• RSS

26 November 2013

Seorang suami dan seekor harimau

Di suatu zaman, tinggallah sepasang suami isteri di sebuah kampung.Si suami kerjanya mencari kayu api di hutan. Maka setiap hari, dia akan ke hutan untuk mencari kayu api. Manakala si isteri pula suri rumah sepenuh masa.

Suatu hari, ketika si suami ke hutan mencari kayu api seperti biasa, isterinya di rumah didatangi oleh seorang lelaki.

"Tuk, tuk, tuk!" bunyi ketukan pintu.

"Siapa?"tanya si isteri dari dalam rumah.

"Saya si polan bin si polan. Saudara suami kamu" jawab lelaki itu.

"Owh. Suami saya itu sedang mencari kayu api di hutan. Entah hidup entah kan tidak, pergi mampus la dia" kata si isteri dengan marah sekali.

lelaki itu sangat terkejut. Tegar benar seorang isteri mengeluarkan kata-kata kesat pada suaminya di hadapan seorang saudaranya.

Sementara menunggu kepulangan si suami, si isteri tersebut terus menerus menceritakan keaiban si suami dan mengutuk suaminya.

Lelaki itu hanya diam.

Tidak lama kemudian, pulanglah si suami ke rumah. Pulangnya dia bukan seorang diri. Tapi dia dibantu oleh seekor harimau yang membawa seberkas kayu api di belakangnya. Sampai di muka pintu, si suami mengambil kayu di belakang harimau dan berkata pada harimau tersebut "Barokallahufik!" kemudian berlarilah harimau tersebut kembali ke hutan.

Saudara lelaki itu sangat terkejut. Hatinya kagum dengan kehebatan saudaranya ini yang mampu menjinakkan harimau yang liar membantunya. tapi dia hanya diam tidak berani bertanya. Dia meminta izin untuk bermalam di rumah saudaranya.

Ketika menjamu selera, dia melihat, isteri saudaranya tidak berhenti-henti memarahi, mengutuk suaminya. Tapi saudaranya itu hanya diam dan bersabar.

Siang menjelma, lelaki itu meminta izin pulang.

***********************************************************************

Setahun kemudian, lelaki itu datang kembali menziarahi saudaranya.

"Tuk, tuk, tuk!" bunyi ketukan pintu.

"Siapa?"tanya si isteri dari dalam rumah.

"Saya si polan bin si polan. Saudara suami kamu" jawab lelaki itu.

"Owh. Suami saya itu sedang mencari kayu api di hutan. Tunggulah sebentar."jawab si isteri dengan sopan.

Sementara menunggu kepulangan suaminya, dia tidak henti-henti menceritakan kebaikan suaminya kepada saudaranya itu.

Lelaki itu hanya diam.

Tidak lama kemudian, pulanglah si suami ke rumah. Kali ini dia seorang diri. Seberkas kayu api dipikulnya sendiri di belakangnya. Tiada lagi harimau yang membantu.

Ketika menjamu selera, dia melihat, isteri saudaranya tidak berhenti-henti memuji kebaikan suaminya.

Siang menjelma, lelaki itu meminta izin pulang.Tapi sebelum dia melangkah, sempat dia bertanya.

"Apa telah terjadi kepada harimau yang membantumu dahulu? ke mana isterimu yang dahulu?"

"Saudaraku, Allah telah menjinakkan seekor harimau kerana berkat kesabaran aku terhadap isteriku yang menyakitkan hatiku. Dan apabila Allah telah menganugerahkan aku seorang isteri yang solehah, maka Allah ambil kembali harimau yang membantuku"

Bersabarlah wahai si suami. Kerana isteri itu hakikatnya kurang akalnya. Dan banyak nafsunya.

Tatkala kita bersabar, nescaya pertolongan Allah akan tiba. Allah Maha Pengasih memberi kita ujian dan nikmat bersilih ganti. apabila ditambah dengan suatu nikmat, maka Allah akan mengurangkan suatu nikmat yang lain. Sebagai tanda Dia mahu kita sentiasa berharap padaNya.

petikan hikayat kitab Muhimmah  karangan Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani



22 November 2013

Throwback few years ago

"Meraikan yang baru, menghormati yang lama" -Quoted-

.............................................................................................................................

Yang muda biasanya tertanya-tanya. Mengapa begitu, mengapa begini?

Yang tua biasanya pedas, sinis, berkias. Tidakkah kamu berfikir?

Semuanya masih berada dalam kelompok yang sama dalam menuju matlamat yang sama.

Senyum. ^^,

Semua orang pernah mengalami situasi yang sama. Yang muda akan tua. Yang tua pernah muda. Itu perkembangan sunnatullah.

Kepelbagaian cara masing-masing berfikir ini biasanya membuahkan hasil yang indah jika semua pihak mampu berlapang dada. Berfikir dengan positif dan tidak memasukkan elemen emosi.

Yang muda, jika tidak tahu, bertanyalah. Kerana itu hak anda untuk tahu. Tapi berpadalah. Jangan harap pertanyaan itu mampu difahami hanya dengan menunggu suapan. Bergeraklah. Berkerjalah. Kerana sesetengah pertanyaan itu akan ditemui sendiri jawapannya melalui taklifan yang digalas, kesukaran yang dihadapi dan pengalaman yang ditimba.

Orang tua ni, bukannya apa. Mereka sudah lebih merasa peritnya zaman di kampus. Dan apabila sudah berhadapan dengan cabaran di medan yang sebenar, masing-masing menganggap cabaran di kampus hanyalah tribulasi di celah gigi. Namun itu tidaklah bermakna mengecilkan cabaran adik-adik kampus.

Orang tua hanya mahukan yang terbaik daripada generasi yang akan datang. Kadang-kadang sengaja diberi 'taujihad' sinis untuk menjentik hati. Idea yang kadang-kadang terlalu idealis perlu 'disepak' supaya ia kembali realistik berpijak di bumi. Afala tatafakkarun?

Berhikmah?
Tidak dinafikan. Tapi yang dimaksudkan dengan hikmah ialah "cara terbaik dan mendatangkan manfaat lebih baik daripada mudarat". Bukanlah hikmah itu bermakna bercakap dengan berbisik sambil usap-usap belakang.

Nasihat orang lama, pandangan orang baru. Itu sinergi.

Yang tua bukanlah yang terbaik. Kerana itu, pentingnya yang baru menjadi lebih baik.

Kasih sayang dan keprihatinan orang lama kadang-kadang sengaja disorok. Dan yang lahir hanyalah kata-kata pandangan yang begitu. Apa-apa pun, mana mungkin kita lupa, kitakan lahir dari perut tarbiyah yang sama?



KCM 2010

KKM 2010

MESRA 2010

MTM 2010
KKM 2011
MTM 2011
SAYANG 2011

AGM PMI 2011

SPEAKER CORNER ISU ISMP 2012



LTK 2013


GAMIS JOHOR 2013

IJTIMAK TARBAWI 2013

AMEERAH JOHOR 2013

IHTIFAL PASTI 2013

last but not least,



Nota:
1. Get the point?
2. Golongan tua/lama: Final year dan alumni.
3. Golongan muda: selain final year dan alumni.
4. Ada satu perkara yang menjadi hak mutlak golongan tua sahaja yang boleh bincangkan. Nak tahu apa?Baitul Muslim!

20 November 2013

Motivasi husnul khatimah

Umurnya semuda 20 tahun. Tapi dunia menangis kehilangannya.

Umur saya 23. Tapi kalau saya mati saat ini, tiada apa yang perlu ditangisi. Kerana hilangnya saya bukanlah satu kehilangan buat Islam dek kerana kurangnya diri dalam menyumbang.

Ya. Saya belajar. Tapi ilmu saya untuk apa? siapa yang bakal mendapat manfaat untuk ilmu saya ini?

Ya. Saya naqibah. Tapi adakah mad'u saya memperoleh sesuatu akan apa yang saya sampaikan itu?

Ya. Saya ahli jemaah. Tapi apa yang jemaah saya dapat dengan adanya saya sebagai ahlinya?

Ahmad Ammar. Hidupnya disibukkan dengan manfaat. Himmah mencari kebenaran. Sibuk memberi bantuan.

Tapi kita hari ini, disibukkan dengan apa? Sibuk mencari kesalahan manusia. Sibuk mengejar kemewahan dunia. Hanyut dengan kelalaian.

Pengakhiran Ammar, syahid. Semadi di sisi sahabat Nabi.

Pengakhiran kita? wallahu'alam.



Motivasi husnul khatimah itu bermula dengan segala perbuatan yang diniatkan kerana Allah. Kerana itu perbezaan ibadah dengan yang bukan. Segalanya? Ya. segalanya termasuklah niat ketika membuka laptop untuk memulakan assignment.

Kerana dengan niat dan himmah yang tinggi ikhlas itu, segala yang kita lakukan hari ini, Insya Allah bermanfaat buat ummat. Doalah selalu. Allahumusta'an.


16 November 2013

Khalifah Umar Abdul Aziz dan Haram, Haram, Haram!

Bismillah walhamdulillah.. Allahummasolli'ala Muhammad wa barik wa salim 'alaih.

Saya baru pulang dari menonton pementasan teater muzikal Khalifah Umar Abdul  Aziz di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru. Tayangan ini adalah sempena sambutan 25 tahun Yayasan Warisan Johor.

Tayangan bertaraf korporat ini sudah tentunya tidak lari daripada penonton di kalangan pak mak datin dan yb. Makanya, sungguh pun ada sedikit kekurangan dari sudut syariat dari sudut pementasan, namun ia tidak menafikan keseluruhan pementasan yang menjadi salah satu metode dakwah kepada masyarakat. Terutamanya golongan yang mustahil untuk kita jumpa di majlis ilmu. Ini pendapat sayalah.

Sukalah saya untuk berkongsi serba sedikit mengenai khalifah yang dikagumi oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nama sebenar Umar Abdul Aziz ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan. Ibunya Laila Ummu Ashim bin Umar Al-Khattab. Lahir di kota Madinah pada tahun 63 Hijrah bersamaan 684 Masihi. Dilahirkan dalam keluarga bangsawan Bani Umaiyah pada sebelah bapanya. Ketika umurnya 15 tahun beliau telah menghafaz Al-Quran dan berguru dengan beberapa orang ulama. Isterinya bernama Fatimah binti Abdul Malik berasal dari Damsyik.

Antara babak yang ditekankan ketika pementasan ialah, ketika Umar dilantik menjadi khalifah, beliau berusaha menolak sekerasnya dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah langsung bermimpi akan menjadi seorang pemimpin. Beliau mengingatkan kepada orang ramai bahawa, setiap yang memilih dan dipilih untuk menjadi pemimpin akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Betapa Umar Abdul Aziz berat sekali ketika diumumkan sebagai khalifah.

Ketika hari pertama beliau menjadi khalifah, dan baru selesai menguruskan jenazah khalifah sebelumnya iaitu Sulaiman, beliau pulang ke rumah dan ingin berehat sebentar. Namun, anaknya yang soleh itu, iaitu Abdul Malik, mengingatkan ayahnya, "Wahai ayahku, apakah kamu jamin, kamu akan melaksanakan tanggungjawabmu sebagai seorang khalifah kepada rakyatmu ketika kamu tidur ini?" Pertanyaan sentap oleh anaknya itu segera menyedarkan Umar. Sungguh, tugas sebagai seorang pemimpin menuntutnya untuk mengurangkan waktu dia berehat.

Umar Abdul Aziz menjadi khalifah hanya selama dua tahun lima bulan sahaja. Namun, itu sudah cukup untuk melakukan perubahan yang sangat besar kepada rakyatnya. Beliau sanggup hidup susah demi menyempurnakan hak rakyatnya. Dalam menguruskan wang rakyat juga beliau sangat berhati-hati dengan memastikan tiada satu sen pun wang rakyat yang diambil. Ini dilihat dalam satu ketika, beliau didatangi dengan dua orang Nasrani yang datang mengadu meminta bantuan kewangan. Selepas seleasi urusan perbincangan tersebut, Umar segera memadamkan lampu yang digunakan. Kedua orang Nasrani itu berasa hairan mengapa khalifah memadamkan lampu terlalu cepat sedangkan mereka masih ada di situ. Jawab Umar, "Aku gunakan lampu kerajaan ini adalah untuk urusan rakyat sahaja. Apabila selesai urusan, maka aku gunakan lampu aku sendiri" Jelas menunjukkan betapa Khalifah Umar Abdul Aziz sangat teliti dalan urusan pembahagian harta rakyat.

Khalifah Umar mati diracun oleh orang upahan sepupunya ketika berumur 40 tahun. Hartanya ketika itu hanyalah 11 orang anak dan 17 dinar sahaja.

Di akhir pementasan, muncullah seorang hero yang bernama Imam Muda Nazrul untuk menyampaikan khulasoh pementasan. Beliau dengan lantangnya mengingatkan penonton mengenai tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang sangat besar sekali. Ditambah lagi sindiran bagi mereka yang meminta-minta jawatan. Pastinya, setiap yang mendengar pasti akan terasa tidak senang duduk dek kerana betapa sentapnya ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang dibacakan oleh Imam Muda Nazrul mengenai azab Allah bagi pemimpin yang culas melaksanakan tanggungjawabnya dan menyalahgunakan wang rakyat.

Itu hal pementasan.

Di Malaysia pula, youtube dan facebook heboh dengan video aksi lucu seorang ahli Parlimen yang berkelakuan seperti haiwan sarkas. Puncanya? apabila ada YB yang mengusulkan agar pemotongan elaun menteri demi menjaga kebajikan rakyat. Baru diusik sedikit kemewahan dirinya, dia sudah menjerit terpekik terlolong, "Haram, haram, haram. Tipu, tipu, tipu!"

Dalam pementasan tadi juga ada dilakonkan watak Fatimah, isteri Umar yang sangat redha dengan kesederhanaan keluarga yang dipilih oleh suaminya. Sedangkan hidupnya semenjak lahir, penuh dengan kemewahan. Dia sanggup menanggalkan pakaian mahal dan perhiasan di tubuhnya demi mendahulukan kebajikan rakyat. Dia hanya merasa cukup dengan berada di sisi suaminya. Sungguh, di sebalik kejayaan seorang lelaki itu pasti ada wanita hebat di belakangnya.

Cuba nilai menteri yang kita pilih di PRU13 lalu, sanggupkah isteri-isteri mereka mencabut cincin permata dan menggadai beg tangan dan kasut yang harganya boleh didirikan sebuah masjid itu.

Lihatlah. Jauh benar peribadi menteri yang menang hasil PRU13 yang lalu dengan peribadi Khalifah Umar Abdul Aziz.

Malaysia mengamalkan demokrasi. Pemimpin dan rakyat itu soal yang dipilih dan yang memilih. Itu soal pahala dan dosa. Syurga dan neraka. Berhentilah menjadi golongan jiwa kosong yang kononya berlepas diri dari politik. Come onlah, wahai manusia, afala tatafakkarun? afala tatadabbarun? afala ta'qilun?

Wallahu'alam



02 November 2013

Hari Jubah :)

Bismillah wa alhamdulillah.. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad..

Syukur atas pemberian. Sabar atas ujian.

27 oktober lalu, telah selamat saya berkonvokesyen. Meniti detik-detik sebelum hari kejadian, tiadalah langsung saya menghiraukan. 'Mood' yang langsung tiada. Hampir sahaja saya membuat keputusan untuk tidak menaiki pentas. Mungkin kerana saya masih kekal di sini, maka tiada apa kerinduan pada UTM itu sendiri.

Khabaran mengatakan, emak bersungguh-sungguh untuk datang. Abang uda juga asyik bertanya bila jadual naik ke pentas. Itu membantu untuk saya buat keputusan. "Kalau pun aku tak ada hati untuk naik pentas, tambahlah pahala buat emak bahagia melihat anaknya di pentas" bisikan itu hadir menyuruh saya untuk tidak membuat keputusan selfish.

Kehadiran kawan-kawan sekelas, sahabat-sahabat sepersatuan, sangat membantu menceriakan diri dan menarik 'mood' itu.

Masuk sahaja dewan, emak membalas mesej saya "Emak dah masuk. Ada di atas". Mengeluh saya. Kesian emak. Akibat bahagian bawah dewan yang sudah penuh, emak terpaksa memanjat tangga di tingkat atas.
Tibalah masanya, berjalan saya di atas pentas. Penantian selama empat tahun tapi berada di atas pentas itu tidak kurang dari setengah minit sahaja. Tidaklah ia sia-sia asalkan niatnya untuk melihat emak gembira.

Keluar sahaja dewan, terus mencari emak. Empangan air mata tidak lagi dapat dibendung. Dakapan hangat ciuman emak sangat mendamaikan. "Tahniah.." Emak berbisik. "Terima kasih, mak.." saya menjawab sambil membalas ciuman emak.

Selesai bergambar, sebelum zohor semua keluarga saya balik. Tinggallah saya dengan bunga-bunga hadiah pemberian mereka di UTM. Menyambung pengajian yang baru bermula. Urusan dakwah yang belum selesai, tanggungjawab tarbiyah yang tiada akhir, dan amanah mengislah yang tiada hujung. Semuanya menjadi ramuan yang perlu dihadam dalam diri. Sudah-sudahlah berenak-enak. Kerja yang ada lebih banyak dari masa yang kita ada. Semoga Allah redha!

Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik 10/13

Terima kasih Kak Saleha yang belanja KFC ^^,

Sahabat 07 yang meraikan :)

Dia surveyor, saya cikgu :) 
  


Satu-satunya gambar yang ada Along. Dia tak suka bergambar. Alasannya, "Along tak hensem"


  Nota:
1. Terima kasih atas ucapan tahniah di fb, whatsapp dan sms.
2. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang meraikan hari konvokesyen saya.
3. Doakan saya konvokesyen seterusnya, 2015. Insya Allah.. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...