• RSS

13 October 2010

LA = Los Angeles?

sedang sibuk buat latihan Linear Algebra (juga dipanggil Los Angeles) oleh sesetengah rakan saya, tiba-tiba terfikir siapakah yang menemui dan mencipta segala teori yang tidak mudah ini.


Matemtik ialah koleksi ilmu yang dibina berdasarkan aksiom, yang mengkaji hubungan antara aspek kualitatif dengan aspek kuantitatif yang dibina secara deduktif atau induktif. Ia mempunyai beberapa cabang yang lebih kecil seperti aritmetik, mantik, geometri, astronomi, muzik dan seumpamanya
Konsep matematik dalam Islam pula merupakan ilmu yang berhubung dengan kepercayaan mengesakan Allah S.W.T. Perkataan ahad dalam surah Al-Ikhlas merupakan suatu simbol Ilmu Hisab. Dalam Islam angka pertama ialah satu (1), bukannya angka kosong atau sifar seperti yang dianuti oleh ahli fikir barat. Wujudnya satu sebagai angka awal dikaitkan dengan kewujudan Allah. Manakala pendapat angka kosong sebagai terawal adalah pendapat sekular Barat yang menafikan kewujudan Tuhan sebelum wujudnya alam.
Sesungguhnya matematik berkembang selari dengan perkembangan tamadun manusia. Tamadun besar manusia mencatatkan pencapaian gemilang dalam matematik. Tamadun Mesir menunjukkan pencapaian mendalam dalam bidang geometri. Tamadun Yunani menyelidik rahsia alam dan nombor. Tamadun Islam memperkenalkan sistem perpuluhan dalam sistem nombor moden. Tamadun Hindu melahirkan buku astronomi yang bersejarah. Tamadun China mempunyai warisan aritmetik yang bermakna. Tamadun Eropah mewarisi pelbagai budaya dan tamadun sebelumnya dalam pelbagai cabang matematik. Lalu dunia seluruhnya mewarisi sejarah silam secara silih berganti. Tiada tamadun yang terpencil dan bebas dari pengaruh tamadun sebelumnya.
Sebagaimana yang kita maklum matematik sangat diperlukan di dalam urusan seharian umat Islam seperti membeli belah, pengiraan harta pusaka dan sebagainya. Sehubungan dengan itu ramai sarjana matematik telah muncul pada abad pertengahan. Abad kesembilan dan abad kesebelas merupakan zaman keemasan dalam semua lapangan ilmu pengetahuan termasuk matematik. Dalam tempoh lebih kurang tiga abad iaitu sepanjang zaman keemasan pendidikan, telah lahir ramai sarjana Islam dalam bidang matematik. Ahli matematik Islam telah menemui beberapa penemuan baru dalam pelajaran matematik. Penemuan tersebut adalah seperti sistem nombor, sistem perpuluhan aritmetik, algebra, trigonometri, geometri dan sebagainya.
Aljabar adalah merupakan nadi kepada aritmetik dan ilmu ini membicarakan tentang cara memanipulasikan symbol-simbol dengan hukum-hukum tertentu yang berupa pengitlakan kepada aritmetik. Contohnya mengikut aritmetik, 2 + 2 + 2 = 3 x 2, 4 + 4 + 4 = 3 x 4 dan sebagainya, adalah kes-kes khusus kenyatan algebra (umum) bagi x + x + x = 3x, dan x adalah sebarang nombor.
Pengasas ilmu aljabar ialah Muhammad bin Musa al-Khwarizmi. Tokoh ini dikenali sebagai bapa sistem nombor moden. Nama beliau turut harum dalam bidang aljabar kerana beliau merupakan penulis buku aljabar yang pertama yang bertajuk Kitab al-Jabr wa al-Muqabalah dalam kurun ke-9. Buku ini ditulis untuk Khalifah al-Makmun, kandungannya berkaitan dengan masalah mencari nilai anu, samada melibatkan persamaan linear atau persamaan kudratik. Masalah mencari nilai yang tidak diketahui dalam persamaan menjadi tema utama bagi ilmu aljabar.
Tujuan aljabar diasaskan pada zaman pemerintahan al-Makmun adalah disebabkan desakan bahawa umat Islam perlu mempunyai sistem pengiraan yang teratur untuk pembahagian tanah, pengiraan zakat, wasiat, perkongsian, perniagaan dan pengukuran tanah. Masalah faraid dan wasiat menjadi perbincangan utama buku tersebut walaupun pendahuluannya melibatkan penyelesaian persamaan kuadratik secara aljabar dan geometri. Dengan ini aljabar merupakan ilmu yang dikaitkan dengan ibadat, dan atas sebab inilah, ilmu ini dikategorikan sebagai ilmu Fardhu Kifayah dalam skema ilmu Islam. Ilmu ini dipelajari di masjid dan pusat pengajian Islam sepanjang zaman kegemilangannya.
Abu Bakar al-Karaji atau lebih dikenali dengan al-Kharki (1020M) telah menulis buku aljabar yang penting iaitu Kitab al-Fakhri fi al-Jabr wa al-Muqabalah. Al-Kharki memadukan aljabar al-Khwarizmi dengan aritmetik Diofantus menerusi analisis yang teliti. Dalam karya-karya tersebut al-Kharki mengembangkan pelbagai konsep aljabar yang melibatkan pelbagai masalah yang melibatkan nombor atau geometri. Bahkan penulis sejarah beranggapan bahawa aljabar Islam mencapai kemuncaknya di tangan al-Kharki dan Samuel al-Maghribi.
Terdapat ramai lagi sarjana-sarjana Islam yang lain turut memberi sumbangan dalam mereka kaedah-kaedah untuk mencari punca persamaan kuadratik, kubik dan kuartik secara analisis dan berangka seperti Thabit Ibnu Qurra (836-911M) dan Ibnu Haitham (965-1041M). Manakala Omar Khayyam (1045-1121M) adalah antara orang yang pertama membuat penemuan teorem binomial.
Kesimpulannya, orang Islam bukan sahaja membentuk algebra yang menjadi alat yang penting dalam analisis saintifik, tetapi juga membentuk asas untuk kaedah dalam kajian percubaan moden yang menggunakan model matematik. Memandangkan al-khwarizmi adalah pengasas kajian matematik orang Islam, maka usaha-usaha orang Islam selepasnya termasuk karya-karya zaman pertengahan, kebanyakannya berasaskan kepada risalah–risalah algebra beliau. Karya-karya al-khwarizmi memainkan peranan penting dalam sejarah matematik, kerana ia merupakan salah satu punca utama bagaimana angka-angka arab dan algebra orang Islam boleh sampai ke Eropah.
Sumber: http://hadarahislamiyyah.blogspot.com/2010/04/perkembangan-bidang-matematik-astronomi.html
  nota kaki: tajuk entri kali ini ..(,")

1 comments:

Anonymous said...

Alhamdullilah,bru faham asal usul ilmu algebra.sblum perna terfikir tp buat xpeduli je.tq byk2-husna-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...