. Jika kita menanganinya dari sudut fizikal, kita mula memandang situasi tersebut secara negatif. Apabila menunggu sahabat yang tidak kunjung tiba, kita akan mula rasa marah dan malu apabila orang sekeliling melihat perbuatan kita yang tidak tentu arah jalan mundar-mandir keseorangan. Meletakkan kesalahan seratus peratus kepada sahabat yang ditunggu.
Manakala dari sudut emosi, kita mampu menenangkan keadaan. Kita mula memutikkan positif dalam diri. “tidak mengapa dia lewat. Aku boleh baca buku”. Kita membina alasan untuk menyakinkan ia membawa kebaikan bagi kita.
Dan dari sudut spiritual pula, kita melihat ia dari kaca mata ketuhanan dan rohani. Sentiasa ingat dan faham, Allah menjadikan sesuatu itu lengkap dengan hikmahnya. Meletakkan kesalahan pada sahabat yang lewat itu tadi jauh sekali. Malah kita mendoakan supaya sahabat tersebut diberi kemudahan dalam perjalanannya .
Situasi ini sering berlaku dalam diri kita. Menunggu sahabat yang lewat datang mesyuarat, ke kelas, janji temu dan sebagainya. Namun, awas! Jika kita yang ditunggu, tidak sepatutnya kita membiarkan mereka terus menunggu kerana beranggapan mereka mengaplikasi apa yang saya ceritakan sebelum ini. menepati masa itu sangat perlu. Saling menghormati masa antara satu sama lain itu satu akhlak yang paling mulia saya kira.
Jelas, kesemua perkara ini merangkumi satu istilah yang juga merupakan tahap pertama dalam ukhuwah iaitu husnu-dzan. Sentiasa husnu-dzan bererti kita Berjaya menangani setiap apa yang berlaku dari sudut emosi dan spiritual. Ia juga merupakan tunjang dalam menjaga hati.
Seorang sahabat, pernah menyatakan “ aku dah habis husnu-dzan dah ni”. Tidak sahabat. Husnu-dzan tidak pernah berakhir. Apabila kata-kata itu keluar daripada mulut kita, maka ia datang daripada nafsu yang sememangnya tidak mahu bertolak ansur padahal jika kita dasarkan ia dengan iman dan akal yang waras, kita mampu menanganinya. Sama-sama Istighfar…
Husnu-dzan dan su’u-dzan sentiasa bersaing bagi merebut piala emas dalam diri manusia. kita mampu memberi kemenangan tersebut kepada Husnu dengan iman yang ada. Namun, segera hilangkan dzan tersebut. Contohnya, ada sahabat yang selalu tidak datang meeting. Segera pergi menziarahi sahabat tersebut, berkongsi masalah, dengar keluhannya. Jangan pernah meremehkan masalah sahabat kerana tahap kebolehan kita untuk berdepan dengan sesuatu masalah adalah berbeza. Ada orang masih mampu tersenyum walaupun dia berdepan dengan test,assignment, kertas kerja program dan lain-lain yang perlu dihantar pada hari yang sama disamping dia juga mempunyai masalah kewangan yang serius hingga sanggup menghadkan jadual makannya iaitu tiga hari sekali makan nasi . Dan ada orang, hanya bergaduh dengan adik yang berumur 9 tahun sahaja boleh membuatkannya tension seperti ingin membunuh diri ( saja bagi contoh tidak logik). Pointnya disini ialah, Allah meletakkan sesuatu permasalahan itu sesuai dengan bahu pemikulnya. Lihat Al-baqarah ayat 286.
Jadi sahabat-sahabat sekalian termasuk insan yang sedang menaip ini, sama-sama lah kita memandang positif terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Juga husnu-dzan!
Wallahualam..
Semoga saya tidak tergolong dikalangan orang yang hanya ‘menulis lebat’. As-Saf: 2-3
Tiup-tiup habuk di sini sambil sapu-sapu dengan bulu ayam..
Rindunya untuk menulis. ..
Hari ini baru saya mampu menarik nafas..masa-masa yang berlalu sangat menyempit menghimpit.
Tipu la! Ni ayat apa ni? Nak kata diri kau tu sibuk? Huh! Jangan perasan la cik Linda oit! Sibuk mana lah kau tu..
Membaca entri sahabat-sahabat yang menulis mengenai bowling buat saya tersenyum dan ketawa tak kurang juga yang membuat saya sebak. Macam-macam gaya dan cara tersendiri. Isunya hanya bowling tapi ia mampu dikupas sebaiknya supaya isinya mampu mencairkan hati-hati yang kenal erti tarbiyah. Inilah kuasa Allah. Al-Hakim memberi kebijaksanaan kepada manusia supaya mampu berfikir tentang kebesaranNya.
Menjejakkan kaki ke pusat bowling adalah pengalaman kali pertama saya. Apatah lagi mahu bermain. Jauh sekali. Apabila seorang sahabat merangkap ‘bos’ mengajak kami untuk bermain bowling petang itu, aisyh! Macam-macam la terbayang dekat otak ni.
“Pergh! Sure juara longkang la aku.” Andaian pesimis mula menjengah.
Mana tidaknya, saya tak pernah main bowling!
Sampai di tempat yang dijanjikan, ramai sudah menanti. En Mat macam dah tunggu lama. Wah-wah berkobar-kobar nampak.. K.Huda, K.Fatin pun macam dah lama sampai. Eh, Kak Sah bersama zaujnya pun ada… huhu.. soalan pertama Kak Sah ketika bersalaman dengan saya,
“ Sihat? Macam mana LPK sekarang…?”…
“ macam tu la.. kita sekarang tengah rancang untuk bla..bla…bla…” balas saya ringkas. Bagus betul Kak Sah ni, walaupun dah mantan tapi masih ambil tahu pasal adik-adik dia.
K.Intan dan Hamizah sibuk di kaunter untuk menguruskan tempahan set permainan kami. Saya dengan Kak Huda sibuk merancang untuk jadi penonton setia. Hehe.. seboleh-boleh mengelak untuk bermain. Tapi apakan daya, duit sudah dibayar, nama sudah terpampang di dashboard, nak tak nak kena jugalah angkat benda bulat tiga lubang tu. Hmm.. nervous bukan main.
Tengok sahabat-sahabat lain main, relax je. Macam-macam skill ada. Tak kurang juga yang masuk longkang. Tunggu dan tunggu, sampailah giliran saya. Pergh! Bila saya angkat je bola pertama, seorang sahabat menegur,
“ Eh, jap..jap.. Tu berapa tu berat dia?”
“ Eh, Owh.. berat lain-lain ek?.. hehe” betapa jahilnya saya bab-bab bowling ni. Nak buat macam mana, dulu siapa suruh permainan bowling tak diajar masa subjek PJK di sekolah rendah…hehe logik tak alasan.
Saya pun segera menukar bola. Pilih dan pilih, dapatlah BMI bola yang sesuai iaitu 9 kg. Berjalan dengan tenang, ke arah mulut yang masih tersusun giginya yang putih.
“Siaplah kau aku nak rongakkan gigi-gigi kau. Biar bersepai menjadi debu berterbangan.. “ cheewah! Ayat hiperbola di situ. Boleh pula saya andaikan pin-pin tu macam gigi. Hmm….
Tibalah saat saya melontar bola.
“Nah! Telanlah bola ni!!!” . jerit saya tanpa suara.
Bola bergolek perlahan.. perlahan.. dan akhirnya masuklah ke longkang. Cubaan pertama masuk longkang. Muka ketat.
“oloh.. masuk longkang je…tak nak lah main lagi..” rajuk hati.
“relax la..” pujuk sahabat-sahabat.
Dan diikuti dengan lontaran-lontaran seterusnya, adalah strike satu. Dan mata yang Berjaya dikumpul hanyalah 57..
Islam itu akan sentiasa subur di hati sekiranya kita sentiasa merasakan setiap apa yang kita lakukan adalah ibadah. Bowling bukanlah permainan biasa. Ia memerlukan pemain yang sentiasa fokus dan mempunyai skill yang terbaik ketika melontar bola. Tidak kurang juga jika mereka pandai mengaplikasikan konsep fizik, tanpa skill tertentu mereka juga mampu mengumpul mata strike yang tinggi.
Hidup kita sentiasa dihadapkan dengan pilihan. Setiap hari wajib membuat pilihan. Mahu hadir usrah bersama-sama sahabat atau bergosip dengan kawan-kawan? Mahu hadir ke kuliah Al-Hikam seawal 7.30 pagi atau melayan tidur selepas subuh? Mahu hadir ke kuliah atau ponteng? Mahu hadir meeting atau sanggup mereka alasan?
Perkara pertama yang mesti dilakukan sebelum mula bermain adalah memilih kasut yang sesuai. Kalau terbesar, gabak la jawabnya. Kalau terkecil, sempit melecetlah kaki. Begitu juga dengan pemilihan bola. Ukur bola di badan sendiri. Bola tidak boleh terlalu ringan dan terlalu berat. Pastikan ia sesuai dan mampu untuk kita angkat.
Nafsu kadang-kadang lebih terkehadapan memilih daripada akal dan iman. Itulah yang bahaya! Nauzubillah..
Apabila sudah memilih bola yang sesuai, masukkan tiga jari ke ruang yang disediakan. Kenapa tiga jari? Cuba lah cari sendiri jawapannya……
Pabila bola sudah di tangan, tibalah saat untuk melontar. lontaran bukanlah semberono. Bukan sekadar lontar, dan menunggu mengharapkan bola itu strike. Bukan begitu konsep tawakal. Mengharapkan Islam itu menang bukan sekadar menunggu bergoyang kaki, leka bermain game, menonton filem yang tidak sepatutnya, dan mengharapkan orang lain buat untuk kita. Perlu ada usaha. Tumpuan sepenuhnya. Belajar daripada senior. Jangan jadikan TIDAK TAHU sebagai alasan untuk mengelak daripada bergerak kerja. Cara kita belajar bukanlah dengan sekadar menjadi pemerhati . Tapi belajar dengan mengalaminya sendiri. Pengalaman hidup adalah guru terbaik.
Sekarang cuba letakkan diri kita di tempat bola yang sedang bergolek itu.
Matlamat untuk menjatuhkan ke semua pin-pin tersebut memerlukan kita berkorban. Tubuh kita sakit dek kerana bergeser dengan lantai. Kalau si pembaling kurang mahir, bang! Bunyi bola terkena lantai. Aduh! Sakitnya… mana mungkin pin boleh jatuh tanpa bola menyentuh lantai.
Itulah perjuangan. Dalam usaha menggapai matlamat tertinggi, siapakah yang tidak pernah merasai kesakitan dan keperitan? Rasulullah dipulau di Mekah. Dibaling batu di Thaif, dibaling najis oleh musyirikin Mekah, bersembunyi di gua gelap, juga patah giginya di Uhud. Sumayyah ditikam tombak, Bilal dihempap batu. Namun Iman di dada tidak pernah malap.
Sering kali kita dengar, jalan perjuangan ini bukan mudah. Tiada karpet merah yang terhampar tapi apa yang ada hanyalah duri-duri tajam yang sedia menusuk. Maka bersedialah.
Begitu ramai pemain bowling yang bermatlamat untuk strike, namun ada juga golongan yang pelik. Mahu jadi pemain bowling tapi tidak bermatlamat sama dengan pemain yang lain. Sibuk mencari kesalahan orang tanpa sedar kesalahan sendiri. Mungkin juga ada yang menyamar sebagai pemain bowling sedangkan dia sebenarnya adalah pemain ragbi. Itulah lumrah kehidupan. Kita hanya merancang, Allah juga merancang. Rancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.
Kita juga tidak mampu untuk mengekalkan diri kita sebagai seorang Islam. Siapakah di antara kita yang menjamin keislamannya esok lusa? Apatah lagi syurga neraka? Semuanya atas kuasa Ar-Rahman & Ar- Rahim. Islamnya kita kerana Dia. Keberadaan kita di sini juga kerana Dia. Berdoalah kepada Allah. pohonlah ampunannya. Faham dan ikhlas.
Jadilah striker yang baik. Bukan menjadi striker yang sombong dan futur.
Pancang tekadmu jangan mudah mengeluh,
Pastikan azammu semakin meninggi..
Wahai pemilik hati kami, thabbit hati kami di jalan agama Mu..
sedang sibuk buat latihan Linear Algebra (juga dipanggil Los Angeles) oleh sesetengah rakan saya, tiba-tiba terfikir siapakah yang menemui dan mencipta segala teori yang tidak mudah ini.
Matemtik ialah koleksi ilmu yang dibina berdasarkan aksiom, yang mengkaji hubungan antara aspek kualitatif dengan aspek kuantitatif yang dibina secara deduktif atau induktif. Ia mempunyai beberapa cabang yang lebih kecil seperti aritmetik, mantik, geometri, astronomi, muzik dan seumpamanya
Konsep matematik dalam Islam pula merupakan ilmu yang berhubung dengan kepercayaan mengesakan Allah S.W.T. Perkataan ahad dalam surah Al-Ikhlas merupakan suatu simbol Ilmu Hisab. Dalam Islam angka pertama ialah satu (1), bukannya angka kosong atau sifar seperti yang dianuti oleh ahli fikir barat. Wujudnya satu sebagai angka awal dikaitkan dengan kewujudan Allah. Manakala pendapat angka kosong sebagai terawal adalah pendapat sekular Barat yang menafikan kewujudan Tuhan sebelum wujudnya alam.
Sesungguhnya matematik berkembang selari dengan perkembangan tamadun manusia. Tamadun besar manusia mencatatkan pencapaian gemilang dalam matematik. Tamadun Mesir menunjukkan pencapaian mendalam dalam bidang geometri. Tamadun Yunani menyelidik rahsia alam dan nombor. Tamadun Islam memperkenalkan sistem perpuluhan dalam sistem nombor moden. Tamadun Hindu melahirkan buku astronomi yang bersejarah. Tamadun China mempunyai warisan aritmetik yang bermakna. Tamadun Eropah mewarisi pelbagai budaya dan tamadun sebelumnya dalam pelbagai cabang matematik. Lalu dunia seluruhnya mewarisi sejarah silam secara silih berganti. Tiada tamadun yang terpencil dan bebas dari pengaruh tamadun sebelumnya.
Sebagaimana yang kita maklum matematik sangat diperlukan di dalam urusan seharian umat Islam seperti membeli belah, pengiraan harta pusaka dan sebagainya. Sehubungan dengan itu ramai sarjana matematik telah muncul pada abad pertengahan. Abad kesembilan dan abad kesebelas merupakan zaman keemasan dalam semua lapangan ilmu pengetahuan termasuk matematik. Dalam tempoh lebih kurang tiga abad iaitu sepanjang zaman keemasan pendidikan, telah lahir ramai sarjana Islam dalam bidang matematik. Ahli matematik Islam telah menemui beberapa penemuan baru dalam pelajaran matematik. Penemuan tersebut adalah seperti sistem nombor, sistem perpuluhan aritmetik, algebra, trigonometri, geometri dan sebagainya.
Aljabar adalah merupakan nadi kepada aritmetik dan ilmu ini membicarakan tentang cara memanipulasikan symbol-simbol dengan hukum-hukum tertentu yang berupa pengitlakan kepada aritmetik. Contohnya mengikut aritmetik, 2 + 2 + 2 = 3 x 2, 4 + 4 + 4 = 3 x 4 dan sebagainya, adalah kes-kes khusus kenyatan algebra (umum) bagi x + x + x = 3x, dan x adalah sebarang nombor.
Pengasas ilmu aljabar ialah Muhammad bin Musa al-Khwarizmi. Tokoh ini dikenali sebagai bapa sistem nombor moden. Nama beliau turut harum dalam bidang aljabar kerana beliau merupakan penulis buku aljabar yang pertama yang bertajuk Kitab al-Jabr wa al-Muqabalah dalam kurun ke-9. Buku ini ditulis untuk Khalifah al-Makmun, kandungannya berkaitan dengan masalah mencari nilai anu, samada melibatkan persamaan linear atau persamaan kudratik. Masalah mencari nilai yang tidak diketahui dalam persamaan menjadi tema utama bagi ilmu aljabar.
Tujuan aljabar diasaskan pada zaman pemerintahan al-Makmun adalah disebabkan desakan bahawa umat Islam perlu mempunyai sistem pengiraan yang teratur untuk pembahagian tanah, pengiraan zakat, wasiat, perkongsian, perniagaan dan pengukuran tanah. Masalah faraid dan wasiat menjadi perbincangan utama buku tersebut walaupun pendahuluannya melibatkan penyelesaian persamaan kuadratik secara aljabar dan geometri. Dengan ini aljabar merupakan ilmu yang dikaitkan dengan ibadat, dan atas sebab inilah, ilmu ini dikategorikan sebagai ilmu Fardhu Kifayah dalam skema ilmu Islam. Ilmu ini dipelajari di masjid dan pusat pengajian Islam sepanjang zaman kegemilangannya.
Abu Bakar al-Karaji atau lebih dikenali dengan al-Kharki (1020M) telah menulis buku aljabar yang penting iaitu Kitab al-Fakhri fi al-Jabr wa al-Muqabalah. Al-Kharki memadukan aljabar al-Khwarizmi dengan aritmetik Diofantus menerusi analisis yang teliti. Dalam karya-karya tersebut al-Kharki mengembangkan pelbagai konsep aljabar yang melibatkan pelbagai masalah yang melibatkan nombor atau geometri. Bahkan penulis sejarah beranggapan bahawa aljabar Islam mencapai kemuncaknya di tangan al-Kharki dan Samuel al-Maghribi.
Terdapat ramai lagi sarjana-sarjana Islam yang lain turut memberi sumbangan dalam mereka kaedah-kaedah untuk mencari punca persamaan kuadratik, kubik dan kuartik secara analisis dan berangka seperti Thabit Ibnu Qurra (836-911M) dan Ibnu Haitham (965-1041M). Manakala Omar Khayyam (1045-1121M) adalah antara orang yang pertama membuat penemuan teorem binomial.
Kesimpulannya, orang Islam bukan sahaja membentuk algebra yang menjadi alat yang penting dalam analisis saintifik, tetapi juga membentuk asas untuk kaedah dalam kajian percubaan moden yang menggunakan model matematik. Memandangkan al-khwarizmi adalah pengasas kajian matematik orang Islam, maka usaha-usaha orang Islam selepasnya termasuk karya-karya zaman pertengahan, kebanyakannya berasaskan kepada risalah–risalah algebra beliau. Karya-karya al-khwarizmi memainkan peranan penting dalam sejarah matematik, kerana ia merupakan salah satu punca utama bagaimana angka-angka arab dan algebra orang Islam boleh sampai ke Eropah.
Erti hidup pada memberi itu haruslah dilengkapi lagi dengan kefahaman terhadap hidup beragama. Dalam kita ikhlas memberi, kita harus sedar bahawa, agama itu berfungsi memberi makna kepada kehidupan dan memberi makna kepada tujuan.
Jika dilihat masyarakat jepun, rata-ratanya mereka sudah menguasai kesemua bidang. Apakah yang Islam boleh tawarkan kepada mereka? Adakah kita mahu mengajak mereka kepada Islam dengan menggunakan hujah Islam mengajar teknologi daripada pelbagai bidang, atau Islam juga mementingkan kebersihan, dan begitu juga dengan kepentingan masa dalam surah Al-Asr. Sungguh tidak sesuai jika kita menggunakan hujah tersebut untuk mengislamkan mereka kerana mereka sudah pun mengungguli bidang tersebut. Apakah Negara berteknologi yang paling maju? Siapakah masyarakat yang paling menepati masa dan pembersih? Siapa lagi kalau bukan masyarakat Jepun.
Namun, akhbar bertarikh 8 jun 2008 memuatkan sebuah kisah seorang lelaki telah membunuh orang ramai tanpa sebab di sebuah kawasan di jepun, Akiyabahara. Apabila ditanya apakah motif dia membunuh, jawapannya ialah “ saya sudah bosan menjadi orang baik”. Ini adalah kekurangan bagi masyarakat di sana kerana mereka membuat kebaikan tanpa tujuan.
Begitu juga dengan sebuah kelompok yang suka dengan animasi di sebuah daerah di sana, walaupun mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, namun mereka telah dikaitkan dengan pelbagai kes bunuh diri.
Golongan yang sudah duduk dalam satu keadaan merasakan sudah memiliki segala-galanya tapi tidak tahu mereka melakukan kebaikan itu untuk siapa. Begitu juga dengan hartawan dunia, Donald Trumph. Sungguh pun dia sudah mempunyai kekayaan berjuta-juta ringgit namun, akhirnya dia diceraikan isterinya dan tidak mampu mengecap kebahagiaan dengan wang ringgit.
Di sinilah Islam datang membawa makna. Islam membawa tujuan mengapa kita harus melakukan kebaikan sesama manusia. Islam membawa kebahagiaan yang tidak mungkin kita kecapi dengan harta benda, pangkat dan keluarga.
Al-Baqarah: ayat 30
Maksudnya: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Mengapa kita melakukan kebaikan? Kerana kita adalah hamba Allah. Kita adalah Khalifah!
Di IKIM pagi ini, Ust Hasrizal bercakap mengenai bagaimana ingin mengendalikan persepsi bukan berdasarkan pengalaman. beliau mengambil contoh daripada kisah Presiden Tunisia, Habib Burgiva yang menyuruh rakyatnya untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan atas alasan mereka akan mengurangkan produktiviti Negara . Persepsi ini sudah tentu wujud berdasarkan pengalaman beliau melihat rakyatnya yang beragama islam ketika berpuasa, menjadi lemah, mengantuk dan letih. Justeru, beliau khuatir hasil pengeluaran Negara akan terjejas.
Oleh itu, jangan biarkan persepsi dibentuk oleh pengalaman yang buruk .
Firman Allah dalam surah Al-Hasyr:19.
maksudnya:
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. mereka Itulah orang-orang yang fasik.
Kunci untuk mengendalikan persepsi dalam kehidupan ini ialah dengan sentiasa ingat akan hakikat kehidupan bahawasanya kita ialah hamba Allah. Barangsiapa yang lupa kepada Allah, maka mereka akan lupa pada dirinya sendiri. Dengan mendahulukan redha Allah dalam kehidupan sudah pasti pencapaian juga akan bergerak seiring dengannya.
Bagaimana ingin mendapat redha Allah? Sudah tentulah dengan sentiasa melakukan yang terbaik dalam segala hal. Apa yang terjadi pada diri kita bukanlah soalnya. Tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita cepat menyesuaikan diri dengan keadaan yang kita hadapi. Jika kita adalah orang miskin, maka jadilah seorang miskin yang sentiasa bersyukur dan qanaah. Jika kita orang kaya, maka jadilah si kaya yang pemurah. Jika kita seorang pekerja bawahan, maka jadilah pekerja yang jujur dan amanah. Pendek kata, sentiasa positif dengan apa yang dihadapi maka persepsi yang timbul kelak pasti juga positif.
*ini adalah hasil rumusan isi penting yang saya dapat daripada ceramah beliau. Ada juga yang melalui pembacaan saya yang lain.
Semoga sentiasa bermotivasi sepanjang semester baru ini…=)
dua minggu lepas, saya sering dilanda masalah ini. Semangat luntur. Punca? keletihan mungkin. tidak bermaya dalam kelas dan bersikap endah tak endah terhadap orang sekeliling. Saya sendiri risau akan apa yang berlaku pada diri saya ini. Amat bahaya jika perkara ini berlarutan. Segala gerak kerja boleh terbantut! padahal banyak lagi assigment yang perlu diselesaikan.
"Ya Allah macam mana aku ni.. jauhkanlah penat, letih. Tambahkanlah semangat ku seperti sediakala Ya Allah.." rintihan istiqamah saya dalam doa. Yakin. Allah akan perkenankan. hari demi hari saya lalui dengan rasa yang sama. tiada perubahan dalam diri. pasti! Allah menjanjikan yang terbaik kelak. Sudah pelbagai cara. Nasyid anti futur, jumpa sahabat-sahabat, buku motivasi, semuanya tidak dapat menaikkan semangat saya secara maksimum. Kerasnya hati saya..
semuanya berakhir bila...
"assalamualaikum, mak. Sihat?" "wa'alaikumsalam.. alhamdulillah sihat..dah makan?" panjang lagi perbualan saya dan emak. Dalam talian, saya mengadu sepuas-puasnya. "itu susah... ini penat.. itu pening.. ini takut.. " mak menjadi pendengar yang baik. setelah selesai anaknya berceloteh, giliran emak pula memberi respons. "mak dulu pun susah juga.. itu bergadai nyawa.. ini takut, tapi terpaksa buat juga.. " mak menceritakan kesusahan yang emak dan abah rasakan semasa membesarkan kami. Bukan tujuan emak meminta balasan atau segalanya, tapi mesej yang cuba disampaikan adalah, ujian yang saya hadapi hanyalah di 'celah gigi' jika mahu dibandingkan dengan ujian yang mereka lalui. Kepenatan yang saya rasai jauh sekali jika dibandingkan dengan kepenatan yang mereka lalui . Sayu sahaja. Bergenang air mata. Alhamdulillah, semangat ku sembuh kembali. Entah mengapa, beberapa hari kemudian, saya di datangi beberapa sahabat yang meminta ditiupkan semangat. Ish-ish. Allah memberikan saya jalan penyelesaian supaya saya saling membantu orang lain. Subhanallah. Bijaknya aturanNya.
teringat saya akan satu kata-kata keramat, saya dan sahabat saya, munirah hayati yang kini di UPM Serdang ketika kami dihimpit keperitan, "ingat, SEMANGAT BOLEH MERUNTUHKAN GUNUNG!"