18 March 2013 genap 11 tahun abah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Saya juga pasti akan menyusul. Cuma tak tahu bila. Cepat benar terasa masa berlalu. macam baru semalam semua ni terjadi. Rindu benar saya dengan abah. Ditambah pula apabila di hujung-hujung pengajian di UTM begini, Abah tidak sempat melihat saya bergraduasi nanti. Dan akan datang nanti, sedih juga apabila mengenangkan abah tidak sempat mewalikan saya, anak perempuan bongsunya. Terasa benar sayunya hati. Kerinduan yang ditusuk-tusuk. Kadang-kadang, sejam dua juga saya duduk berteleku di hamparan sejadah selepas solat. Terimbas-imbas kenangan bersama abah di anak mata. Dan air mata ini terasa sangat murah untuk mengalir. Allah...
Mungkin ada yang tidak tahu. Ramai juga yang dah tahu kisah pemergian abah. Sekadar untuk berkongsi bukan untuk meminta simpati. boleh baca di sini. http://azlindaamin.blogspot.com/2010/03/kami-merinduimu-duhai-abah.html.
Dalam diri seorang abah itu, ada ketegasan. Juga kasih-sayang yang dizahirkan secara sembunyi. Teringat ketika zaman kecil-kecil dahulu, kalau saya tertidur di depan tv, abah yang akan angkat saya masuk dalam bilik. Dan menurut emak, setiap malam, abah akan pastikan anak-anaknya berselimut ketika tidur. Dan kemudian, barulah dia tidur. Pernah juga saya tertinggal bekas pensil di rumah ketika nak ke sekolah dan abah yang bergegas menghantar dan masuk ke kelas. Bukan sekali. Berkali-kali. Bukan sahaja bekas pensil. barang lain juga. Buku, bekal dan lain-lain. Bersabar sungguh abah melayan kecuaian anaknya ini. Allah..
Rindu macam mana sekalipun, tetap tidak mampu melawan qadha' dan qadar Allah. Apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang anak untuk membalas jasa abah ialah hanya dengan menjadi anak yang solehah untuknya.
"Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Pengasih, Perbaikilah akhlakku. Jadikanlah aku seorang anak yang solehah yang mampu menjadi asbab untuk ayahku masuk ke syurgaMu. Terangilah kuburnya dengan sinar Nurmu yang tidak pernah kunjung malap. Luaskanlah kuburnya seluas mata memandang. Jadikanlah kubur abah sebahagian dari taman syurga."
Al-Fatihah buat Allahyarham Ayahanda Hj Amin b. Hj Shamsudin kembali ke Rahmatullah pada 18 March 2002. Semoga roh abah ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. Ameen.
0 comments:
Post a Comment