• RSS

29 March 2011

Selagi masih Muda. Kelok-kelok jalan Guru Cemerlang.


Tajuk: Selagi masih Muda. Kelok-kelok jalan Guru Cemerlang.
Penyelenggara: Azizul Rahman Abdul Rahman & Mohamad Saleeh Rahamad
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia: RM28.00 Sabah/Sarawak RM31.00
Sumber: Perpustakaan Sultanah Zanariah

Jika hari ini, seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini, seorang perdana menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa!

Buku ini adalah sebuah antologi. Usaha murni Majlis Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) ini amat bagus dalam menyuburkan bakat penulisan dikalangan guru dan guru cemerlang khasnya.  Ia mengandungi 27 buah cerpen yang semuanya menceritakan kisah suka duka menjadi seorang pendidik.  Sememangnya pengalaman mereka menghadapi cabaran dan kesukaran sepanjang bergelar seorang guru sangat bermakna untuk dikongsikan.
Suka untuk saya berkongsi mengenai sebuah tulisan karya Cikgu Harun Omar. “Kecoh” tajuk yang diberikan. Cikgu Haris Lokman merupakan seorang guru cemerlang Bahasa Melayu di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP). Pada tahun 2008, sekolah tersebut telah Berjaya menduduki tempat pertama dalam ranking keputusan terbaik untuk peperiksaan SPM. Namun, keputusan tersebut tidak disyukuri oleh pengetua sekolah tersebut kerana, terdapat seorang sahaja pelajar yang tidak mendapat A1 dalam satu subjek dan subjek tersebut ialah Bahasa Melayu. Pelajar tersebut hanya mendapat B3.
“ kalau Fizik ke Kimia ke tak pelik. Ini Bahasa Melayu. Mata pelajaran yang senang. Dan pelajar yang gagal itu pula, pelajar kita yang cemerlang serba-serbi. Ketua pengawas, Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan wakil sekolah dalam semua pertandingan pengucapan awam. Bahas, syarahan dan forum dialah jaguhnya. Bukankah itu semua menghairankan?,” ujar pengetua tersebut.   
Pengetua tersebut menuduh Cikgu Lokman cuai terhadap muridnya dan selalu meninggalkan kelas menyebabkan muridnya tidak dapat belajar dengan sempurna. Cikgu Lokman berusaha mempertahankan dirinya. Memang benar beliau selalu meninggalkan kelas. namun itu adalah arahan daripada pihak jabatan dan kelas yang ditinggalkan biasanya diberikan tugasan terlebih dahulu. Kerjasama yang diberikan oleh murid-muridnya sentiasa baik buktinya setiap tahun, 50 buah karangan akan dihasilkan oleh setiap individu sebagai latihan.
Pengetua tetap berdegil. Cikgu Lokman tetap bersalah di matanya. Dia meminta Cikgu Lokman untuk menyediakan jawapan bertulis bagi kes ini. jika tidak, Guru Cemerlang Bahasa Melayu itu akan ditukarkan ke sekolah lain.
Di saat Cikgu Lokman ingin menghantar laporan yang diminta, beliau telah memberanikan diri meluahkan perasaan kesalnya terhadap pengetua ini.
“ saya tahu cikgu nak keputusan cemerlang supaya imej cikgu meningkat. Dapat pujian orang atasan, mudahlah dapat Jusa C. Tapi cikgu tak pernah pedulikan guru-guru di bawah. Cikgu kerahkan mereka buat kerja. Kebajikan mereka tak terjaga. Masa cikgu mula-mula datang dulu, cikgu Cuma DG48. Tak sampai tiga tahun dah dapat DG54. “ mukadimah yang diberikan oleh Cikgu Lokman.
“cikgu sama seperti kebanyakkan Pengetua lain. Kononnya bekerja ikhlas kerana Allah, tapi setiap kali mesyuarat, selesai pukul 4 petang. Guru-guru terpaksa melewatkan solat zohor. Apabila ditegur, cikgu kata waktu zohor masih panjang. Lebih malang lagi cikgu tak pedulikan kebajikan staf. Berapa ramai guru DG48 di sekolah kita yang lama terperosok di sini, tak naik-naik. Guru yang lebih junior dah lama jadi Pengetua sedangkan mereka kekal sebagai guru biasa. “ tambah Cikgu Lokman lagi
“ setiap tahun sekolah kita menaikkan nama jabatan dan negeri dalam peperiksaan SPM. Keputusan kita cemerlang. Tapi apa yang kami dapat? Cikgu dapat naik pentas terima sijil dan piala. Guru-guru tak dapat apa-apa. Lebih menyedihkan kerusi meja dan peralatan di bilik guru semuanay lama dan buruk. Tak sesuai pun dengan imej SBP. Bilik guru pula sempit, macam dalam tin sardin. Kalau cikgu prihatin, cikgu boleh mohon dengan jabatan berlandaskan kejayaan cemerlang dalam SPM”. Tutup cikgu Lokman.
Senyum kelat pengetua tersebut. Tidak menyangka Cikgu Lokman berani menegurnya.
Beberapa hari selepas kejadian itu, Irfan pelajar yang mendapat B3 dalam peperiksaan SPM itu datang ke sekolah bersama ayahnya, Datuk Ramli. Dia ingin menjelaskan berikutan kekalutan yang tercetus dan merosakkan keputusan SPM yang lalu. Rupa-rupanya, Irfan sengaja menjawab kertas Bahasa Melayu tempoh hari dengan sambil lewa dan bertujuan untuk tidak mendapat A1 dalam subjek tersebut kerana dia tidak mahu ayahnya menghantarnya melanjutkan pelajar ke luar Negara.
Wallahualam
Nota:
1.      Ini adalah fenomena biasa. Di sekolah saya dulu juga ada pelajar yang sengaja ingin mendapat D dalam subjek bahasa Arab ketika PMR kerana ingin keluar daripada sekolah aliran agama.
2.       Minta dijauhkan daripada mendapat pengetua seperti ini
3.      Saya sedang menjiwai kerjaya seorang guru 
4.  latihan mengajar saya ditangguhkan ke bulan febuari 2012 nanti. =)







14 March 2011

Mahasiswa akhir zaman lalai hiburan dunia.



                Allah menjadikan manusia dengan fitrahnya yang suka akan hiburan. Hiburan boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang mampu merawat kesedihan, memberi ketenangan dan menambah kegembiraan. Namun hiburan pada abad ini bersifat sebaliknya. Bagi golongan remaja khususnya, hiburan bagi mereka adalah hiburan yang merosakkan minda, menyuapkan racun pada nilai akhlak, dan menyuntik penyakit cintakan dunia takutkan mati dalam diri setiap individu dan bersifat keduniaan semata. Jelas bakal menjadi barah jika dibiarkan. Sesuailah dengan firman Allah:
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al-Hadid: 20)

                Namun, pada minggu lepas UTM dikejutkan dengan publisiti yang disebarkan oleh Pusat Ekuin UTM  yang menganjurkan UTM International Johor Horse Show 2011 yang mana di dalamnya turut diadakan konsert ‘TheTimes’  yang jelas menyalahi syariat kerana cara artis tersebut berpakaian, tingkah laku dan jenis lagu yang dimainkan kebiasaanya sangat tidak sesuai dan dibimbangi ia akan merosakkan akhlak dan pemikiran mahasiswa yang sedang menuntut di salah sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Negara ini. Konsert  ini juka akan menyebabkan berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan yang boleh mengundang kepada perkara maksiat.
Hal ini memancing perhatian para pensyarah, staff dan mahasiswa untuk berusaha menghalang ia berlaku. PMI, MPM, Unit kebudayaan, Unit keselamatan dan Pusat Islam bersama-sama berusaha melakukan bantahan. Prof Madya Zahib Deraman selaku Pengarah Unit Kebudayaan UTM dan Dr Ismail Musytari Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM masing-masing merasakan kesal dengan pihak penganjur yang tidak merujuk kepada mereka terlebih dahulu mengenai garis panduan hiburan yang dibolehkan menurut Majlis Fatwa Negeri Johor dan di peringkat universiti sendiri. Kali ini, En Halim Pengarah unit keselamatan juga turut bertegas dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya jika konsert ini diteruskan.  
                Akhirnya hasil daripada perbincangan yang dijalankan, tiga acara di dalam Fiesta tersebut dibatalkan iaitu rumah hantu, rhythm of champion dan acara pada malam penutupnya, konsert The Times. Semua pihak merasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat dalam pembatalan ini. Mereka sedar dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang membabitkan gejala tidak sihat dikalangan mahasiswa. 

                Agama Islam tidak melarang umatnya untuk mencari hiburan. Namun, hiburan yang dipilih mestilah tidak melanggar hak dan syariat yang ditetapkan. Mahasiswa  sentiasa berada di barisan hadapan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang berintelektual dan mampu berdaya saing. Namun,  mahasiswa seperti apakah yang kita mahukan? Adakah mahasiswa yang lalai dan leka ditenggelami arus hiburan melalaikan yang memupuk cinta dan kasih khayalan ? sudah tentu tidak. Mahasiswa yang Negara inginkan ialah yang mampu melihat hiburan dari sudut ilmu dan agama. Jiwanya sentiasa mencari sesuatu yang mampu mendidik untuk lebih patuh kepada agama, mendekatkan diri kepada Allah dan menambah ilmu pengetahuan.   
                Kami, Persatuan Mahasiswa Islam bertegas pembatalan konsert ‘The Times’ sempena International Johor Horse Show 2011 adalah wajar dan kami  tidak akan mendiamkan diri dan bersetuju seandainya masih ada pihak-pihak tertentu yang masih berhasrat untuk membawa masuk mana-mana kumpulan artis yang membawa muzik yang dilihat tidak sesuai dengan kehendak syariat berlandaskan firman Allah:
Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 42)
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah: 208)
                Mahasiswa  Islam khususnya harus sedar dan membuka fikiran seluasnya di atas kemungkaran yang telah berleluasa di dunia ini. Allah Ta’ala telah memberi peringatan-peringatan kecil kepada hambaNya dengan menurunkan bencana  alam dan wabak penyakit yang sering datang dan pergi . Namun ia masih tidak mampu memberi kesedaran kepada umat manusia. Mahukah kita ditimpa Tsunami seperti di Jepun baru-baru ini? Mahukah kita dibenamkan dengan gempa bumi atau tanah runtuh seperti di Bukit Antarabangsa suatu ketika dahulu? Mahukah kita mati kesesakan nafas disebabkan oleh penularan virus influenza A H1N1? Atau mahukah kita Malaysia diterbalikkan seperti apa yang kaum Nabi Lut rasai dahulu? Nauzubillah…


Norazlinda bt Amin
2 SPM- Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik
Fakulti Pendidikan
Tim. Peng Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM    
 
               
               

Meaningless doesn't mean useless


Suatu petang, di dewan kuliah..
“akak yang dekat depan ni siapa nama?” Tanya ustaz sambil menunjuk ke arah saya.
Teragak-agak untuk menjawab sambil menunjukkan isyarat.
“saya ke?”
“ya. Awaklah. Jangan takut.” Jawab ustaz.
“ Norazlinda,” jawab saya ringkas.
“ owh! Agaknya ayah awak dulu nak namakan Maimunah tapi bila sampai dekat JPN ayah awak terlupa. Yang keluar Norazlinda.” Ustaz berandai gurau.
Semua hadirin ketawa meriah.
Saya faham benar dengan gurauan ustaz. Mesejnya jelas. Nama saya tiada makna. Nama saya tidak seperti orang lain yang punyai maksud yang indah. Tidak seperti nama sakinah yang bermaksud ketenangan. Amirah yang bermaksud . begitu juga dengan Huda yang bermakna.
Ketika zaman hingusan dulu, saya pernah merasa rendah diri kerana ini. Saya tidak seperti orang lain yang punyai nama yang baik dan bagus dan menjadi doa kepada si pemilik nama. Tambahan pula,  nama linda  agak universal digunakan oleh orang beragama lain. Saya pernah jeritkan ini dalam hati “ nama aku nama kafir!”.
Namun, sebenarnya terdapat kisah tersurat di sebalik nama Norazlinda ini.
Menurut cerita emak, nama yang emak ingin berikan kepada saya ialah Siti Maisarah sempena nama nenek saya Sarah. Namun, cadangan itu telah ditolak oleh abah dengan beberapa perbahasan yang tidak sesuai untuk saya coretkan di sini.
Pada tahun saya dilahirkan, Abah pernah ke majlis penganugerahan pelajar cemerlang sekolah dan antara nama penerima anugerah tersebut ialah Norazlinda. Pelajar tersebut sudah kehilangan bapanya ketika beliau menerima anugerah tersebut. Atas dasar kasihan dan simpati, nama beliau sangat kuat di ingatan abah dan secara kebetulan, emak baru sahaja melahirkan anak perempuan. Lalu nama itu dipaterikan keatas saya.
Kebetulan dan ketentuannya, penerima anugerah pelajar cemerlang pada tahun 2002 juga bernama Norazlinda dan baru sahaja kehilangan bapanya beberapa bulan sebelum itu.
Ustaz pernah berkata nama yang tidak mempunyai maksud tidak semestinya tidak elok. Nama yang tidak mempunyai makna tidak semestinya orangnya tidak berguna.  Meaningless doesn’t mean useless. Jadi, bersyukurlah dengan nama yang diberikan oleh ibu bapa kita. Dan iktiraflah nama orang lain dengan memanggil nama sebenar orang tersebut kerana, nama inilah yang akan dipanggil oleh malaikat dihadapan penghisaban nanti.   
Al-Hujurat ayat 11. 
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim.
Al-fatihah buat abah yang telah kembali ke rahmatullah pada 18 march 2002


Mind Power - membina minda mahasiswa/i cemerlang


Ceramah 1 : " Mind Power"- membina minda mahasiswa/i cemerlang
skill: - teknik 'self motivation' dan teknik menulis matlamat
        - teknik Law of Attraction : Gratitude & Visualisation
Ceramah 2: Membina Sikap Asertif dalam Belajar
mengaplikasi teknik mudah untuk belajar 'last minute' seperti:
- konsep bahasa memori, akronim, akrostik dan audionim
- teknik cerita kreatif dan flash card
- teknik nombor ceria

Ceramah 3: Membina Ketahanan Diri
- ilmu dan teknik pengurusan diri, tugasan persatuan, organisasi dan ahli masyarakat
- teknik asas pengurusan tekanan

09 March 2011

Motivasi pagi di IKIM 8 march: kaca mata emosi dan spiritual


Motivasi pagi di IKIM : kaca mata emosi dan spiritual
Motivator memulakan bicara dengan mengajak para pendengar agar sentiasa bermotivasi. Ramai  orang yang termotivasi apabila mendengar ceramah motivasi. Namun ada juga yang tidak. Perubahan harus dipupuk dan diusahakan. Bukannya dengan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
Situasi yang diutarakan , anda sedang menunggu sahabat anda yang berjanji ingin bertemu dengan anda pada jam 2 petang. Namun,  rakan anda tersebut hanya datang dua jam kemudian. Bagaimanakah anda menangani situasi tersebut?
Kita boleh menangani situasi tersebut dengan tiga cara. Jika kita menanganinya dari sudut fizikal, kita mula memandang situasi tersebut secara negatif. Apabila menunggu sahabat yang tidak kunjung tiba, kita akan mula rasa marah dan malu apabila orang sekeliling melihat perbuatan kita yang tidak tentu arah jalan mundar-mandir keseorangan. Meletakkan kesalahan seratus peratus kepada sahabat yang ditunggu.
Manakala dari sudut emosi, kita mampu menenangkan keadaan. Kita mula memutikkan positif dalam diri. “tidak mengapa dia lewat. Aku boleh baca buku”. Kita membina alasan untuk menyakinkan ia membawa kebaikan bagi kita.
Dan dari sudut spiritual pula, kita melihat ia dari kaca mata ketuhanan dan rohani. Sentiasa ingat dan faham, Allah menjadikan sesuatu itu lengkap dengan hikmahnya. Meletakkan kesalahan pada sahabat yang lewat itu tadi jauh sekali. Malah kita mendoakan supaya sahabat tersebut diberi kemudahan dalam perjalanannya .
Situasi ini sering berlaku dalam diri kita. Menunggu sahabat yang lewat datang mesyuarat, ke kelas, janji temu dan sebagainya. Namun, awas! Jika kita yang ditunggu, tidak sepatutnya kita membiarkan mereka terus menunggu kerana beranggapan mereka mengaplikasi apa yang saya ceritakan sebelum ini. menepati masa itu sangat perlu. Saling menghormati masa antara satu sama lain itu satu akhlak yang paling mulia saya kira.
Jelas, kesemua perkara ini merangkumi satu istilah yang juga merupakan tahap pertama dalam ukhuwah iaitu husnu-dzan. Sentiasa husnu-dzan bererti kita Berjaya menangani setiap apa yang berlaku dari sudut emosi dan spiritual. Ia juga merupakan tunjang dalam menjaga hati.
Seorang sahabat, pernah menyatakan “ aku dah habis husnu-dzan dah ni”. Tidak sahabat. Husnu-dzan tidak pernah berakhir. Apabila kata-kata itu keluar daripada mulut kita, maka ia datang daripada nafsu yang sememangnya  tidak mahu bertolak ansur padahal jika kita dasarkan ia dengan iman dan akal yang waras, kita mampu menanganinya. Sama-sama Istighfar…
 Husnu-dzan dan su’u-dzan sentiasa bersaing bagi merebut piala emas dalam diri manusia. kita mampu memberi kemenangan tersebut kepada Husnu dengan iman yang ada. Namun, segera hilangkan dzan tersebut. Contohnya, ada sahabat yang selalu tidak datang meeting. Segera pergi menziarahi sahabat tersebut, berkongsi masalah, dengar keluhannya. Jangan pernah meremehkan masalah sahabat kerana tahap kebolehan kita untuk berdepan dengan sesuatu masalah adalah berbeza. Ada orang masih mampu tersenyum walaupun dia berdepan dengan test,assignment, kertas kerja program dan lain-lain yang perlu dihantar pada hari yang sama disamping dia juga mempunyai masalah kewangan yang serius hingga sanggup menghadkan jadual makannya iaitu tiga hari sekali makan nasi . Dan ada orang, hanya bergaduh dengan adik yang berumur 9 tahun sahaja boleh membuatkannya tension seperti ingin membunuh diri ( saja bagi contoh tidak logik). Pointnya disini ialah, Allah meletakkan sesuatu permasalahan itu sesuai dengan bahu pemikulnya. Lihat Al-baqarah ayat 286.
Jadi sahabat-sahabat sekalian termasuk insan yang sedang menaip ini, sama-sama lah kita memandang positif terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Juga husnu-dzan!
Wallahualam..
Semoga saya tidak tergolong dikalangan orang yang hanya ‘menulis lebat’. As-Saf: 2-3
Lahawlawalaquwwataillabillah…..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...