• RSS

16 June 2013

Al-Ilmu fi sudur la fi sutur

Alhamdulillah.. hati berbunga-bunga kesyukuran kerana Allah izinkan untuk bersama lagi di bumi barakah ini..

Kitab sudah berada di tangan. Sementara menunggu kedatangan Al-Fadhil Syeikh, dua kitab itu dibelek.

Terpana. Selakan terhenti. Dua kitab sepenuhnya dalam bahasa arab. Salah satunya tidak berbaris. Manakala satu lagi berbaris tapi langsung tidak dapat menterjemah bahasanya.

rasa dunia gelap. Dada tiba-tiba rasa berat. Jiwa rasa sebak. Mata berkaca. Sedih perit.

 Belajar Bahasa Arab Tinggi tapi ilmu itu sekadar di atas kertas. Di dalam buku.Belajar sekadar nak lulus exam. A yang saya dapat dalam SPM terasa sangat tidak bermakna kerana saya tidak dapat memahami sepatah pun apa yang Syeikh baca dan sampaikan. Hukum kasroh, dhommah, fathah dan tanwin langsung tidak ingat untuk diamalkan. Juga, kurangnya vocab dalam bahasa arab. Saat ini, terasa ingin koyakkan sahaja sijil SPM. Kecewa pada diri sendiri.

Benarlah kata Imam Syafie, "Al-Ilmu fi sudur la fi sutur". Maksudnya, Ilmu itu dalam dada. Bukan di kertas.

Itu prinsip Imam Syafie. Kerana itu beliau bertindak menghafal kesemua nota-nota salinan kuliah sepanjang pengajiannya. Nota-nota yang disalin di atas kertas terpakai yang dikutip dari tempat orang yang dah tak guna. Imam Syafie tidak mempunyai wang untuk belajar. Tidak mempunyai harta yang banyak untuk selesa menuntut ilmu. Dan oleh kerana terlalu banyaknya nota yang disalin, bilik kecilnya sudah penuh dan sempit. Maka dengan itu Imam Syafie menghafal kesemua notanya. hafal dan amal. Sehingga Imam mampu mengeluarkan fatwa.

Saya banding dengan diri saya. Adanya laptop, broadband, smartphone. Tapi.......

Argh! Terlalu jauh untuk perbandingan sebuah himmah.

Sungguh malu dengan umat terdahulu.

"Jadilah kamu seorang yang mengajarkan ilmu, jika kamu tidak mampu, jadilah kamu seorang yang menuntut ilmu. Jika tidak mampu, jadilah kamu seorang yang mendengar ilmu. Jika tidak mampu jadilah kamu seorang pencinta ilmu"

Ya Allah. semoga aku tergolong dikalangan ini.

10 June 2013

Belajar bercinta dengan emak #2


Ikan sudah siap dilumur dengan kunyit dan garam. Kunyit tak boleh lebih nanti pahit. Garam pun hanya beberapa cubit cukup buat syarat sebab, emak pantang terasa masin di lidahnya. Api masih suam belum cukup haba untuk menggoreng ikan. Emak pula membuka periuk nasi memeriksa samada nasi sudah betul-betul 'tanek' (bahasa jawa.maksudnya masak).Mesti emak dah lapar.

Saya menyambung lagi perbualan yang sengaja saya 'larikan' ke dapur pula..

"Emak tak pernah suka kat sape-sape ke sebelum bertunang?" saya bertanya.

"Hmmmm...Pernah."jawab emak.

"Sape orangnya emak?" saya teruja untuk tahu.

"Alah..kalau cakap pun bukan kenal.."

"Oloh..."

"Dia dah kahwin, dah ada anak dah.. hidup bahagia.. Macam kita.." emak jawab dengan senyuman.

saya senyum. "Ooh.. habis tu dulu mak tak frust ke?"

"Mula-mula memang la frust bila atok dulu terima pinangan abah tanpa dapat persetujuan penuh emak. Nangis juga la. Tak keluar bilik juga la sebab nak mogok. Tapi sampai bila? lapar kena keluar jugak..hehe.."

"haha..lawak-lawak" saya ketawa.

"Tapi mak.. soal perasaan macam mana pulak". saya tanya kembali emak dengan soalan panas.

"Alah..sampai bila nak bersedih dengan jodoh yang bukan milik kita. Alhamdulillah emak masih ingat Allah. Dan emak faham, apa tanggungjawab emak sebagai seorang isteri. jadi, lupakan je lah. Tak semestinya orang yang kita suka tu adalah jodoh kita. Dan tak semestinya orang yang kita selalu gaduh dan tak suka tu, bukan jodoh kita."

Emak menyambung lagi. "Mak ingat lagi dulu, sebelum kahwin,  abah selalu ejek mak lonjong. Emak selalu kata abah hitam. Setiap kali terjuma dekat sekolah, emak siram air kat abah dan macam-macam lagi lah. Dah namanya tak suka kan. huhu. Bila ingat balik, kesian abah.."

#Al-Fatihah untuk abah.





08 June 2013

Hazelnut white coffee

Rasa white coffee ni sangat sedap. Dalamnya ada secebis rasa hazelnut. Tapi nak cari punyalah susah. Setakat ni, ada dijual di minimart meranti je. Dah cari di jusco,giant dan konfar semua takda.

dan tadi hajat nak beli banyak di minimart, tapi hampa. dah tak da..

implikasinya, terasa kurang bermotivasi untuk qiam (baca:stay up) malam ni..

hakikatnya manusia suka sangat mencipta alasan dan menjadikan faktor luaran untuk berjaya. ini semua mengarut!

07 June 2013

Israk Mikraj: Dimanakah nilai solat kita?

Allahumma solli'ala Muhammad wa barik wa salim 'alaih..

Hati mana yang tak sedih, hati mana tak sunyi, dua insan yang nabi cintai pergi mengadap Ilahi.

Permaisuri hati, belahan jiwa nabi, Saidatina Khadijah  isteri baginda yang dicemburui, sungguh Cinta tak mengenal status dan umur. Ternyata Allah menganugerahkan seorang isteri yang terbaik buat Nabi. Isteri yang sangat memahami. Isteri yang tidak pernah dipoligami. Sungguh, besar cinta seorang Nabi. Namun fitrah tidak mungkin menyalahi, setiap yang hidup pasti mati. Khadijah wafat pergi tak kembali.

Dan seorang lagi, bapa saudaranya Abu Talib. Pembesar Makkah, bukan sekadar seorang penjaga Nabi. Juga pergi dijemput Ilahi. Bertambah peritnya hati, Islam tidak berjaya sampai ke hati. Benarlah kuasa Allah mengatasi. Hidayah itu hanya Allah miliki.

Ar-Rahman Allah sangat luas. Apatah lagi untuk kekasihNya, Rasulullah saw. Kesedihan yang ditimpa segera diubati. Dibawa berjalan ke tempat tertinggi.

Sungguh, solat itu tiang seri. Kewajipan itu diberi langsung ke tangan Nabi. 50 rakaat pada awalnya, bukan tanda Allah tidak memahami. Tapi hanya kerana Allah mahukan hambanya sentiasa beribadah kepadaNya. Sentiasa merintih, merayu, berdoa dan hanyut dengan pahala solat.

Namun, pengalaman para nabi menjadi ibrah. Diminta Muhammad meminta pengurangan hingga malu Nabi kita, menjadi lima waktu sahaja. Sekali lagi, Allah menunjukkan Ar-Rahimnya, permintaan kekasihNya tidak mungkin ditolak.

Kisah itu ribuan tahun dahulu. Asal usul kewajipan solat kita.

Hari ini kita solat dengan selamat. Tiada ancaman. aman. Namun sejauh mana solat itu benar-benar kita fahami. Faham syarat sahnya, faham syarat wajibnya, tahu rukunnya, hayati maksud bacaannya, dan tahu tujuan kita solat. Di dalam kitab Munyatul Musolli itu, dikisahkan maqam para sahabat dan ulama' bersolat kerana ingin mendapat sesuatu kemanisan yang tidak mampu untuk diceritakan. maqam tertinggi ketika solat sehingga terasa teruja yang amat. Ketika solat, tidak merasa apa-apa melainkan nikmatnya berhubung terus dengan Allah. Putus dengan dunia. Hilang keserabutan. Hilang permasalahan. Kerana solat itu ubat. Solat itu penawar. Solat itu merawat. Inilah solat yang dapat mencegah kemungkaran.

Hari ini, kita nilailah di mana tahap solat kita. Solat dengan keadaan mamai. Solat yang ditangguh-tangguh. Solat yang dilajukan, dan bermacam-macam lagi jenayah yang sudah kita lakukan kepada solat kita.

Astaghfirullahalazim..

Allah tuhanku, jangan Kau lemparkan kembali solatku. Tunjukkan aku jalan untuk aku perbaiki solatku. Jadikanlah aku dan keturunanku yang sentiasa hidup dengan solat. Aman dengan solat dan tenang dengan solat.

Ampuni aku Ya Allah..

05 June 2013

Belajar bercinta dengan emak

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad  wa barik wa salim 'alaih.


Ini cerita dulu-dulu..


Selesai solat maghrib bersama emak, sengaja merehatkan diri di sebelahnya. Telekung yang dipakai sengaja tidak dibuka. Rasa selesa begitu. Saya pandang wajah emak lama. Mulut emak masih terkumat-kamit berzikir. Terpejam-pejam mata emak untuk menghayati. Terganggu mungkin melihat anaknya memandangnya. 

"Alhamdulillah.." Emak mengakhiri zikir.
 "Kenapa?" Emak terus bertanya. Macam tahu-tahu saja anaknya ini nak tanya sesuatu.
"Tak ada apa..." saya menjawab.
"Eleyh. nak cakap apa..? beritahu je lah.." emak memprovok halus.

Saya masih berkira-kira patutkah soalan ini saya tanya..

"Macam mana emak boleh paksa diri untuk cinta abah, sedangkan sebelum emak bertunang, emak tak suka dekat abah? Emak tak rasa emak dinafikan hak untuk bercinta ke?"akhirnya soalan itu, terkeluar juga. Saya melarikan pandangan daripada melihat wajah emak. takut emak terasa dengan pertanyaan ini.

Dengan pantasnya emak menjawab "Lepas emak tengok kesungguhan abah. Tempoh tiga tahun bertunang yang emak letakkan dulu, abah tambah lagi dua tahun sebab nak kumpul duit lagi untuk beli tanah dan rumah yang kita duduk sekarang ni. Masa tempoh bertunang, emak masih buat menyampah dengan abah. Kalau terserempak, cepat-cepat lari. Masa tu memang betul-betul tak suka. Pada emak, semua yang buruk semua ada pada abah. Tapi, bila emak tengok kesungguhan abah untuk cari rumah, cari duit, akhirnya hati emak cair juga. Biasanya kalau lelaki tu betul-betul nak dekat kita, dia akan berusaha untuk membahagiakan kita."

"Owhh.....maksudnya ada matlamat yang jelas la kan?" saya mengulas dalam hati.

"Kita ni, orang perempuan kena jual mahal sikit. Jangan cepat-cepat terima kalau ada yang datang. Sabar dulu. Tengok dulu sejauh mana dia bersungguh. Selidik dulu apa yang patut." Emak menyambung lagi.

"yeargh.. betul tu" Jawab saya terus bangun dari pembaringan.

"Amboih, nak pergi mana tu?" emak bertanya.

"Masak"

bersambung..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...