• RSS
Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

08 September 2013

..............................




#Terjumpa keratan akhbar ni masa kemas-kemas buku cuti tempoh hari..
Al-Fatihah buat Allahyarham ayahanda Hj Amin b. Hj Shamsudin..

29 August 2013

Syawal. Perlu ke sedih?


Syawal biasanya disambut dengan mood sedih. Iklan-iklan di tv selalunya menceritakan anak-anak tak balik raya, anak perantauan raya bersendirian, dan lain-lain. Ditambah pula lagu-lagu raya bernada melankolik yang mampu membuatkan manusia menangis mendengarnya.

Sungguh pun sedih, manusia masih mampu terlompat-lompat merayakan syawal yang Allah telah anugerahkan. Buktinya, lagu anugerah syawal di media prima.

Dua emosi jelas bertentangan. Manusia mampu sedih dan gembira dalam syawal. Apa yang membezakan kedua emosi itu ialah nilai. Sejauh mana manusia menjadikan kedua-duanya bernilai dalam hidup. Sedih dan gembira yang bukan kerana hasil tarbiyah media. Tapi hasil tarbiyah ramadhan. Semoga Allah redha!

Raya 1993

Raya 1998

Raya 2001

Raya 2008

Raya 2009

Raya 2010

Raya 2011. abang andak tunang. 

2012 tak sempat nak ambil gambar sama-sama. sibuk buat persiapan walimah abang

Raya 2013. abang andak tak terer tangkap gambo.



10 June 2013

Belajar bercinta dengan emak #2


Ikan sudah siap dilumur dengan kunyit dan garam. Kunyit tak boleh lebih nanti pahit. Garam pun hanya beberapa cubit cukup buat syarat sebab, emak pantang terasa masin di lidahnya. Api masih suam belum cukup haba untuk menggoreng ikan. Emak pula membuka periuk nasi memeriksa samada nasi sudah betul-betul 'tanek' (bahasa jawa.maksudnya masak).Mesti emak dah lapar.

Saya menyambung lagi perbualan yang sengaja saya 'larikan' ke dapur pula..

"Emak tak pernah suka kat sape-sape ke sebelum bertunang?" saya bertanya.

"Hmmmm...Pernah."jawab emak.

"Sape orangnya emak?" saya teruja untuk tahu.

"Alah..kalau cakap pun bukan kenal.."

"Oloh..."

"Dia dah kahwin, dah ada anak dah.. hidup bahagia.. Macam kita.." emak jawab dengan senyuman.

saya senyum. "Ooh.. habis tu dulu mak tak frust ke?"

"Mula-mula memang la frust bila atok dulu terima pinangan abah tanpa dapat persetujuan penuh emak. Nangis juga la. Tak keluar bilik juga la sebab nak mogok. Tapi sampai bila? lapar kena keluar jugak..hehe.."

"haha..lawak-lawak" saya ketawa.

"Tapi mak.. soal perasaan macam mana pulak". saya tanya kembali emak dengan soalan panas.

"Alah..sampai bila nak bersedih dengan jodoh yang bukan milik kita. Alhamdulillah emak masih ingat Allah. Dan emak faham, apa tanggungjawab emak sebagai seorang isteri. jadi, lupakan je lah. Tak semestinya orang yang kita suka tu adalah jodoh kita. Dan tak semestinya orang yang kita selalu gaduh dan tak suka tu, bukan jodoh kita."

Emak menyambung lagi. "Mak ingat lagi dulu, sebelum kahwin,  abah selalu ejek mak lonjong. Emak selalu kata abah hitam. Setiap kali terjuma dekat sekolah, emak siram air kat abah dan macam-macam lagi lah. Dah namanya tak suka kan. huhu. Bila ingat balik, kesian abah.."

#Al-Fatihah untuk abah.





05 June 2013

Belajar bercinta dengan emak

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.


Ini cerita dulu-dulu..


Selesai solat maghrib bersama emak, sengaja merehatkan diri di sebelahnya. Telekung yang dipakai sengaja tidak dibuka. Rasa selesa begitu. Saya pandang wajah emak lama. Mulut emak masih terkumat-kamit berzikir. Terpejam-pejam mata emak untuk menghayati. Terganggu mungkin melihat anaknya memandangnya. 

"Alhamdulillah.." Emak mengakhiri zikir.
 "Kenapa?" Emak terus bertanya. Macam tahu-tahu saja anaknya ini nak tanya sesuatu.
"Tak ada apa..." saya menjawab.
"Eleyh. nak cakap apa..? beritahu je lah.." emak memprovok halus.

Saya masih berkira-kira patutkah soalan ini saya tanya..

"Macam mana emak boleh paksa diri untuk cinta abah, sedangkan sebelum emak bertunang, emak tak suka dekat abah? Emak tak rasa emak dinafikan hak untuk bercinta ke?"akhirnya soalan itu, terkeluar juga. Saya melarikan pandangan daripada melihat wajah emak. takut emak terasa dengan pertanyaan ini.

Dengan pantasnya emak menjawab "Lepas emak tengok kesungguhan abah. Tempoh tiga tahun bertunang yang emak letakkan dulu, abah tambah lagi dua tahun sebab nak kumpul duit lagi untuk beli tanah dan rumah yang kita duduk sekarang ni. Masa tempoh bertunang, emak masih buat menyampah dengan abah. Kalau terserempak, cepat-cepat lari. Masa tu memang betul-betul tak suka. Pada emak, semua yang buruk semua ada pada abah. Tapi, bila emak tengok kesungguhan abah untuk cari rumah, cari duit, akhirnya hati emak cair juga. Biasanya kalau lelaki tu betul-betul nak dekat kita, dia akan berusaha untuk membahagiakan kita."

"Owhh.....maksudnya ada matlamat yang jelas la kan?" saya mengulas dalam hati.

"Kita ni, orang perempuan kena jual mahal sikit. Jangan cepat-cepat terima kalau ada yang datang. Sabar dulu. Tengok dulu sejauh mana dia bersungguh. Selidik dulu apa yang patut." Emak menyambung lagi.

"yeargh.. betul tu" Jawab saya terus bangun dari pembaringan.

"Amboih, nak pergi mana tu?" emak bertanya.

"Masak"

bersambung..

17 March 2013

Al-Fatihah buat Abah

Assalamualaikum. Selawat dan salam buat Rasulullah saw.

18 March 2013 genap 11 tahun abah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Saya juga pasti akan menyusul. Cuma tak tahu bila. Cepat benar terasa masa berlalu. macam baru semalam semua ni terjadi. Rindu benar saya dengan abah. Ditambah pula apabila di hujung-hujung pengajian di UTM begini, Abah tidak sempat melihat saya bergraduasi nanti. Dan akan datang nanti, sedih juga apabila mengenangkan abah tidak sempat mewalikan saya, anak perempuan bongsunya.  Terasa benar sayunya hati. Kerinduan yang ditusuk-tusuk. Kadang-kadang, sejam dua juga saya duduk berteleku di hamparan sejadah selepas solat. Terimbas-imbas kenangan bersama abah di anak mata. Dan air mata ini terasa sangat murah untuk mengalir. Allah...

Mungkin ada yang tidak tahu. Ramai juga yang dah tahu kisah pemergian abah. Sekadar untuk berkongsi bukan untuk meminta simpati. boleh baca di sini. http://azlindaamin.blogspot.com/2010/03/kami-merinduimu-duhai-abah.html.

Dalam diri seorang abah itu, ada ketegasan. Juga kasih-sayang yang dizahirkan secara sembunyi. Teringat ketika zaman kecil-kecil dahulu, kalau saya tertidur di depan tv, abah yang akan angkat saya masuk dalam bilik. Dan menurut emak, setiap malam, abah akan pastikan anak-anaknya berselimut ketika tidur. Dan kemudian, barulah dia tidur. Pernah juga saya tertinggal bekas pensil di rumah ketika nak ke sekolah dan abah yang bergegas menghantar dan masuk ke kelas. Bukan sekali. Berkali-kali. Bukan sahaja bekas pensil. barang lain juga. Buku, bekal dan lain-lain. Bersabar sungguh abah melayan kecuaian anaknya ini. Allah..

Rindu macam mana sekalipun, tetap tidak mampu melawan qadha' dan qadar Allah. Apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang anak untuk membalas jasa abah ialah hanya dengan menjadi anak yang solehah untuknya.

"Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Pengasih, Perbaikilah akhlakku. Jadikanlah aku seorang anak yang solehah yang mampu menjadi asbab untuk ayahku masuk ke syurgaMu. Terangilah kuburnya dengan sinar Nurmu yang tidak pernah kunjung malap. Luaskanlah kuburnya seluas mata memandang. Jadikanlah kubur abah sebahagian dari taman syurga."

Al-Fatihah buat Allahyarham Ayahanda Hj Amin b. Hj Shamsudin kembali ke Rahmatullah pada 18 March 2002. Semoga roh abah ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. Ameen.



15 December 2011

sebalik cloud 9..

Bismillah..
Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad saw serta seluruh keluarganya.
Entri kali ini biasa sahaja..

Sekadar terkenang kenangan lalu. Benar. Kita hanya akan betul-betul menghargai seseorang itu apabila mereka telah tiada. Pergi meninggalkan kita. Selamanya..

Cerita disebalik cloud 9..

Ketika saya masih bersekolah rendah, setiap kali abah pulang dari kerja, mesti beliau akan membelikan saya cokelat ini. Bukan sebiji. Tapi satu peket. Cokelat ini diletakkan jauh ke dalam peti sejuk. Dilindungi dengan barang makanan yang lain dengan tujuan untuk menyembunyikan daripada saya walaupun hakikatnya ia memang untuk saya.. Memandangkan ketika itu hanya saya seorang yang masih bersekolah rendah dan duduk di rumah, maka tiada persaingan yang berlaku. Apabila ditanya kenapa abah melakukan demikian, katanya nanti cepat habis. Abah bergurau.

Cloud 9 ini abah beli bukan atas permintaan saya. Jauh sekali saya merengek meminta untuk dibelikan. Dan soalan kenapa abah selalu belikan cloud 9, tidak pernah saya tanyakan.

Beberapa hari lepas, saya teringin makan cokelat. Selain daripada cokelat bar. Itu yang pasti. Singgah di minimart, terpandang cloud 9, terus menyambar satu dua. Ketika itulah kenangan ini hadir.

Dan persoalan kenapa abah selalu belikan aku cloud 9, hadir kembali. Mungkin saya sudah temui jawapannya.

Abah seorang bapa yang rajin. Kuat berkerja. Tidak pernah duduk diam. Penyayang yang tidak pernah ditunjukkan. Emak yang banyak membocorkan. Abah yang selalu mengangkat saya jika saya tertidur di depan tv masuk ke dalam kamar. Abah yang selalu check selimut anak-anaknya. Abah yang menyediakan duit saku di atas meja sarapan setiap kali sebelum abah pergi berkerja di awal pagi. Segala keperluan tidak pernah missed. Biar tidak mewah, tapi selesa.

Cloud 9 itu membawa banyak mesej. Abah mahu memberikan sesuatu yang mampu membuatkan kanak-kanak seperti saya ketika itu gembira. Cokelat sangat dekat dengan kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan pisang goreng atau kuih muih yang biasa orang-orang tua berikan kepada kanak-kanak usia itu, sudah tentu cokelat, gula-gula, makanan ringan lebih digemari. Cloud 9 membawa maksud, abah tidak mahu kelihatan kolot atau kampungan sebagai seorang yang berumur 58 tahun ketika itu. Abah berusaha menjadi hero di hati anak-anak dan mahukan anak-anak yakin, abah mampu memberikan semua yang diperlukan.

Al-fatihah buat abah. Semoga kubur abah menjadi sebahagian daripada taman syurga. ameen..

11 August 2011

Cikgu Ruslan Bustani dalam kenangan




Membaca post rakan-rakan sekolah lama di facebook membuatkan saya tersentak. Berita Cikgu Ruslan Bustani telah kembali ke Rahmatullah. 

Saya pasti kehilangan ini membawa kesedihan buat semua yang mengenalinya

Saya tidak menyimpan banyak kenangan dengannya memandangkan saya hanya sempat berada di bawah pentadbirannya sebagai Guru Penolong Kanan Akademik kurang daripada setahun daripada tarikh saya mendaftarkan diri di SMAP Labu.  

Saya mengenalinya sebagai seorang guru yang sentiasa bermotivasi. Ucapannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh semua pelajar tidak kira dalam apa jua perhimpunan. Apabila namanya dipersilakan untuk memberi ucapan, secara automatik semua pelajar akan bersedia memberi tumpuan. Ucapannya berbeza. Pelajar tidak rasa terpaksa untuk mengejar kedudukan SBP pertama di Malaysia tapi pasti tersuntik sedikit motivasi untuk menjadi yang terbaik. Ucapannya ringkas dan padat. Tambahan pula gaya pengakhiran ucapannya yang lain dari yang lain, dengan tone suara yang sengaja ditinggikan ketika klimaks dengan nada tegas tiba-tiba dengan nada perlahan beliau mengucapkan "SEKIAN, TERIMA KASIH! " Berderai ketawa semua pelajar ketika itu. Penuh dengan kejutan.

saya juga masih ingat ketika minggu orientasi kami pelajar tingkatan satu, dalam slot bersamanya, beliau mengajarkan kami lagu wawasan. Itulah kali pertama saya kenal lagu yang kini dipopularkan oleh kumpulan UNIC.

Al-fatihah buat Cikgu Ruslan Bustani. Pemergiannya akibat penyakit kanser paru-paru meninggalkan isteri dan anak-anaknya sebelum sempat bertemu dengan ramadhan ini tahun ini. Semoga usahanya yang tidak pernah berhenti mendidik anak-anak Malaysia bumi bertuah ini bakal melahirkan insan-insan yang bertakwa dan cemerlang rohani dan akademiknya. Insya Allah..

Sebenarnya hati ini cinta kepada Mu
Sebenarnya diri ini rindu kepada Mu
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa cinta masih tak hadir
Tapi aku tidak mengerti
Mengapa rindu belum berbunga
Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu takkan ber bunga
Ku cuba menghulurkanSebuah hadiah kepada Mu
Tapi mungkin kerana isinya
Tidak sempurna tiada seri
Ku cuba menyiramnya
Agar tumbuh dan berbunga
Tapi mungkin kerana airnya
Tidak sesegar telaga kauthar
Sesungguhnya walau ku kutip
Semua permata di dasar lautan
Sesungguhnya walau ku siram
Dengan air hujan dari tujuh langit Mu
Namun cinta tak kan hadir
Namun rindu tak akan berbunga
Jika tidak mengharap rahmat Mu
Jika tidak menagih simpati
Pada Mu ya Allah
Tuhan hadiahkanlah kasih Mu 
kepadaku
Tuhan kurniakanlah rinduku kepada Mu
Moga ku tahu
Syukur ku hanyalah milik Mu

 (lagu kumpulan Raihan yang pernah dinyanyikan oleh Cikgu Ruslan ketika diminta membuat persembahan sempena sambutan Hari Guru 2003.. lagu kegemaran katanya.)

"Sentiasa Mengungguli Apa Jua Persaingan Lagenda" kata-kata yang sering dilaungkan

(berita kematiannya yang diumumkan oleh Ahmad Fedtri Yahya di MHI TV3)

gambar bersama warga pendidik SMAP Labu



17 June 2011

Bercinta Hingga ke Syurga

" Mah, mah abang nak tanya satu soalan boleh? "
" Pe dia bang?"
" Erm.. Kalau abang mati dulu awak kawin lagi tak? "
" Isyh, abang ni tanya soalan pelik-pelik pulak "
" Yela.. semua orang akan mati..."

suasana sepi..

" Demi Allah, Mah tak kawin lagi." Jawab Asmah sambil menyapu air mata di pipi.
" Alhamdulillah.. Awaklah isteri solehah..."



Pn Hjh Asmah bt Dan & Allahyarham En Hj Amin b Hj Shamsudin


"tak akan ada lelaki yang boleh ganti abah", kata emak.

Ya Allah, pertemukan mereka dan kami semua anak-anaknya di syurga kelak. Jadikanlah kami anak-anak Qurratu 'ayun mereka. Bimbinglah kami menggapai keredhaan mereka dan juga keredhaanMu. 
Ameen Ya Rabb...

31 May 2011

Aku di Permusafiran (3)


23 Mei 2011
Ustazah bersiap awal. 6.30 pagi beliau sudah keluar bertolak ke sekolah tempat beliau bertugas. Maka saya juga tidak mahu melambatkan perjalanan saya untuk pulang ke Muar memandangkan saya sudah berjanji dengan bonda tersayang untuk mengejar bas pagi. Dengan bantuan Najihah, saya berjaya sampai di Terminal One, Seremban jam 8.30 pagi. Pengalaman saya selama lebih enam tahun di Negeri Sembilan membantu saya untuk tidak langsung berasa sukar untuk mencari kaunter tiket ke Muar. Kawasan terminal bas tidak banyak berubah. Dunkin’  Donuts masih di kedudukan asalnya. Gerai-gerai majalah dan makananjuga masih saya hafal tempat letaknya. Mesin ATM BSN juga masih ada. Yang bertukar hanyalah platform bas. Platform bas Muar sudah bertukar ke platform 35. Juga harga tiket. 2007, tiket ke Batu Pahat bast Transnasional hanyalah RM11.90 tetapi kini, RM15.40. Adeyh!

Sementara bas tiba pada jam 10.30 pagi, saya duduk menunggu di kerusi baru. Lebih kukuh dari yang sebelumnya. Mata memerhati keadaan di sekitar terminal. Sangat rindu. Rindu ketika 6 tahun lalu saya bermustautin di negeri ini. Daerah ini. Jujur, saya lebih familiar dengan Terminal One, Seremban berbanding Skudai Parade, Angsana dan Stesyen Bas Larkin. Sungguh!
Terlihat platform 30, mengingatkan saya ketika kami menunggu bas untuk membawa kami ke sekolah pulang daripada outing. Rindu benar untuk memakai baju batik sekolah yang berwarna biru yang juga sangat dibenci oleh ramai pelajar kerana jenis kainnya yang sukar digosok dan mudah berkedut.
Lima tahun bersekolah di SMAP Labu, setahun setengah di KMNS membiasakan diri saya dengan bas. Sangat mudah untuk saya bermusafir dengan bas.

Bas ke Muar/batu Pahat jam 10.15 sudah pun tiba. Pemandunya sudah mengarahkan penumpang untuk beratur dan duduk di tempat  asing-masing. Hati makin sayu. Entah bila lagi akan menjejakkan kaki di negeri ini. Perkebumian memori silam ini.
Permusafiran saya tamat di sini. =)

20 May 2011

misteri Pulau Besar

Disember 1996

Mutiara-mutiara peluh sudah mula membasahi dahi. Kanak-kanak perempuan itu resah. Dia sekejap-sekejap memusingkan badan ke kanan dan ke kiri. Tidurnya terganggu kerana suhu di dalam khemah itu bukanlah suhu ideal untuk dia dibuai mimpi. Dia mengeluh. Tersedar di tengah-tengah malam begini sangat meresahkan jiwanya. Suhu yang ada menyegarkan matanya untuk tidak ngantuk.   Akhirnya dia duduk. Matanya meninjau segenap isi khemah semuanya kelihatan lena. Dia membetulkan duduknya dan mula memasang niat untuk keluar menghirup udara segar di waktu malam. Kepalanya sudah dijengukkan ke tingkap kecil khemah yang berada di atas kiri kepalanya. Sunyi. Gelap. Tangannya sudah hampir membuka zip pintu khemah.
Tiba-tiba, sayup-sayup di kejauhan dia terdengar sesuatu. Semakin lama suara itu semakin hampir. Dia bergegas menekup mukanya kembali di pembaringan. Niatnya untuk keluar dari khemah termati serta merta. Dia kaku terdiam. Mengamati suara tersebut.

Subhanallah walhamdulillah wa lailahaillallah wa allahuakbar… suara itu berulang-ulang kali. Kedengaran ia dizikirkan oleh kanak-kanak lelaki kira-kira seusianya. Dengusan nafasnya menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut sedang berlari anak. Lidahnya lancar melagukan zikir dengan bersungguh-sungguh.
Budak perempuan tadi menarik nafas lega kerana apa yang didengarinya bukanlah hilaian menakutkan sebaliknya zikir yang menenangkan. Dia khusyuk mendengar. Siapakah yang berani keluar bermain di pantai malam-malam begini? Sangat bersemangat budak lelaki itu berzikir. Semakin diamati, suara itu makin menjauh dan terus hilang. Dan matanya lena kembali.

Mei 2011

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan. Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini. Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan ajaran Islam.

Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail. 


Nota:
1.       Sangat terkilan kerana saya tidak diberi keberanian untuk meninjau rupa kanak-kanak lelaki yang berzikir sambil berlari itu
2.       Saya yakin dia bukan kanak-kanak manusia biasa.


09 October 2010

HIKMAH




Selak- selak album gambar hari itu, saya perhati pada satu gambar lama. Mata tak berkelip dalam masa beberapa minit. Bibir tersenyum. Kata saya dalam hati,”Comel nya budak perempuan ni.. “ anggaran umur dalam empat tahun kot. Kesal juga di gambar tersebut tiada tarikh yang tercatat. Tak dapat saya nyatakan umur sebenar budak comel itu. Melihat lelaki bersongkok yang duduk di sebelahnya, hati sebak. Senyuman kendur. Allah… cepat betul masa berlalu. Rasa macam semalam abah masih ada. Masuk tahun ni, hampir 8 tahun lebih abah sudah pergi. (Al-fatihah)
 (masih belajar muqadam)
Selak-selak lagi, jumpa pula gambar-gambar saya ketika masih di zaman sekolah rendah. Kelakarnya muka aku! Saya senyum lagi.
Ingat lagi masa sekolah dulu……
Sekitar januari 1997
Pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah, hati berdebar-debar. Tengok muka cikgu, terus tunduk. Tiba-tiba teringat pesan mak pagi tadi, “ kalau selisih dengan cikgu-cikgu, bagi salam tau!”. Saya pun kembali mendongak. Senyum takut-takut sambil bagi salam. “ Assalamualaikum cikgu.” Perlahan saja suara saya.
Apabila tiba di kelas, dapat jumpa kawan-kawan lama di tadika KEMAS. Saya berasa sedikit kekok kerana saya seorang sahaja murid perempuan yang memakai tudung. Saya mengenepikan perasaan janggal tersebut dan terus duduk di tempat kosong. Apalagi, macam-macam cerita keluar sementara menunggu guru masuk ke kelas.
Sedang sibuk bersembang, tiba-tiba, saya tanya pada mereka satu soalan.
“ kenapa korang tak pakai tudung?”
“mak aku tak bagi. Mak aku kata budak kecik tak apa la” jawab seorang rakan.
“ nak tahu tak, mak aku kata kan, kalau kita tak pakai tudung, nanti rambut kita kena bakar api neraka…” saya mula berdakwah.
“yeke?.. ee takutnya…”.. balas kawan lain.
Keesokannya, masih belum ada kawan-kawan   yang memakai tudung. Saya kecewa.
“kenapa korang tak pakai tudung lagi? Tak takut ke, nanti rambut Allah bakar?” saya bertanya dengan suara yang sedikit meninggi.
Hati saya masih tidak berpuas hati kenapa mereka tak boleh rasa takut sama seperti apa yang saya rasa. Takut rambut dibakar api neraka.
“mak aku cakap tak apa, aku kecik lagi.. kalau dah darjah dua nanti baru lah kena pakai tudung..” balas seorang kawan saya.
“ ish! Ada pulak macam tu. Habis dosa yang sekarang ni, macam mana…?”. Soal saya.
“orang perempuan ni wajib pakai tudung. Dosa besar kalau tak pakai tudung! Kalau mak kau tak bagi kau pakai tudung, kau cakap dekat mak kau, “mak, mak tak takut ke nanti rambut kena bakar api neraka?” saya cuba mengajar.
Semua kawan-kawan perempuan saya, dengar dan diam. Entah apa lah yang diorang fikir masa ni. Kalau remaja sekarang, mesti ada yang cakap begini pada saya,
“ ek eleh, poyo lah budak ni! Kau siapa nak paksa-paksa aku pakai tudung?”
Itu dulu…..
dalam keterbatasan daya berfikir, ketika di tahap preoperational, dan ketika egocentrism yang masih menebal dalam diri (teori Jean Piaget), saya tidak dapat menerima segala yang salah di mata saya. salah tetap salah. Syadid sungguh. Tapi usaha saya tidak sia-sia. Beberapa minggu kemudian, sedikit demi sedikit kawan-kawan saya mula mengenakan tudung. Dan hingga hujung tahun, semua kawan-kawan perempuan saya memakai tudung. Alhamdulillah.. saya pun tak pasti, mereka memakai tudung kerana kesedaran atau pun sudah tidak tahan lagi mendengar teguran dan sindiran saya. (“,)  
bila saya teringat semula perangai saya masa hingusan dulu, astaghfirullah…kejam sungguh! juga Alhamdulillah… mungkin ketika itu saya hanya tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Dan berasa ‘macam bagus’ untuk mengajar orang lain setelah saya diajar oleh mak akan apa yang halal dan haram. Ketika umur 7 tahun itu, apalah yang saya tahu dengan makna HIKMAH!

18 July 2010

Guru, engkaulah ratu!

Ketika saya masih bergelar seorang pelajar sekolah menengah, saya tidak dapat lari daripada satu kerjaya yang saya tidak pasti baik buruknya ketika itu iaitu menilai sikap guru. Salah satu ciri personaliti saya adalah O iaitu Observative. Jadi, memang benarlah saya suka memerhati. Terutama sekali memerhati sikap manusia. Dan dengan keterbatasan suasana persekolahan ketika itu, rakan-rakan dan guru-gurulah yang menjadi bahan pemerhatian saya. Melalui tingkah laku mereka, saya belajar banyak perkara tentang manusia. Dan melalui sikap gurulah saya tahu dan yakin bahawa tugas sebagai seorang guru ini bukanlah satu kerja mudah semudah memisahkan kacang dari kulitnya.


Sewaktu di tingkatan lima, secara keseluruhan kesemua guru yang mengajar saya ketika itu adalah yang terbaik. Saya betul-betul merasai nikmat belajar dan guru yang paling saya senangi ialah Pn Ainah Hayati, guru kima saya. Wajahnya sentiasa dihiasi dengan kuntuman senyuman yang ikhlas. Tingkahnya juga lembut dalam tegas. Hari pertama kami bersama beliau, amaran keras sudah dikeluarkan bagi pelajar yang lewat masuk ke kelasnya. Prinsip tepati masa jelas dilihat disitu.

Ketika mengajar, saya tidak tahu kuasa apa yang beliau gunakan, sehingga berjaya menumpukan perhatian kami padanya. Intonasi suaranya yang tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu kuat juga tidak terlalu cepat begitu selesa jika didengar dan mudah ditangkap setiap butir perkataan yang keluar dari mulutnya. Mata pelajaran kimia bukanlah terlalu mudah. Namun, secara peribadinya saya menganggap ianya mudah disebabkan Pn Ainah yang mengajar saya. (sekarang, kimia lah subjek yang paling susah). Penerangan beliau terhadap sesuatu topik amat terperinci dan banyak dikaitkan dengan isu semasa dan fenomena seharian. Itu yang memudahkan kami untuk mengingat fakta. Disamping pelbagai formula dan cara yang diajar untuk mengingat senarai insoluble salt, element di periodic table, dan pelbagai jenis chemical equations.

Seperkara lagi yang menambahkan rasa hormat saya padanya adalah, beliau akan mengadakan dua kelas tambahan setiap minggu iaitu pada jam 2 petang hari jumaat dan 9 malam hari selasa atau khamis.( saya tidak pasti). Kelas tambahan ini diwujudkan dengan alas an sebagai ganti jika sepanjang waktu wajib P&P beliau terpaksa meninggalkan kelas seperti kes-kes kecemasan atau terpaksa menghadiri mesyuarat juga jika beliau ada terlambat masuk kelas, maka masa yang berlalu itu beliau ganti dengan mengadakan kelas tambahan ini. Menurutnya, duit yang berlalu setiap minit ketika dia meninggalkan kelas itu, akan dipersoalkan kelak. Saya berasa cukup terkesan dengan sikapnya ini yang cukup prihatin dengan kesucian harta pencarian beliau. Ya. Saya ada mendengar daripada seorang ustaz di Al-kuliyyah tv3, haram hukumnya terhadap duit gaji yang seseorang itu terima jika dia menggunakan sijil cuti sakit tipu. Samalah juga kiranya gaji yang berjalan tanpa kerja yang dilakukan. Atau mungkinkah ada yang sanggup membilang jumlah gaji yang diterima setiap bulan, dan diasingkan beberapa ringgit untuk dipulangkan kembali pada majikannya atas alasan ini adalah duit setiap minit dia terlambat masuk kerja ataupun ini adalah duit ketika dia ponteng kerja.

Berbalik pada kisah guru kegemaran saya ini, sewaktu kelas tambahan, beliau selalu membawa makanan untuk kami, anak muridnya. Kasih sayang yang ditunjukkan tidak ubah seperti seorang ibu kepada anak-anaknya. Sikapnya yang pada saya sangat terpuji ini, membuatkan saya bersungguh-sungguh belajar dan menyiapkan tugasan beliau dengan sempurna. Walaupun saya hanya mendapat B3 untuk mata pelajaran kima dalam SPM, itu tidak membuatkan saya berasa kecewa kerana saya tahu, saya sudah pun melakukan yang terbaik. Keputusan peperiksaan itu bukanlah 100% datang daripada usaha kita sahaja, tetapi ianya juga datang daripada campur tangan ketentuan takdir Allah. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


*ini adalah assigment yg diberikan oleh pensyarah pedagogi saya, Pn Sanitah. tajuk assigment beliau ialah: sila tuliskan mengenai seorang guru yang kamu suka.

04 April 2010

buat sahabat..

(naqibahku)

Ku kutip butir-butir ukhuwwah iman yang bertaburan,
Semakin lama semakin aku tidak mampu tuk aku kutip,
kerana semakin ku kutip semakin membukit,
Tuntas,
ku biarkan ia lalu menenggelamkan diriku,
Aku lemas di dalamnya.
Syukur Ya Allah..
Kau berikan aku kelemasan ini,
kerana kelemasan ini bukan menamatkan riwayatku,
tapi menyambung riwayatku hingga kini.
Alhamdulillah..


Sebiru Hari Ini

Album : Sepotong Episode
Munsyid : Edcoustic
http://liriknasyid.com

Sebiru hari ini, birunya bagai langit terang benderang
Sebiru hati kita, bersama di sini

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah


reff:
Bukankah hati kita telah lama menyatu
Dalam tali kisah persahabatan ilahi
Pegang erat tangan kita terakhir kalinya
Hapus air mata meski kita kan terpisah
Selamat jalan teman
Tetaplah berjuang
Semoga kita bertemu kembali
Kenang masa indah kita
Sebiru hari ini


Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

intro

reff 2x

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

18 March 2010

Kami merinduimu duhai ABAH..

“guna air tu jimat- jimat la sikit. Asyik terlupa nak tutup paip je. Mana la bil tak naik!” tegur abah.
“nanti abah tak da nanti baru rasa kena bayar bil sendiri.” Sambungnya lagi.
Abah memang macam tu. Dia seorang yang jimat dalam sekalian hal. Tapi, kebelakangan ini, selalu pula abah cakap “ nanti bila abah dah tak ada……”

“Mah, Mah. Kalau aku tak ada nanti, awak kawin lagi tak? Tanya abah.
“apa la awak ni. Cakap yang bukan-bukan ja!” balas emak sambil mencubit abah.
“alah.. apa orang tak mati? “ balas abah sambil menunggu jawapan emak.
“ tak lah bang. Tak mungkin!” jawab emak meyakinkan abah.
“ awaklah isteri yang taat.”
Emak mengalirkan air mata. Dia sendiri tidak tahu mengapa soalan itu yang ditanya. Tidak nampak langsung tanda-tanda yang abah ingin pergi meninggalkan kami.

“cantiknya anak abah ni.”
“bagusnya anak abah dah pandai bawa motor. Baguslah nanti senang kalau ada apa-apa”
Terlalu banyak pujian. Terlalu banyak kepuasan yang abah nyatakan. Tapi kami sekeluarga tidak tahu yang itu adalah tanda abah bakal meninggalkan kami semua.

Sehinggalah saat itu tiba.
Pagi 18 mac 2002.
Subuh itu, abah bangun seperti biasa lebih awal daripada saya dan emak. Mandi, dan ke masjid. Pulang daripada masjid, dia bergegas bersiap untuk pergi bekerja. Cumanya yang agak aneh, abah kelihatan tergesa-gesa. Katanya takut tak sempat nanti. Terlalu terburu-buru hingga abah tak mengucup dahi emak dan membunyikan hon motorsikalnya seperti biasa. Hati emak mula tidak enak. Tapi perasaan itu dibuang jauh-jauh.
Abah meneruskan perjalanannya. Suasana ketika itu, kelam sahaja. Walau begitu, motorsikal abah dilengkapi dengan lampu yang terang. Maklumlah motor baru modenas kriss. Sesampainya di satu kawasan, seorang lelaki tua bermotosikal berada di arah bertentangan berada di hadapan abah . Abah membunyikan hon beberapa kali. Tetapi lelaki itu tetap meneruskan perjalanannya tanpa ada tanda-tanda yang dia ingin berhenti atau menukar arah. Mengikut saksi, kali terakhir abah membunyikan hon, mulutnya berteriak ALLAHUAKBAR!!!. Mereka berempuh. Abah dan lelaki itu tercampak. Topi keledar abah yang tak diikat tak mampu melindungi kepala abah daripada menyembah bumi. Dahinya terhentak di atas jalan tar yang keras. Darah pekat mengalir. Motosikal abah habis kemek. Pergelangan tangan abah retak sedikit mungkin kerana menarik brek tangan. Badan abah semua baik. Cuma kepala yang teruk. Sesampainya orang ramai untuk menolong, abah sudah tiada lagi. Jenazahnya dihantar ke hospital.


Dalam masa yang sama, emak menghantar saya ke sekolah seperti biasa. Di perhimpunan pagi itu, semuanya kelihatan biasa. Cikgu-cikgu semuanya sudah tahu mengenai abah tapi tak berani untuk memberitahu kepada saya. Ketika 10 minit bermulanya p&p tiba-tiba, jiran saya datang meminta izin untuk membawa saya pulang ke rumah. Saya tertanya-tanya.
“Ada apa ni?” saya bertanya kepada jiran saya.
“nanti kau balik, kau tahulah” jawabnya tenang.
Saya hanya akur. Tidak terlintas langsung ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Sesampainya di rumah, ramai jiran-jiran datang ke rumah. Mereka mengangkat meja dan kerusi dan mengosongkan di bahagian ruang tamu. Hati mula berdebar. Mata mula liar mencari emak.
“mak, kenapa ni?” saya bertanya.
“ abah… abah jatuh motor.. abah dah tak ada dah linda..” jawab emak dengan tangisan. Innalillah..
Pandangan saya gelap. Fikiran saya kosong. Lidah saya kelu. Air mata turun deras. Saya menjerit. Pelukan saya bertambah erat meminta ketenangan daripada emak. Orang ramai turut hiba mengalirkan air mata melihat kami. Sungguh saya tidak percaya. Saya kini bergelar yatim. Astaghfirullah. Ketika usia 12 tahun ini tidak pernah terfikir saya akan kehilangan seorang abah. Sukar untuk saya percaya. Baru pagi tadi abah pergi kerja. Abah tak pernah sakit. kenapa Allah pilih abah? Kenapa mesti abah? Terngiang-ngiang pe Saya yang masih mentah untuk berhadapan dengan situasi sebegitu, berasa benar-benar ‘sakit’. Fikiran jadi tak menentu. Seminggu saya tidak ke sekolah dan diikuti kekerapan saya ponteng ke sekolah agama di waktu petang selama beberapa bulan.

Pemergian abah membawa kesan yang amat mendalam dalam diri saya. Pencapaian akademik terus merudum. Semua cikgu mula risau dan bimbang akan prestasi saya memandangkan saya merupakan pelajar harapan untuk peperiksaan UPSR ketika itu. Emak juga sudah pastinya risau. Hanya beberapa bulan sebelum UPSR berlangsung saya mulai pulih. Alhamdulillah perkara ini tidak berlarutan. Pesanan abah saya jadikan semangat pembakar obor untuk meneruskan perjuangan dalam pelajaran.
“Linda kalau tak dapat 5A, siaplah! Abah ikat dekat pokok banyak kerengga kat depan tu!”. Ugutannya sentiasa saya ingat walaupun saya tahu, abah tak mampu melaksanakannya. Akan saya sempurnakan niat abah untuk melihat saya menjadi seorang guru.

18 mac 2010

Hari ini, genap 8 tahun abah pergi meninggalkan kami. Seperti tidak sedar rasanya sudah lama saat itu terjadi. Masih terngiang-ngiang pesanan abah. Ketegasannya selama ini bersalut kasih-sayang.
Hanya Al-Fatihah dan doa yang saya mampu kirimkan buat abah. Tidak pernah putus saya berdoa agar anak-anak abah jadi anak yang soleh solehah supaya kami menjadi asbab kubur abah bercahaya dan diiktiraf sebagai taman syurga. Terima kasih abah! Terlalu banyak yang abah korbankan demi membesarkan kami. Hingga ke hujung nyawa abah mencari nafkah. Sungguh! Kami merinduimu. Ya Allah, Kau himpunkan roh abah bersama-sama dengan para solihin..

oh abah,
seperti semalam kau baru meninggalkanku,
masih kedengaran bacaan yasin di ruang tamu,
masih kedengaran esak tangis suara ibu,

oh abah,
kami semua rindu,
rindu untuk mendengar azan dan tahrimmu,
rindu untuk ketawa dengan gurauanmu,
rindu untuk akur akan nasihatmu,
rindu untuk patuh suruhanmu,
dan kami akan terus merinduimu
dalam zikir dan doaku.

Ya Allah,
doaku pohon buat abah,
agar kesenangan sementara di barzakh,
semoga aku menjadi solehah,
justeru itu aku dan abah,
disayangi Allah..


19/10/2009
6.05 ptg
KTF, UTM Skudai




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...