• RSS

28 August 2010

Sebuah Hidayah


“kau nak pergi solat, pergilah! Jangan kacau aku boleh?”. Bentak Hindun. Hatinya membengkak lantaran tidurnya sering diganggu Asmah. Hari ini hari ahad. Untuk subuh hari ini sahaja, sudah lebih 10 kali rakan sebiliknya itu mengejutnya untuk solat. Bermula jam 5.45 pagi hinggalah waktu terakhir dia mengejut iaitu 7.00 pagi. Kepala Hindun masih berat dek kerana mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam. Ditambah pula dengan kesan minuman berkafein yang diambil setiap kali Hindun mahu berjaga malam. Hindun memang seorang mahasiswa pintar dan rajin yang meletakkan pelajaran sebagai prioriti utama dalam hidupnya. Tidak hairanlah jika semua keputusan peperiksaannya mendapat gred tertinggi iaitu 4 flat.
“Dengan keputusan yang bagus inilah, masa depan kita cerah. Keluar universiti nanti pun, bakal majikan nak tengok pointer kita berapa. Kalau tinggi, baru dia nak ambil kita sebagai pekerja dia.” Hindun cuba mencipta ideologi setiap kali perbualan mengenai kerjaya dibincangkan bersama-sama rakan sekelasnya. Dia begitu yakin tentang itu.
“lelaki sekarang ni pun, mestilah nak cari calon isteri yang pandai dan berkerjaya. Kalau diberi pilihan antara pengetua sekolah dengan guru biasa, mestilah dia pilih pengetua. Antara engineer dengan pekerja kilang, mestilah dia pilih engineer.” Ini pandangan Hindun jika rakan-rakannya membuka topik jodoh . Begitu sifir mudah yang Hindun hadam dalam pemikirannya.
Asmah masak benar dengan prinsip hidup teman sebiliknya yang seorang ini. Dia juga sudah lali dengan perbuatan Hindun yang sering memperkecilkan dirinya yang hanya memperoleh keputusan peperiksaan yang sederhana.
“kau ni Asmah, selalu sangat sibuk dengan persatuan kau tu! Usrah lah, program lah. Dah la selalu hilang kat bilik. Sebab tu la kau tak boleh nak challenge result aku!” begitu tuduhan Hindun terhadap Asmah gadis bertudung labuh itu. Asmah hanya membalasnya dengan senyuman. Dia yakin dengan rutin hariannya sebagai seorang ahli persatuan Islam di kampus bukanlah penyebab keputusan peperiksaannya tidak begitu memberangsangkan. Asmah sudah membahagikan masa secukupnya. Dia tidak pernah ponteng kelas. Setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah juga dihantar mengikut masa yang ditetapkan. Malah, dia telah mewajibkan untuk belajar di luar bilik kuliah selama tiga jam sehari. Dia sudah berusaha sebaiknya. Selebihnya dia bertawakal kepada Allah. Dia yakin dengan maksud surah At-Talaq ayat tiga itu.
Jam menunjukkan 10 pagi. Hindun tidak menampakkan tanda-tanda yang dia ingin bangun. Asmah masih tekun menghadap laptop menyiapkan laporan program anjuran persatuannya tiga hari lepas.
“Adui.. sakitnya kepala aku. Badan aku pun sakit-sakit.” Keluh Hindun.
“Eh, aku ni ada kat mana? Kenapa lain macam je..”. Hindun memerhati suasana di sekeliling.
“itu almari baju aku. Itu buku-buku aku. Ini semua barang-barang aku. Baki air Nescafe malam tadi pun ada lagi dekat atas meja tu. Oh! Ni kan bilik aku.. apalah aku ni, bilik sendiri pun dah lupa ke.. ni mesti pening sebab minum Nescafe pekat sangat malam tadi ni” Hindun mencongak-congak sendirian. Namun, bimbang di hatinya belum hilang.
Tiba-tiba dia terkejut. Hatinya bagai mahu tercabut. Darahnya seolah-olah berhenti. Dia menjerit sekuat hati.
“aku kan dah bangun tidur.. tapi tu siapa yang terbaring atas katil aku tu? Baju dia sama dengan baju yang aku pakai sebelum aku tidur semalam. Rambut dia.. muka dia.. macam aku..!” Hindun membuat pemerhatian.
“ kalau dia aku, habis tu aku ni siapa? Aku ni roh ke? Aku mimpi ke? Atau aku dah ma… Tidak! Tidak! Aku tak boleh mati. Asmah, asmah!! Kejut aku cepat! Asmah! Kau tak dengar ke Asmah? Kau tak nampak aku ke Asmah? Aku dekat tepi kau ni..” Hindun terus menjerit melolong kepada Asmah. Namun, apakan daya. Asmah tidak boleh melihatnya di saat ini.
“Asmah, tolong lah Asmah.. kejutlah aku.. nanti orang ingat aku dah mati..Asmah.. Asmah.aku janij. Kau kejut aku lagi, nanti aku bangun solat subuh..” Hindun terus merayu seperti anak kecil yang mahu susu dari ibunya namun Asmah masih khusyuk membuat kerjanya.
“ya Allah.. apa dah jadi pada aku ni? Kenapa aku macam ni? Apa semua ni?”
Dalam masa yang sama, Asmah membetulkan duduknya. Matanya yang sedikit berair kerana terlalu lama menghadap laptop digenyeh-genyeh. Dilihat jam di desktop, sudah menunjukkan jam 11 pagi.
“ya Allah aku tak solat dhuha lagi ni”. Bisiknya sendirian. Dia bingkas bangun meninggalkan kerusi, dan membuka pintu bilik untuk ke bilik air mengangkat wudhu’.
“Asmah, jangan tinggalkan aku Asmah! Kau nak pergi mana tu? Kau tak perasan ke aku ni.. kejutkan lah aku Asmah..! Asmah.... Asmah...” Hindun tidak puas merayu.
Asmah masuk kembali ke biliknya. Telekung yang tersidai di birai katilnya segera dipakai kemas. Dia menjeling kearah Hindun. Hatinya serba salah untuk mengejut buat kali ke 11. Bimbang dia ditengking seperti pagi tadi.
“alah, takpa, aku kejut sebab nak ajak makan kejap lagi” Asmah  sudah bersedia dengan alasan sekiranya dia dimarahi Hindun sekali lagi.
Tangannya yang masih basah kerana mengangkat wudhu’ dirasakan mampu membuat Hindun tersedar.
“Hindun, Hindun.. bangun. Lama sangat kau tidur ni. Dah nak tengah hari ni. Jom turun makan.” Tuturnya lembut sambil tangannya menggerakkan kaki Hindun.
“Hindun... Hindun! Hin…dun..”.
Tiba-tiba Asmah berasa seperti ada yang tidak kena. Dia memegang kemas kaki Hindun. Sejuk. Dia menelentangkan badan Hindun yang dalam posisi mengiring sebelumya. Pelik. Hindun tetap tidak sedar.  Hati Asmah bergetar. Dia terasa seram sejuk. sambil membaca bismillah, dia meletakkan dua jarinya ke tengkuk Hindun seterusnya di bawah hidungnya untuk merasa hembusan nafas. Dadanya juga tidak kelihatan pergerakan turun naik nafas. Innalillahiwa inna ilahirajiun.. Akhirnya keluar juga lafaz itu dari mulutnya...

bersambung.....

p/s: masih tidak tahu tajuk yang sesuai untuk cerpen (cerpen la konon) ini. ada cadangan?

18 August 2010

Peristiwa Bersejarah Ramadhan



Buku ini baru sahaja diterbitkan bersempena bulan Ramadhan ini. Ia menghimpunkan beberapa peristiwa-peristiwa perang masyhur yang terjadi ketika bulan Ramadhan pada zaman Rasulullah saw, para sahabat dan khalifah. Mengupas kisah seawal penurunan Al-Quran ( 17 Ramadhan 10 sebelum hijrah) sehinggalah kisah Perang Arab-Israel: Pembebasan Sinai (10 Ramadhan 1390 hijrah ). Semoga dengan menghayati kisah perjuangan mereka yang ingin menegakkan Islam dan diuji dengan kesakitan, kesempitan dan tekanan dari pihak kafir laknatullah ketika bulan mulia bulan Ramadhan itu, dapat memberi kesan yang mendalam buat pembaca yang hanya diuji dengan kemewahan dunia ini. Semoga ia dapat menyuntik semangat pejuang-pejuang Islam di kampus dan seluruh ummat Islam amnya.

Tajuk: Peristiwa Bersejarah Ramadhan
Penulis: Zamri Zainal Abidin & Imran Azmi
Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd.
Harga: Sem. Malaysia- RM 18.00, Sabah/Sarawak-RM20.00

15 August 2010

Bila Sya'ban dan Ramadhanku berbicara..

Bismillah..

Kali ini istiqamah saya untuk menulis benar-benar tercabar. Jarak masa dua entri saya antara 19 julai dan 14 ogos itu sudah terlalu lama bagi saya. Maka sepanjang masa itu jugalah banyak perkara yang saya pelajari. Banyak pengalaman yang menyekolahkan saya. begitu juga dengan perasaan saya. sentiasa terumbang ambing. Sekejap panas terik, sekejap dingin salju. Lambat panas, cepat sejuk. mungkin itulah saya. Allah yang menjadikan saya seperti ini.

Mengapa saya sudah lama tidak menulis? Alasan saya sibuk itu cukup saya tidak gemari. Sibuk dengan apa? Pmi? Assignment? test? discussion? Itu adalah jawapan biasa yang saya dengar. Namun, pada saya alasan hanyalah alasan. Ia dicipta dan direka oleh manusia itu sendiri. Allah menciptakan masa 24 jam sehari semalam, untuk semua makhluk bumi . makanya, Allah tahu kehidupan hambaNya ini sudah sempurna dengan masa yang diberikan tanpa lebih atau kurang sesaat pun. Jadi, alasan saya kerana sudah lama tidak menulis adalah kerana kegagalan saya menguruskan masa atau menguruskan nyawa tepatnya.

Dalam masa ini juga, saya temui satu hobi baru. Bermusafir. Dalam masa saya bermusafir, suka sekali saya mencari-cari sesuatu perkara yang boleh saya pelajari sesuatu.

Sya’ban 1431

Bertemu dengan sahabat-sahabat lama di SMAP Labu ketika saya menghadiri reunion pada 31 julai lepas juga memberi sesuatu yang bermakna buat saya. bukan sekadar melepaskan kerinduan bertemu mereka. Bukan sekadar mengetahui perkembangan mereka di university mana yang mereka duduki sekarang, malah lebih dari itu. saya belajar memahami sikap manusia. Alhamdulillah antara sesetengahnya masih ada jiwa islaminya. Malah ada juga yang sefikrah. Tidak lari juga ada yang ‘pelik’. Itulah keluaran SMAP Labu. Beraneka. Ada yang mengaku masih berjiwa tarbiyyah sedangkan perlakuan dan pakaiannya ‘aneh’. Ada juga yang menganggap itu biasa. Trend masa kini ketinggalanlah siapa yang tidak mahu mengikuti. Tingkah lakunya sudah cukup untuk saya mentafsirkan itu.

Petangnya pula, seorang sahabat menawarkan kepada saya untuk bermalam di UPM memandangkan saya tidak mempunyai tempat untuk bermalam. Menaiki komuter ke sana daripada stesen Tiroi mengambil masa hanya kira-kira 45 minit. Bermabit di UPM, mengajar saya erti bersyukur. Suasana bilik yang betul-betul ‘merapatkan ukhuwwah’. Ini bukan pernyataan sarkastik. Dengan saiz bilik yang tidak terlalu luas, mereka mengamalkan perkongsian barang untuk menjimatkan ruang. Begitu juga dengan ruang untuk belajar, solat dan lain-lain mereka bijak membahagikan. Semua ruang dimanfaatkan bersama. Tiada ruang individu. Dengan ini, hubungan mereka amat rapat dan mesra. Semua masalah empat orang rakan sebilik dikongsi bersama. Jika di UTM, roommate tidak balik bilik pun,” aku peduli apa!”

Keesokan harinya, 1 ogos 2010 kami ke Mines mengisi perut sebelum saya bertolak pulang ke Skudai. Memasuki ruang lobi, mata saya cepat tertangkap pada majalah Solusi isu 22: Doa mustajab atau terhijab di sebuah kedai. Cepat saya menarik tangan rakan untuk berhenti sebentar. Juadah tengah hari saya di sini agak mewah. alhamdulillah bukan di restoran yang diboikot.. Terima kasih kepada sahabat saya yang membelanja saya.

Jam 4 petang saya sudah pun sampai di Bukit jalil. Mencari tiket untuk pulang ke kampus. Berjalan meredah manusia, akhirnya tiket ke JB 4.30 petang starstrip berada di tangan. Dalam hati, saya mencongak-congak masa, “sempat ke aku nak pergi meeting pukul 9?”.

5.00 petang bas baru meninggalkan stesen. Bersyukur saya ditempatkan di sebelah wanita. Bersama-samanya, seorang anak kecil yang comel berumur 8 bulan. Namanya Nur Kasih. Menurut ibunya, tujuan dia pergi ke KL adalah untuk menghadiri upacara penyampaian hadiah pertandingan bayi comel di Sunway Lagoon. Anaknya telah berjaya mendapat tempat pertama. Setelah bermain sebentar dengan si comel itu, saya membaca majalah Solusi yang baru saya beli tengah hari tadi.

Sepanjang pembacaan, fikiran saya fokus. Memahami maksud doa dan keyakinan. Allah mengabulkan doa hamba-hambaNya yang yakin padaNya. Allah memberikan apa yang hambaNya perlukan. Khusyuk saya membaca hingga tidak sedar penglihatan saya pada baris-baris ayat semakin sukar. Rupa-rupanya jam sudah menunjukkan 7.00 malam. hari sudah gelap. hati saya semakin gusar. “dekat mana aku nak solat ni?” perjalanan pulang saya ke kampus tidak membolehkan saya untuk menunaikan solat jama’ kerana solat jama’ ta’khir hanya boleh dilakukan di luar kawasan tujuan. Seri Puteri tidak ada menyediakan kemudahan surau. Jadi, nak tak nak kena qada’ solat maghrib di UTM atas sebab perjalanan yang tidak berhenti. Sungguh! Saya tidak suka jika perkara ini benar berlaku. Dalam hati, saya berdoa kepada Allah “ Ya Allah, izinkan aku menunaikan kewajipan ibadahku dengan sempurna.” Hati saya yakin Allah pasti bantu. Sepertinya saya mempraktikan teori yang baru sahaja saya perolehi dari bacaan saya tadi.

Bas sudah melepasi Muar, Batu Pahat, Air Hitam. Hati saya semakin berdebar. Hari semakin gelap. Cahaya merah jika sudah tidak kelihatan menandakan masuk waktu isyak. Jam menunjukkan pukul 7.45 malam. saya sudah hampir mahu menangis. Saya tekad, jikalau bas ini tidak berhenti, saya akan meminta pemandu tersebut untuk berhenti di mana-mana perhentian. saya mengutuk diri kerana tidak merancang perjalanan pulang lebih awal. Tiba-tiba, bas membelok ke susur keluar ke Yong Peng . rupa-rupanya bas itu berhenti di sebuah arked yang mana selain terdapat restoran-restoran, terdapat juga kemudahan seperti tandas dan surau. Setelah mematikan enjin bas, pemandu bas berteriak ”ha.. berhenti 20 minit ya!” saya bingkas bangun meluru ke arah pak cik tersebut meminta kepastian. Setelah yakin,20 minit masa yang diberikan, saya segera mengambil wudhu’ di tandas dan menunaikan solat maghrib di surau. Jam ketika itu adalah 8.00 malam. di surau, hanya saya seorang perempuan dan seorang lelaki. Membulatkan hati niat untuk beribadah sambil memohon doa minta dijauhkan fitnah, saya melangkah masuk ke surau. Alhamdulillah. Selesai doa ringkas, saya menaiki semula bas.

Saya termenung. Sungguh besar kekuasaanMu. Engkau menunjukkan bukti keagunganMu. Baru sahaja saya membaca mengenai teori doa dan keyakinan, Allah telah menunjukkan praktisnya. Subhanallah.. air mata bangga berada dalam Islam menitis di pipi..

Sesampainya di UTM, jam menunjukkan ke angka 10 malam. kemudian, bergegas ke mesyuarat. Tidak hairanlah pengerusi sudah mahu menutup majlis ketika saya sampai kerana saya sudah lewat lebih satu jam. Walaupun sedikit terkilan kerana terlepas mesyuarat itu, tapi hati saya masih bersyukur kerana saya tidak terlepas untuk menunaikan salah satu tiang agama. Alhamdulillah..

                                                          ****************************

Beberapa hari sebelum Ramadhan..

“Linda tak balik ke awal puasa ni?”

“tak tahu lagi la mak..sabtu ahad 13 dengan 14 haribulan tu ada program. (KEJASIS) “

“oh.. ye tak ape lah. semalam mak dengar ceramah Ust Badawi dekat masjid. Dia kata, awal puasa ni, kita kena sambut dengan gembira, jumpa ahli keluarga terdekat, saudara-mara, kawan-kawan, minta maaf dekat diorang. bukan 1 syawal je kita kena minta maaf, 1 ramadhan pun sama. Ustaz tu kata lagi, anak-anak yang jauh ni kalau boleh balik, tengok muka emak pun dah dapat pahala.”

Saya menganggukkan kepala tanda faham walaupun mak kata “tidak mengapa” tapi hatinya mesti mengharap supaya anaknya pulang. Dan akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang pada hari selasa selepas kuliah dan kembali semula ke kempus selepas terawih pada hari rabu. Alhamdulillah. Melihat senyuman emak menyambut saya, seolah-olah menggambarkan rasa syukur di hatinya, anaknya ini faham kemahuan ibunya.

Selesai solat maghrib,

“cepat-cepat tengok pengumuman puasa”, abang andak

“alah dah comfirm dah esok puasa,” balas saya yang tidak begitu teruja untuk mendengar pengumuman tersebut kerana teks yang dibacakan terlalu lambat.

“eii.. betul ke esok puasa?”, balas emak

“ kalau tak betul, kite kena balik semula UTM la. Johor tarik balik cuti esok. Kuliah esok macam biasa. Hehehe.” Balas saya sambil disambut derai ketawa kami bertiga.

                                                         *************************

Sya’ban dan ramadhan yang sedang berlangsung ini, seolah-olah berbicara dengan saya. hampir setiap yang saya alami, semuanya memberi kesan dalam diri saya. setiap yang terjadi saya faham apa rasionalnya. Seakan-akan saya sedang diajar. Subhanallah..



Kem Kembara Muslim 2010 (KKM'10)

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan kurniaan limpah rahmatNYA dapatlah program tahunan anjuran Lajnah Pendidikan & Kepimpinan iaitu Kem Kembara Muslim (KKM’10) diadakan pada 6-8 ogos yang lalu bertempat di Pusat Latihan SAJ Pasir Gudang.


Seramai hampir 50 orang mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM’10 kali ini. Walaupun begitu, ramai juga mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI berasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti kem ini kerana terlibat dengan penyerahan dokumen PTPTN dan tidak kurang juga yang terpaksa menghadiri program di fakulti masing-masing. Ustaz Nasir Masrom merupakan pensyarah pengiring daripada Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni bagi program ini.

KKM pada tahun ini bertemakan “Akhlaq Mulia Penjana Genius Ummah” tampil dengan modul pengisian yang menarik dan bersifat membina keyakinan diri di samping aktiviti outdoor yang begitu mencabar mental dan fizikal para peserta.

Berikut adalah kronologi aktiviti yang telah dilakukan sepanjang KKM’10:

6 Ogos 2010 (hari pertama)

Semua peserta dan ajk KKM’10 telah berkumpul di FAB pada jam 5.30 petang untuk menunggu bas yang bakal membawa kami ke Pusat Latihan SAJ Holdings sdn bhd di Pasir Gudang. Dengan keadaan lalu lintas yang tidak sesak, perjalanan hanya mengambil masa 2 jam. Kami tiba di rumah penginapan pada waktu maghrib dan bersama-sama menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Sementara menunggu waktu isyak, saudara Mohammad Hazim selaku pengarah program KKM’10 telah memberi sedikit taklimat dan tazkirah.

Sejurus menunaikan solat fardhu isyak dan makan, bermulalah LDK yang pertama iaitu ta’aruf. Slot yang dikendalikan oleh saudari Radhiatul Raehan ini, disambut ceria oleh para peserta. Perlaksanannya cukup mudah. Ajk telah menampal dua perkataan yang merupakan perbuatan seekor binatang yang lucu di belakang badan semua peserta seperti ikan berjoget, kura-kura ‘merempit’ dan lain-lain lagi. Peserta tidak dibenarkan melihat apa yang ditampal pada dirinya tetapi boleh melihat apa yang terdapat pada badan rakannya. Seterusnya, peserta diminta meneka apa yang terdapat pada belakang badannya. Untuk mengetahui apa jawapannya, peserta diminta bertanya pada rakan yang lain dengan syarat mereka mesti mendapatkan maklumat peribadi rakan tersebut terlebih dahulu. Slot ini bertujuan untuk mengenali antara satu sama lain di samping mengeratkan lagi ukhuwwah sesama peserta. Aktiviti malam ini, diakhiri dengan bacaan surah Al-Mulk di bilik masing-masing.

7 Ogos 2010 (hari kedua)

Seawal 4.30 pagi semua ajk dan peserta telah bangun untuk qiamulail dan solat subuh secara berjemaah. Selepas bacaan Al-Ma’thurat, saudara Mohamad Hafiz yang merupakan penghulu bagi KKM’10 telah memberikan sedikit tazkirah.

Cuaca yang baik memberi peluang untuk aktiviti riadhah diteruskan selepas mengalas perut. Setelah melakukan sedikit senaman ringan, satu permainan berbentuk modul juga dijalankan. ianya tidak lain dan tidak bukan, bertujuan merapatkan lagi hubungan kemesraan peserta .




Usai membersihkan diri dan solat dhuha, ceramah yang pertama telah disampaikan oleh Ustaz Aminuddin b Hehsan yang bertajuk” Islam Cara Hidupku” dan diteruskan dengan LDK sesi pembentangan para peserta berkaitan tajuk ceramah.


Selepas solat zohor, aktiviti diteruskan lagi dengan slot diskusi mahasiswa yang bertajuk “ Akulah yang penting!”. Para peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil. Setiap kumpulan diberikan nama komponen dalam kereta iaitu lampu, tempat duduk, cermin sisi, tayar, gear dan pintu. Setiap kumpulan diminta membahaskan kepentingan komponen tersebut dan mencari kelemahan kumpulan lain. Perbahasan ini bertujuan melatih budaya brainstorm di kalangan peserta di samping membina keyakinan diri mereka bercakap di khalayak ramai. Suasana perbahasan ini begitu rancak sekali. Kesemua peserta memberi hujah yang baik dan mengambil bahagian dalam perbincangan ini dengan penuh bersemangat.




Selepas solat asar dan bacaan Ma’thurat, peserta dibawa ke kawasan empangan yang diketuai oleh En Shaari , pegawai di Pusat Latihan. Beliau banyak menceritakan mengenai sejarah empangan dan lain-lain. Suasana di sini amat cantik sekali. Kemudian, saudari Raehan meneruskan lagi aktiviti dengan permainan kotak beracun. aktiviti tamat pada jam 7.00 malam.





Selesai solat maghrib berjemaah, tazkirah pass baton diadakan. Sekali lagi peserta diuji mengenai ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa. Kebanyakkan peserta sudah bertambah yakin dalam penyampaian dan isi yang disampaikan menunjukkan kematangan dan cakna mereka terhadap isu di persekitaran mereka, samada di dalam atau luar kampus .

Usai solat isyak, ceramah dua disampaikan oleh saudara Muhajirih, Mantan Presiden PMIUTM 2005 yang bertajuk “akhlaq islamiyyah pembentukan ummah”. Seterusnya selepas minum malam, slot muhasabah “cinta Rasul” dikendalikan oleh saudara Muhd Fais Yahaya. Pengalaman pahit dan pengorbanan Rasulullah dalam menyebarkan Islam diimbau kembali dan cuba diterapkan dalam diri setiap individu supaya cinta kepada Rasulullah saw mengatasi cinta duniawi. Slot ini berakhir tepat jam 12.00 malam.

8 Ogos 2010 (hari ketiga)

Hari ini merupakan hari yang mencabar buat para peserta. Pukul 9.30 pagi, semua peserta berkumpul dan bersiap sedia untuk melakukan aktiviti “rempuh halangan” yang diketuai oleh En Shaari selaku Ketua Jurulatih di sini dan dibantu oleh 13 orang jurulatih berpengalaman. Lebih 20 halangan yang mesti peserta tempuhi kesemuanya termasuk flying fox. halangan-halangan ini bukan sahaja berbentuk latihan fizikal malah ada juga halangan yang memerlukan strategi dan kaedah tertentu bagi melepasinya. Di sinilah kemahiran berfikir para peserta digunakan sepenuhnya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana Berjaya menempuhi kesemua halangan.








Aktiviti ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Selepas melepaskan penat, membersihkan diri, mengisi perut dan solat, sampailah kepada slot terakhir iaitu resolusi dan majlis penutup. Hasil daripada perbincangan dan perkonsian pendapat sesama peserta, mereka telah bersepakat untuk mewujudkan Generasi-2 (Gen-2) yang mana ianya adalah merupakan sistem batch yang diperkenalkan pada tahun lepas iaitu dalam KKM’09. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta Kem Kembara Muslim yang dianjurkan oleh Lajnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Selain itu,mereka juga berfungsi dalam menjayakan program-program PMIUTM akan datang.

Seterusnya adalah majlis penutup. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh penghulu merangkap Pengerusi Gen-2, saudara Mohd Hafiz dan Pengerusi Lajnah Pendidikan & Kepimpinan, saudara Mohd Wafi Shah Rooni. Majlis disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh Ustaz Nasir Masroom Pegawai Jabatan Islam di Hal Ehwal mahasiswa & Alumni. Kira-kira jam 3.00 petang, kesemua peserta dan ajk meninggalkan tapak program menaiki bas yang disediakan. Diharap kesemua peserta memperoleh banyak ilmu bagi menjalani kehidupan sebagai individu muslim daripada kem ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...