• RSS

20 May 2011

misteri Pulau Besar

Disember 1996

Mutiara-mutiara peluh sudah mula membasahi dahi. Kanak-kanak perempuan itu resah. Dia sekejap-sekejap memusingkan badan ke kanan dan ke kiri. Tidurnya terganggu kerana suhu di dalam khemah itu bukanlah suhu ideal untuk dia dibuai mimpi. Dia mengeluh. Tersedar di tengah-tengah malam begini sangat meresahkan jiwanya. Suhu yang ada menyegarkan matanya untuk tidak ngantuk.   Akhirnya dia duduk. Matanya meninjau segenap isi khemah semuanya kelihatan lena. Dia membetulkan duduknya dan mula memasang niat untuk keluar menghirup udara segar di waktu malam. Kepalanya sudah dijengukkan ke tingkap kecil khemah yang berada di atas kiri kepalanya. Sunyi. Gelap. Tangannya sudah hampir membuka zip pintu khemah.
Tiba-tiba, sayup-sayup di kejauhan dia terdengar sesuatu. Semakin lama suara itu semakin hampir. Dia bergegas menekup mukanya kembali di pembaringan. Niatnya untuk keluar dari khemah termati serta merta. Dia kaku terdiam. Mengamati suara tersebut.

Subhanallah walhamdulillah wa lailahaillallah wa allahuakbar… suara itu berulang-ulang kali. Kedengaran ia dizikirkan oleh kanak-kanak lelaki kira-kira seusianya. Dengusan nafasnya menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut sedang berlari anak. Lidahnya lancar melagukan zikir dengan bersungguh-sungguh.
Budak perempuan tadi menarik nafas lega kerana apa yang didengarinya bukanlah hilaian menakutkan sebaliknya zikir yang menenangkan. Dia khusyuk mendengar. Siapakah yang berani keluar bermain di pantai malam-malam begini? Sangat bersemangat budak lelaki itu berzikir. Semakin diamati, suara itu makin menjauh dan terus hilang. Dan matanya lena kembali.

Mei 2011

Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan. Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.

Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini. Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan ajaran Islam.

Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail. Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail. 


Nota:
1.       Sangat terkilan kerana saya tidak diberi keberanian untuk meninjau rupa kanak-kanak lelaki yang berzikir sambil berlari itu
2.       Saya yakin dia bukan kanak-kanak manusia biasa.


17 May 2011

kemuncup

Cabaran dan dugaan itu lumrah. Apatah lagi jika namanya orang berjuang. Dalam laju mengayun langkah, pasti akan ada kemuncup yang cuba-cuba menduga. pantas menerkam kaki si pejuang. sekadar ingin menguji tahap keimanan. Bisa kemuncup tidaklah sebisa duri. Namun, kemuncup yang berceracak itu mencuri keselesaan yang ada. si pejuang tetap tegar. terus melangkah tanpa dihirau kemuncup yang menumpang memberatkan langkahnya. Sesekali si pejuang terpandang kemuncup di kakinya, dia tersenyum. Takjubnya, si pejuang itu tidak sekali-kali menyalahkan kemuncup itu. Dia redha. kemuncup itu tarbiyah buat dirinya. kemuncup ini perlu ada! dengus hatinya. Demi menyelamatkan umat ini.....

Sungguh aku perlukan kemuncup itu. Kemuncup itu pasti kan ku rindu..

~NBK 8505~
~2.30 pm~
~17 mei 2011~

07 May 2011

Selamat Hari Ibu, Emak!



  Entri khas untuk emak saya dalam blog ini: satu, dua, tiga, empat!


Si Blogger Kampung



Judul: Si Blogger Kampung
Penulis: Zamri Mohamad & Hafizul Hilmi
Bilangan muka surat: 198
Penerbit: PTS Professional Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM14.00 Sabah/Sarawak RM16.00
Sumber: Hadiah pemberian Kak Rohayati

Siapa sangka anak kampung tidak boleh berjaya? Siapa kata tikar mengkuang sudah tenggelam dengan permaidani dan tidak mampu menjamin kewangan yang menguntungkan?

Mulakan perniagaan blog anda dengan menjawab soalan berikut:
Siapa saya? Apakah produk saya? Bagaimana cara memesan produk saya?  Di mana saya?
          
Perkenalkan diri dan produk. Mudahkan pembeli dengan memberitahu cara pesanan dan harga. 

Kehadiran Haeqal di kampung tersebut memberi nafas baru buat Kampung Mangga, Pulau Besar Melaka. Jika dahulu kampung mangga hanya terkenal dengan Pokok Mangganya, maka kini kampung tersebut sudah terkenal dengan pelbagai perniagaan kecil. Semuanya kerana blog! 

Asyraf dan Juwaini tidak perlu lagi menjunjung tikar mengkuang yang besar ke setiap ceruk kampung bagi membantu ibu mereka menjual tikar mengkuang. Puan Jamilah tidak perlu lagi mengharapkan pembeli yang selalu mengambil kesempatan di atas kesempitan hidupnya. Semuanya bisa berubah dengan perniagaan di blog!

Perniagaan di blog satu-satunya perniagaan yang boleh dijalankan dengan senyap dan selamat. 

Nota:
1.        Latar tempat yang  digunakan, Pulau Besar mengingatkan saya pada satu kisah misteri . (next entri)
2.        Saya tak tahu kenapa, watak Juwaini dalam cerita ini, saya bayangkan ia seorang perempuan walaupun sudah ada karikatur watak di muka surat hadapan.
3.        Tahniah buat penulis !

03 May 2011

Menjadi guru pakej

Hari ini saya menerima kunjungan seorang sahabat. Sahabat yang  sebelum ini telah benyak memberi bimbingan  dan membawa saya ke medan ini hampir dua tahun yang lepas. Kedatangan ‘surprise’nya benar-benar menjadi. Memang saya rindu benar dengan naqibah saya dan Alhamdulillah Allah pertemukan kami walaupun masa yang ada amat singkat.

Saya merasa teruja. Sibuk  bertanya itu dan ini mengenai kehidupannya sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah pedalaman di Sarawak. Jelas, menurut kak Yati kehidupannya amat sukar di sana. Cabaran menghadapi murid-murid yang rosak akhlaknya, makanan halal yang sukar diperolehi, dan keseorangan membawa Islam. Dan yang paling beliau terasa diuji adalah mengenai teori dakwah yang diperolehi di kampus tidak mudah diaplikasikan di sana.

Saya terbungkam mendengar cerita beliau satu persatu. Memandangkan saya juga bakal menjadi seorang guru, pengalaman ini harus saya dalami sebagai ilmu persediaan kelak. Amat payah  jalan itu. Saya sudah mula merasa bahang kesukaran menjadi seorang guru. 

Tugas guru bukan sekadar mengajar. Malah mendidik. Atau lebih harakinya mentarbiyah.  Bermula dengan isi kandungan pelajaran yang ditekankan, akhlak juga harus dibentuk di sini. Bagi seorang daie, aqidah tunjang utama yang mesti diluruskan terlebih dahulu.  Wasilahnya tidak boleh semberono. Harus teliti dalam usaha mendekati hati pelajar. Psikologi, dan pendekatan yang digunakan bukan semestinya lembut tapi ketegasan juga penting bagi mengubah sifat jahiliyah yang ada dalam diri sesetengah anak-anak muda zaman kini dan seterusnya. Dakwah generasi i-pad memerlukan guru yang pakej. Tarbiyah, dakwah dan siasahnya harus sentiasa seimbang. Silap pertimbangan, maka lari bertempiaranlah hati mad’u yang baru mula-mula mengenal apa itu Alif, Ba, Ta.

Ditambah lagi dengan bebanan kerja-kerja pentadbiran sekolah, melayan karenah anak murid, guru-guru, kakitangan sekolah, ibu bapa malah masyarakat yang sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya pada guru. Tidak hairanlah jika baru-baru ini ada kajian yang membuktikan guru merupakan golongan paling ramai yang menghadapi penyakit psikologi. (sinonimnya, gila!) 

Saya kembali fokus kepada Kak yati.

Perkongsian demi perkongsian. Bermula dari kisah dakwah kampus, hinggalah ke hal-hal peribadi. Baitul muslim. Saya banyak mendengar. Juga mencelah sekali sekala. Saya cuba melihat  matang dalam hal ini. Masing-masing menyatakan impian dan cita-cita. Jelas pentingya institusi ini bagi menjamin keberlansungan dakwah di luar kampus. Apatah lagi yang memahami cabaran seorang guru di sekolah pedalaman. Hmm.. Apa pun jua, Insya Allah jodoh itu pasti akan datang pada saat, waktu, dan masa yang tepat pada insan yang benar-benar ikhlas.

Hampur dua jam berlalu. Masih belum puas rasanya berkongsi cerita. Orang semakin ramai di Meranti. Akhirnya masing-masing akur.  Kami sama-sama mengalirkan air mata. Entah bila lagi akan bertemu. Arked Meranti itu menjadi saksi pertemuan kami pada Julai 2009 dan juga perpisahan  kami pada 3 Mei 2011.  Saya masih ada masa dua tahun untuk persiapkan diri ke medan tempur yang sebenar. saya meminta doa agar dipermudahkan urusan di sini. Dan Kak Yati juga mohon didoakan supaya terus kekal kuat dan tabah menghadapi mehnah dan tribulasi yang sedang dihadapi. Insya Allah kak. Siiru ‘ala barokatillah..

Nota:
1.       Semua profession punyai cabaran masing-masing.
2.       Baitul muslim bukan sekadar bahan gurauan gelak ketawa.
3.       Sila ‘menjengah’ sekali-sekala alam di luar kampus. Bagi mengetahui realiti sebenar cabaran hidup.
4.       Sayangi naqibah anda supaya anda juga disayangi anak usrah anda.
5.       Saya menghantar Kak Yati hingga ke airport petang ni. (-_^)/
6.       Kak yati hadiahkan buku “Si Blogger kampung “ pada saya. Alhamdulillah.. Kebetulan BELUM  mendapatkannya.. =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...