Tidak seperti di Malaysia, terlalu banyak yang mahu diadaptasi hingga meracun pemikiran generasi akan datang supaya menjadi gedik di media. Yang belum berkahwin dan sudah berkahwin masing-masing berlumba-lumba untuk melakonkan semula kisah yang mereka tonton.
Tidak tahulah salah siapa. Salah filem yang kurang kualiti atau mentaliti masyarakat sekarang yang tidak mahu mencari ibrah dalam filem tersebut.
Mana tidaknya, apabila suatu filem ditayangkan, ulasannya akan berbunyi begini, "Alah.. Kenapa heronya tak 'handsome'?
"Perempuan ni kurang 'match' dengan wataknya"
"'Endingnya' sepatutnya bukan begini.."
Jauh daripada pandangan nilai dan moral. Apatah lagi yang lebih besar iaitu ibrah. Hak memberi pandangan itu ada benarnya tapi cara pandangan itu diberi menunjukkan tahap mentaliti seseorang.
99 Cahaya di Langit Eropah hasil karya Guntur Soeharjanto khabarnya kisah benar seorang mahasiswa PHD di Vienna Austria.
Benarlah jauh berjalan, luas pemandangan. Banyak juga cabaran.
Cabaran untuk menjadi agen Islam di negara Eropah. Cabaran untuk menjawab soalan-soalan Stephen yang tidak percaya Tuhan, cabaran untuk melembutkan Khan yang terlalu syadid, cabaran untuk mengelak godaan Maarja, cabaran untuk berhadapan dengan ketegasa seorang supervisor PHD.
Itu baru manusia.
Belum lagi ketika berhadapan dengan penyesuaian waqi' tempat dan masa. Terpaksa solat di ruangan agama lain turut menyembah patung tuhan mereka, masuk ke gereja untuk memanaskan badan, ponteng solat Jumaat dengan penuh rasa bersalah akibat ujian mingguan subjek 'Research Method' yang tidak boleh diubah waktunya dan sebagainya.
Kuncinya, sabar. Kerana hanya dengan sabar akan menjadikan fikiran mampu berkerja dengan rasional. Rangga sabar dengan pertanyaan Stephen "Di manakah pejabat Tuhan?", Rangga sabar dengan isterinya Hanum dalam menyuruhnya memakai tudung hingga akhirnya Hanum memakai sendiri tudung kerana seorang kanak-kanak kecil Aisya. Rangga juga sabar dalam melembutkan Khan supaya tidak terlalu ekstrim melayan Stephen.
Seterusnya, filem ini juga menonjolkan beberapa babak yang mampu membuat bulu roma meremang melihat ke'izzahan Islam. Contohnya ketika Rangga azan maghrib di atas menara Eiffel, ukiran Lailahaillallah di jubah lukisan mother Maria, di lukisan jubah seorang Raja, garis lurus 'Arch of Triomphe' yang terus mengarah ke Kaabah, dan banyak lagi. Perancis, Austria, Sepanyol dan Turki ialah negara yang menjadi latar tempat yang sangat indah.
Sayangnya, saya bukan orang sejarah yang hadam siapa itu Kara Mustafa Pasha dan beberapa kisah ketamadunan. Bagi mereka yang cekap, pasti mudah untuk menangkap ketika Fatma menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Hanum.
Filem ini ada dua siri. Cari dan tontonlah kedua-duanya.
Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment