• RSS

05 June 2013

Hey Daie, jangan perasan!


Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.

Hey Daie, JANGAN PERASAN!


jangan perasan BUAT KERJA BANYAK

jangan perasan BANYAK ILMU


jangan perasan BAIK

jangan perasan PALING BANYAK DIUJI

jangan perasan IDEA BAGUS

jangan perasan BANYAK IBADAH

jangan perasan SOLEH/AH

jangan perasan BANYAK PENGALAMAN

jangan perasan, jangan perasan, jangan perasan!


Jika amal itu mempunyai batas, maka itu bukan amalan. Teruskan langkahmu wahai daie. Tetaplah bertahan dan bersiap-siagalah!

Thabit qulubana Ya Rohman..





04 June 2013

Syoknya berorganisasi ^_^

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.


Rentetan daripada entri sebelum ini, saya ingin meneruskan pula dengan kisah suka duka berorganisasi. Organisasi yang saya pilih ini bukan sebarangan. Hanya sesuai untuk daie yang bersedia untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. Hanya secocok untuk daie yang sedia berkorban dan bukan untuk si pemalas. Nampak macam extreme. Tapi taklah bermakna organisasi ni tempat untuk bermuka ketat dan bermuram durja. Organisasi tempat untuk enjoy. Enjoy melakukan pahala. Enjoy melabur saham akhirat. ^^,

Usrah
Usrah itu tunjang tarbiyah. Tunjang maksudnya asas. Tanpa usrah maka, tak ada maknalah organisasi tu. PMI pun ada usrahnya yang tersendiri. Usrah kami tidak rigid. Dimulakan dengan tadabur beberapa ayat Al-Quran, tazkirah, dan mengupas satu tajuk untuk setiap pertemuan. Juga dibincangkan mengenai isu semasa. tempat? di mana-mana. Bilik, tasik, meranti, jusco, kfc, masjid, surau, library di mana sahaja. Dan kadang-kadang, orang tak perasan pun kami sedang berusrah. Daripada usrah inilah, terciptanya ukhuwah. Antara naqibah juga sahabat-sahabat seusrah. Bila rasa down, ada tempat untuk meluahkan. Bila rasa gembira, ada tempat nak berkongsi. Dalam usrah ni juga, kita banyak belajar. Belajar daripada pendapat orang. Belajar untuk islah diri jadi lebih baik. Bila buat salah, ada orang tolong betulkan. Bila terlalai, ada orang tolong ingatkan. Iyalah. kita bukan manusia sempurna yang bersih tanpa dosa.

Program
Seronoknya berprogram. Baik jadi peserta, baik jadi ajk ada keseronokan yang tersendiri. Dapat banyak sangat ilmu dan pengalaman yang tak mungkin ada dalam bilik kuliah. Tak sangka, rupa-rupanya dalam organisasi ni, semuanya ada sistem tertentu. Bukan main redah ja. Sangat sistematik.
Bak kata Saidina Ali: "Kebenaran yang tidak terancang, akan dikalahkan dengan kebatilan yang tidak terancang"

Kalau dilantik untuk jadi ajk, berani je kata ya walaupun hakikatnya ilmu ketika itu zero. Niat nak belajar, maka terima je lah. Aci redah. kalau salah, redha je lah kena tegur. Kalau lambat, redha je kena push. Mula-mula semua orang bertatih. lama-lama, baru boleh berlari. Yang penting, ada rasa nak belajar.  Kalau rasa bersalah, cepat-cepat hilangkan. Sebab, penyesalan yang berpanjangan akan lebih buat kita lemah. dan kesilapan yang dah buat, jangan nak ulang lagi.

Kalau 'dipilih' menjadi peserta, maka mestilah rasa excited. (Seriously excited? hehe). Yalah. Sebab, masa ni jelah kita nak bersama-sama dengan sahabat-sahabat. Niat pergi program kena betul. Sedia untuk ditarbiyah. Walau seretorik mana pun program tu, cubalah ikhlaskan diri. Sekurang-kurangnya, hargailah usaha AJK yang dah plan macam-macam untuk program tu dan duit yang dah dilaburkan.

Mesyuarat.
Tak tahu kenapa, orang lebih suka sebut meeting. Bukan mesyuarat. Atau syura. Apa-apa jelah. Masa meeting tak tentu. Yang pasti, tak mengganggu waktu kuliah dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat. Masa inilah nak bincang masalah, rangka strategi dan perbaiki kesilapan. Seni mendengar pendapat orang, belajar untuk menyuarakan pendapat, berlapang dada jika idea ditolak, dan yang penting tiada cakap-cakap belakang, tiada terasa hati. Semuanya all-out dalam meeting. Walau seteruk mana pun kena hentam, habis meeting, semuanya seperti tak ada apa-apa berlaku. Fikir keutamaan organisasi lebih penting daripada perasaan.  Dan dulu-dulu, PMI juga pernah digelar Persatuan Meeting Istiqamah. Mana taknya, meeting sokmo. Nak buat macam mana, agenda dakwah kampus ni bukan kerja mudah. Kan?

Ukhuwah
Bab ukhuwah memang tak boleh nak ceritalah. Banyak sangat. Ada orang kata, sahabat ni adalah untuk disusahkan. Tapi, berpada jugalah. Jangan sampai melampau hingga menafikan haknya.  Liqa' sana sini. makan sana sini. Riadah sana sini. Musafir sana sini. Mengidam je nak makan ayam penyek, berderet datang nak bantu menyempurnakan hajat. Perlukan kenderaan untuk bergerak, helo je, terus ada depan mata.(Dikesempatan ini, saya ingin  mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Makcik JaNah dan NaeBaK yang banyak membantu saya dalam pelbagai urusan sepanjang di UTM. Daripada urusan peribadi hinggalah urusan organisasi. Owh ya. Juga buat WakJaN. Terima kasih ya!). Tapi, yang penting, dalam persahabatan, kita kena niat untuk memberi sebanyak-banyaknya. Bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.

Marah. Ada dua jenis perasaan kalau kita marah. satu, sebab benci. dua, sebab sayang. Ya. Sayang pada organisasi, sebab tu marah. Benci? minta dijauhkan.

Tegur. Tegur ada dua situasi. Satu, secara peribadi. Dua. dihadapan khalayak umum. Tegur secara peribadi ialah kesalahan yang memberi kesan buruk kepada dirinya sahaja. Maka, teguran ini biasanya dilakukan dengan bisikan di telinga. Tegur di hadapan khalayak umum ialah berkaitan perkara  yang boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai dan keseluruhan organisasi. Maka, semua ahli harus tahu "whats gonna happend here". Bukan tujuan untuk memalukan. Tapi untuk membetulkan. Waima yang menegur dan ditegur, perlu ada rasa ikhlas dan kasih. Bukan berlagak bagus.

Bukankah Allah sudah berfirman:


ÎŽóÇyèø9$#ur ÇÊÈ   ¨bÎ) z`»|¡SM}$# Å"s9 AŽô£äz ÇËÈ   žwÎ) tûïÏ%©!$# (#qãZtB#uä (#qè=ÏJtãur ÏM»ysÎ=»¢Á9$# (#öq|¹#uqs?ur Èd,ysø9$$Î/ (#öq|¹#uqs?ur ÎŽö9¢Á9$$Î/ ÇÌÈ  

Maksudnya: Demi Masa!.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.


Tiba-tiba jadi serius.

Ok. kembalikan mood ceria.. :D

Pendek kata, organisasi ni tempat untuk kita belajar dan berkerja. Tempat untuk senyum selebarnya bukan bermuram durja. Tempat untuk.. ermm banyak lagilah. Nak tahu? kena joinlah organisasi..:) 

Mohon ampun salah silap.

Orang tua, banyak cakap.

Wallahu'alam.






   


  

29 May 2013

Aiseyh.. Nak pilih yang mana satu eyh?

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.


Allah jadikan semua orang berbeza. Berbeza muka, bentuk, gaya, perangai, tabiat, sikap, dan lain-lain lagi. Semuanya lain antara satu sama lain. Begitu juga dengan cara fikir. Ada jugalah yang tersama. Tapi tetap lain.    Begitu jugalah dengan aktivis dakwah kini. Bila mana digelar aktivis dakwah, pasti dia datang daripada sebuah organisasi Islam. Maksudnya dia tak akan buat kerja dakwah sorang-sorang. kalau dia buat sorang jugak, maksudnya dia tak khatam lagi ngaji bab dakwah. Bila sebut organisasi islam, orang yang baru-baru nak menceburkan diri dalam bidang dakwah, (Oh. hakikatnya, ia bukan satu bidang, tapi sebuah kewajipan), pasti tertanya-tanya, organisasi yang manakah patut aku ikuti?

Sekadar ingin berkongsi..

Sebelum saya menjejakkan kaki ke matrik dulu, abang saya sempat berpesan, "sampai sana, cari usrah.". Tanpa mengangguk, saya faham hasrat hatinya, untuk tidak membiarkan diri hanyut dibawa arus kebatilan. Maka selaku adik yang taat, saya pun mencari usrah. Dipendekkan cerita, akhirnya saya terjumpa usrah. Usrah yang sangat penuh dengan air mata. Mengapa air mata? Kerana, setiap kali usrah, murobiah (kakak naqibah) pasti akan membuat muhasabah. Setiap kali itu juga merasakan diri sangat berdosa dan mengikat hati-hati kami ahli usrah untuk saling mengingatkan antara satu sama lain. Diikuti pula dengan mutabaah amal yang diwajibkan kepada semua. Diupdate setiap sesi pertemuan dan direkod setiap minggu. Solat rawatib, qiamulail, solat dhuha, puasa sunat, tilawah al-quran, selawat, istighfar, al-ma'thurat dan solat jema'ah. Dalam buku rekod yang dipegang oleh murobi, ada nama jenis amalan dan bilangan. Malu kalau sikit, bangga kalau banyak. Masa tu ada terfikir juga nak tanya soal ikhlas dalam buat amalan ni, tapi, tak tertanya sebab terlalu thiqah dengan murobi. Dan bimbang kalau kita selalu mempersoalkan, takut itu sebenarnya jadi alasan untuk kita tak jaga mutabaah amal.

Usrah yang saya ikuti ini, mulanya sikit. Tapi lama-lama ramai. Datang dari pelbagai jenis. Ada yang pakai baju biasa-biasa dan ada juga yang bertudung labuh. Semuanya bersemangat untuk dengar pengisian. Semua pengisian berunsur keinsafan. Lebih kepada pembaharuan hati untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.

Daripada usrah, ada juga program-program kecil yang dibuat di surau blok kolej. Seperti MABIT (Malam Bina Iman dan Taqwa). Pengisiannya lebih kepada kepentingan dakwah. Diadakan sesi perdebatan "antara dakwah dan akademi mana satu yang perlu diutamakan". Sebenarnya, murobi bukan sahaja ingin melihat hasil perdebatan, tapi dia lebih ingin melihat siapakah ahli usrah yang aktif memberikan hujah untuk mencari pelapis murobi.

Entah macam mana, saya yang ntah apa-apa ini, terpilih antara mereka yang sedikit. Usrah kami sudah diasingkan. Pengisian juga sudah meningkat. Ditanamkan sifat kepimpinan dan keberanian untuk berdakwah dan dilatih untuk menjadi murobi seterusnya. Erm..maknanya, saya perlu membuat usrah dan mencari ahli usrah saya sendiri.

Dan.. tamat sahaja pengajian di matrik, kami mengikuti satu kem. Kem motivasi. Yuran rm30 termasuk makan, sijil dan t-shirt. Saya mengadu kepada sahabat seusrah saya, bahawa pergerakan saya agak sukar untuk sampai ke tempat program dari rumah. Tanpa fikir panjang, sahabat saya terus berkata "Takpe. nanti ana ambil enti di rumah" Sangat bersungguh-sungguh. Ketika ini, terasa bunga ukhuwah sangat mekar.

Di tempat program, kami berjumpa sahabat matrik di seluruh Malaysia. Bertambah lagi bilangan sahabat. Daripada ajk hinggalah peserta semuanya muslimat. Tiada muslimin. Seronok. Terasa bebas untuk berprogram. Hanya ada satu kuliah sahaja yang dijemput penceramahnya muslimin. Di akhir sesi resolusi, kami dibahagikan mengikut negeri masing-masing. Diletakkan seorang murobi untuk menjaga kami sepanjang cuti matrik untuk ke universiti. Jaga dari sudut mutabaah amal, dan buat usrah.

Setibanya di rumah, abang saya yang juga pernah menyuruh saya mencari usrah suatu ketika dahulu, memarahi saya dengan sungguh-sungguh. "Kau ni pergi program apa? Entah 'organisasi' apa yang kau ikut, kau pun tak tahu kan? pernah ke tanya diorang apa nama organisasi kau tu? tak ada nama kan? asal usul dari mana? main ikut je..."

Ketika itu, serius rasa sakit hati. Bila teringat balik sekarang pun rasa sakit hati juga sikit-sikit "Giler syadid abang aku tarbiyah aku".

Dapat sahaja keputusan masuk U, kakak usrah terus mesej. Minta maklumat fakulti dan kediaman.

Dan sekali lagi abang saya berpesan. Kali ini dia tak suruh cari usrah tapi dia suruh cari PMI.

Di kampus, orang pertama yang datang menziarah saya ialah kakak yang datang daripada usrah itu. Biarlah saya namakan organisasi usrah itu dengan organisasi A.

Dalam masa yang sama, tiba-tiba dapat mesej daripada nombor tak dikenali. Katanya, ingin berjumpa di meranti.

Sebulan pertama, saya masih dalam perhitungan untuk mengikuti usrah yang mana. Hati saya memang mahu ke PMI. Tapi dalam masa yang sama, terasa sayang untuk meninggalkan organisasi A.

Akhirnya saya buka YahooMessenger dan berchatting dengan sahabat seorganisasi A saya dahulu yang menarik saya ke dalam organisasi itu. Saya tanyakan kepadanya "mengapa organisasi kita tak ada nama? siapa pimpinan organisasi kita?" Dengan jawapan yang tidak menyakinkan saya ketika itu, saya ambil keputusan untuk mufaroqoh dari organisasi tersebut. Kelihatan sahabat saya juga redha dan kami saling berjanji untuk kekal dalam pautan ukhuwah yang telah dibina walau berlainan fikrah sekalipun.


Beberapa bulan lepas, saya pernah menghubungi sahabat saya ini, bertanya sendiri kepadanya,
 "Ukhti, ana nak tanya. organisasi yang pernah ana ikut masa matrik dulu, ISMA ke? Enti masih bersama dengan organisasi tu?"
"Tak. Ramai di antara ahli organisasi tu yang keluar dan masuk ISMA. tapi kami bukan ISMA. Insya Allah, perjuangan kami masih didokongi oleh sahabat-sahabat yang masih ikhlas untuk berjuang."
"Oh.. baiklah. sekadar ingin tahu, apa pendirian politik enti"
":) Kenapa? apa-apa pun pendirian ana, itu hanyalah pendirian individu yang tiada kaitan dengan organisasi ana"
" (y)"

Saya kagum dengan dirinya. Kami tidak sefikrah tapi kami tidak bermusuhan.  

Dan kini saya bersama PMI. Ingin tahu apa yang ada dalam usrah PMI? mari sertai kami! :)

Erm..sorrylah kalau cerita di atas agak boring lagi membosankan. Saya hanya nak berkongsi, bahawa ada banyak organisasi yang membawa dakwah Islam di dunia ini. Matlamat umumnya semua sama iaitu membawa mesej Islam di seantero dunia. Tapi, matlamat khususnya dan pembawakannya sahaja yang berbeza. Ada organisasi yang mahukan Islam cepat tertegak, ada yang mahukan pembentukan diri dahulu. Ada yang berjuang melalui siasah, ada juga yang hanya fokus kepada islah. Dan ada juga yang ingin memartabakan melayu berwibawa. (Err..krik..krik..krik) Tidak kurang juga organisasi yang merangkumi ke semua aspek.
 
 Apa-apa pun, ciri organisasi yang menjadi panduan untuk saya memilih ialah:

  1. Dasar perjuangan organisasi tersebut ialah Islam.
  2. Organisasi yang mempunyai sifat-sifat hizbullah
  3. Perlembagaan, rujukan dan panduan hidup yang utama adalah Al-Quran dan As-Sunah (Rabbaniyah)
  4. Terbinanya organisasi itu adalah atas kesedaran umat islam sendiri kerana tuntutan Al-Quran dan As-sunah
  5. Organisasi yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh (Syumuliyah)
  6. Melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara serentak
  7. Organisasi yang membina akal pemikiran manusia serta yang mengarahkan penghayatan terhadap Islam
  8. Organisasi yang menjadikan ulama' sebagai pimpinan atau rujukan utama
  9. Organisasi yang terawal dan tertua 
  10. Organisasi yang tidak memilih orang tertentu sahaja menjadi ahlinya dan bersifat universal (alamiyah)
  11. asas perjuangan adalah ke arah penyempurnaan aqidah
  12. Matlamat utama organisasi tersebut adalah untuk menubuhkan sebuah negara berasaskan pemerintahan Islam (Khilafah Islamiyah)
  13. Organisasi yang menyerahkan seluruh pergantungan dan ketaatan (wala') hanya kepada Allah.

Apa-apa pun, kita hidup saling meraikan. Perbezaan itu warna. Perpecahan itu bala. Yang penting, pilihan di tangan anda. Jangan berorganisasi kerana manusia. Tapi berorganisasilah kerana Allah. 'Izzahkan Islam, maka organisasi akan turut ter'izzah.

Wallahu'alam. 



            

27 May 2013

Musim Walimah

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.

Musim cuti sekolah, musim walimah. Ada yang menghantar kad di rumah, ada juga yang menjemput di facebook. 

Barakallahulakuma buat semua sahabat-sahabat yang dah pun selesai dan bakal berakad nikah. 

25 mei lalu, sahabat saya, Saidatul Akmal bt Sulong mantan Timbalan Pengerusi Lujnah Penerangan & Multimedia PMIUTM sesi 10/11 sudah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya saudara Azim Fahada. Sahabat yang selalu memberi bahu dan menjadi pendengar di saat diri memerlukan nasihat seorang sahabat. 




 26 mei semalam, walimah Akh Hilman. Senior siasah PMIUTM. Selamat diijabkabulkan dengan pasangannya di Kluang

1 Jun, sahabat sebilik saya ketika di KMNS. Norbaisyatul bakal diijabkabulkan dengan pasangannya di Pahang. Banyak kenangan saya bersamanya. Tidak sangka, rupa-rupanya bakal doktor yang masih belajar di USM, Kubang Kerian ini  mengikuti organisasi yang sama dengan saya di sana. 

1 Jun, senior LTK yang cute. Kak Yani bt Bakhrul. Bakal diijabkabulkan di Sabah kediamannya. Tidak sempat bergerak kerja bersama dengannya. Tapi sempat mengutip 'mutiara' daripadanya.

1 Jun senior SPI, Ustazah Nurul Huda bt Abdul Razak. bakal diijabkabulkan bersama pasangannya. Sempat menjadi naqibah sebentar ketika saya baru menjadi ahli PMI.



Semoga beroleh sakinah, mawadah wa rahmah hendaknya..
:)    


#Semua walimah di atas, saya tidak dapat menghadirkan diri. 
## Nda mengapalah bah. Asalkan doanya sudah mengiringi..

08 May 2013

Sembang-sembang PRU13

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.

Alhamdulillah masih hidup bernyawa. Sudah masuk dua hari saya menghirup udara pasca PRU-13. Bukan niat saya untuk menjadi penganalisa politik tak bertauliah di sini. Hanya sekadar ingin sembang-sembang alkisah PRU-13.

Malam sebelum mengundi, abang saya yang mengundi pos kerana bertugas di bawah SPR esok, berkali-kali menghantar sms kepada saya "Ingat, selamatkan Johor!"

5.5.13
Akhirnya hari ini, tarikh ini, tiba jua. Hari merayakan hak demokrasi rakyat Malaysia. Tidak terlalu gopoh, tidak terlalu lambat, jam 9 pagi saya dan emak keluar ke sekolah yang hanya 10minit dari rumah untuk membuang undi. Setibanya di hadapan sekolah, melepasi garisan kuning SPRM, penyokong dari PAS dan BN masing-masing sibuk beramah mesra dengan pengundi. Yang tua, dipimpin. Yang uzur disorong dengan kerusi roda. Yang panas, dipayung. Semuanya menjadi seperti malaikat. Moga-moga akhlak terpuji ini melekat dalam diri selamanya. Melangkah masuk ke dalam barisan, orang belum terlalu ramai. Pengundi muda di saluran saya juga masih belum ramai. Yang ramainya ialah dari saluran satu, umur lingkungan emak saya. Dengan lafaz bismillah, kertas undi selesai dipangkah. Alhamdulillah selesai tanggungjawab. Kali pertama mengundi dengan sistem yang telah diBERSIHkan sebanyak 3kali. Dakwat kekal itu salah satu kejayaannya. Walaupun hakikatnya tidaklah kekal mana. Hari ini, dakwat di jari saya sudah hilang sepenuhnya.

Selesai mengundi, saya duduk sebentar bersama-sama sepupu sepapat yang menjadi perayu undi berhampiran sekolah. Memang sudah niat untuk menginfakkan diri di situ. Rugi rasanya jika saya hanya menghabiskan masa dengan key-in data PSM di rumah di hari bersejarah ini. Hari khamis saya sudah sampai di rumah dengan niat untuk menjadi Polling agent dan Counting agent. Tapi, hampeh kerana sudah penuh diisi oleh muslimin. Saya bertanya, mengapa tidak dibina pondok di situ. Rupa-rupanya ketua kampung tidak membenarkan mana-mana parti untuk membina pondok (pondok panas) di situ. Jadi, masing-masing terpaksa memegang payung untuk berteduh daripada panas terik dan hujan renyai ketika itu.  

Suasana pembuangan undi di kampung saya, sangat aman dan tenang. Mungkin kerana ia di kampung, maka tiada yang rajin mencetuskan provokasi. Mujur anak muda BN yang menyanyi lagu Inilah Barisan Kita lewat 12malam tadi tidak 'bingit' hari ini. Mungkin sudah kenyang dengan duit upah memasang bendera malam tadi.

.Saya memegang payung PAS dan nun kira-kira 50meter dari tempat saya berdiri, Paksu saya memegang payung BN. Kami bertegur sapa, beramah mesra seperti biasa. Walapun berbeza parti politik, hubungan sesama Pakcik-anak sedara, langsung tidak terjejas. Inilah yang dikatakan demokrasi melangkaui hubungan darah! Namun, ada juga beberapa makcik BN yang tiba-tiba seperti menjadi orang asing ketika berselisih dengan saya. Hanya kerana saya memegang payung hijau-putih ini, senyum saya padanya tidak bersambut. Ok. Abaikan. Terus senyum pada makcik lain.

Ketika hampir asar, saya pulang ke rumah. Debar menunggu keputusan kian terasa. Tangan laju mengimbas screen telefon bimbit. Update berita di facebook. Juga tv yang terpaksa dipertahankan daripada tuntutan 'upin ipin' oleh anak sedara saya yang comot itu. Sempat juga mendengar ulasan penganalisa politik oleh ex-smapian Dr Asyraf Wajdi Dusuki di tv3. Bernas juga pemikirannya. Emak saya setuju dengan ulasannya menandakan ulasannya tidak bias kepada mana-mana parti. KPInya emak saya. :)

Malamnya, dengar pula ulasan penganalisa politik di tv1. Tengok cara beliau mengulas kekalahan Ghani Othman, saya merasakan peluang untuk beliau keluar di tv selepas ini mungkin tipis.

Akhirnya keputusan penuh telah diketahui.
Menyoroti keputusan beberapa PRU sebelum ini, berikut merupakan bilangan kerusi parlimen yang dimenangi oleh PR (PAS,PKR, DAP) dan BN:

PRU-11 (2004) BN : 199 PR: 13
PRU-12 ( 2008) BN: 140 PR: 82
PRU-13 (2013) BN: 133 PR: 89

Melihat angka ini, jelas menunjukkan rakyat secara majoritinya sudah mula hilang kepercayaan kepada BN. PRU 12 sudah jelas tsunaminya yang melonjak PR memecah tradisi menawan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Ramainya pengundi muda PRU 13 menambah sengit dengan menambah lagi kerusi PR di  parlimen.
Keputusan secara rasmi, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan kekal di bawah pemerintahan PR. Manakala negeri-negeri lain dimenangi oleh BN. Nampaknya, kempen Gangnam style yang dibawa Najib di Penang dan lagu Sayangi Selangor, yakini BN yang selalu memekakkan telinga di tv tidak mampu mengubah hati rakyat di kedua negeri itu. Mungkin BN perlu ubah cara berkempen untuk akan datang.

PRU kali ini juga menyaksikan kekalahan 17 orang menteri di Parlimen mereka bertanding antara yang popular ialah Datuk Ghani Othman di Gelang Patah, Datuk Seri Ali Rustam di Bukit Katil, Datuk Saifudin Abdullah di Temerloh, Raja Nong Chik di Lembah Pantai, Dr Mohd Puad Zarkashi di Batu Pahat dan lain-lain lagi.

Di akhbar Sinar Harian melaporkan terdapat beberapa indiviu yang melaporkan kepada polis berkaitan isu dakwat yang tidak kekal. Saya akui juga kerana saya hanya membasuhnya dengan sabun dettol dan ternyata sudah hilang. Emak saya memberi cadangan supaya SPR menggunakan inai yang ternyata lebih kekal, jimat dan boleh dibawa solat untuk PRU akan datang.

Hari ini, kemenangan DAP di kebanyakkan kerusi parlimen dan dun dikecam oleh BN. Isu perkauman, orang Cina tidak tahu membalas budi BN, orang Cina mahu kuasai negara seperti singapura dan banyak lagi tohmahan rasis yang dilemparkan. Saya pening juga dengan BN. Dulu beriya benar laungkan 1malaysia. katanya kesamarataan la perpaduan la. Alih-alih apabila undi orang Cina sudah tidak menyebelahi BN, mereka pula dipersalahkan. Hadoih la..

Apa-apa pun, isu rasis ini sebenarnya boleh menjadi batu loncatan kepada para pendakwah di dalam PAS. Inilah masanya untuk sebar luaskan pengetahuan mengenai tahaluf siyasi itu kepada mad'u. Tidak ketinggalan juga peluang dakwah kepada non-muslim di PKR dan DAP untuk lebih akrab dan lunak dengan Islam seterusnya beriman kepada Tuhan Yang Esa. Beruntunglah bagi mereka yang menjadi asbab tersentuhnya hidayah di hati manusia.

Kemenangan yang didalangi dengan kejahatan itu, saya tidak mahu ulas. Kerana ia bakal menyesakkan dada dan menimbulkan kebencian di hati saya sehingga saya mungkin akan menjadi terlalu beremosi. maka, saya hanya mampu berdoa dan pasti kemungkaran yang berlaku sudah tentu akan membuka lagi mata rakyat untuk menjatuhkan kezaliman untuk akan datang. Juga tidak pula saya membenci golongan yang ingin berhimpun esok yang ingin menyuarakan ketidakpuas hatian.

Sungguh, kalah atau menang itu adalah adat. PAS sudah banyak kali kalah dan sentiasa bersedia. Saya yakin ahlinya sentiasa redha dan bertenang kerana mereka ada Allah dalam hati mereka. Sungguh, Allah tahu yang terbaik buat Malaysia. tidak diberi kemenangan secara terus, tapi diberi sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuan. Insya Allah, padaNya ada hikmah.

Memetik kata-kata Khairy Jamaludin ketika ditemuramah di MHI sehari selepas PRU, " Hari ini, 6Mei merupakan hari pertama untuk kita berkempen untuk PRU-14"

kalau mereka semangat, kita apatah lagi..

"Kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha mengejarkan amal soleh yang lain.(Amal Jamaie" (Al-Insyirah : 7)












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...