• RSS

20 September 2011

Bogel Menuju Tuhan


Begini.

Kamu lengkap berpakaian, sedang berjalan. Memandang terus ke hadapan, tidak ada pilihan untuk berpatah balik, kecuali Tuhan benarkan system kiraan waktu ke belakang.

Iaitu, contoh- selepas rabu ialah Selasa. Selepas jam 7 ialah jam 6.

Tidak wujud hukum itu. Bukan hukum alam.

Yang tadi, memang lengkap berpakaian. Dari atas kepala jatuh ke kaki.kemas, segak, cantik, anggun, ayu, hensem, kacak, cun, macho, cun, sweet, cute dan semua adjektif positif. Tanpa mengira gender.

Kerana bila kita mula mengenali pemikiran sendiri, mula menggunakan otak, mula peka dengan sosial kehidupan, waktu itu umur sudah lebih kurang besar.

Seperti baru terjaga dari tidur. Waktu itu bangun dari katil adalah keputusan sendiri, angkat tangan adalah keputusan sendiri, capai tuala adalah keputusan sendiri. tidak seperti mimpi yang kita sendiri pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menggerakkan plot mimpi tadi.

Sebab itu sedar-sedar, kita sudah berjalan. Bukan baru melangkah mula.

Jadi, dengan lengkapnya berpakaian yang sedang berjalan, itulah kehidupan. Terus berjalan. Namun kejap-kejap berjalan, rambut kita ditiup angin. Habis rosak gayanya.

Itulah halangan. Kita jalan lagi terusnya. Dengan gaya rambut malapetaka.

Kejap-kejap kita jalan lagi, kasut kita terpijak lumpur. Itu juga salah satunya halangan. Kita jalan lagi dengan kasut berlumpur.

Kejap-kejap kita jalan lagi, baju tercarik terkena benda tajam. Habis terburai menampakkan bahagian badan. Atau aurat. Kita berhenti untuk mengenal pasti apakah halangan yg mencarikkan baju kita tadi. Kita jerit, kita marah, kita menangis dek baju yang tercarik robek. Betul-betul marah kenapa dicarikkan!

Kita perlu jalan lagi. Kalau baju itu tercarik kecil, kita pasangkan lagi ke badan. Kalau cariknya besar, kita tanggalkan saja. Walau tak berbaju, kita  harus berjalan.

Kejap-kejap kita jalan lagi, seluarnya ditarik. Putus butang di pinggang. Langsung londeh ke bumi. Baju tadi sudah dibuang maka separa bogel meninggalkan seluar yang londeh habis.

Mahu pulang ke belakang sekarang? Ingat, tiada hukum pukul tujuh jadi enam selepasnya. Tiada.

Tidak ada jalan lain, samada pegang seluar itu atau tanggalkan sahaja.

Begitulah lengkapnya pakaian ditarik, dicarik, disentap oleh ekhidupan. Satu-persatu dirosakkan, diambil.

Kita perlu terus ke hadapan, walau tiada baju, walau tiada seluar. Jikalau harus berbogel untuk sampai ke hujung, akan aku lakukan.

Kerana dihujung itu mati.

Di hujung itu Pencipta yang menunggu kita.

Dan siapa yang sedar, rupanya yang menarik, mencarik lengkapnya pakaian tadi, adalah Tuhan. Iaitu dugaanNya.

Baju dan seluar tadi cumalah modeniti, duniawi status latar zaman yang langsung tidak bernilai, kerana yang akhirNya ialah kita (yang berbogel sendirian) dan amalan kepadaNya.

Inilah perjalanan hidup berdugaan, penuh kesakitan, sebelum menuju Tuhan.




Tajuk: Bogel Menuju Tuhan
Penulis: Zahiril Adzim
Penerbit: Orange Dove Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM30.00
Bilangan muka surat: 87
Sumber: MPH Skudai

Nota:
1.   Ini adalah himpunan sajak dan catatan Zahiril Adzim, pelakon popular Juvana
2. Abaikan tajuknya. ambil isinya.



18 September 2011

La Ikro Ha Fiddin



Siri drama ini saya baru dapatkan daripada abang saya. Rupa-rupanya ia sudah pun lama ditayangkan di salah satu siaran di Astro. Menarik untuk ditonton bukan sahaja kerana pelakonnya Sharifah Amani memakai tudung labuh, tapi kerana nilai dan moralnya sarat menegur segelintir masyarakat Islam yang benci kepada mereka yang berlainan agama tanpa sebab.

  Dr Edward seorang doktor di sebuah perkampungan masyarakat melayu berkhidmat di klinik desa di situ. Kampong ini didiami oleh pelbagai agama dan bangsa. Ada Imam Toha dan anaknya Norlia, Sister Maria seorang biarawati di gereja, Madam Wong penghidap sakit buah pinggang dan ada Dorai si buta yang berbangsa India. Semuanya hidup saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, dalam kemajmukan itu ada juga Samiri yang berwatak antagonis yang bertindak menghasut orang kampong untuk membenci Dr Edward.

Norlia memiliki ijazaha Sarjana muda lulusan Al-Azhar. Berkhidmat sepenuhnya di kampong untuk mengajar mengaji dan kelas-kelas agama. Dr Edward meminati Norlia kerana agamanya. Dr Edward sememangnya sedang mencari-cari kehidupan beragama. Mencari siapa Tuhan dan ketenangan.   

Ini bukan kisah cinta kosong. Tapi sarat dengan pengajaran. Berlemah-lembutlah dengan kafir zimmi supaya moga-moga hidayahAllah menjadi milik mereka.

16 September 2011

Alangkah Lucunya Negeri Ini


Filem Indonesia ini saya jumpai ketika singgah di youtube. Tiada Oki, Asmirandah dan ‘Syamsul Hadi’. Ini bukan filem cinta. Tapi ini filem ‘menghentam kerajaan’. Menceritakan bagaimana anak-anak kecil yang tidak punya rezeki untuk sekolah dan hidup bergelandangan di jalanan. Mereka bukan peminta sedekah tapi mereka berkerja. Berkerja sebagai ‘pencopet’.

Muluk seorang anak muda. Berkelulusan sarjana pengurusan di sebuah universiti. Anak tunggal Pak Makbul. Muluk bersemangat tinggi. Beliau tidak pernah berhenti untuk mencari kerja yang layak dengan taraf pendidikan yang dimilikinya walaupun dia sebenarnya sedar masalah ekonomi yang sedang melanda di negaranya menjadi faktor utama mengapa beliau masih belum mempunyai kerja tetap. Pak Makbul tidak putus memberikan sokongan kepada anaknya walaupun terpaksa berhadapan dengan tohmahan Haji Sarbini bakal besannya yang berkali-kali mengatakan pendidikan tidak penting dalam menjana kehidupan yang baik.

Digambarkan dalam filem ini, kehidupan penduduknya sangat terdesak. Peniaga di pasar malam tidak lagi menjual barang tapi memperdagangkan ramalan nasib batu ajaib sebagai pelindung diri dan minyak untuk kebal  menunjukkan masyarakat yang sudah hilang kepercayaan untuk berusaha mencari rezeki dan hanya mengharapkan ‘yang ajaib’ untuk meneruskan kehidupan.

 Muluk dipertemukan dengan sekumpulan kanak-kanak pencopet. Mereka tidak tahu membaca dan menulis. Apa yang mereka tahu ialah hanya mencuri. Mencuri di dalam bas, di pasar malam dan pusat membeli belah. Muluk simpati dengan kehidupan mereka yang tidak mempunyai pendidikan seperti kanak-kanak yang lain. Dengan taraf pendidikan yang Muluk miliki, dia  merasa bertanggungjawab untuk memberi pelajaran buat anak-anak ini supaya sekurang-kurangnya mereka mencuri dengan ilmu dan dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka.

 Muluk berkerjasama dengan Syamsul yang berkelulusan sarjana pendidikan tapi menganggur kerana tidak dipanggil untuk posting  dan Pipit anak tok imam yang menghabiskan masa menyertai kuiz di akhbar dan tv bagi mendapatkan rezeki  yang ‘segera’ untuk menjadi tenaga pengajar di perkampungan anak-anak pencopet itu.

Syamsul mengajar mereka menulis, membaca dan pengetahuan am. Manakala Ustazah Pipit mengajar mereka ilmu agama. Pada mulanya agak sukar anak-anak ini untuk menerima kehadiran ilmu untuk diri mereka, namun lama-kelamaan mereka gembira. Gaya hidup mereka juga sudah berubah. Mereka solat daan hinggalah mereka sudah tahu membezakan yang halal dan haram maka mereka tidak lagi menyara kehidupan dengan  mencopet sebaliknya dengan berniaga.

Kisah ini sangat menarik. Anak-anak muda kebanyakkannya tidak berkerja dan hanya melepak di warung-warung bermain dam haji. bukan kerana tiada kelulusan tapi masalah ekonomi yang sangat menekan. Ketika musim pilihanraya, ada seorang wakil rakyat yang menjanjikan kemewahan jika dia diundi. Sangat sinis! Mereka menegur pemimpin negera mereka yang penuh dengan korupsi!

15 September 2011

jadual-jadual ~

.:: JADUAL AKADEMIK ::.
.:: KULIAH TAFAQUH anjuran FAKULTI TAMADUN ISLAM ::.

.:: KULIAH TAFAQUH anjuran PUSAT ISLAM ::.



14 September 2011

2 September 2011; Ini kisahku..


Alhamdulillah. Nikmat yang Allah berikan untuk saya menghirup nafas pada hari ini memaksudkan saya sudah boleh mendaftar mengundi secara rasmi. J ketika menulis ini, telefon bimbit saya selang beberapa minit berbunyi menandakan mesej masuk. Infiniti  terima kasih saya ucapkan buat mereka yang tidak putus-putus mengucapkan selamat ulang tahun dan mendoakan yang baik-baik buat saya. Semoga doa tersebut Allah kembalikan kepada anda semua . Walaupun Mark Zuckerberg menjadi orang perantaraan ucapan tersebut, saya tetap menerimanya dengan hati yang senang.

Kalau kebanyakkan orang menyambut hari lahir tepat jam 12 malam, maka saya anjakkan sedikit menjadi 12.30 malam kerana saya dilahirkan ketika itu. Tiada doktor dan peralatan canggih. Saya  hanya disambut oleh seorang nenek yang menjadi bidan terjun untuk menjadi bidan dan setelah itu diambil alih tugas memotong tali pusat oleh  jururawat yang datang lewat ke rumah. Ibu saya yang hebat ini melahirkan saya dengan selamat secara normal walaupun saya berada dalam keadaan songsang ketika dilahirkan. Alhamdulillah..

Lahirnya seorang lagi puteri bongsu yang comel ini, secara automatisnya mencabut gelaran ‘adik’ kepada abang saya. Cukuplah empat tahun dia menjadi bongsu buat sementara.

Saya menerima pendidikan formal pertama di Tabika KEMAS Parit Nawi ketika berumur lima tahun. Memakai uniform rasmi baju kurung bercorak  petak-petak empat segi kecil berwarna merah selama dua tahun.

Umur tujuh tahun, saya mendaftar di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi. Satu-satunya murid yang memakai tudung di dalam kelas itu. Hasil tarbiyah daripada keluarga mungkin.

Enam tahun bersekolah rendah, saya meneruskan lagi pengajian di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu Negeri Sembilan. Berbekalkan pengalaman yang zero  berada jauh dengan keluarga, saya tegarkan hati dan kuatkan semangat untuk kekal di sana selama lima tahun. Di sana saya belajar pelbagai perkara mengenai kehidupan. Saya bukan seorang ahli badan dakwah. Bukan juga seorang Lembaga Pengawas. Mungkin itu menjadi faktor  saya ‘mudah diterima’ oleh rakan-rakan sekeliling. Saya hidup dengan gaya sendiri. Di sekolah ini  saya mula minat untuk membaca. Novel dan Majalah I antara yang saya tidak missed setiap kali keluar bandar hujung minggu.  Saya pernah mempunyai mini walkman yang dulu dipanggil ‘transistor’ (barang yang sangat HARAM dibawa) untuk mendengar IKIM. Walaupun saya dikira nakal kerana melanggar beberapa peraturan asrama, namun saya juga antara golongan yang selalu ditolak kehadapan untuk menjadi imamah di surau puteri. (saya tidak pasti mengapa dan bagaimana mereka thiqah dengan saya). Jadi, saya bukanlah golongan ‘skema’ juga bukan golongan ‘otai’ jauh sekali golongan ‘bermasalah’ yang menyebabkan markah merit rumah sukan ditolak. Saya adalah saya. Golongan pertengahan. Erm.. mungkin.

“ awak tak nak turun dengar tazkirah? Dah cukup ke ilmu di dada?! ” Jerit seorang senior kepada seorang junior. Tegurnya macam bagus. Tapi, dia sendiri juara masbuk setiap kali solat berjema’ah.

Ya! Tarbiyah di sini memang aneh. Peraturan dan amalan yang diwajibkan hanya kepada junior. Senior? Hmm.. Hakikatnya mereka hanya ditakuti bukan dihormati.  

Apa yang pasti, di sinilah saya belajar untuk faham mengapa peraturan diwujudkan, etika berpakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Walaupun ada beberapa perkara yang saya kesalkan, namun ia tidak menafikan tarbiyah yang saya terima di sekolah ini.

Saya bukan golongan cerdik pandai yang selalu score dalam apa jua peperiksaan. Maka kerana itulah guru-guru tidak ramai yang kenal dengan pelajar low profile seperti saya ini. kecuali dengan Ustazah Salwa dan Ustazah Nuri guru bahasa Arab komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, Cikgu Ainah guru kimia dan Sir Phua Wee Lan guru matematik.

Tamat SPM, memasuki zaman matrikulasi. KMNS adalah pilihan pertama ketika mengisi borangnya secara online. Semua ahli keluarga sangat marah apabila saya membuka hal sebenar selepas surat tawaran diterima. Mereka mahukan saya di KMJ memandangkan kedudukannya dekat dengan kediaman saya di Muar. Tapi pada saya, jarak yang jauh antara rumah dan tempat kita menuntut ilmu adalah salah satu faktor kejayaan seseorang. Erm.. ini teori saya sendiri yang bukan hasil kajian. Antara faktor saya sengaja memilih KMNS adalah kerana ketika itu saya merasakan sangat sukar untuk saya memadamkan memori di sekolah dan memulakan hidup baru di negeri sendiri. Meraih ilmu di sini sangat menyeronokkan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sentiasa membantu dalam pelajaran. Di sini juga saya membina kembali semangat untuk belajar dengan gigih demi menebus ‘kekurangan’ dalam SPM dahulu. Alhamdulillah.. diberi pensyarah yang baik, rakan-rakan yang baik, bi’ah yang elok hasilnya Allah anugerahkan pointer yang baik. Kata-kata senior yang saya sentiasa pegang “ SPM tidak menjamin siapa kita di masa hadapan” memang benar-benar menjadi kenyataan.

Pertengahan 2009 saya bergelar mahasiswa di UTM Skudai. Idea untuk menulis perihal universiti tiba-tiba hilang dek kerana terlalu banyak yang ingin saya catatkan di sini. Makanya, cukuplah sekadar ini. Saya Norazlinda binti Hj Amin bin Hj Shamsudin  seorang mahasiswa tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendidikan Matematik. Menjadi ahli Persatuan Mahasiswa Islam secara rasmi pada tahun yang sama saya mendaftar sebagai mahasiswa dan diterima untuk menjadi salah seorang penggerak Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan. 2011 saya diberi taklifan sebagai Timbalan Pengerusi Lujnah yang sama iaitu lujnah pendidikan atau lebih saya senangi menggelarnya lujnah tarbiyah. Allah meletakkan saya di sini. Medan ini. lujnah ini. 

Menangis, ketawa, senyum, sedih, suka dan duka. semuanya menjadi sebuah adunan yang bakal menghasilkan kek yang lazat. Hakikatnya  ini bukan keluhan tanda kesal. Tapi sedikit lelah letih. Lelah kerana berusaha untuk memberikan yang terbaik. Terbaik buat ummat sana sehingga lupa hakikat manusia tiada yang sempurna. Suasana persekitaran pula kadang kala bertindak kejam hingga mengharamkan saya untuk lemah. “ INI TARBIYAH!!!! “ jeritnya. Ya saya redha. Lantas saya sapu tangisan yang hampir kering. Saya cuba berdiri. Alhamdulillah kekuatan dariNya saya sambut. “sudah aku katakan, Allah sebaik-baik tempat untuk mengadu” getus separuh hati. 

Senyum, senyum dan terus senyum. Syukur, syukur dan syukur. Syukur kepada Allah yang memberi tarbiyah. Makanya, saya pakukan segala kekurangan lalu dan berusaha menjadikan 2011 adalah tahun bahagia buat saya dalam diari kekal ini. semoga ianya kan terus kekal membuatkan saya dan anda semua terus tabah, istiqamah dan thabat meneruskan sisa-sisa 2011 sempena ulang tahun yang ke 21 ini.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran wahai diri.. 21 masih muda. Banyak lagi sumbangan yang kau boleh berikan buat Islam. Namun tahukah kamu bila maut bakal menjemputmu? 21 tahun mungkin menjadi umur muda mungkin juga umur tua buatmu.. Ingatlah wahai diri.. titik!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...