• RSS

26 August 2014

99 Cahaya di Langit Eropah

Pada pengamatan saya, Indonesia antara negara yang maju dalam menghasilkan filem yang sarat ibrah. Barat sudah tak perlu ceritalah. Walaupun filem-filem berbaur lucah dan kuntilanak agak mengganggu di ruang cadangan-cadangan di sebelah kanan youtube, sekurang-kurangnya filem yang diadaptasikan daripada novel dari negara ini, tidak memualkan dan mempromosikan cinta,cinta dan cinta.

Tidak seperti di Malaysia, terlalu banyak yang mahu diadaptasi hingga meracun pemikiran generasi akan datang supaya menjadi gedik di media. Yang belum berkahwin dan sudah berkahwin masing-masing berlumba-lumba untuk melakonkan semula kisah yang mereka tonton.

Tidak tahulah salah siapa. Salah filem yang kurang kualiti atau mentaliti masyarakat sekarang yang tidak mahu mencari ibrah dalam filem tersebut.

Mana tidaknya, apabila suatu filem ditayangkan, ulasannya akan berbunyi begini, "Alah.. Kenapa heronya tak 'handsome'?

"Perempuan ni kurang 'match' dengan wataknya"

"'Endingnya' sepatutnya bukan begini.."

Jauh daripada pandangan nilai dan moral. Apatah lagi yang lebih besar iaitu ibrah. Hak memberi pandangan itu ada benarnya tapi cara pandangan itu diberi menunjukkan tahap mentaliti seseorang.

99 Cahaya di Langit Eropah hasil karya Guntur Soeharjanto khabarnya kisah benar seorang mahasiswa PHD di Vienna Austria.

Benarlah jauh berjalan, luas pemandangan. Banyak juga cabaran.

Cabaran untuk menjadi agen Islam di negara Eropah. Cabaran untuk menjawab soalan-soalan Stephen yang tidak percaya Tuhan, cabaran untuk melembutkan Khan yang terlalu syadid, cabaran untuk mengelak godaan Maarja, cabaran untuk berhadapan dengan ketegasa seorang supervisor PHD.

Itu baru manusia.

Belum lagi ketika berhadapan dengan penyesuaian waqi' tempat dan masa. Terpaksa solat di ruangan agama lain turut menyembah patung tuhan mereka, masuk ke gereja untuk memanaskan badan, ponteng solat Jumaat dengan penuh rasa bersalah akibat ujian mingguan subjek 'Research Method' yang tidak boleh diubah waktunya dan sebagainya.

Kuncinya, sabar. Kerana hanya dengan sabar akan menjadikan fikiran mampu berkerja dengan rasional. Rangga sabar dengan pertanyaan Stephen "Di manakah pejabat Tuhan?", Rangga sabar dengan isterinya Hanum dalam menyuruhnya memakai tudung hingga akhirnya Hanum memakai sendiri tudung kerana seorang kanak-kanak kecil Aisya. Rangga juga sabar dalam melembutkan Khan supaya tidak terlalu ekstrim melayan Stephen.

Seterusnya, filem ini juga menonjolkan beberapa babak yang mampu membuat bulu roma meremang melihat ke'izzahan Islam. Contohnya ketika Rangga azan maghrib di atas menara Eiffel, ukiran Lailahaillallah di jubah lukisan mother Maria, di lukisan jubah seorang Raja, garis lurus 'Arch of Triomphe' yang terus mengarah ke Kaabah, dan banyak lagi. Perancis, Austria, Sepanyol dan Turki ialah negara yang menjadi latar tempat yang sangat indah.

Sayangnya, saya bukan orang sejarah yang hadam siapa itu Kara Mustafa Pasha dan beberapa kisah ketamadunan. Bagi mereka yang cekap, pasti mudah untuk menangkap ketika Fatma menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Hanum.  

Filem ini ada dua siri. Cari dan tontonlah kedua-duanya.

Wallahu'alam.




06 August 2014

Syawal dan ritual

Yang dinamakan ritual itu ialah adat. Kebiasaan. Benda yang selalu dibuat lalu menjadi ikutan sepanjang zaman. Bezanya dengan ibadat ialah niat dan ganjaran. Ibadat itu syaratnya niat kerana Allah dan ada ganjaran di sisi Allah. Manakala adat itu tiada niat yang spesifik dan melakukannya juga tidak mendapat apa-apa. Tak semua adat boleh jadi ibadat. Tapi semua ibadat boleh jadi adat.

Pendek kata,

Adat boleh jadi ibadat dengan niatnya.

Ibadat boleh jadi adat dengan istiqamahnya.

Kaitannya dengan syawal ialah apabila terlalu banyak adat yang dibesarkan HANYA ketika syawal.

[1] Pergi kubur
Ramai masyarakat Islam di Malaysia menjadikan ini sebagai amalan di pagi raya. Buktinya, ada orang selfie di sana. Gila! Ziarah kubur sepatutnya jadi amalan sedih. Mengingat ahli keluarga yang tiada di sisi juga insaf mengingat mati. Tapi lain pula jadinya. akhirnya ia menjadi amalan ritual suka-suka. Yang si perempuan tidak menutup aurat, jalan selamba dan malang sekali jika yang berhalangan turut masuk ke kawasan kubur tanpa rasa bersalah.

[2] Bermaaf-maafan
Memang bagus amalan ini. Bermaaf-maafan ketika hari raya adalah bidaah yang baik untuk dilaksanakan. Tapi, apa pula gunanya jika ia sekadar maaf di bibir tidak pula dihati. Buktinya, apabila singgah ke rumah sebelah, diumpat pula tuan rumah pertama tadi.

Banyak lagi amalan yang ada, tapi cukuplah ini sahaja.

Pada saya, menyambut syawal di umur begini, biasa-biasa sahaja. Keseronokan dan kemeriahan yang sangat terasa ialah apabila semua sanak saudara datang berkumpul dan makan dengan penuh bersemangat tanpa mengungkit-ungkit bilangan kalori dan diet. Juga dapat berbual bersama dengan mengenepikan gadjet itu sudah cukup sebagai tanda penghargaan besar buat tuan rumah.

Tapi, apa-apa pun syawal kali ini sangat dahsyat bagi saya kerana:
1. 2 hari sebelum syawal, saya sesak nafas akibat kepenatan membersihkan kawasan rumah.
2. 2 Syawal saya terlupa makan nasi dan akhirnya perut masuk angin lalu saya muntah-muntah keesokan harinya.  

sekian.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...