• RSS

07 October 2013

Membebel budak baru belajar

Assalamualaikum wbt. Selawat dan salam buat junjungan besar nabiyyuna Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda..

Minggu ini minggu kelima kuliah. Minggu lepas minggu keempat. Minggu ini minggu menghantar assignment, dan presentation yang sepatutnya disiapkan sejak minggu lepas. kalau ikut jadual budak nerd yang cemerlang, terbilang la. Malangnya ia tidak terjadi ke atas diri saya. :(

Yeargh. Mari mencipta alasan kenapa tak buat kerja tepat pada masanya!

Alasan 1

Assigment yang diberikan oleh Dr taklah susah mana. Tapi, ia memerlukan ketekunan yang mendalam untuk mencari jurnal ilmiah, dan mengkritiknya dengan perasaan macam bagus yang perlu disematkan dalam jiwa serta mencari benang-benang basah untuk menegakkan hujah kita. Bak kata Dr Bambang pensyarah saya, "you have to think critical, and being sceptical to critics the journal". Owh Dr. Mengapa anda memaksa saya menjadi macam bagus sedangkan 'i'm not that kind of person'. (huhuhu. seriously?) Jadi, apa yang terjadi ialah  tatkala semangat berkobar-kobar untuk membuat assignment datang, saya terus buka laptop dan membaca jurnal tersebut. Tapi malangnya, tidak sampai 10 minit, saya sudah menutup laptop dan membuat kerja lain.   Jadi, alasannya ialah saya masih dalam tempoh menyesuaikan diri dalam membuat assignment yang asasnya ialah jurnal, jurnal, jurnal!

Alasan 2

Alasannya ialah, tiada tekanan, tak boleh buat kerja.Ini ada kaitannya juga dengan sikap suka buat kerja di saat akhir. Yaa.. Saya tahu sikap itu ibarat parasit yang memudaratkan. Tapi, saya punyai satu masalah iaitu tidak mampu menjadi optimum tanpa tekanan. Disebabkan minggu kedua dan ketiga tiada tekanan yang menimpa maka, saya hanya menaip satu ayat sehari untuk assignment tersebut. (isyh.Isyh. Isyh. Terok bebenor) Bila masuk minggu keempat, tekanan mula datang dengan meeting yang pelbagai, program yang sedia menunggu, serta taklifan lain dan ketika itu baru datang kesedaran yang tinggi untuk berjihad menyiapkan segala kerja dalam satu hari. Memang mustahil la!

Alasan 3

Ermm...malas kott?

Kesimpulannya, alasan-alasan ini boleh direka oleh sesiapa. Penulis boleh menipu ketika menulis. Tapi mereka tak mampu menipu diri sendiri. Nak berjaya dalam hidup, tidak perlu menjadi bijak. Tapi kita hanya perlu menjadi rajin. Ya. Rajin untuk mencari jurnal. Rajin untuk membaca bahan ilmiah yang berat. Rajin untuk mengkaji benda yang kita tak tahu. Rajin untuk buat semua benda yang baik.

Dan mengenai pengurusan masa pula, sememangnya masa itu tak akan pernah kembali. Makanya tak payah nak mengada-ngada lah nak cakap "maaf, saya budak baru." sebagai alasan. Jadi orang yang cepat belajar. Boleh?

Akibat daripada apabila assigment tak siap, quiz atau test tak study lagi, maka apabila diminta untuk datang meeting, pergi program, dan macam-macam gerak kerja jemaah, maka alasan yang paling klise akan diberikan iaitu " maaf, saya sibuk" Suruh buat awal-awal, tak nak! teruk betul ahli jemaah ni..

Suka saya untuk memetik kata-kata buku Dr Zaharuddin Abdul Rahman dalam bukunya Jangan Berhenti Berlari "Cabar zon selesa anda dengan perkara baru, ilmu baru, medan baru, konteks baru dan apa-apa yang lebih mencabar dan boleh menghasilkan kesan positif buat diri dan ummah. Nescaya satu perkembangan cemeralng akan berlaku dalam diri"

Dan juga kalam murobbi yang saya sanjungi, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dalam majalah Tarbawi edisi Ijtima' Tarbawi 3.0 "Di kalanya manusia ada yang menggunakan hujjah 'sibuk' sebagai alasan. Apabila mereka gagal menghadiri mesyuarat, atau tidak dapat hadir ke suatu majlis tertentu walaupun sudah menerima jemputan secara rasmi, terkadang jarang datang ke masjid menunaikan solat jemaah, apabila ditanya maka jawapannya mudah sahaja iaitu 'sibuk'."

Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu dengan urusan apakah kita disibukkan itu. Urusan dunia? atau urusan dunia dan akhirat?

Tepuk dada, tanya iman.

Mari menjadi ahli jemaah Islam yang cemerlang!



Percayalah, tanpa BR1M pun, anda mampu memiliki buku-buku ini. Rezeki kan Allah yang bagi?




29 September 2013

Uncle kawan abah

Assalamualaikum wbt..

Allahumma solli 'ala Muhammad wabarik wa salim..

Dua minggu lepas, pagi-pagi lagi saya bergegas ke kaunter tiket Sri Puteri mencari tiket ke Batu Pahat. Mahu pulang segera menghabiskan jam kredit belajar memandu. Hari itu, hari jumaat. Orang pun tidak terlalu ramai. Tidak sesak seperti selalu. Selepas membayar harga tiket, seorang uncle berbangsa cina di belakang saya, rupa-rupanya mahu ke destinasi yang sama dengan saya. Tua tetapi cergas orangnya. Amoi di kaunter meminta saya menjaga uncle ini.

“adik, you tolong tengok-tengokkan uncle haa.. nanti kalau bas sudah sampai you beritahu sama dia ya..” kata amoi bermata sepet.

“Ok. Boleh2.” Kata saya menggangguk senyum.

“Uncle, jom!”

Macam biasa, duduk tepi jalan sambil mata awas kepada nombor plat bas yang tiba. Lama sungguh.

“lu mau balik batu pahat, lumah lu kat mana?” uncle memulakan perbualan.

“owh.. rumah saya kat muar. Tapi biasa ambil bas ke batu pahat. Lagi dekat.” Jawab saya.

“muar dekat mana?”uncle bertanya lagi.

“parit jawa.”

“palit jawa kat mana? Rumah saya kat palit jawa juga..”

“dekat parit nawi..”

“owh… lumah lu kat parit nawi.. saya tau. Saya tau. Situ ha. lulu saya ala solang kawan. Kilija bandar muar tapi sikalang lama sulah saya tak nampak itu olang. Namanya Amin. Lu ala kenal tak?”

“Amin? Kerja Bandar muar? Ermm… itu ayah saya, uncle!” jawab saya hampir menjerit.

“Waaaa… itu bapak lu ah? Mana lia pigi? Sulah lama wa tak nampak lia..?”

“Uncle….. abah lama dah meninggal…”

“ Ohh… soli ah. Saya tak tau.. patutla lama sula saya tak ala nampak lia… lia meninggal sebab apa?”

Dan banyak lagi perbualan antara kami. Uncle ni sangat baik. Umurnya menjangkau 77 tahun. lebih tua daripada arwah abah kalau dia masih ada. Tapi orangnya sangat cergas. Dia datang dari Muar untuk kerja di Singapura tempat anaknya. Dia tak habis-habis memuji kebaikan abah. Katanya, dia kawan rapat abah. Habis dia bercerita pada semua orang yang lalu-lalang di sekitar tempat saya menunggu bas tanda dia sangat excited berjumpa saya anak sahabat baiknya. Sampainya di Batu Pahat, uncle tadi ingin belanja saya minum. Tapi saya menolak kerana segan dan saya ingin segera pulang kerana hari hendak hujan. Demi tidak menghampakan, uncle tadi belanja pula saya tiket bas Batu Pahat ke Muar. Allahurobbi. Semoga Allah beri hidayah kepada uncle tadi untuk memeluk Islam.

Kerja terakhir abah saya dulu, adalah pengawal keselamatan di sebuah bank di Bandar Muar. Dengan rezeki itulah, kami sekeluarga bahagia. Pernah juga sesekali rasa sempit dan susah. Tapi, tetap Alhamdulillah masih cukup dan bahagia. Berkerja di bank, abah jumpa ramai orang. Abah baik dengan semua orang. Tak kira lelaki, perempuan, tua, muda, cina atau india, semua abah baik. Kalau ada orang perlukan bantuan untuk urusan di bank, abah selalu tolong. Sebab tu juga ramai orang di Bandar Muar kenal abah. Tidak hairanlah juga ramai orang yang kami sekeluarga tak kenal datang berziarah ketika abah meninggal.

Sebab itu, bila isteri Mat Yo marah pakcik pengawal keselamatan, saya terasa. Terasa seperti dia kurang ajar pada abah saya!

Berbuat baik bukan untuk pujian. Tapi untuk bekalan di hari kemudian. Mana tahu, kerana baiknya ketika hidup, anak cucu kita juga mendapat tempias kebaikan yang dilakukan. Semoga Allah menghimpunkan roh abah bersama para solehin dan mukminin. Marilah kita berdoa supaya sentiasa menjadi baik buat sekalian ummah. Tunggulah abah, anakmu ini sedang berusaha menjadi yang solehah untukmu.

wallahualam


20 September 2013

Kenapa sambung master?

Assalamualaikum wbt..
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alaihi wa barik wasalim..

Alhamdulillah.. Hari ini Jumaat minggu kedua sebagai mahasiswa tahun satu di peringkat sarjana. Permulaan selepas pengakhiran. Tempat lama, dunia baru.

Melangkah ke dunia baru ini juga, sungguh ramai yang cukup 'ambil berat' dengan saya. Contoh soalan dan pandangan 'ambil berat' yang sangat klise bagi saya.

"Kenapa sambung master?, bukan sepatutnya tunggu posting je ke?"

"Kenapa sambung master? nanti kalau dapat posting, macam mana?"

"Laa.. sambung master ke? nak jadi pensyarah ke?"

"Kenapa sambung master? tak best ke jadi cikgu?"

"Lepas sambung master, nak masuk sekolah ke? tak rasa membazir ke ada master tapi pergi sekolah?"

"So ni, lepas master kena tunggu SPP panggil untuk posting pulak la kan? lama tau nak kena tunggu.."



Pada mulanya, saya mendaftar dalam sarjana bimbingan dan kaunseling.


"Oh... nak jadi kaunselor lah ni?, hebat-hebat."

"Aik! larinya bidang. kenapa tak ambil matematik?"

Dan setelah sedar keupayaan diri yang sifar ilmu kaunseling, maka saya menukar kos kepada psikologi dalam pendidikan.

"psikologi dengan matematik pun jauh lari bidang tu."

"kesiannya awak tukar kos daripada kaunseling. Saya bukannya apa. bimbang awak punya peluang kerja tu nanti.. psikologi ni macam susah sikit nak dapat kerja"


Itu sebahagiannya. Ada yang bertanya kerana benar-benar ingin tahu. Dan ada juga yang mempersoalkan kerana tercabar. terima kasih kerana mengambil berat pada saya.

Apa-apa pun, sukalah untuk saya berterus terang di sini. Menyambung pelajaran di peringkat sarjana termasuk dalam perancangan tiga tahun saya selepas tamat peperiksaan akhir di sarjana muda yang lalu. Saya berhasrat untuk menyambung kerana benar-benar ingin menambah ilmu dalam bidang pendidikan. Saya ingin menjadi pelapis kepada warga pendidik yang lebih berkualiti. Ditambah pula kami warga ISMP tiada jaminan daripada pihak kerajaan bilakah tarikh sebenar kami akan ditempatkan untuk mengajar. Saya juga ingin menyiapkan diri dari awal kerana sebelum ini, semua guru diwajibkan untuk mempunyai ijazah sarjana muda dan tidak mustahil akan datang, semua guru wajib pula mengambil sarjana. Manakala dari sudut ekonomi pula, siapa tahu akan datang gaji bagi seorang guru sarjana dan sarjana muda berbeza.

Mengenai posting, borang posting telah pun saya isi secara manual dan atas talian di laman sesawang SPP. Hanya berusaha sekadarnya dan akan menangguh atau menolak tawaran seandainya dipanggil untuk temuduga dalam tempoh setahun setengah ini. Ini juga tidak mematikan semangat saya bersama rakan-rakan yang lain untuk menuntut hak posting.

Saya tidak berhasrat untuk menyambung dalam bidang matematik kerana saya mahu berehat daripada memegang kalkulator. Pada saya, cukuplah sekadar di peringkat sarjana muda sahaja belajar matematik kerana applikasinya dalam kehidupan nanti tidak banyak melainkan sekelumit sahaja.

Saya memilih bimbingan dan kauseling pada mulanya kerana benar-benar ingin menjadi seorang kaunselor. Namun setelah dinasihati oleh koordinator program, saya beralah dengan keputusan. Ketiadaan asas langsung dalam bidang ini mungkin akan membuatkan saya terpinga-pinga dalam kelas nanti. Semestinya ada hikmah yang menanti. Maka dengan itu, saya memilih program yang berhampiran dengan kaunseling iaitu psikologi. Kali terakhir saya belajar mengenainya ialah ketika tahun satu semester dua. Sudah agak berkarat dan itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk membaca semula buku Santrock keluaran Mc Graw Hill itu.

Dari sudut peluang kerja pula, sejujurnya saya tidak berminat untuk membahaskan sekarang. Kerana pada saya, saya bukanlah jenis yang menuntut ilmu kerana untuk memilih-milih kerja. Tapi saya belajar untuk amal dan mengajar. Bukanlah saya jenis yang tidak memikirkan masa depan, tapi pada saya peluang kerja itu akan datang kemudian. Dan rezeki itu sememangnya dari Allah Yang Maha Berkuasa.

Setiap bidang, ada kesusahan dan keseronokan tersendiri. Doakan saya, Hamba Allah yang sedang menuntut ilmu dan ingin menjadi ummat yang cemerlang kebanggaan Nabi. Semoga Himmah menuntut ilmu ini berbuah hikmah kelak.

Wallahu'alam.

12 September 2013

Cersapen: Kasim seorang naqib

Hari ni Kasim frust betul. Mana taknya, markah test PDE dia dapat rendah. Paling rendah dalam kelas pula tu. Dah la dapat markah teruk, lepas tu, pensyarah announce kat dalam kelas lagi. Hadoihhhh...memang la kawan-kawan lain, tak ketawakan pun. Ini bukan zaman sekolah rendah. Tapi, menyedari dia seorang sahaja yang dapat markah rendah dan dimalukan begitu, perasaannya seperti macam nak terjun dari bangunan tingkat 188. Mujur dia ada iman. Agak mustahil juga untuk dia terjun sebab dia naqib usrah.

Masuk sahaja bilik, dia terus campak beg atas meja dan hempas badan atas katil. Memang tilam asrama taklah seempuk tilam yang melantun macam kat rumah tu. Jadi, sakit jugalah badan kalau terhempas kuat macam tu. Tapi Kasim dah tak kisah tu semua. Yang ada dalam otak dia, dia kecewa.

Jam dah pukul tiga petang. Kelas hari ni sepatutnya tamat jam empat. Tapi pensyarah habiskan awal sebab nak bagi peluang pelajar jumpa dia atau buat pembetulan dengan kawan-kawan lain lepas dia pulangkan semula kertas test tadi. Tapi, Kasim tak ada mood langsung buat macam tu. Lepas pensyarah kata "class dismissed", dia terus keluar dewan kuliah yang muat seramai 50 orang tu dan pecut dengan motor hondanya ke bilik.

Kepalanya ditekup dengan bantal. Badannya meniarap. Dia pun tak tahu kenapa dia dapat markah rendah sedangkan dia dah berusaha sehabis-habisan. Erm.. Pada dia, stay up satu malam sebelum test itu sudah dikira usaha sehabis-habisan sebab semua orang pun usaha macam tu kot. Mesyuarat program persatuan pun dia minta excuse sebab bagi alasan nak study. Dia harap, ahli mesyuarat yang lain dapat husnudzan dengan dia.

"Arggghhhhhh!!!!", Kasim jerit. Mujur mulutnya ditekup dengan bantal maka tidaklah mengejutkan Sazali jiran bilik sebelah.

Beberapa kali juga dia menjerit-jerit tak keruan. Macam orang putus cinta. tapi dia tak menangis. Dia masih mengekalkan kemachoannya.

Tiba-tiba, sedang dia sibuk melayan perasaan frust itu, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej whatsapp yang diterima.

"hisshhh sape plak pengacau nih!", sambil mendengus itu, tangannya meraba ke poket seluar sambil mengeluarkan telefon bimbit.

mesej whatsapp dibaca. Sulaiman, anak usrah kesayangannya rupanya.

"Salam, bang. Abang free tak petang ni? jom kita usrah. Saya frust la hari ni dapat markah test teruk. Saya perlukan kata-kata motivasi daripada al-quran. Boleh abang bincang tajuk ni petang ni?"

Kasim terdiam dan rasa mahu hantuk kepala ke dinding.



Nota:
1. Cersapen: Cerita Sangat Pendek
2.PDE : Partial Differential Equation
3. Ada orang, dia kecewa dan mengadu pada orang. Ada juga orang, dia kecewa tapi dia mengadu pada Tuhan. Kita yang mana?
4. Ada orang, dia sedih dan dia buat orang lain lagi sedih. Ada juga orang, dia sedih tapi dia mampu buat orang lain gembira. Kita yang mana?

08 September 2013

..............................




#Terjumpa keratan akhbar ni masa kemas-kemas buku cuti tempoh hari..
Al-Fatihah buat Allahyarham ayahanda Hj Amin b. Hj Shamsudin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...