Bismillah..
Kali ini istiqamah saya untuk menulis benar-benar tercabar. Jarak masa dua entri saya antara 19 julai dan 14 ogos itu sudah terlalu lama bagi saya. Maka sepanjang masa itu jugalah banyak perkara yang saya pelajari. Banyak pengalaman yang menyekolahkan saya. begitu juga dengan perasaan saya. sentiasa terumbang ambing. Sekejap panas terik, sekejap dingin salju. Lambat panas, cepat sejuk. mungkin itulah saya. Allah yang menjadikan saya seperti ini.
Mengapa saya sudah lama tidak menulis? Alasan saya sibuk itu cukup saya tidak gemari. Sibuk dengan apa? Pmi? Assignment? test? discussion? Itu adalah jawapan biasa yang saya dengar. Namun, pada saya alasan hanyalah alasan. Ia dicipta dan direka oleh manusia itu sendiri. Allah menciptakan masa 24 jam sehari semalam, untuk semua makhluk bumi . makanya, Allah tahu kehidupan hambaNya ini sudah sempurna dengan masa yang diberikan tanpa lebih atau kurang sesaat pun. Jadi, alasan saya kerana sudah lama tidak menulis adalah kerana kegagalan saya menguruskan masa atau menguruskan nyawa tepatnya.
Dalam masa ini juga, saya temui satu hobi baru. Bermusafir. Dalam masa saya bermusafir, suka sekali saya mencari-cari sesuatu perkara yang boleh saya pelajari sesuatu.
Sya’ban 1431
Bertemu dengan sahabat-sahabat lama di SMAP Labu ketika saya menghadiri reunion pada 31 julai lepas juga memberi sesuatu yang bermakna buat saya. bukan sekadar melepaskan kerinduan bertemu mereka. Bukan sekadar mengetahui perkembangan mereka di university mana yang mereka duduki sekarang, malah lebih dari itu. saya belajar memahami sikap manusia. Alhamdulillah antara sesetengahnya masih ada jiwa islaminya. Malah ada juga yang sefikrah. Tidak lari juga ada yang ‘pelik’. Itulah keluaran SMAP Labu. Beraneka. Ada yang mengaku masih berjiwa tarbiyyah sedangkan perlakuan dan pakaiannya ‘aneh’. Ada juga yang menganggap itu biasa. Trend masa kini ketinggalanlah siapa yang tidak mahu mengikuti. Tingkah lakunya sudah cukup untuk saya mentafsirkan itu.
Petangnya pula, seorang sahabat menawarkan kepada saya untuk bermalam di UPM memandangkan saya tidak mempunyai tempat untuk bermalam. Menaiki komuter ke sana daripada stesen Tiroi mengambil masa hanya kira-kira 45 minit. Bermabit di UPM, mengajar saya erti bersyukur. Suasana bilik yang betul-betul ‘merapatkan ukhuwwah’. Ini bukan pernyataan sarkastik. Dengan saiz bilik yang tidak terlalu luas, mereka mengamalkan perkongsian barang untuk menjimatkan ruang. Begitu juga dengan ruang untuk belajar, solat dan lain-lain mereka bijak membahagikan. Semua ruang dimanfaatkan bersama. Tiada ruang individu. Dengan ini, hubungan mereka amat rapat dan mesra. Semua masalah empat orang rakan sebilik dikongsi bersama. Jika di UTM, roommate tidak balik bilik pun,” aku peduli apa!”
Keesokan harinya, 1 ogos 2010 kami ke Mines mengisi perut sebelum saya bertolak pulang ke Skudai. Memasuki ruang lobi, mata saya cepat tertangkap pada majalah Solusi isu 22: Doa mustajab atau terhijab di sebuah kedai. Cepat saya menarik tangan rakan untuk berhenti sebentar. Juadah tengah hari saya di sini agak mewah. alhamdulillah bukan di restoran yang diboikot.. Terima kasih kepada sahabat saya yang membelanja saya.
Jam 4 petang saya sudah pun sampai di Bukit jalil. Mencari tiket untuk pulang ke kampus. Berjalan meredah manusia, akhirnya tiket ke JB 4.30 petang starstrip berada di tangan. Dalam hati, saya mencongak-congak masa, “sempat ke aku nak pergi meeting pukul 9?”.
5.00 petang bas baru meninggalkan stesen. Bersyukur saya ditempatkan di sebelah wanita. Bersama-samanya, seorang anak kecil yang comel berumur 8 bulan. Namanya Nur Kasih. Menurut ibunya, tujuan dia pergi ke KL adalah untuk menghadiri upacara penyampaian hadiah pertandingan bayi comel di Sunway Lagoon. Anaknya telah berjaya mendapat tempat pertama. Setelah bermain sebentar dengan si comel itu, saya membaca majalah Solusi yang baru saya beli tengah hari tadi.
Sepanjang pembacaan, fikiran saya fokus. Memahami maksud doa dan keyakinan. Allah mengabulkan doa hamba-hambaNya yang yakin padaNya. Allah memberikan apa yang hambaNya perlukan. Khusyuk saya membaca hingga tidak sedar penglihatan saya pada baris-baris ayat semakin sukar. Rupa-rupanya jam sudah menunjukkan 7.00 malam. hari sudah gelap. hati saya semakin gusar. “dekat mana aku nak solat ni?” perjalanan pulang saya ke kampus tidak membolehkan saya untuk menunaikan solat jama’ kerana solat jama’ ta’khir hanya boleh dilakukan di luar kawasan tujuan. Seri Puteri tidak ada menyediakan kemudahan surau. Jadi, nak tak nak kena qada’ solat maghrib di UTM atas sebab perjalanan yang tidak berhenti. Sungguh! Saya tidak suka jika perkara ini benar berlaku. Dalam hati, saya berdoa kepada Allah “ Ya Allah, izinkan aku menunaikan kewajipan ibadahku dengan sempurna.” Hati saya yakin Allah pasti bantu. Sepertinya saya mempraktikan teori yang baru sahaja saya perolehi dari bacaan saya tadi.
Bas sudah melepasi Muar, Batu Pahat, Air Hitam. Hati saya semakin berdebar. Hari semakin gelap. Cahaya merah jika sudah tidak kelihatan menandakan masuk waktu isyak. Jam menunjukkan pukul 7.45 malam. saya sudah hampir mahu menangis. Saya tekad, jikalau bas ini tidak berhenti, saya akan meminta pemandu tersebut untuk berhenti di mana-mana perhentian. saya mengutuk diri kerana tidak merancang perjalanan pulang lebih awal. Tiba-tiba, bas membelok ke susur keluar ke Yong Peng . rupa-rupanya bas itu berhenti di sebuah arked yang mana selain terdapat restoran-restoran, terdapat juga kemudahan seperti tandas dan surau. Setelah mematikan enjin bas, pemandu bas berteriak ”ha.. berhenti 20 minit ya!” saya bingkas bangun meluru ke arah pak cik tersebut meminta kepastian. Setelah yakin,20 minit masa yang diberikan, saya segera mengambil wudhu’ di tandas dan menunaikan solat maghrib di surau. Jam ketika itu adalah 8.00 malam. di surau, hanya saya seorang perempuan dan seorang lelaki. Membulatkan hati niat untuk beribadah sambil memohon doa minta dijauhkan fitnah, saya melangkah masuk ke surau. Alhamdulillah. Selesai doa ringkas, saya menaiki semula bas.
Saya termenung. Sungguh besar kekuasaanMu. Engkau menunjukkan bukti keagunganMu. Baru sahaja saya membaca mengenai teori doa dan keyakinan, Allah telah menunjukkan praktisnya. Subhanallah.. air mata bangga berada dalam Islam menitis di pipi..
Sesampainya di UTM, jam menunjukkan ke angka 10 malam. kemudian, bergegas ke mesyuarat. Tidak hairanlah pengerusi sudah mahu menutup majlis ketika saya sampai kerana saya sudah lewat lebih satu jam. Walaupun sedikit terkilan kerana terlepas mesyuarat itu, tapi hati saya masih bersyukur kerana saya tidak terlepas untuk menunaikan salah satu tiang agama. Alhamdulillah..
****************************
Beberapa hari sebelum Ramadhan..
“Linda tak balik ke awal puasa ni?”
“tak tahu lagi la mak..sabtu ahad 13 dengan 14 haribulan tu ada program. (KEJASIS) “
“oh.. ye tak ape lah. semalam mak dengar ceramah Ust Badawi dekat masjid. Dia kata, awal puasa ni, kita kena sambut dengan gembira, jumpa ahli keluarga terdekat, saudara-mara, kawan-kawan, minta maaf dekat diorang. bukan 1 syawal je kita kena minta maaf, 1 ramadhan pun sama. Ustaz tu kata lagi, anak-anak yang jauh ni kalau boleh balik, tengok muka emak pun dah dapat pahala.”
Saya menganggukkan kepala tanda faham walaupun mak kata “tidak mengapa” tapi hatinya mesti mengharap supaya anaknya pulang. Dan akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang pada hari selasa selepas kuliah dan kembali semula ke kempus selepas terawih pada hari rabu. Alhamdulillah. Melihat senyuman emak menyambut saya, seolah-olah menggambarkan rasa syukur di hatinya, anaknya ini faham kemahuan ibunya.
Selesai solat maghrib,
“cepat-cepat tengok pengumuman puasa”, abang andak
“alah dah comfirm dah esok puasa,” balas saya yang tidak begitu teruja untuk mendengar pengumuman tersebut kerana teks yang dibacakan terlalu lambat.
“eii.. betul ke esok puasa?”, balas emak
“ kalau tak betul, kite kena balik semula UTM la. Johor tarik balik cuti esok. Kuliah esok macam biasa. Hehehe.” Balas saya sambil disambut derai ketawa kami bertiga.
*************************
Sya’ban dan ramadhan yang sedang berlangsung ini, seolah-olah berbicara dengan saya. hampir setiap yang saya alami, semuanya memberi kesan dalam diri saya. setiap yang terjadi saya faham apa rasionalnya. Seakan-akan saya sedang diajar. Subhanallah..
Nabi dulu Mazhab apa?
1 week ago
1 comments:
doa&keyakinan...insyaAllah..
Post a Comment