• RSS

20 April 2010

Barangku hilang?

17/4/10

"Esok petang dlm pukul 5 abg uda datang ambil barang" lebih kurang begini mesej yang saya terima daripada abang uda.

"ok, terima kasih." saya membalas.




*******************

18/4/10
2.00 petang

Saya mengemas kesemua barang-barang, nota-nota semester hadapan dan semester lepas dan masukkan ke dalam kotak dan beg. Dokumen-dokumen peribadi saya masukkan ke dalam kotak air mineral aquarius lalu saya seal kan dengan kemas supaya tidak rosak. Setelah berpuas hati, saya membawa turun kesemua barang di foyer blok.

"Aduh! penatnya." saya mengeluh setelah beberapa kali berulang alik dari aras tiga hingga ke bawah.

Sengaja saya mengangkatnya sendirian memandangkan sahabat sebilik saya masih mempunyai paper keesokan hari. Tidak mahu menyusahkannya yang sedang khusyuk membaca. Alhamdulillah akhirnya kesemua barang saya sudah dibawa turun kecuali satu kotak aquarius yang mengandungi segala dokumen penting termasuklah surat beranak original saya, saya tinggalkan di tepi tangga. Kotak tersebut terasa amat berat memandangkan saya sudah keletihan mengangkat barang-barang sebelumnya. Saya pun berehat di bilik. Usai solat asar, saya menerima mesej daripada abang saya.

"Hanis n Hariz tidur ni. Hujan plak tu. Datang esok tengahhari boleh?"

lantas saya menekan button reply.
"Ok"

9.00 malam

"Kenapalah aku rasa macam tak sedap hati ni", rungut saya di dalam hati.



*********************


19/4/10
11.30 tengah hari.

Saya pergi ke tangga. "Aik! mana pergi kotak aku semalam ni?" getus di hati.

Saya pergi bertanya pada beberapa orang sahabat di aras saya.

Mereka semua kata, " tak tahu".
Kebetulan ada seorang makcik cleaner sedang membersihkan tandas. Saya pergi mendapatkannya.

" makcik, nak tanya, ada nampak tak satu kotak dekat tepi tangga tu?", tanya saya.

"tangga mana dik?" makcik itu menjawab sambil berjalan keluar menuju ke arah yang saya tunjuk.

"tangga tepi ni". Saya menunjukkan tempat saya meninggalkan kotak tersebut.

"Oh. Kotak ni makcik dah buang dik. Dah masuk lori sampah dah. Kenapa dik?" tanya makcik hairan.

"Ya Allah! itu barang saya makcik. Dalam tu ada macam-macam dokumen penting. Ada surat beranak saya semua. Semalam saya nak bawa turun tapi, tak larat sebab berat. Mak cik angkat kotak tu sorang ke?" saya menjawab dengan penuh perasaan terkilan dan sedih bercampur geram.

"Ha'ah mak cik angkat sorang lah. Astaghfirullah dik. Mak cik ingatkan sampah. Tadi makcik dah tanya budak-budak kat sini. Diorang kata ni sampah makcik. Boleh buanglah." jawab makcik tersebut dengan muka yang terkejut.

"Habis tu macam mana ni mak cik? makcik tahu tak diorang biasa buang sampah ni dekat mana?"

"Tak tahu la dik. Cuba tanya orang pejabat."

12.30 tengah hari

Abang saya datang untuk mengambil barang. Saya berusaha menyembunyikan muka saya yang resah dihadapannya. Saya berlagak selamba. Bukan saya tidak mahu menyusahkannya, tapi memandangkan abang saya itu akan pergi bekerja selepas itu. Susah pula dia nanti. Kalau dia tidak kerja, sudah pasti dia akan saya ajak untuk mengejar lori sampah tu. Tambahan pula saya tidak mahu mendengar leterannya diatas kecuaian saya itu. Saya memasukkan barang ke dalam bonet keretanya sambil otak ligat memikirkan macam mana la aku nak buat ni? Ya Allah berikanku jalan. Selesai semua, berbual sebentar dan bersalaman dengan abang, keretanya pun berlalu munuju pintu keluar kolej. Saya terus berlari ke pejabat kolej.


"Assalamualaikum. Cik, saya nak tanya. Lori sampah yang datang tu, biasanya buang sampah kat mana ek?" soalan pertama saya.

"Tak tahulah. kenapa dik?" jawab salah seorang pembantu tadbir di kaunter.

Saya lalu menceritakan apa yang terjadi pada barang saya dari A hingga Z. Tiga orang yang berada di situ semua mendengar cerita saya termasuklah Pn. Aisyah dan seorang Pakcik.
Pn Aishah lalu menelefon orang atasan untuk mendapatkan maklumat mengenai nombor telefon pemandu lori sampah dan lokasi sampah akan dibawa. Saya terduduk di kerusi. Menunggu dengan peluang yang amat tipis. Saya mula istighfar. Sebak di dada. Memang bukan salah makcik tu. Saya yang salah.

"Linda yang CUAI!", saya mengutuk diri.

setelah menunggu dengan sabar,

" macam ni lah dik. Saya sedang cuba dapatkan nombor telefon pemandu lori sampah tu. Kebetulan pulak hari ni, diorang bawa sampah tu dekat tapak pelupusan sampah yang besar dekat Saleng. Jadi, tak tahulah macam mana. Awak doa banyak-banyak ye."Jelas Pn. Aishah.
"Ok terima kasih banyak ye". jawab saya pendek.


Saya melangkah ke bilik dengan perasaan sedih dan kesal. Fikiran saya sudah terbayang kotak saya yang sudah bercampur gaul dengan jutaan sampah di seluruh UTM ini. Sungguh menggelikan.

1.30 petang

usai solat zohor, saya solat hajat.

Doa saya," Ya Allah, jangan Kau berikanku ujian yang berat yang tidak mampu aku menanggungnya. Ampunkan aku Ya Allah. Sesungguhnya setiap rezeki dan nikmat yang Kau berikan kepadaku itu, semuanya kepunyaanMU ya Allah. Maka oleh itu Engkau berhak mengambilnya semula. Jadikanlah aku hambaMU yang redha..

Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada pejabat kolej.

"Assalamualaikum pejabat ktf, ni Azlinda Amin ya? macam ni dik, kita dah dapat contact number driver lori sampah tu, apa ciri-ciri kotak adik tu ya?"

"Oh alhamdulillah.. Kotak tu sederhana besar, kotak air mineral. Ada salotape warna coklat. Terima kasih banyak ye cik."

"Ok nanti diorang akan cari, bila jumpa nanti, dia hantar ke pejabat kolej."

"Ok terima kasih banyak cik."

"Ok sama-sama"

talian terputus. Alhamdulillah. Namun, hati masih risau kerja mencari sebuah kotak di timbunan sampah seluruh UTM bukan kerja mudah. Hanya orang yang ikhlas saja yang sudi membantu. "Ya Allah, Kau berkatilah kehidupan orang yang mencari barangku ini Ya Allah.." doa saya.



********************

20/4/10

Bangun sahaja pagi, hati saya serba tidak kena. Tiada lain yang saya fikir melainkan KOTAK!. Jam sudah menunjukkan jam 11.00 pagi. Saya berbelah bagi untuk menelefon pejabat ataupun tidak.

"Kalau ada kotak tu, mestilah Pn Aishah call aku." Begitu anggaran saya dalam hati.

Akhirnya saya menelefon pejabat kolej.

"Assalamualaikum. Saya Azlinda yang semalam hilang kotak tu"

"Walaikumsalam. Oh Azlinda Amin ya? Macam tahu-tahu je saya nak call awak ye. Ha ni kotak awak dah sampai kat pejabat. Awak nak datang sekarang ke petang-petang pun boleh."

"Alhamdulilllah.. Ok saya datang sekarang ya. Terima kasih ye cik."

saya terus berlari ke pejabat kolej. Hati penuh debaran. Saya bertanya dengan petugas di kaunter. Melihat sahaja saya, dia terus menyuruh saya masuk ke dalam pejabat untuk memastikan barang yang dijumpai itu adalah kepunyaan saya. Alhamdulillah memang betul kotak saya. Saya memeriksa isi dalamnya dan tiada satu pun yang rosak dan hilang. Alhamdulillah. Saya mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada pegawai di pejabat tersebut. Mereka juga turut tersenyum melihat karenah saya. Kotak yang berat itu terasa ringan sahaja saya angkat. Alhamdulillah Ya Allah.. Kau berikan aku pengajaran berguna.

(inilah kotak tersebut)


"....barangsiapa bertakwa kepa Allah, nesacaya Dia akan baginya jalan keluar. Dan memberinya dari arah yang tidak disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melakukan urusan yang dikehendakinya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
At Talaq: 2-3

Pengajaran:

  1. Bertawakkallah kepada Allah selepas berusaha semampumu
  2. Jangan cuai, sila simpan harta anda di tempat yang selamat
  3. Jangan tingal barang anda di tempat umum walaupun anda tahu tempat itu selamat daripada kecurian namun mungkin tidak selamat dengan ancaman lain seperti mak cik cleaner yang prihatin terhadap kebersihan.

Sekalung penghargaan saya berikan buat Pn Aishah yang sanggup menolong saya mencari kotak ini dan juga buat para pekerja yang menggali sampah semata-mata hanya sebuah kotak kepunyaan saya. Semoga Allah memberkati kalian.









Semester dua melabuhkan tirainya

Berakhirnya kertas psikologi pendidikan hari ahad lepas, menandakan berakhirlah sudah peperiksaan semester dua. Tak diragui, semester dua ni memang terasa singkat tambahan pula, subjeknya yang agak berat..Apa-apa pun yang berlalu tetap berlalu.. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Sepanjang semester dua ni, pelbagai pengalaman yang saya perolehi. Buruk dan baik semuanya sama banyak. Apa-apa pun semuanya adalah tarbiyyah daripada Allah yang mesti saya terima dengan redha. Nikmat dan bala kedua-duanya tarbiyyah.

Semester tiga yang bermula pada julai ini juga membuatkan saya berasa gerun untuk menghadapinya. Subjeknya juga boleh tahan.

  1. Muzik kompang
  2. Islam dan isu-isu semasa
  3. Asas pedagogi
  4. Persamaan terbitan
  5. Aljabar linear
  6. Mekanik
  7. Kimia fizik I
  8. Pembelajaran sains & matematik
Perancangan waktu mesti diatur sebaiknya. Perlu ada disiplin dan tegas pada diri sendiri. Mutaba'ah amalan mesti ditingkat dan diistiqamahkan. Puasa+qiam+dhuha+tadarus+ma'thurat+selawat+istighfar.

Perasaan untuk pulang bertemu bonda tercinta sudah membuak-buak. Selain itu, perasaan untuk mengkhatamkan deretan buku yang belum sempat dibaca habis juga semakin menebal. Tak sabar rasanya walaupun saya hanya merasai cuti yang sekejap dek kerana tugas yang perlu diselesaikan di kampus. Tak apalah mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar sebagai seorang mahasiswa.

(buku yang tak sempat nak dihabiskan pembacaannya)

19 April 2010

Akukah itu?

Tuhanku,
Di saat aku mengenangkan rumah terpencilku,
Diriku dilanda resah,
Akukah itu yang serba putih?
Akukah itu yang ditinggal keseorangan?
Akukah itu yang dimakan cacing dan ulat?
Akukah itu yang dikerumuni serangga berbisa?

Tuhanku,
Di saat aku membayangkan titian siratmu,
Diriku dilanda gelisah,
Waduh! Bisakah aku menitinya?
Titiannya tajam bak pedang;
Malah halus bak rambut dibelah tujuh,
Akukah itu yang sedang merangkak?
Akukah itu yang sedang mengengsot?
Akukah itu yang sedang berjalan?
Akukah itu yang sedang berlari seperti kilat?
Akukah itu yang gagal melintasinya;
lalu jatuh ke bawah nyalaan api neraka;
yang sedia menerkam.

Tuhanku,
Di saat aku mengenangkan nerakamu,
Diriku dilanda gementar dan ngeri,
Akukah itu yang menjadi bahan bakarnya?
Akukah itu yang sedang disiksa?

Tuhanku,
Di saat aku menggambarkan syurgamu,
Hatiku berbunga ceria,
Seluruh tubuhku segar kembali,
Semangatku pulih semula,
Harapanku subur kembali,
Akukah itu yang sedang bergembira?
Akukah itu bersama para bidadari?
Akukah itu yang punyai mahligai indah?

Allahurabbi,
Diriku selalu berkira-kira,
Adakah aku kan merana di neraka?
Adakah aku kan bahagia di syurga?
Sedangkan dosa tebal membaluti,
Lagikan amalan sekelumit cuma,
Namun, hanya satu pengubat resahku,
Yakin Al-Ghaffarmu.


18/4/10
7.30 am
KTF


04 April 2010

buat sahabat..

(naqibahku)

Ku kutip butir-butir ukhuwwah iman yang bertaburan,
Semakin lama semakin aku tidak mampu tuk aku kutip,
kerana semakin ku kutip semakin membukit,
Tuntas,
ku biarkan ia lalu menenggelamkan diriku,
Aku lemas di dalamnya.
Syukur Ya Allah..
Kau berikan aku kelemasan ini,
kerana kelemasan ini bukan menamatkan riwayatku,
tapi menyambung riwayatku hingga kini.
Alhamdulillah..


Sebiru Hari Ini

Album : Sepotong Episode
Munsyid : Edcoustic
http://liriknasyid.com

Sebiru hari ini, birunya bagai langit terang benderang
Sebiru hati kita, bersama di sini

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah


reff:
Bukankah hati kita telah lama menyatu
Dalam tali kisah persahabatan ilahi
Pegang erat tangan kita terakhir kalinya
Hapus air mata meski kita kan terpisah
Selamat jalan teman
Tetaplah berjuang
Semoga kita bertemu kembali
Kenang masa indah kita
Sebiru hari ini


Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

intro

reff 2x

Seindah hari ini, indahnya bak permadani taman surga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah

01 April 2010

April Fool, muhasabah dan peringatan

Hari ini satu April. Dunia menyambut hari ini dengan nama April Fool. Hari berjenaka, dengan pelbagai pembohongan untuk bergurau senda. Walaupun namanya sudah sah menggunakan kaliah Inggeris, tetapi penduduk-penduduk negara lain selain negara berbahasa inggeris turut galak menyambutnya. Termasuklah penduduk di Malaysia.
Saya, sepanjang hidup saya, tidak pernah merasa kemeriahan Hari April Fool ini, kecuali sekali, pada satu tahun yang saya lupa tarikhnya, di mana beberapa orang rakan sekolah rendah mengenakan saya dengan sesuatu perkara, kemudian mereka menjerit,

“ April Fool!”

Tetapi selepas itu, teguran dari Ustaz Ustazah di SRIH membuatkan suasana itu luput dengan cepat. Akhirnya, selepas itu, hinggalah ke hari ini, 1hb April adalah seperti hari-hari lain yang biasa. Tidak diingati, dan tidak diletakkan pada taraf hari-hari penting dalam kehidupan saya. Kecuali lah nanti di masa hadapan, anak atau cucu saya mungkin lahir pada tarikh ini.
Apakah sikap orang ISLAM bila hari ini datang? Itu yang saya suka bawa dan bincangkan.
Saya melihat, bila hari ini datang, akan ada dua bentuk penerimaan orang ISLAM.

Pertama, mereka menyambutnya juga. Turut melakukan pembohongan untuk berjenaka dengan teman-teman, atau mengambil peluang hari ini untuk mengenakan kenalan mereka atas tujuan keseronokan.
Nama hari ini pun sudah kelihatan jelas tujuannya, April Fool… Hari untuk memperbodohkan orang. Secara kita tidak sedar, bila kita memperbodohkan orang lain, kita juga sebenarnya sedang memperbodohkan diri kita di hadapan ALLAH SWT.
Sebenarnya, tradisi April Fool ini, adalah satu tradisi yang sama sekali tidak patut kita ikuti, rayakan, atau contohi. Hal ini kerana, berbohong atas apa tujuan sekalipun adalah salah satu dari dosa-dosa besar.
Malah, Rasulullah SAW sendiri memberikan amaran kepada sesiapa yang berbohong dari kalangan ummat baginda,

Sabda Rasulullah SAW,
“ Celakalah untuk sesiapa yang berbicara dan berbohong untuk membuat orang tertawa, celakalah untuknya” Riwayat Abu Dawud.
Sabda Rasulullah SAW lagi, kali ini dari sudut menakut-nakutkan orang, atas tujuan berjenaka.

“ Adalah dilarang untuk seorang muslim, menakutkan seorang muslim yang lain” Abu Dawud dan Musnad Ahmad.
Malah di dalam Sahih Al-Bukhari, terdapat sabda Rasulullah SAW yang menyatakan akan siksaan untuk siapa yang berbohhong. Boleh rujuk di dalam Kitab Sahih Bukhari, Vol 8, no 118.
Justeru, saya berpesan kepada diri kita semua, untuk tidak terjebak dalam pembohongan, walau apa pun tujuan kita. Tidak kiralah kerana hendak meraikan Hari April Fool ini, mahupun berbohong pada hari-hari yang lain.

Golongan kedua pula, adalah golongan yang tidak menyambut Hari April Fool, tetapi menyebarkan pula cerita palsu berkenaan sejarah sebenar berkenaan bagaimana bermulanya Hari April Fool tersebut.

Jika kita perasan, di dalam YM, mahupun di dalam Friendster dan sebagainya, akan terdapat forward mesej, atau mesej berantai yang menyatakan bahawasanya Hari April Fool ini adalah berasal dari sambutan orang kafir atas tewasnya orang ISLAM di Spain. Mereka menyambut hari kejatuhan Kerajaan ISLAM Sepanyol itu, dan menamakannya sebagai April Fool.
Dinyatakan di dalam mesej-mesej berantai ini, bahawa orang kafir telah melakukan penipuan terhadap orang ISLAM ketika itu. Maka sebab itulah dinamakan 1hb April ini sebagai Hari April Fool, yakni Hari memperbodohkan orang lain, untuk mengenangkan keberjayaan mereka menipu orang ISLAM sehingga runtuhnya kerajaan ISLAM Sepanyol.

Kes ini, sama sahaja dengan kes cerita-cerita tidak benar berkenaan asal-usul Hari Valentine. Keadaan ini, yakni menyebarkan cerita tidak betul, untuk menakut-nakutkan, atau menghindarkan orang lain dari menyambut hari-hari kebesaran agama lain, adalah satu sikap yang tidak elok dan boleh menimbulkan imej buruk terhadap orang ISLAM sendiri.

Ternyata, kisah Hari April Fool disambut kerana meraikan kejatuhan Kerajaan ISLAM Sepanyol akibat penipuan orang kafir adalah tidak benar. Saya telah membuat beberapa rujukan. Saya sertakan bersama post ini dua link untuk anda kaji semula.

Sebenarnya, orang-orang ini berniat baik untuk Orang ISLAM tidak menyambut Hari April Fool, tetapi ternyata, tanpa mereka sedari, mereka juga telah melakukan pembohongan dan melanggar pesanan Rasulullah SAW untuk tidak berbohong. Bagaimana?

Malah, lebih buruk dari itu, sikap sebegini(menyebarkan cerita bohong berkenaan satu-satu peristiwa yang merupakan kepunyaan agama/kaum lain) menimbulkan pandangan dan imej buruk masyarakat bukan ISLAM terhadap ISLAM itu sendiri.
Sememangnya, kita tidak dibenarkan menyambut April Fool. Bukanlah kerana Hari April Fool itu merupakan Hari Kejatuhan Kerajaan ISLAM mana-mana Negara, atau pada bila-bila tarikh, tetapi adalah kerana April Fool menganjurkan budaya bohong, yang ternyata jauh sekali dari ajaran ISLAM. Itu sahaja. Khalas. Janganlah kita reka-reka perkara yang tidak ada untuk menghalang orang lain. Apakah bezanya cerita ini, dengan hadith-hadith palsu yang direka-reka untuk menjauhkan orang lain dari berbuat kerosakan?

Rasulullah SAW pernah berpesan dalam sabda baginda,
“Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia menempah tempatnya dari neraka“ Riwayat Bukhari dan Muslim, dan hadith ini merupakan Hadith Mutawatir.
Maka kita sebagai manusia yang beriman kepada ALLAH, sepatutnya tidak melakukan perbuatan mereka-reka cerita bohong, atau menghantar mesej-mesej berantai yang tidak kita tahu kesohihannya.

Kita hendak mencegah orang dari berbohong, tetapi ternyata, kita sendiri berbohong. Malah pembohongan kita merosakkan imej ISLAM di mata masyarakat. Apakah jenayah yang lebih besar dari pembohongan yang sedemikian?
Marilah kita sama-sama muhasabah diri, dan bergerak atas arahan ILAHI, dan kita koreksi diri dan pertingkatkan kualiti hati.
Semoga ALLAH redha kita, dan menjaga kita dengan penjagaan yang ketat.
~telah di'copy paste' dpd http://ms.langitilahi.com/.~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...