Pulang dari beraya hari tu, anak
sedara buka tv. Saya pun tumpang sekaki. Kartun. How To Train Your Dragon.
Cerita dah separuh. Tapi masih boleh faham jalan cerita.
Hiccup anak muda belasan tahun.
Tinggal dengan bapa yang tegas tapi penyayang. Dia dihantar di sekolah untuk
belajar. Uniknya di sekolah, mereka tidak menggunakan silibus seperti sekolah
lain. tapi apa yang guru mereka ajarkan ialah bagaimana untuk membunuh naga.
Bermula daripada teori dan amali semuanya ke arah untuk membunuh naga. Silibus
ini bertepatan dengan tradisi kampong tersebut iaitu menjadikan anak mereka seorang
pembunuh naga yang ulung yang dikenali sebagai Viking. Makanya, sejak kecil
lagi, mereka telah didoktrin supaya membunuh naga jika terjumpa tak kira dalam
apa cara sekali pun.
Suatu malam, sedang Hiccup membelek
buku teksnya mengenai jenis-jenis naga, dia berfikir dan bertanya dalam diri,
mengapa dia perlu membunuh naga. Sedangkan naga itu tidak menyerang mereka
penduduk kampong. Padanya, mengapa dia harus membenci pada sesuatu yang tidak
membawa mudarat pada dirinya.
Hari demi hari begitu sahaja. Hiccup
tetap belajar di sekolah hanya untuk menjaga hati bapanya. Hakikatnya, dia
melalui siri pembelajaran dengan penuh kebosanan. Dia masih tidak menemui
jawapan mengapa naga itu perlu dibunuh. Dalam kelas amali, dia tidak melawan
jika diserang oleh naga. Dia hanya mengelak. Bukan kerana dia lemah, tetapi
kerana dia tidak dapat menjawab sebuah persoalan, mengapa dia harus membunuh
naga.
Suatu hari, Hiccup berjalan-jalan di
hutan berhampiran. Sedang dia bersiar-siar, dia terjumpa seekor naga yang
tercedera ekornya. Dengan itu, naga tersebut tidak dapat terbang. Hiccup berazam dan berusaha untuk membantu naga
tersebut untuk terbang semula.
Dipendekkan cerita, Hiccup
menjadikan naga tersebut sebagai bahan kajiannya. Setiap hari pulang daripada
sekolah, dia akan bertemu dengan naga yang diberi nama toothless itu sehinggalah dia belajar dan dapat mengenal
seekor naga lebih dari apa yang dia dan rakan-rakanya belajar di sekolah. Dia
juga mendapat tahu bahawa ada cara yang paling mudah untuk melemahkan naga
iaitu dengan hanya menyentuh hidung dan bawah dagunya.
Banyak lagi plot cerita ini yang
saya tidak ingin nukilkan. Di akhir kisah ini, Hiccup berjaya mengubah persepsi
seluruh penduduk kampong bahawa naga bukanlah seganas dan seburuk yang seperti
telah didoktrin oleh nenek moyang mereka. Hiduplah penduduk kampong dengan aman
bersama haiwan kesayangan mereka yang baru iaitu naga.
Naga yang sebelum ini menjadi musuh
namun kini menjadi rakan.
Benarlah kata pepatah arab, “Seseorang itu akan menjadi musuh pada perkara yang tidak diketahuinya”
Banyak pengajaran yang anda boleh
perolehi dari kisah animasi ini jika anda bukan jenis yang skeptikal terhadap
hasil tangan barat. Ia mungkin sebuah kisah dongeng tapi pengajaran yang baik
ini kadang-kadang menjentik juga kita untuk berfikir.
Mari kita berfikir, dalam hidup
kita, dalam tindakan kita, adakah kita memilih keputusan yang terbaik atas
dasar kemahuan diri atau kemahuan orang lain? Atau kerana tradisi orang
terdahulu? Alangkah ruginya.. Hidup tanpa tahu, faham dan sedar nilai hidupnya
sendiri.
Semak juga dalam gerak kerja
organisasi kita. Adakah hasil syura yang kita banggakan itu benar-benar
difahami oleh semua ahli syura dan semua ahli gerakan faham mengapa keputusan
sebegitu dilakukan. Adakah keputusan yang dibuat merujuk kepada situasi semasa
atau hanya kerana mengikut tradisi orang terdahulu? Alangkah ruginya.. jadilah
kita pengikut buta..
Tidakkah kamu mahu menjadi orang
yang berfikir?
.
0 comments:
Post a Comment