• RSS

30 October 2011

Baitul Muslim --> Baitul Dakwah

Isu baitul muslim semakin hangat dibincangkan. Baik di dinding-dinding ‘mukabuku’ mahupun perbualan seharian golongan kopiah dan tudung labuh. Pelbagai reaksi. Ada yang malu-malu menutup muka. Ada juga yang tersipu-sipu menguntum senyum ketika membincangkan hal ini. menyebut perkataan ‘settle’ sahaja kadang kala mampu menimbulkan pelbagai reaksi. Sampai bila harus begini? sejauh manakah isu ini dibincangkan secara haraki dan matang sejajar dengan usaha dan tindakan? sampai bila ingin ‘menggosipkan’ baitul muslim seperti cerita-cerita sensasi artis? Maaf mungkin agak keterlaluan. Tapi hakikatnya, golongan yang faham seharusnya tidak berbicara sesuatu yang boleh menggugat kesucian dan kethiqahan konsep baitul muslim atau lebih saya suka istilah sebenarnya ialah baitul dakwah.

Ini adalah artikel yang saya dapat dari iluvislam yang saya kira baik untuk menjelaskan kesilapan kita dalam membicarakan mengenai isu ini:

Kerja lebih banyak dari masa yang kita ada dan agenda islam adalah agenda yang tiada noktahnya. Oleh itu dalam menyusuri Jalan dakwah dan kerja-kerja dakwah ini, seorang muslim itu harus tahu bahawa untuk kesinambungan perjuangannya, ia harus menjadikan setiap aspek kehidupannya terancang sebaiknya termasuklah dalam perkara mendirikan rumahtangga.


Seorang muslim yang cintakan islam dan dakwah semestinya harus menuju kepada pembinaan baitul dakwah ini kerana dengan ini cita-cita dan perjuangannya dalam dakwah islam ini ada kesinambungannya.






Adalah menjadi perkara yang penting bagi seorang da'i itu apabila ingin membina baitul dakwah ini ia harus jelas sewaktu sesi taaruf lagi akan kemahuan dan cita-cita pasangan masing-masing dalam mendalami hati terhadap matlamat perjuangan mereka kerana dengan ini akan terbinanya kekufuan yang boleh mengelakkan penyesalan di kemudian hari terhadap cita-cita besar yang ditanamkan dalam diri masing-masing.


Malah kejelasan pendirian dari awal ini juga turut membantu dalam mengerat dan membungakan cinta didalam rumahtangga yang akan dibina biarpun sebelum ini mereka telah memahami islam dan mendapat tarbiyah islam kerana faktor terus terang dan telus didalam taaruf akan memudahkan urusan terkemudian.


Seorang muslim yang cintakan dakwah harus tahu bahawa dakwah adalah kewajipan. Masuliyah ( tanggungjawab) setiap yang bernyawa yang bergelar muslim mukmin. Bukan perkara main main dan pinggiran. Ia nya adalah taklif rabbani. Tuntutan Ketuhanan. Tuntutan Allah yang akan dipersoalkan. Berat, dan kita tiada pilihan.


Bagi para duat yang tersedar, mereka tahu bahawa ini adalah sibghah (Celupan). Sibghah dari sibghah Allah. Kita bertanggungjawab sepenuhnya. Oleh itu dakwah tidak terhenti disusuk tubuh kita sahaja kerana tanggungjawab ini adalah bertali arus yang bermula dari kita hingga ke dalam pembentukan Bait'ul Dakwah.


Dan inilah yang sukar kerana sepasang suami isteri mestilah saling mewarnakan kehidupan mereka dengan sibghah ini. Oleh itu pembinaan dan pemilihan muslim dan muslimah berqualiti harus menjadi prioriti (keutamaan) dalam membina generasi pewaris.


Kita yang cintakan deen ini tidak boleh memandang ringan atau memandang sepi perkara ini kerana tersilap pemilihan akan merugikan dan melambatkan deen ini menuju langit kejayaan. Pemuda pemudi Islam harus mempunyai mind set ini supaya sentiasa bersedia untuk membentuk diri masing masing menjadi rijal dan srikandi yang qowi (kuat) agar nanti antara kita tidak tercari-cari dan teraba-raba dalam kesamaran mencari jodoh masing masing dan mengambil masa yang lama untuk pembentukan ini.


Bersedialah berIntima' (Ikat diri) dengan Jamaah Islam kerana Islam kian hari kian bertambah sukar. Tanpa jamaah kita tidak boleh berbuat sesuatu kerja dakwah dengan sempurna dan teratur. Bersedialah untuk ditarbiyah. Untuk didik aqidah, hati, ibadah dan berkerja secara team work atau beramal jamaai berusahalah untuk tarbiyah dzatiyah (didik diri) tanpa bergantung pada arahan mas'ul atau naqib serta jamaah.


Jamaah hanyalah sebagai pushing power tapi tanpa Dzatiyah dari diri sendiri, memang sukar untuk melonjak prestasi kita sebenarnya kearah berjuang dijalan Allah dan pastinya kita tidak dapat merubah diri dan dimanfaatkan jamaah dan terkadang mutarabbi begini akan menjadi beban dan fitnah kepada jamaah!


Berbalik kepada pembinaan baitul dakwah, kita semua harus memberi perhatian kepadanya kerana terkadang seorang duat pun tidak dapat membezakan antara baitul dakwah dan baitul muslim. Baitul muslim adalah membina keluarga muslim namun baitul dakwah lebih jauh fikhnya. Ia itu untuk membina generasi pewaris. Pewaris Dakwah. Pewaris kerja nabi.


Didalam pembinaan baitul dakwah ini memerlukan chemistry, memerlukan kekufuan serta memerlukan kedua pasangan terlibat dengan jamaah dan dakwah serta tarbiyah kerana dalam pembinaan ini kita memerlukan fikrah yang jelas, cita-cita yang tinggi dan pengorbanan yang berterusan terhadap kerja-kerja dakwah. Tanpa sifat-sifat asas ini sukar untuk mengwujudkan baitul dakwah serta untuk melahirkan generasi pewaris.


Sabda nabi SAW riwayat muslim


"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik baik perhiasan ialah wanita solehah. Apabila kamu melihatnya, ia akan mengembirakan kamu dan apabila kamu tidak ada, ia menjaga kehormatannya dan harta mu."


Setakat itukah wanita solehah itu? Atau wanita sebeginikah yang ingin melahirkan generasi pewaris? Hadis nabi ini maha benar namun isteri seorang da'i atau pejuang deen ini, bukan setakat itu saja malah ada syarat-syarat lain lagi yang perlu diberi perhatian. Antaranya;
Wanita pilihan mesti mencintai Akhirat!


Kerana wanita amat suka kebendaaan, keselesaan kemanjaan dan kecintaan yang berlebihan sehingga ini akan menyalahi fitrah dalam realiti dakwah dan ini telah berlaku dalam kehidupan Rasullullah sendiri apabila dakwah sampai kekemuncaknya! Isteri-isteri Rasul suatu ketika mengkritik terhadap kehidupan kesusahan mereka disamping Rasullulah sehingga Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada redha didalam susah atau bersedia menerima talaq! 


Firman Allah:


" Wahai Nabi, katakan kepada Isteri2mu , jika sekiranya kamu mahu kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah, supaya aku berikan kepada kamu pemberiah mut'ah dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik baiknya. Dan jika sekiranya kamu mahukan keredhaan Allah dan Rasulnya serta negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah telah menyediakan pahala yang besar bagi orang orang yang berbuat baik antara kamu" (Al Ahzab 28-29)


Realitinya perempuan memang dikuasai oleh tabiat lemah, inginkan kebesaran dan cintakan kebendaan dan ini akan menghalang perjuangan suaminya melainkan apabila ia dapat membebaskan dirinya dari sifat-sifat tersebut dan menyintai akhirat.


Kerana apa? kerana cintakan akhirat merupakan syarat kepada seorang isteri da'i untuk memikul beban dakwah kerana tanpa cintakan akhirat seorang isteri akan meninggalkan kesan buruk kepada jiwa suaminya terhadap dunia dan akan mencenderungkan suaminya mencintai dunia dengan pengaruh kehidupannya.


Wajibnya pengarahan mencintai akhirat kepada wanita yang dijalan dakwah adalah disebabkan sifat semulajadi mereka yang selalu mahukan keistimewaan dan jika tidak diarahkan akhirat pastinya menggangu usaha dakwah.


Kita lihat bagaimana al Quran memberi kejutan kepada isteri-isteri nabi apabila mereka demand tentang hidup mereka,


"Boleh jadi jika nabi menceraikan kamu, tuhanmu akan mengantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu yang menurut perintah, ikhlas, taat, bertaubat, beribadat dan berpuasa janda atau anak dara." (At- Tahrim 5)


"Mengantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu".


Teguran Allah ini juga telah menyedarkan isteri-isteri nabi dari meminta keistimewaan kepada taat kepada apa yang diberi oleh Nabikerana mereka takut Allah gantikan mereka dengan wanita lain untuk nabi dan mereka tidak mahu ada wanita lain lagi yang lebih baik dari mereka.
Satu yang perlu diberi perhatian bagi seorang akhawat yang cintakan dakwah dan ingin menjadi isteri seorang da'i adalah, jelas niatnya!


Akhawat itu sewajarnya menjadikan perkahwinan dengan seorang da'i yang dicintainya dengan niat memasukan dirinya dengan realiti dakwah bukan memasukkan dirinya didalam kehidupan da'i itu. Dengan erti kata menjadikan dakwah sebagai matlamat dan bakal suaminya adalah hanya teman dan alat menuju matlamat.


Jika inilah yang kita semua fahami wahai pemuda dan pemudi Islam, insyallah pastinya kita dapat mengwujudkan sebanyak banyaknya baitul dakwah yang menjadi penerusan kepadan perjuangan ini.



nota:
1. sekali untuk antum, sejuta kali untuk ana..
2. tajuk wajib ada dalam usrah. bincang secara haraki. ^_^
3. abnaul harakah sekalian, jangan jadi lembik apabila bicara mengenai isu ini!

24 October 2011

Panduan untuk Wanita

Tajuk: Panduan Untuk Para Wanita
Penulis: Bediuzzaman Said Nursi
Terjemahan: Ustazah Marsufah
Penerbit: Persatuan Kebudayaan Malaysia Turki ( MATURCA)
Bilangan muka surat: 173
Sumber : Kak Ummu Hazimah

Menurut Kak Ummu, buku originalnya adalah dalam bahasa Turki dan telah mendapat tempat di sekelian Negara lalu diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Arab, Indonesia dan Melayu.
Saya coretkan beberapa isi di dalam buku ini

“ secara fitrahnya, seorang wanita akan menjauhkan diri daripada muhrimnya dan merasa tidak selesa terhadap 18 orang daripada 20 orang lelaki yang bukan muhrimnya. Manakala seorang lelaki pula, mungkin berasa tidak selesa memandang seorang sahaja dari 100 wanita yang bukan muhrimnya”

Seorang lelaki sekiranya terpesong demi mendapatkan kelazatan sekadar 8 minit, dia tidak akan rugi apa-apa melainkan sekadar beberapa sen. Sedangkan seorang wanita membayar harga kenikmatan 8 minit tersebut dengan bebanan selama 8 bulan serta menggalas tanggungjawab mendidik amali tanpa ayah tersebut selama 8 bulan. Maksudnya, kemaksiatan seorang wanita tidak sampai ke tahap kemaksiatan lelaki tetapi dia dibalas berkali ganda daripada balasan yang diterima lelaki

sesungguhnya ikatan yang teguh dan cinta yang mendalam antara lelaki dan wanita bukanlah timbul dari kehendak kehidupan dunia semata-mata. Wanita bukanlah sahabat lelaki di dunia ini sahaja bahkan adalah merupakan temannya dalam kehidupan yang kekal abadi”

“ suaminya yang mukmin itu tidak mengehadkan kecintaannya hanya kehidupan dunia sahaja. Bahkan kasih sayang yang diberikan adalah berkekalan tidak setakat waktu muda dan cantiknya bahkan berkekalan hingga ke tua dan hilangnya kecantikan tersebut”

 “ apa yang dituntut oleh syara’ ialah seorang suami mestilah sekufu dengan wanita itu. Ia bermaksud kesesuaian dan persamaan. Sekufu yang paling cantik pula ialah dari sudut agamanya. “



18 October 2011

Kesan Dosa dalam Hidup







Tajuk: Kesan Dosa Dalam Hidup
Penulis: Ibnu Qayyim
Terjemahan: Ustaz Ahmad Asri Lubis
Penerbit: An Bakri Publika
Bilangan muka surat: 180
Harga: Sem. Malaysia RM23.00 Sabah/Sarawak RM26.00

“ bagi orang awam yang sering berbuat dosa, dia melihat dosa itu sekecil lalat yang hinggap di atas hidung dan boleh dihalau begitu saja manakala bagi orang muttaqin dia melihat dosa itu sebesar gunung yang akan menimpa kepalanya.”

Bahaya dosa kepada sekalian manusia ia akan menjadi virus kepada setiap ibadah. Ibarat tong sampah yang ditutup rapat. Pada zahirnya ia tampak sempurna tidak berbau. Namun, apabila ia dibuka sangat jelek. Kotor, busuk. Begitu jugalah dengan hati manusia yang penuh dengan dosa. Zahirnya perlakuannya semuanya sempurna. Namun hatinya yang kotor itu tidak boleh dilihat sesiapa melainkan dirinya yang merasakan kerosakan itu.

Namun, Allah itu maha Penyayang dan Maha Pengampun. Setiap dosa hambanya mampu untuk diampunkan dalam sekelip mata. Itulah kebesaran kuasa pencipta kita.
Berkata sebahagian Ulama

jika pemuda menangisi dosa-dosa yang dilakukannya, mengakui kecelaan dan kelemahan dirinya di sisi Tuhan dan Kekasihnya dan mengatakan: ‘ Wahai Tuhanku, aku telah melakukan kejahatan.’ Allah swt akan menjawab: ‘Aku telah menutupi dan menyembukan (kejahatanmu daripada pengetahuan orang lain).’

Pemuda tersebut berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menyesal.”
Allah akan menjawab: “ Aku telah mengetahuinya.”
Pemuda itu berkata lagi: “wahai Tuhanku, aku telah kembali bertaubat.”
Allah swt akan menjawab: “ Aku telah menerimanya.”

Dalam sebahagian Atsar didapati:

Sesungguhnya Allah swt telah berfirman (dalam hadith qudsi) seraya berkata : “ Wahai hamba-Ku, apabila engkau telah bertaubat kemudian engkau membatalkan ikrarmu, maka janganlah merasa malu untuk kembali kepada Kami buat kali kedua. Dan apabila engkau melanggar janjimu buat kedua kalinya maka janganlah engkau terhalang oleh perasaan malu untuk mendatangani Kami kali ketiga.kembalilah kepada kami waaupun untuk keempat kalinya. Kerana Aku adalah Tuhan Yang Maha Pemurah tidak pernah bersifat kikir sama sekali. Aku adalah Tuhan yang Maha Pemaaf dan Lambat marah (Halim) tidak suka bergegas dalam memberikan seksaan dan balasan. Aku Tuhan yang suka menutupi dan menyembunyikan (aib) orang yang berbuat maksiat, sentiasa menerima orang yang ingin bertaubat.memaafkan orang yang melakukan kesalahan, menaruh belas kasihan terhadap orang yang menyesali kesalahannya. Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengasihdaripada semua yang bersifat pengasih. Siapakah yang pernah mendatangi pintu rahmat Kami lalu Kami tolak? Siapakah yang pernah memohon perlindungan Kami lalu Kami usir? Siapakah yang bermaksud bertaubat kepada Kami lalu Kami menghampakannya? Siapakah yang memohon keampunan daripada dosa yang dilakukannya lantas Kami tidak memberi keampunan kepadanya? Aku adalah Tuhan yang mengampunkan segala dosa, menyembunyikan cacat cela, menghulurkan bantuan kepada orang yang ditimpa malapetaka (termasuk bencana noda dan dosa), menaruh belas kasihan terhadap orang yang menangisi dan meratapi dosanya. Dan Aku adalah Tuhan yang Maha Tahu perkara yang ghaib. 

14 October 2011

Kem Kembara Muslim '11 ; Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan kurniaan limpah rahmatNYA dapatlah program tahunan anjuran Persatuan Mahasiswa iaitu Kem Kembara Muslim (KKM’11)  diadakan pada 7-9 Oktober yang lalu bertempat di Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang Johor.

Seramai 28 orang mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM’11 kali ini. Walaupun begitu, ramai juga mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI berasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti kem ini kerana terlibat dengan program di kolej dan tidak kurang juga yang terpaksa menghadiri program di fakulti masing-masing.

KKM pada tahun ini bertemakan “Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani” tampil dengan modul pengisian yang menarik dan bersifat membina keyakinan diri  di samping aktiviti outdoor yang begitu mencabar mental dan fizikal para peserta.

Berikut adalah kronologi aktiviti yang telah dilakukan sepanjang KKM’11:

7 Oktober 2011 (hari pertama)

Semua peserta dan ajk KKM’11 telah berkumpul  di perhentian bas FAB pada jam 5.30 petang untuk menunggu bas yang bakal membawa kami ke Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang. Disebabkan terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi, perjalanan mengambil masa sedikit panjang daripada perancangan asalnya. Namun, ini semua tidak sedikit pun mematahkan semangat dan kesungguhan peserta yang sentiasa menunjukkan sikap postif. Kami tiba di rumah penginapan kira-kira jam 9.30 malam dan segera menunaikan solat isya’ dan maghrib secara jamak dan qasar. Seterusnya, peserta dihidangkan dengan pengisian Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Muhajirih dengan tajuknya “Penghayatan Budaya Ilmu”. Penceramah menggunakan pendekatan yang ringan dan lebih realistik sebagai seorang mahasiswa. Mereka juga dibius dengan semangat supaya tidak merasa kecewa dengan bilangan peserta yang sikit kerana apa yang lebih bermakna bukanlah pada kuantiti tetapi pada kualiti.

Usai minum malam, peserta kembali segar. Dengan itu, ia memudahkan lagi perlaksanaan modul pertama iaitu Ice Breaking. Modul yang dikendalikan oleh saudari Noor Hamizah disambut ceria oleh peserta. Perlaksanaannya sangat mudah. Peserta diminta berkumpul mengikut bulan kelahiran, saiz kasut dan hobi yang sama. Kemudian mereka diminta untuk mengingat nama semua ahli kumpulan setiap kategori tadi. Seterusnya, peserta diberikan satu kertas dan diminta untuk melukis wajah diri sendiri. pelbagai reaksi peserta yang mencuit hati dapat dilihat. Semuanya melukis dengan gembira. Kemudian, mereka membaling lukisan di tengah-tengah bulatan dan mengambilnya semula secara rawak dan meneka siapakah kepunyaan lukisan yang mereka dapat. Modul ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan untuk kita mengenal diri sendiri dan Pencipta.

 8 Oktober 2011 (hari kedua)

Seawal 5.00 pagi semua ajk dan peserta telah bangun untuk qiamulail dan solat subuh secara berjemaah. Selepas bacaan Al-Ma’thurat, peserta diberikan sedikit pengisian jiwa. Tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudara Mohd Khairul b Abdullah Halim yang bertajuk Islam vs Jahiliyah benar-benar memberi kesan kepada para peserta. Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam pada sesi 2009/2010 ini juga banyak memberi input-input baru yang berguna.

Usai sarapan dan membersihkan diri, saudari Norazlinda menjalankan penyelarasan kuliah yang bertajuk “Penghayatan Budaya Ilmu”. Objektif utama penyelarasan ini adalah untuk memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta mengenai tajuk tersebut. Slot ini dimulakan dengan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang semuanya. Mereka diarahkan untuk mereka nama syarikat akhbar dan menghasilkan akhbar tersendiri berdasarkan tema isu semasa, sukan, artis dan hiburan dan sirah Rasulullah saw. Masing-masing diberikan tugas sebagai editor, penulis, pereka grafik, kartunis dan pembaca berita. Alhamdulillah para peserta nampaknya dapat memahami objektif yang ingin disampaikan adalah pengetahuan mengenai Sirah baginda seharusnya lebih banyak berbanding tiga tema yang lain.

Setelah diberi masa untuk solat sunat dhuha dan minum pagi, Ustaz Aminudin Hehsan telah memberikan kuliah kedua yang bertajuk “Aqidah Islam dan Cabaran Semasa”. Para peserta khusyuk mendengar kuliah tersebut memandangkan Ustaz banyak menggunakan gambar dan video untuk menarik perhatian peserta.
Slot seterusnya dikendalikan oleh saudara Muhammad Hazim. Peserta ditayangkan dengan satu video mengenai masalah keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Kemudian, peserta diminta untuk memikirkan apakah permasalahan yang dapat dikesan di dalam video tersebut dan cara menyelesaikan masalah tersebut. Percambahan idea dan pengetahuan peserta dapat dikesan melalui sesi pembentangan selepas solat jamak zohor dan asar.



Walaupun hujan turun dengan lebat dan menyebabkan suasana hingar, namun ia tidak sedikit pun menganggu  saudari Noor Hamizah untuk mengendalikan modul seterusnya yang dinamakan “Akulah yang Betul”. Para peserta masih duduk dalam berkumpulan tetapi ahli yang berlainan.   

Usai solat maghrib dan isyak secara berjema’ah Saudara Mohd Zaki b Haron selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam sesi 2010/2011 menyampaikan tazkirah yang bertajuk isu-isu semasa di dalam kampus. Beliau berpesan supaya menjadi lebih cakna akan permasalahan yang berlaku di sekitar kampus. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa bersama-sama membantu untuk membendung dan memperbaiki keadaaan ini.

Seterusnya, saudara Muhammad Hazim pula mengambil alih dengan meneruskan modul yang diberi nama “ Siapa paling cantik?” di sini, peserta diminta untuk membincangkan mengenai adab berpakaian dan akhlak yang cantik sebagai seorang Islam. Dapat dilihat, para peserta mengambil kesempatan sebaiknya dengan berbincang dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai sesuatu hukum berpakaian.

Sebelum melelapkan mata, sesi sharing moment diadakan. Di sini, peserta diberi ruang untuk berkongsi masalah, rasa, perasaan dan pendapat bersama-sama ajk. Para ajk juga banyak memberikan kata-kata semangat dan suntikan motivasi daripada ayat-ayat hiburan daripada Al-Quran.

9 Oktober 2011 (hari ketiga)

Selesai solat subuh berjemaah, tazkirah pass baton diadakan. Sekali lagi peserta diuji mengenai ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa. Kebanyakkan peserta sudah bertambah yakin dalam penyampaian dan isi yang disampaikan menunjukkan kematangan dan cakna mereka terhadap isu di persekitaran mereka, samaada di dalam atau luar kampus .

Hari ini merupakan hari yang mencabar buat para peserta. Pukul 9.00 pagi, semua peserta berkumpul dan bersiap sedia untuk melakukan aktiviti “rempuh halangan” yang diketuai oleh saudara Ahmad Syazwan  selaku Pengerusi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMI. Terdapat lima halangan yang mesti peserta tempuhi kesemuanya termasuk flying fox. halangan-halangan ini bukan sahaja berbentuk latihan fizikal malah ada juga halangan yang memerlukan strategi dan kaedah tertentu bagi melepasinya. Di sinilah kemahiran berfikir para peserta digunakan sepenuhnya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menempuhi kesemua halangan.







 Aktiviti ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Selepas melepaskan penat, membersihkan diri, mengisi perut dan solat, sampailah kepada slot terakhir iaitu resolusi dan majlis penutup. Hasil daripada perbincangan dan perkonsian pendapat sesama peserta, mereka telah bersepakat untuk mewujudkan Generasi-3 (Gen-3) yang mana ianya adalah merupakan sistem batch yang diperkenalkan pada tahun lepas iaitu sejak KKM ’09. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta Kem Kembara Muslim yang dianjurkan oleh Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Selain itu,mereka juga berfungsi sebagai penggerak dalam menjayakan program-program PMIUTM akan datang.


Seterusnya adalah majlis penutup. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh penghulu merangkap  Pengerusi Gen-3, saudara Mohd Asyraf, Pengarah Program KKM ’11 saudara Mohd Hafiz Latif. Majlis disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, saudara Mohd Zaki b Haron. Kira-kira jam 3.00 petang, kesemua peserta dan ajk meninggalkan tapak program menaiki bas yang disediakan. Diharap kesemua peserta memperoleh banyak ilmu bagi menjalani kehidupan sebagai individu muslim daripada kem ini. 


   

.::KKM '11::.

.::KKM '10::.


.::KKM '09::.



.::KKM '08::.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...