Bismillah..
Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad saw serta seluruh keluarganya.
Entri kali ini biasa sahaja..
Sekadar terkenang kenangan lalu. Benar. Kita hanya akan betul-betul menghargai seseorang itu apabila mereka telah tiada. Pergi meninggalkan kita. Selamanya..
Cerita disebalik cloud 9..
Ketika saya masih bersekolah rendah, setiap kali abah pulang dari kerja, mesti beliau akan membelikan saya cokelat ini. Bukan sebiji. Tapi satu peket. Cokelat ini diletakkan jauh ke dalam peti sejuk. Dilindungi dengan barang makanan yang lain dengan tujuan untuk menyembunyikan daripada saya walaupun hakikatnya ia memang untuk saya.. Memandangkan ketika itu hanya saya seorang yang masih bersekolah rendah dan duduk di rumah, maka tiada persaingan yang berlaku. Apabila ditanya kenapa abah melakukan demikian, katanya nanti cepat habis. Abah bergurau.
Cloud 9 ini abah beli bukan atas permintaan saya. Jauh sekali saya merengek meminta untuk dibelikan. Dan soalan kenapa abah selalu belikan cloud 9, tidak pernah saya tanyakan.
Beberapa hari lepas, saya teringin makan cokelat. Selain daripada cokelat bar. Itu yang pasti. Singgah di minimart, terpandang cloud 9, terus menyambar satu dua. Ketika itulah kenangan ini hadir.
Dan persoalan kenapa abah selalu belikan aku cloud 9, hadir kembali. Mungkin saya sudah temui jawapannya.
Abah seorang bapa yang rajin. Kuat berkerja. Tidak pernah duduk diam. Penyayang yang tidak pernah ditunjukkan. Emak yang banyak membocorkan. Abah yang selalu mengangkat saya jika saya tertidur di depan tv masuk ke dalam kamar. Abah yang selalu check selimut anak-anaknya. Abah yang menyediakan duit saku di atas meja sarapan setiap kali sebelum abah pergi berkerja di awal pagi. Segala keperluan tidak pernah missed. Biar tidak mewah, tapi selesa.
Cloud 9 itu membawa banyak mesej. Abah mahu memberikan sesuatu yang mampu membuatkan kanak-kanak seperti saya ketika itu gembira. Cokelat sangat dekat dengan kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan pisang goreng atau kuih muih yang biasa orang-orang tua berikan kepada kanak-kanak usia itu, sudah tentu cokelat, gula-gula, makanan ringan lebih digemari. Cloud 9 membawa maksud, abah tidak mahu kelihatan kolot atau kampungan sebagai seorang yang berumur 58 tahun ketika itu. Abah berusaha menjadi hero di hati anak-anak dan mahukan anak-anak yakin, abah mampu memberikan semua yang diperlukan.
Al-fatihah buat abah. Semoga kubur abah menjadi sebahagian daripada taman syurga. ameen..
Nabi dulu Mazhab apa?
1 week ago
1 comments:
sebak plak.teringat linda cerita tentang arwah masa kat bilik hasa dulu.ure so strong.
moga dia bahagia di sana.
Post a Comment