• RSS

29 April 2013

Perpisahan itu kadang kala indah

Assalamualaikum wbt. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda.

Hidup ini indah kerana ianya di dunia. Hakikatnya syurga itu berganda ganda ganda lagi indah bagi mereka yang benar-benar tahu.

Perpisahan itu semuanya pahit. Bagi kebanyakkan orang. Semua takut dengan perpisahan. Cuba tengok drama, filem dan novel semuanya berakhir dengan penyatuan hati, gembira, bahagia. Zaman dahulu ada yang begitu taksub sehingga ingin dibakar panggung yang menayangkan filem yang diakhiri dengan perpisahan atau kesedihan. Hasilnya, manusia sudah ditanam emosi dan perasaan supaya bersedih dengan perpisahan.

Tapi pada saya, tidak semua perpisahan itu pahit. Ada ja perpisahan yang indah. Perpisahan yang tenang dan damai. Tidak menyebabkan sesiapa tercedera dan terluka juga tiada air mata yang dibazirkan. Perpisahan itu seharusnya dibuat dengan hati yang dipandu akal, emosi yang diurus rapi, dan jiwa yang perlu disabarkan. Jika tidak, mungkin akan ada kesilapan yang boleh berlaku. Kesilapan sepanjang hayat.

Apa-apa pun ia, ketahuilah bahawa perpisahan itu sebenarnya kadang kala terbaik untuk kita dan memberikan sesuatu buah hasil yang tenang, aman dan damai. Sedamai bulan purnama di langit, setenang laut di lautan, juga setenang wajah emak kita di rumah. :)

 Novel  ini diakhiri dengan perpisahan yang  terbaik dan realistik.

26 April 2013

Rezeki tomyam daging

Assalamualaikum wbt. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda.

Hidup di dunia ini memerlukan manusia untuk menjadi bijak. Bijak mengambil peluang dan ruang. Atau mungkin mengambil kesempatan atas beberapa perkara.

Macam yang berlaku semalam.

Pukul 5petang saya memesan tomyam daging dengan menggunakan sms di sebuah kafe. Dan saya tuliskan, saya akan ambil jam 7malam. Hajatnya buat juadah berbuka puasa.

Jam 7.16 saya tiba di kafe tersebut dan ketika itu azan sedang berkumandang. Saya masih belum membatalkan puasa. Saya bertanya kepada Encik Tuan kedai menuntut tomyam daging yang dipesan.

Tapi, Encik Tuan Kedai menjawab,

"sorry la dik. hari ni abang sibuk. tak sempat nak tengok sms yang masuk. abang pun baru habis meeting ni"

"Laa..Macam tu plak! Takpelah.", Dengan nada pasrah dan muka menyampah, saya mula nak melangkah.

"Alah dik. jangan la merajuk"Encik Tuan kedai memanggil.

"Habis tu, kalau saya pesan sekarang, cepat ke lambat? Saya belum buka puasa ni"

"Awak nak makan apa? Tom yam daging ye? Tak lambat kot. Dah tak ramai orang"

"Ok. Boleh la..Tapi saya nak free. Boleh?"

"Err..."

Encik Tuan Kedai masuk ke dapur, menghantar pesanan kepada tukang masak. Sementara itu, saya ke kedai air untuk membatalkan puasa. Kurang daripada 10 minit, tom yam daging saya siap.

"Bang, ni kena bayar ke tak?"

Encik Tuan Kedai menggelengkan kepala dan membuat isyarat 'tidak mengapa'.

"Ok. Terima kasih!"

Alhamdulillah. Jimat RM4 hari ini. Dari satu sudut, saya menganggap ini adalah rezeki yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka seperti yang tertulis dalam ayat seribu dinar. Di saat-saat poket yang semakin tiris, RM4 memang cukup mahal bagi rakyat marhaen seperti saya.

Dari sudut yang lain, saya selalu juga kena macam ni, tapi tidak pula pernah saya berani untuk meminta free. Tapi semalam, entah jin apa yang merasuk diri, tiba-tiba jadi berani.

Ibrah dari kejadian ini, ada masanya, kita perlu juga berusaha untuk memperjuangkan hak. Bukan sekadar duduk diam dan hanya mengeluh " Mungkin hari ini bukan rezeki aku".


10 April 2013

PRU 13: Jom Balik Mengundi!

Assalamualaikum wbt.. Selawat dan salam buat junjungan besar nabiyyuna Rasulullah saw.. 

Sekarang, musim pilihanraya. Pilihan + Raya. Pilihan yang dirayakan. Rakyat merayakan pilihan hatinya. Apabila terma raya digunakan sudah pasti ianya meriah. Meriah dengan bendera, billboard, banner dan sebagainya. Penuh dan bersepah. Sebelum pembubaran parlimen diumumkan lagi, rakyat sudah lama merayakan. Sebagai salah satu tanda rakyat sudah terlebih dahulu bersedia berbanding PM kita.

Beberapa hari lepas, saya terbaca post setiausaha agung MPM UTM di group facebook mpm bersama mahasiswa. bunyinya begini,

AUKU (Pindaan 2012) Seksyen 15 telah membenarkan mahasiswa untuk menyertai dan memegang jawatan dalam sebarang aktiviti politik namun hanya dibenarkan di luar kampus sahaja. Justeru, suka untuk saya mengingatkan agar tiada sebarang edaran flyers, poster, banner, sepanduk, promosi calon, promosi parti dan sebagainya dijalankan di dalam kampus ini. Mohon kerjasama semua untuk mematuhi etika dan arahan yang telah diberikan, tanpa mengira latar belakang mana-mana parti sekalipun. 
Peringatan juga sebarang sebaran di alam maya terutamanya di fb dan blog masing-masing adalah merupakan tanggungjawab masing-masing dalam menyatakan pendirian dan pendapat menjelang PRU ini. Namun jika terdapat sebarang sebaran yang mencemarkan nama Universiti, walaupun akaun palsu digunakan tetapi dapat dijejaki oleh pihak berkuasa, anda masih tertakluk kepada peraturan universiti dan boleh dikenakan tindakan atas sebab menjatuhkan nama universiti. (Ini adalah peringatan daripada Pengarah Keselamatan UTM, En Halim). 
Pada saya, saudari Nursyazwani bt Aznan, setiausaha agung  MPM ini telah menjalankan tugasnya dengan baik dengan memberikan peringatan ini sebaik sahaja pembubaran parlimen diumumkan. Sekaligus ianya memberi peringatan keras kepada Barisan Nasional yang sedang giat merekrut mahasiswa melalui program siswa4U ini agar ia diharamkan untuk dijalankan di dalam kampus.

Peranan mahasiswa

Secara kasar, jumlah mahasiswa di seluruh IPTA dan IPTS adalah seramai 1.2 juta manakala seramai 200,000 yang layak mengundi. sumber sini (sinar harian). Ramai atau tidak bukan persoalannya tapi, kesedaran mahasiswa untuk turun mengundi itulah yang harus diketengahkan.  

Sila ketepikan soal parti mana yang menjadi pilihan. Peranan mahasiswa yang celik politik ini yang sepatutnya diberi penekanan. Mengapa mahasiswa? Kerana, kita yang mengaku orang terpelajar inilah yang seharusnya berada di barisan hadapan dalam menentukan siapa pemimpin yang layak untuk memerintah. Ya. definisi terpelajar itu adalah subjektif. Ia tidak seharusnya ditakrifkan dengan hanya menilai CGPA di dalam transkrip. tetapi terpelajar dari sudut memahami isu, kepentingan, perkembangan arus politik negara. Keseimbangan untuk mendengar, meilhat dan menilai dari pelbagai arah terhadap semua manifesto parti politik dan keperluan semasa untuk negara tercinta kita, Malaysia.

Ayuh mahasiswa sekalian, jika bukan kita siapa lagi? Keluarlah dari kepompong sikap berkecuali! Ketahuilah dari pelbagai sumber. Selongkar ilmu politik hadam sehadamnya. Politik gaya matang bukanlah yang menabur wang. Politik gaya Islam bukanlah yang mengamalkan fitnah dan lucah. Indahnya politik Islam itu ialah yang bertujuan mentadbir dan mengurus dunia berdasarkan keadilan.

Pemimpin yang baik

Ketahuilah bahawa implikasi tidak mengundi dan tersalah undi itu besar kesalahannya. Kerana, hanya kerana satu undi yang terbazir, orang yang tidak sepatutnya memegang kuasa pemerintahan akan mendapat kuasa itu. Apabila orang yang tidak layak memerintah, maka kita juga akan turut bertanggungjawab terhadap kerosakan yang bakal dilakukan. Nauzubillah..

Selain daripada sifat umum sebagai seorang pemimpin yang wajib ada seperti adil, berilmu, faham keperluan agama dan bangsa lain, mementingkan rakyat dan tiada kepentingan peribadi, ada banyak lagi ciri-ciri pemimpin yang kita boleh senaraikan.

Berikut merupakan ciri-ciri calon pemimpin yang termasuk dalam senarai pilihan untuk saya undi:
1. Golongan masjid
Golongan masjid yang membawa maksud, mengutamakan Al-Quran dan sunah sebagai dasar dan ulama' sebagai rujukan yang sohih. Dengan kefahaman beragama yang dipegang, semestinya golongan ini yang akan selalu mengimarahkan masjid. Ini selari dengan kisah para sahabat yang mencari calon pemimpin di masjid-masjid kerana golongan yang sering berada di masjid ini mereka yang menjaga agama, menjaga amanah sebagai seorang khalifah dan memelihara kemuliaan Islam. Bukankah Nabi Muhammad dipilih untuk memimpin peristiwa meletakkan hajar aswad di tempatnya kerana bagindalah orang pertama yang kelihatan masuk ke masjidil haram ketika solat subuh?

2. Pemimpin yang melakukan pembaikan
Ya. pembaikan dari sudut kualiti pendidikan, taraf ekonomi, taraf hidup dan kebajikan untuk rakyat.


"Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya". (Hud: 61)

Pengajaran daripada Firman Allah ini ialah Allah swt melantik manusia sebagai khalifah di bumi untuk mengimarahkan dan memperbaiki keadaannya. Perlunya pemimpin itu yang memerangi kerosakan yang dilakukan di muka bumi selari dengan tugas yang Allah berikan kepada para Nabi dan Rasul untuk menyeru kepada mengESAkan Allah dan beribadat kepadaNya. Kemudian, Allah menyuruh kita untuk melakukan proses pembaikan (memakmurkannya)

3. Pemimpin yang melakukan transformasi
Transformasi dari sudut pembaikan diri sendiri dan masyarakat.

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya."(Al-A'raf: 56) 
"Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya Aku melihat kamu berada Dalam kemewahan; dan Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang meliputi (orang-orang Yang bersalah).
Dan Wahai kaumku! sempurnakanlah sukatan dan timbangan Dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda Yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi. (Hud: 84-85)
Pemimpin yang baik ialah yang mampu melakukan proses pembaikan diri sendiri dahulu dan kemudian mampu melakukan pembaikan untuk masyarakat.

Ini pandangan saya secara individu. Kebebasan mengeluarkan pendapat di laman sosial yang tidak mencemarkan nama universiti. Wallahu'alam.

penerangan dari sudut memilih pemimpin muslim yang korup dan pemimpin  non muslim yang berwibawa

bolehkah guru/kakitangan kerajaan mengundi selain UMNO?

kebahagiaan yangditafsirkan oleh bekas PM ialah dengan menconteng warna anak-anak muda. Sila betulkan saya kalau saya salah. :D

^_^





Sekian.
Nota:
1. Hari ini SPR mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh pilihanraya.
2. Dengar kata, tarikh pilihanraya tidak semestinya akan diadakan pada hujung minggu. Jika benar, sila beri cuti kepada mahasiswa untuk mengundi!

09 April 2013

Buat-buat buzy

Assalamualaikum wbt.. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw..

Allahuakbar. Bulan ini, bulan lepas, bulan banyak berfikir. Terlalu banyak konflik. Dalaman dan luaran. Emosi dan rohani. Akademik dan kerja dakwah. Juga.... Cinta dan perasaan.... Pergh!

Seronok bila disibukkan begini. Bahagia. Stress hilang bila datang meeting. Serabut hilang bila buat usrah. Jiwa tenang dengan hadir ke majlis ilmu. Dan juga, kerja-kerja amal islami yang menuntut saya untuk bermusafir ke sana sini. Itu formula kebahagiaan saya. Anda pula bagaimana?

Tepuk dada, tanya iman!

Sungguh, kesibukkanmu di dunia ini akan ditanya di akhirat nanti...

Wallahu'alam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...