• RSS
Showing posts with label PMIUTM. Show all posts
Showing posts with label PMIUTM. Show all posts

04 June 2013

Syoknya berorganisasi ^_^

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.


Rentetan daripada entri sebelum ini, saya ingin meneruskan pula dengan kisah suka duka berorganisasi. Organisasi yang saya pilih ini bukan sebarangan. Hanya sesuai untuk daie yang bersedia untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. Hanya secocok untuk daie yang sedia berkorban dan bukan untuk si pemalas. Nampak macam extreme. Tapi taklah bermakna organisasi ni tempat untuk bermuka ketat dan bermuram durja. Organisasi tempat untuk enjoy. Enjoy melakukan pahala. Enjoy melabur saham akhirat. ^^,

Usrah
Usrah itu tunjang tarbiyah. Tunjang maksudnya asas. Tanpa usrah maka, tak ada maknalah organisasi tu. PMI pun ada usrahnya yang tersendiri. Usrah kami tidak rigid. Dimulakan dengan tadabur beberapa ayat Al-Quran, tazkirah, dan mengupas satu tajuk untuk setiap pertemuan. Juga dibincangkan mengenai isu semasa. tempat? di mana-mana. Bilik, tasik, meranti, jusco, kfc, masjid, surau, library di mana sahaja. Dan kadang-kadang, orang tak perasan pun kami sedang berusrah. Daripada usrah inilah, terciptanya ukhuwah. Antara naqibah juga sahabat-sahabat seusrah. Bila rasa down, ada tempat untuk meluahkan. Bila rasa gembira, ada tempat nak berkongsi. Dalam usrah ni juga, kita banyak belajar. Belajar daripada pendapat orang. Belajar untuk islah diri jadi lebih baik. Bila buat salah, ada orang tolong betulkan. Bila terlalai, ada orang tolong ingatkan. Iyalah. kita bukan manusia sempurna yang bersih tanpa dosa.

Program
Seronoknya berprogram. Baik jadi peserta, baik jadi ajk ada keseronokan yang tersendiri. Dapat banyak sangat ilmu dan pengalaman yang tak mungkin ada dalam bilik kuliah. Tak sangka, rupa-rupanya dalam organisasi ni, semuanya ada sistem tertentu. Bukan main redah ja. Sangat sistematik.
Bak kata Saidina Ali: "Kebenaran yang tidak terancang, akan dikalahkan dengan kebatilan yang tidak terancang"

Kalau dilantik untuk jadi ajk, berani je kata ya walaupun hakikatnya ilmu ketika itu zero. Niat nak belajar, maka terima je lah. Aci redah. kalau salah, redha je lah kena tegur. Kalau lambat, redha je kena push. Mula-mula semua orang bertatih. lama-lama, baru boleh berlari. Yang penting, ada rasa nak belajar.  Kalau rasa bersalah, cepat-cepat hilangkan. Sebab, penyesalan yang berpanjangan akan lebih buat kita lemah. dan kesilapan yang dah buat, jangan nak ulang lagi.

Kalau 'dipilih' menjadi peserta, maka mestilah rasa excited. (Seriously excited? hehe). Yalah. Sebab, masa ni jelah kita nak bersama-sama dengan sahabat-sahabat. Niat pergi program kena betul. Sedia untuk ditarbiyah. Walau seretorik mana pun program tu, cubalah ikhlaskan diri. Sekurang-kurangnya, hargailah usaha AJK yang dah plan macam-macam untuk program tu dan duit yang dah dilaburkan.

Mesyuarat.
Tak tahu kenapa, orang lebih suka sebut meeting. Bukan mesyuarat. Atau syura. Apa-apa jelah. Masa meeting tak tentu. Yang pasti, tak mengganggu waktu kuliah dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat. Masa inilah nak bincang masalah, rangka strategi dan perbaiki kesilapan. Seni mendengar pendapat orang, belajar untuk menyuarakan pendapat, berlapang dada jika idea ditolak, dan yang penting tiada cakap-cakap belakang, tiada terasa hati. Semuanya all-out dalam meeting. Walau seteruk mana pun kena hentam, habis meeting, semuanya seperti tak ada apa-apa berlaku. Fikir keutamaan organisasi lebih penting daripada perasaan.  Dan dulu-dulu, PMI juga pernah digelar Persatuan Meeting Istiqamah. Mana taknya, meeting sokmo. Nak buat macam mana, agenda dakwah kampus ni bukan kerja mudah. Kan?

Ukhuwah
Bab ukhuwah memang tak boleh nak ceritalah. Banyak sangat. Ada orang kata, sahabat ni adalah untuk disusahkan. Tapi, berpada jugalah. Jangan sampai melampau hingga menafikan haknya.  Liqa' sana sini. makan sana sini. Riadah sana sini. Musafir sana sini. Mengidam je nak makan ayam penyek, berderet datang nak bantu menyempurnakan hajat. Perlukan kenderaan untuk bergerak, helo je, terus ada depan mata.(Dikesempatan ini, saya ingin  mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Makcik JaNah dan NaeBaK yang banyak membantu saya dalam pelbagai urusan sepanjang di UTM. Daripada urusan peribadi hinggalah urusan organisasi. Owh ya. Juga buat WakJaN. Terima kasih ya!). Tapi, yang penting, dalam persahabatan, kita kena niat untuk memberi sebanyak-banyaknya. Bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.

Marah. Ada dua jenis perasaan kalau kita marah. satu, sebab benci. dua, sebab sayang. Ya. Sayang pada organisasi, sebab tu marah. Benci? minta dijauhkan.

Tegur. Tegur ada dua situasi. Satu, secara peribadi. Dua. dihadapan khalayak umum. Tegur secara peribadi ialah kesalahan yang memberi kesan buruk kepada dirinya sahaja. Maka, teguran ini biasanya dilakukan dengan bisikan di telinga. Tegur di hadapan khalayak umum ialah berkaitan perkara  yang boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai dan keseluruhan organisasi. Maka, semua ahli harus tahu "whats gonna happend here". Bukan tujuan untuk memalukan. Tapi untuk membetulkan. Waima yang menegur dan ditegur, perlu ada rasa ikhlas dan kasih. Bukan berlagak bagus.

Bukankah Allah sudah berfirman:


ÎŽóÇyèø9$#ur ÇÊÈ   ¨bÎ) z`»|¡SM}$# Å"s9 AŽô£äz ÇËÈ   žwÎ) tûïÏ%©!$# (#qãZtB#uä (#qè=ÏJtãur ÏM»ysÎ=»¢Á9$# (#öq|¹#uqs?ur Èd,ysø9$$Î/ (#öq|¹#uqs?ur ÎŽö9¢Á9$$Î/ ÇÌÈ  

Maksudnya: Demi Masa!.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.


Tiba-tiba jadi serius.

Ok. kembalikan mood ceria.. :D

Pendek kata, organisasi ni tempat untuk kita belajar dan berkerja. Tempat untuk senyum selebarnya bukan bermuram durja. Tempat untuk.. ermm banyak lagilah. Nak tahu? kena joinlah organisasi..:) 

Mohon ampun salah silap.

Orang tua, banyak cakap.

Wallahu'alam.






   


  

14 October 2011

Kem Kembara Muslim '11 ; Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan kurniaan limpah rahmatNYA dapatlah program tahunan anjuran Persatuan Mahasiswa iaitu Kem Kembara Muslim (KKM’11)  diadakan pada 7-9 Oktober yang lalu bertempat di Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang Johor.

Seramai 28 orang mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM’11 kali ini. Walaupun begitu, ramai juga mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI berasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti kem ini kerana terlibat dengan program di kolej dan tidak kurang juga yang terpaksa menghadiri program di fakulti masing-masing.

KKM pada tahun ini bertemakan “Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani” tampil dengan modul pengisian yang menarik dan bersifat membina keyakinan diri  di samping aktiviti outdoor yang begitu mencabar mental dan fizikal para peserta.

Berikut adalah kronologi aktiviti yang telah dilakukan sepanjang KKM’11:

7 Oktober 2011 (hari pertama)

Semua peserta dan ajk KKM’11 telah berkumpul  di perhentian bas FAB pada jam 5.30 petang untuk menunggu bas yang bakal membawa kami ke Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang. Disebabkan terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi, perjalanan mengambil masa sedikit panjang daripada perancangan asalnya. Namun, ini semua tidak sedikit pun mematahkan semangat dan kesungguhan peserta yang sentiasa menunjukkan sikap postif. Kami tiba di rumah penginapan kira-kira jam 9.30 malam dan segera menunaikan solat isya’ dan maghrib secara jamak dan qasar. Seterusnya, peserta dihidangkan dengan pengisian Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Muhajirih dengan tajuknya “Penghayatan Budaya Ilmu”. Penceramah menggunakan pendekatan yang ringan dan lebih realistik sebagai seorang mahasiswa. Mereka juga dibius dengan semangat supaya tidak merasa kecewa dengan bilangan peserta yang sikit kerana apa yang lebih bermakna bukanlah pada kuantiti tetapi pada kualiti.

Usai minum malam, peserta kembali segar. Dengan itu, ia memudahkan lagi perlaksanaan modul pertama iaitu Ice Breaking. Modul yang dikendalikan oleh saudari Noor Hamizah disambut ceria oleh peserta. Perlaksanaannya sangat mudah. Peserta diminta berkumpul mengikut bulan kelahiran, saiz kasut dan hobi yang sama. Kemudian mereka diminta untuk mengingat nama semua ahli kumpulan setiap kategori tadi. Seterusnya, peserta diberikan satu kertas dan diminta untuk melukis wajah diri sendiri. pelbagai reaksi peserta yang mencuit hati dapat dilihat. Semuanya melukis dengan gembira. Kemudian, mereka membaling lukisan di tengah-tengah bulatan dan mengambilnya semula secara rawak dan meneka siapakah kepunyaan lukisan yang mereka dapat. Modul ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan untuk kita mengenal diri sendiri dan Pencipta.

 8 Oktober 2011 (hari kedua)

Seawal 5.00 pagi semua ajk dan peserta telah bangun untuk qiamulail dan solat subuh secara berjemaah. Selepas bacaan Al-Ma’thurat, peserta diberikan sedikit pengisian jiwa. Tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudara Mohd Khairul b Abdullah Halim yang bertajuk Islam vs Jahiliyah benar-benar memberi kesan kepada para peserta. Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam pada sesi 2009/2010 ini juga banyak memberi input-input baru yang berguna.

Usai sarapan dan membersihkan diri, saudari Norazlinda menjalankan penyelarasan kuliah yang bertajuk “Penghayatan Budaya Ilmu”. Objektif utama penyelarasan ini adalah untuk memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta mengenai tajuk tersebut. Slot ini dimulakan dengan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang semuanya. Mereka diarahkan untuk mereka nama syarikat akhbar dan menghasilkan akhbar tersendiri berdasarkan tema isu semasa, sukan, artis dan hiburan dan sirah Rasulullah saw. Masing-masing diberikan tugas sebagai editor, penulis, pereka grafik, kartunis dan pembaca berita. Alhamdulillah para peserta nampaknya dapat memahami objektif yang ingin disampaikan adalah pengetahuan mengenai Sirah baginda seharusnya lebih banyak berbanding tiga tema yang lain.

Setelah diberi masa untuk solat sunat dhuha dan minum pagi, Ustaz Aminudin Hehsan telah memberikan kuliah kedua yang bertajuk “Aqidah Islam dan Cabaran Semasa”. Para peserta khusyuk mendengar kuliah tersebut memandangkan Ustaz banyak menggunakan gambar dan video untuk menarik perhatian peserta.
Slot seterusnya dikendalikan oleh saudara Muhammad Hazim. Peserta ditayangkan dengan satu video mengenai masalah keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Kemudian, peserta diminta untuk memikirkan apakah permasalahan yang dapat dikesan di dalam video tersebut dan cara menyelesaikan masalah tersebut. Percambahan idea dan pengetahuan peserta dapat dikesan melalui sesi pembentangan selepas solat jamak zohor dan asar.



Walaupun hujan turun dengan lebat dan menyebabkan suasana hingar, namun ia tidak sedikit pun menganggu  saudari Noor Hamizah untuk mengendalikan modul seterusnya yang dinamakan “Akulah yang Betul”. Para peserta masih duduk dalam berkumpulan tetapi ahli yang berlainan.   

Usai solat maghrib dan isyak secara berjema’ah Saudara Mohd Zaki b Haron selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam sesi 2010/2011 menyampaikan tazkirah yang bertajuk isu-isu semasa di dalam kampus. Beliau berpesan supaya menjadi lebih cakna akan permasalahan yang berlaku di sekitar kampus. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa bersama-sama membantu untuk membendung dan memperbaiki keadaaan ini.

Seterusnya, saudara Muhammad Hazim pula mengambil alih dengan meneruskan modul yang diberi nama “ Siapa paling cantik?” di sini, peserta diminta untuk membincangkan mengenai adab berpakaian dan akhlak yang cantik sebagai seorang Islam. Dapat dilihat, para peserta mengambil kesempatan sebaiknya dengan berbincang dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai sesuatu hukum berpakaian.

Sebelum melelapkan mata, sesi sharing moment diadakan. Di sini, peserta diberi ruang untuk berkongsi masalah, rasa, perasaan dan pendapat bersama-sama ajk. Para ajk juga banyak memberikan kata-kata semangat dan suntikan motivasi daripada ayat-ayat hiburan daripada Al-Quran.

9 Oktober 2011 (hari ketiga)

Selesai solat subuh berjemaah, tazkirah pass baton diadakan. Sekali lagi peserta diuji mengenai ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa. Kebanyakkan peserta sudah bertambah yakin dalam penyampaian dan isi yang disampaikan menunjukkan kematangan dan cakna mereka terhadap isu di persekitaran mereka, samaada di dalam atau luar kampus .

Hari ini merupakan hari yang mencabar buat para peserta. Pukul 9.00 pagi, semua peserta berkumpul dan bersiap sedia untuk melakukan aktiviti “rempuh halangan” yang diketuai oleh saudara Ahmad Syazwan  selaku Pengerusi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMI. Terdapat lima halangan yang mesti peserta tempuhi kesemuanya termasuk flying fox. halangan-halangan ini bukan sahaja berbentuk latihan fizikal malah ada juga halangan yang memerlukan strategi dan kaedah tertentu bagi melepasinya. Di sinilah kemahiran berfikir para peserta digunakan sepenuhnya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menempuhi kesemua halangan.







 Aktiviti ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Selepas melepaskan penat, membersihkan diri, mengisi perut dan solat, sampailah kepada slot terakhir iaitu resolusi dan majlis penutup. Hasil daripada perbincangan dan perkonsian pendapat sesama peserta, mereka telah bersepakat untuk mewujudkan Generasi-3 (Gen-3) yang mana ianya adalah merupakan sistem batch yang diperkenalkan pada tahun lepas iaitu sejak KKM ’09. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta Kem Kembara Muslim yang dianjurkan oleh Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Selain itu,mereka juga berfungsi sebagai penggerak dalam menjayakan program-program PMIUTM akan datang.


Seterusnya adalah majlis penutup. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh penghulu merangkap  Pengerusi Gen-3, saudara Mohd Asyraf, Pengarah Program KKM ’11 saudara Mohd Hafiz Latif. Majlis disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, saudara Mohd Zaki b Haron. Kira-kira jam 3.00 petang, kesemua peserta dan ajk meninggalkan tapak program menaiki bas yang disediakan. Diharap kesemua peserta memperoleh banyak ilmu bagi menjalani kehidupan sebagai individu muslim daripada kem ini. 


   

.::KKM '11::.

.::KKM '10::.


.::KKM '09::.



.::KKM '08::.

10 June 2011

Rejab Bulan Persediaan

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa."                                                                                                                       (At-Taubah:36)

Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.


Peristiwa penting dalam bulan Rejab
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;


Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.


 Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.


 Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.


Salah faham bulan Rejab
Orang-orang Arab zaman Jahiliyah mengagung-agungkan bulan Rejab ini dan mereka menamakannya bulan Al-Ashamm, bulan yang pekak, kerana bulan ini tiada kedengaran jeritan, tangisan, pertempuran dan bunyi senjata bertarung dalam peperangan kerana bulan Rejab adalah bulan damai, bulan diharamkan peperangan.
Setelah kedatangan Islam sisa-sisa Jahiliyah itu (mengagung-agungkan bulan Rejab) masih lagi berkekalan apalagi kerana Israk Mikraj Rasulullah saw berlaku pada bulan ini. Para bid’ah lalu mengambil kesempatan ini untuk membuat hadith-hadith palsu yang menyatakan keutamaan-keutamaan bulan ini dan kemudian lahirlah beberapa jenis ibadat yang tidak disunnahkan oleh Rasulullah saw dan tidak pula dilakukan oleh para sahabat dan golongan Salaf.

Al-Hafiz Ibnu hajar Al-‘Asqalani berkata:
“tidak ada hadith sahih yang dapat dijadikan hujah mengenai keutamaan bulan Rejab, mengenai puasanya, mengenai hari yang khusus untuk berpuasa dan tidak ada malam khusus untuk bersolat padanya”

Asy-Syaukani menukilkan pendapat Ali bin Ibrahim Al-Aththar yang berkata dalam sebuah risalahnya: Bahawa apa yang diriwayatkan orang mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ belaka, dan dha’if.

Sebahagian ulama menyatakan kelebihan-kelebihan amalan zikir, solat dan puasa pada bilangan hari tertentu dalam bulan Rejab adalah berlawanan dengan Syara’ dari beberapa segi.

Antaranya ialah:
1.      mengkhususkan malam Jumaat dengan qiamulail dilarang oleh Hadith Shahih
2.      menyebutkan pahalanya yang berlebih-lebihan untuk menggalakkan orang-orang supaya memberikan perhatian kepadanya, terutamanya bagi orang-orang yang cuai menunaikan solat fardhu, menggalakkan mereka untuk mencuaikan pelaksanaan solat-solat fardhu.


Tingkatkan amalan di bulan Rejab sebelum sampai bulan Ramadhan
Terdapat pelbagai perselisihan pendapat mengenai amalan dan ganjaran untuk bulan Rejab ini. Namun, sebagai umat Islam kita boleh melakukan amalan-amalan sunat seperti yang dilakukan ketika di dalam bulan-bulan lain sebagai persediaan kepada rohani dan fizikal untuk menghadapi Ramadhan Al-Mubarak kelak.
Antaranya ialah:

1.      Berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;


Maksudnya ;
Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."

2.                          Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini                              berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;


Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"

3.      Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih  dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang  bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."


4.       Membaca Salawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Antara mafhumnya:” Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan barang siapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid”. [Riwayat At-tabrani

5.     Bertaubat.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Tahrim ayat 8:

8. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

6.     Berdoa.

Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.

Maksudnya ;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(Zalzalah: 7-8)


sumber:laman blog rasmi Persatuan Mahasiswa Islam UTM



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...