"tegur saya kalau nampak saya buat sesuatu yang tak kena"
"jangan biarkan saya hanyut dalam kemungkaran"
"kami sebagai pimpinan amat mengharapkan teguran dan nasihat daripada sahabat-sahabat sekalian"
***
Ini semua ucapan ketika kita sedar. Ketika air mata taubat masih penuh di kelopak mata. Ketika iman sedang tinggi meningkat.
Tapi apabila sampai suatu keadaan kita berada dalam maksiat, dan lalai, lalu datang sahabat setia yang pernah dipertanggungjawabkan untuk memberi nasihat kepada kita, apa benar kita masih boleh terima nasihat tersebut?
Mungkinkah ego yang bersarang dalam diri mampu tunduk sujud ke tanah menyembah ke bumi lalu menerima nasihat dengan sepenuh hati?
Belum tentu.
Dan akhirnya permintaan 'wassini' itu sekadar retorik.
Pada pengamatan saya, Indonesia antara negara yang maju dalam menghasilkan filem yang sarat ibrah. Barat sudah tak perlu ceritalah. Walaupun filem-filem berbaur lucah dan kuntilanak agak mengganggu di ruang cadangan-cadangan di sebelah kanan youtube, sekurang-kurangnya filem yang diadaptasikan daripada novel dari negara ini, tidak memualkan dan mempromosikan cinta,cinta dan cinta.
Tidak seperti di Malaysia, terlalu banyak yang mahu diadaptasi hingga meracun pemikiran generasi akan datang supaya menjadi gedik di media. Yang belum berkahwin dan sudah berkahwin masing-masing berlumba-lumba untuk melakonkan semula kisah yang mereka tonton.
Tidak tahulah salah siapa. Salah filem yang kurang kualiti atau mentaliti masyarakat sekarang yang tidak mahu mencari ibrah dalam filem tersebut.
Mana tidaknya, apabila suatu filem ditayangkan, ulasannya akan berbunyi begini, "Alah.. Kenapa heronya tak 'handsome'?
"Perempuan ni kurang 'match' dengan wataknya"
"'Endingnya' sepatutnya bukan begini.."
Jauh daripada pandangan nilai dan moral. Apatah lagi yang lebih besar iaitu ibrah. Hak memberi pandangan itu ada benarnya tapi cara pandangan itu diberi menunjukkan tahap mentaliti seseorang.
99 Cahaya di Langit Eropah hasil karya Guntur Soeharjanto khabarnya kisah benar seorang mahasiswa PHD di Vienna Austria.
Benarlah jauh berjalan, luas pemandangan. Banyak juga cabaran.
Cabaran untuk menjadi agen Islam di negara Eropah. Cabaran untuk menjawab soalan-soalan Stephen yang tidak percaya Tuhan, cabaran untuk melembutkan Khan yang terlalu syadid, cabaran untuk mengelak godaan Maarja, cabaran untuk berhadapan dengan ketegasa seorang supervisor PHD.
Itu baru manusia.
Belum lagi ketika berhadapan dengan penyesuaian waqi' tempat dan masa. Terpaksa solat di ruangan agama lain turut menyembah patung tuhan mereka, masuk ke gereja untuk memanaskan badan, ponteng solat Jumaat dengan penuh rasa bersalah akibat ujian mingguan subjek 'Research Method' yang tidak boleh diubah waktunya dan sebagainya.
Kuncinya, sabar. Kerana hanya dengan sabar akan menjadikan fikiran mampu berkerja dengan rasional. Rangga sabar dengan pertanyaan Stephen "Di manakah pejabat Tuhan?", Rangga sabar dengan isterinya Hanum dalam menyuruhnya memakai tudung hingga akhirnya Hanum memakai sendiri tudung kerana seorang kanak-kanak kecil Aisya. Rangga juga sabar dalam melembutkan Khan supaya tidak terlalu ekstrim melayan Stephen.
Seterusnya, filem ini juga menonjolkan beberapa babak yang mampu membuat bulu roma meremang melihat ke'izzahan Islam. Contohnya ketika Rangga azan maghrib di atas menara Eiffel, ukiran Lailahaillallah di jubah lukisan mother Maria, di lukisan jubah seorang Raja, garis lurus 'Arch of Triomphe' yang terus mengarah ke Kaabah, dan banyak lagi. Perancis, Austria, Sepanyol dan Turki ialah negara yang menjadi latar tempat yang sangat indah.
Sayangnya, saya bukan orang sejarah yang hadam siapa itu Kara Mustafa Pasha dan beberapa kisah ketamadunan. Bagi mereka yang cekap, pasti mudah untuk menangkap ketika Fatma menceritakan kisah-kisah sejarah kepada Hanum.
Filem ini ada dua siri. Cari dan tontonlah kedua-duanya.
Yang dinamakan ritual itu ialah adat. Kebiasaan. Benda yang selalu dibuat lalu menjadi ikutan sepanjang zaman. Bezanya dengan ibadat ialah niat dan ganjaran. Ibadat itu syaratnya niat kerana Allah dan ada ganjaran di sisi Allah. Manakala adat itu tiada niat yang spesifik dan melakukannya juga tidak mendapat apa-apa. Tak semua adat boleh jadi ibadat. Tapi semua ibadat boleh jadi adat.
Pendek kata,
Adat boleh jadi ibadat dengan niatnya.
Ibadat boleh jadi adat dengan istiqamahnya.
Kaitannya dengan syawal ialah apabila terlalu banyak adat yang dibesarkan HANYA ketika syawal.
[1] Pergi kubur
Ramai masyarakat Islam di Malaysia menjadikan ini sebagai amalan di pagi raya. Buktinya, ada orang selfie di sana. Gila! Ziarah kubur sepatutnya jadi amalan sedih. Mengingat ahli keluarga yang tiada di sisi juga insaf mengingat mati. Tapi lain pula jadinya. akhirnya ia menjadi amalan ritual suka-suka. Yang si perempuan tidak menutup aurat, jalan selamba dan malang sekali jika yang berhalangan turut masuk ke kawasan kubur tanpa rasa bersalah.
[2] Bermaaf-maafan
Memang bagus amalan ini. Bermaaf-maafan ketika hari raya adalah bidaah yang baik untuk dilaksanakan. Tapi, apa pula gunanya jika ia sekadar maaf di bibir tidak pula dihati. Buktinya, apabila singgah ke rumah sebelah, diumpat pula tuan rumah pertama tadi.
Banyak lagi amalan yang ada, tapi cukuplah ini sahaja.
Pada saya, menyambut syawal di umur begini, biasa-biasa sahaja. Keseronokan dan kemeriahan yang sangat terasa ialah apabila semua sanak saudara datang berkumpul dan makan dengan penuh bersemangat tanpa mengungkit-ungkit bilangan kalori dan diet. Juga dapat berbual bersama dengan mengenepikan gadjet itu sudah cukup sebagai tanda penghargaan besar buat tuan rumah.
Tapi, apa-apa pun syawal kali ini sangat dahsyat bagi saya kerana:
1. 2 hari sebelum syawal, saya sesak nafas akibat kepenatan membersihkan kawasan rumah.
2. 2 Syawal saya terlupa makan nasi dan akhirnya perut masuk angin lalu saya muntah-muntah keesokan harinya.
Ramadhan bulan tarbiyah. Kata-kata ini sangat epik bagi orang yang faham maksud tarbiyah. Sangat 'mainstream' jika ianya di'share' dan menunggu 'likers'. Tapi sejauh mana erti tarbiyah itu difahami dan dicari dalam diri itu adalah lebih penting.
Saya beri contoh, program tarbiyah di kampus. Acara ritual setiap kali di awal program, pengarah program akan memberi peringatan begini, "ini ialah program antum. Jika antum semua rasa ini program tarbiyah, maka antum semua akan rasa ini program tarbiyah. Jika antum semua menganggap ini semua sekadar modul, terpulanglah pada antum semua."
Dan biasanya peserta akan menjawab dengan menunjukkan wajah yang berkerut-kerut.
Dan peserta yang masih menganggap modul program itu retorik selalunya akan berpendapat "tarbiyah kan berlaku sepanjang hidup. Bukan dalam program je. Tak realistik langsung!"
Dan pastinya, di antara peserta itu pastinya ada yang berbisik"solat taubat kat dalam program je ke? Hmm.. retorik belaka"
Ya. Memang modul itu diada-adakan. Diadakan hasil 'brain storming' insan-insan lemah yang sudi berkorban masa dan akal fikiran demi untuk Islam.
Ya memang tarbiyah itu sepatutnya berlaku sepanjang masa. Bukan sekadar program. Ya. tarbiyah ruhiah itu sentiasa perlu dibuat di luar program. Tidak dinafikan sama sekali.
Tapi, hakikatnya kita ini manusia lemah. Sangat lemah. Memerlukan medan untuk mujahadah. Perlukan sahabat-sahabat untuk mencari kekuatan. Perlukan bantuan 'modul retorik' untuk biasakan dalam dunia sebenar.
Beruntunglah orang yang sudah dilahirkan dalam keluarga tarbiyah sedari dalam kandungan. Beruntunglah orang yang boleh melihat setiap yang berlaku dalam dirinya dengan kaca mata tarbiyah. Beruntunglah orang yang boleh sentiasa bergaul dengan ulama' dan diberi kefahaman beragama dengan sekali talaqi. Beruntung dan bersyukurlah. Kerana hanya dengan syukur mengingatkan kamu kepada Tuhan yang Maha Memberi dan tidak mudah-mudah menghina orang di sekelilingmu yang tidak senasib denganmu.
Apa kaitannya dengan Ramadhan?
Ramai orang rajin membaca Al-Quran dalam bulan Ramadhan. Rajin solat berjemaah, rajin qiamulail dan amalan-amalan sunat yang lain. Malah, ramai juga yang menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu 'turning point' dalam hidupnya untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Memang betul, kita seharusnya menjadi hamba Allah. Bukan hamba Ramadhan. Kita sepatutnya beribadah bukan bermusim tapi sepanjang masa. Betul. Tapi kita hanya manusia biasa. Hamba Allah yang lemah yang masih memerlukan medium untuk menjadi lebih baik.
Kita tak tahu di sebalik hati para sahabat itu mungkin ada yang terkesan dengan 'modul retorik' itu. Kita tak tahu mungkin nilai istiqamah itu bermula dari dalam program. Kita juga sangat tak tahu hidayah Allah itu tiba dalam bentuk apa.
Ramadhan yang penuh keberkatan itu Allah berikan kepada hambaNya dengan penuh rahmat. Pahala puasa yang Allah terima tanpa perantaraan malaikat dan rahsia malam Al-Qadar menunjukkan Allah sangat Maha Penyayang pada kita. Bukan Allah tak tahu kelemahan hambaNya yang sentiasa pelupa tapi, tidak pula pernah Allah tarik semula kelebihan-kelebihan yang ada dalam Ramadhan itu dek kerana kealpaan kita. Allah sentiasa ada. Bersama kita. Hambanya yang hina.
Dalam lambakan ibadah yang dilakukan mungkin ada satu yang ikhlas lalu membuahkan istiqamah.
Dalam beberapa siri taubat yang dizahirkan mungkin ada satu yang mampu memeliharanya kembali kepada maksiat.
Jangan mudah menghina orang, kerana hanya Allah yang berhak menghina bagi orang yang suka menghina. Nauzubillah..
"Kawan tu orang yang ada pada masa senang. Sahabat orang yang ada pada masa senang dan susah."
Itu perbezaan mudah antara sahabat dan kawan.
Sahabat tempat berkongsi kesedihan. Sahabat juga boleh jadi tempat meraikan kegembiraan. Sahabat sangat diperlukan ketika diminta nasihat dan pendapat. Sahabat sangat diharapkan untuk memahami perasaan dalam apa jua keadaan.
Sahabat superb!
Tapi kadang-kadang, kita terlupa. Bahawa sahabat juga ada perasaan. Ada perasaan yang perlu dijaga. Ada tingkah yang perlu disabari.
Kadang-kadang kita terlupa lagi, kita terlalu mendahulukan perasaan sendiri daripada perasaan sahabat.
Jika kita sedang gembira dan datang kepada sahabat yang sedih, perasaan siapa agak-agaknya yang kita dahulukan?
Jika kita bergurau dengan sahabat , adakah kita benar-benar yakin sahabat boleh menerima dengan gurauan kita? Dan jika sahabat kita tak boleh menerima gurauan tersebut, kita paksa pula dia menerima dengan kata "rileks la. Kau ni, bergurau pun tak boleh!"
Jika kita sedang sedih dan datang kepada sahabat yang sedang gembira, adakah kita berhak untuk memaksa sahabat turut merasai kesedihan kita?
Dan kerana paksaan itulah kadang-kadang boleh menyakiti perasaan sahabat.
Lalu apa bezanya nilai seorang sahabat dengan 'punching bag'?