• RSS

14 October 2011

Kem Kembara Muslim '11 ; Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan kurniaan limpah rahmatNYA dapatlah program tahunan anjuran Persatuan Mahasiswa iaitu Kem Kembara Muslim (KKM’11)  diadakan pada 7-9 Oktober yang lalu bertempat di Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang Johor.

Seramai 28 orang mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM’11 kali ini. Walaupun begitu, ramai juga mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI berasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti kem ini kerana terlibat dengan program di kolej dan tidak kurang juga yang terpaksa menghadiri program di fakulti masing-masing.

KKM pada tahun ini bertemakan “Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani” tampil dengan modul pengisian yang menarik dan bersifat membina keyakinan diri  di samping aktiviti outdoor yang begitu mencabar mental dan fizikal para peserta.

Berikut adalah kronologi aktiviti yang telah dilakukan sepanjang KKM’11:

7 Oktober 2011 (hari pertama)

Semua peserta dan ajk KKM’11 telah berkumpul  di perhentian bas FAB pada jam 5.30 petang untuk menunggu bas yang bakal membawa kami ke Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang. Disebabkan terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi, perjalanan mengambil masa sedikit panjang daripada perancangan asalnya. Namun, ini semua tidak sedikit pun mematahkan semangat dan kesungguhan peserta yang sentiasa menunjukkan sikap postif. Kami tiba di rumah penginapan kira-kira jam 9.30 malam dan segera menunaikan solat isya’ dan maghrib secara jamak dan qasar. Seterusnya, peserta dihidangkan dengan pengisian Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Muhajirih dengan tajuknya “Penghayatan Budaya Ilmu”. Penceramah menggunakan pendekatan yang ringan dan lebih realistik sebagai seorang mahasiswa. Mereka juga dibius dengan semangat supaya tidak merasa kecewa dengan bilangan peserta yang sikit kerana apa yang lebih bermakna bukanlah pada kuantiti tetapi pada kualiti.

Usai minum malam, peserta kembali segar. Dengan itu, ia memudahkan lagi perlaksanaan modul pertama iaitu Ice Breaking. Modul yang dikendalikan oleh saudari Noor Hamizah disambut ceria oleh peserta. Perlaksanaannya sangat mudah. Peserta diminta berkumpul mengikut bulan kelahiran, saiz kasut dan hobi yang sama. Kemudian mereka diminta untuk mengingat nama semua ahli kumpulan setiap kategori tadi. Seterusnya, peserta diberikan satu kertas dan diminta untuk melukis wajah diri sendiri. pelbagai reaksi peserta yang mencuit hati dapat dilihat. Semuanya melukis dengan gembira. Kemudian, mereka membaling lukisan di tengah-tengah bulatan dan mengambilnya semula secara rawak dan meneka siapakah kepunyaan lukisan yang mereka dapat. Modul ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan untuk kita mengenal diri sendiri dan Pencipta.

 8 Oktober 2011 (hari kedua)

Seawal 5.00 pagi semua ajk dan peserta telah bangun untuk qiamulail dan solat subuh secara berjemaah. Selepas bacaan Al-Ma’thurat, peserta diberikan sedikit pengisian jiwa. Tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudara Mohd Khairul b Abdullah Halim yang bertajuk Islam vs Jahiliyah benar-benar memberi kesan kepada para peserta. Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam pada sesi 2009/2010 ini juga banyak memberi input-input baru yang berguna.

Usai sarapan dan membersihkan diri, saudari Norazlinda menjalankan penyelarasan kuliah yang bertajuk “Penghayatan Budaya Ilmu”. Objektif utama penyelarasan ini adalah untuk memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta mengenai tajuk tersebut. Slot ini dimulakan dengan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang semuanya. Mereka diarahkan untuk mereka nama syarikat akhbar dan menghasilkan akhbar tersendiri berdasarkan tema isu semasa, sukan, artis dan hiburan dan sirah Rasulullah saw. Masing-masing diberikan tugas sebagai editor, penulis, pereka grafik, kartunis dan pembaca berita. Alhamdulillah para peserta nampaknya dapat memahami objektif yang ingin disampaikan adalah pengetahuan mengenai Sirah baginda seharusnya lebih banyak berbanding tiga tema yang lain.

Setelah diberi masa untuk solat sunat dhuha dan minum pagi, Ustaz Aminudin Hehsan telah memberikan kuliah kedua yang bertajuk “Aqidah Islam dan Cabaran Semasa”. Para peserta khusyuk mendengar kuliah tersebut memandangkan Ustaz banyak menggunakan gambar dan video untuk menarik perhatian peserta.
Slot seterusnya dikendalikan oleh saudara Muhammad Hazim. Peserta ditayangkan dengan satu video mengenai masalah keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Kemudian, peserta diminta untuk memikirkan apakah permasalahan yang dapat dikesan di dalam video tersebut dan cara menyelesaikan masalah tersebut. Percambahan idea dan pengetahuan peserta dapat dikesan melalui sesi pembentangan selepas solat jamak zohor dan asar.



Walaupun hujan turun dengan lebat dan menyebabkan suasana hingar, namun ia tidak sedikit pun menganggu  saudari Noor Hamizah untuk mengendalikan modul seterusnya yang dinamakan “Akulah yang Betul”. Para peserta masih duduk dalam berkumpulan tetapi ahli yang berlainan.   

Usai solat maghrib dan isyak secara berjema’ah Saudara Mohd Zaki b Haron selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam sesi 2010/2011 menyampaikan tazkirah yang bertajuk isu-isu semasa di dalam kampus. Beliau berpesan supaya menjadi lebih cakna akan permasalahan yang berlaku di sekitar kampus. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa bersama-sama membantu untuk membendung dan memperbaiki keadaaan ini.

Seterusnya, saudara Muhammad Hazim pula mengambil alih dengan meneruskan modul yang diberi nama “ Siapa paling cantik?” di sini, peserta diminta untuk membincangkan mengenai adab berpakaian dan akhlak yang cantik sebagai seorang Islam. Dapat dilihat, para peserta mengambil kesempatan sebaiknya dengan berbincang dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai sesuatu hukum berpakaian.

Sebelum melelapkan mata, sesi sharing moment diadakan. Di sini, peserta diberi ruang untuk berkongsi masalah, rasa, perasaan dan pendapat bersama-sama ajk. Para ajk juga banyak memberikan kata-kata semangat dan suntikan motivasi daripada ayat-ayat hiburan daripada Al-Quran.

9 Oktober 2011 (hari ketiga)

Selesai solat subuh berjemaah, tazkirah pass baton diadakan. Sekali lagi peserta diuji mengenai ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa. Kebanyakkan peserta sudah bertambah yakin dalam penyampaian dan isi yang disampaikan menunjukkan kematangan dan cakna mereka terhadap isu di persekitaran mereka, samaada di dalam atau luar kampus .

Hari ini merupakan hari yang mencabar buat para peserta. Pukul 9.00 pagi, semua peserta berkumpul dan bersiap sedia untuk melakukan aktiviti “rempuh halangan” yang diketuai oleh saudara Ahmad Syazwan  selaku Pengerusi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMI. Terdapat lima halangan yang mesti peserta tempuhi kesemuanya termasuk flying fox. halangan-halangan ini bukan sahaja berbentuk latihan fizikal malah ada juga halangan yang memerlukan strategi dan kaedah tertentu bagi melepasinya. Di sinilah kemahiran berfikir para peserta digunakan sepenuhnya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menempuhi kesemua halangan.







 Aktiviti ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Selepas melepaskan penat, membersihkan diri, mengisi perut dan solat, sampailah kepada slot terakhir iaitu resolusi dan majlis penutup. Hasil daripada perbincangan dan perkonsian pendapat sesama peserta, mereka telah bersepakat untuk mewujudkan Generasi-3 (Gen-3) yang mana ianya adalah merupakan sistem batch yang diperkenalkan pada tahun lepas iaitu sejak KKM ’09. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta Kem Kembara Muslim yang dianjurkan oleh Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Selain itu,mereka juga berfungsi sebagai penggerak dalam menjayakan program-program PMIUTM akan datang.


Seterusnya adalah majlis penutup. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh penghulu merangkap  Pengerusi Gen-3, saudara Mohd Asyraf, Pengarah Program KKM ’11 saudara Mohd Hafiz Latif. Majlis disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, saudara Mohd Zaki b Haron. Kira-kira jam 3.00 petang, kesemua peserta dan ajk meninggalkan tapak program menaiki bas yang disediakan. Diharap kesemua peserta memperoleh banyak ilmu bagi menjalani kehidupan sebagai individu muslim daripada kem ini. 


   

.::KKM '11::.

.::KKM '10::.


.::KKM '09::.



.::KKM '08::.

1 comments:

Unknown said...

kak.. baru tau tajuk nya "Akulah yg betul"... x pikir pun tajuk ap, hanya terus laksanakn shj.. terima kasih utk semua yg terlibat scr langsung mhupun d blkg tabir.. sesungguhnya sumbangan dan doa kalian membantu gerak kerja kita semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...