• RSS

16 September 2011

Alangkah Lucunya Negeri Ini


Filem Indonesia ini saya jumpai ketika singgah di youtube. Tiada Oki, Asmirandah dan ‘Syamsul Hadi’. Ini bukan filem cinta. Tapi ini filem ‘menghentam kerajaan’. Menceritakan bagaimana anak-anak kecil yang tidak punya rezeki untuk sekolah dan hidup bergelandangan di jalanan. Mereka bukan peminta sedekah tapi mereka berkerja. Berkerja sebagai ‘pencopet’.

Muluk seorang anak muda. Berkelulusan sarjana pengurusan di sebuah universiti. Anak tunggal Pak Makbul. Muluk bersemangat tinggi. Beliau tidak pernah berhenti untuk mencari kerja yang layak dengan taraf pendidikan yang dimilikinya walaupun dia sebenarnya sedar masalah ekonomi yang sedang melanda di negaranya menjadi faktor utama mengapa beliau masih belum mempunyai kerja tetap. Pak Makbul tidak putus memberikan sokongan kepada anaknya walaupun terpaksa berhadapan dengan tohmahan Haji Sarbini bakal besannya yang berkali-kali mengatakan pendidikan tidak penting dalam menjana kehidupan yang baik.

Digambarkan dalam filem ini, kehidupan penduduknya sangat terdesak. Peniaga di pasar malam tidak lagi menjual barang tapi memperdagangkan ramalan nasib batu ajaib sebagai pelindung diri dan minyak untuk kebal  menunjukkan masyarakat yang sudah hilang kepercayaan untuk berusaha mencari rezeki dan hanya mengharapkan ‘yang ajaib’ untuk meneruskan kehidupan.

 Muluk dipertemukan dengan sekumpulan kanak-kanak pencopet. Mereka tidak tahu membaca dan menulis. Apa yang mereka tahu ialah hanya mencuri. Mencuri di dalam bas, di pasar malam dan pusat membeli belah. Muluk simpati dengan kehidupan mereka yang tidak mempunyai pendidikan seperti kanak-kanak yang lain. Dengan taraf pendidikan yang Muluk miliki, dia  merasa bertanggungjawab untuk memberi pelajaran buat anak-anak ini supaya sekurang-kurangnya mereka mencuri dengan ilmu dan dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka.

 Muluk berkerjasama dengan Syamsul yang berkelulusan sarjana pendidikan tapi menganggur kerana tidak dipanggil untuk posting  dan Pipit anak tok imam yang menghabiskan masa menyertai kuiz di akhbar dan tv bagi mendapatkan rezeki  yang ‘segera’ untuk menjadi tenaga pengajar di perkampungan anak-anak pencopet itu.

Syamsul mengajar mereka menulis, membaca dan pengetahuan am. Manakala Ustazah Pipit mengajar mereka ilmu agama. Pada mulanya agak sukar anak-anak ini untuk menerima kehadiran ilmu untuk diri mereka, namun lama-kelamaan mereka gembira. Gaya hidup mereka juga sudah berubah. Mereka solat daan hinggalah mereka sudah tahu membezakan yang halal dan haram maka mereka tidak lagi menyara kehidupan dengan  mencopet sebaliknya dengan berniaga.

Kisah ini sangat menarik. Anak-anak muda kebanyakkannya tidak berkerja dan hanya melepak di warung-warung bermain dam haji. bukan kerana tiada kelulusan tapi masalah ekonomi yang sangat menekan. Ketika musim pilihanraya, ada seorang wakil rakyat yang menjanjikan kemewahan jika dia diundi. Sangat sinis! Mereka menegur pemimpin negera mereka yang penuh dengan korupsi!

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...