Allahumma solli'ala Muhammad wa barik wa salim 'alaih..
Hati mana yang tak sedih, hati mana tak sunyi, dua insan yang nabi cintai pergi mengadap Ilahi.
Permaisuri hati, belahan jiwa nabi, Saidatina Khadijah isteri baginda yang dicemburui, sungguh Cinta tak mengenal status dan umur. Ternyata Allah menganugerahkan seorang isteri yang terbaik buat Nabi. Isteri yang sangat memahami. Isteri yang tidak pernah dipoligami. Sungguh, besar cinta seorang Nabi. Namun fitrah tidak mungkin menyalahi, setiap yang hidup pasti mati. Khadijah wafat pergi tak kembali.
Dan seorang lagi, bapa saudaranya Abu Talib. Pembesar Makkah, bukan sekadar seorang penjaga Nabi. Juga pergi dijemput Ilahi. Bertambah peritnya hati, Islam tidak berjaya sampai ke hati. Benarlah kuasa Allah mengatasi. Hidayah itu hanya Allah miliki.
Ar-Rahman Allah sangat luas. Apatah lagi untuk kekasihNya, Rasulullah saw. Kesedihan yang ditimpa segera diubati. Dibawa berjalan ke tempat tertinggi.
Sungguh, solat itu tiang seri. Kewajipan itu diberi langsung ke tangan Nabi. 50 rakaat pada awalnya, bukan tanda Allah tidak memahami. Tapi hanya kerana Allah mahukan hambanya sentiasa beribadah kepadaNya. Sentiasa merintih, merayu, berdoa dan hanyut dengan pahala solat.
Namun, pengalaman para nabi menjadi ibrah. Diminta Muhammad meminta pengurangan hingga malu Nabi kita, menjadi lima waktu sahaja. Sekali lagi, Allah menunjukkan Ar-Rahimnya, permintaan kekasihNya tidak mungkin ditolak.
Kisah itu ribuan tahun dahulu. Asal usul kewajipan solat kita.
Hari ini kita solat dengan selamat. Tiada ancaman. aman. Namun sejauh mana solat itu benar-benar kita fahami. Faham syarat sahnya, faham syarat wajibnya, tahu rukunnya, hayati maksud bacaannya, dan tahu tujuan kita solat. Di dalam kitab Munyatul Musolli itu, dikisahkan maqam para sahabat dan ulama' bersolat kerana ingin mendapat sesuatu kemanisan yang tidak mampu untuk diceritakan. maqam tertinggi ketika solat sehingga terasa teruja yang amat. Ketika solat, tidak merasa apa-apa melainkan nikmatnya berhubung terus dengan Allah. Putus dengan dunia. Hilang keserabutan. Hilang permasalahan. Kerana solat itu ubat. Solat itu penawar. Solat itu merawat. Inilah solat yang dapat mencegah kemungkaran.
Hari ini, kita nilailah di mana tahap solat kita. Solat dengan keadaan mamai. Solat yang ditangguh-tangguh. Solat yang dilajukan, dan bermacam-macam lagi jenayah yang sudah kita lakukan kepada solat kita.
Astaghfirullahalazim..
Allah tuhanku, jangan Kau lemparkan kembali solatku. Tunjukkan aku jalan untuk aku perbaiki solatku. Jadikanlah aku dan keturunanku yang sentiasa hidup dengan solat. Aman dengan solat dan tenang dengan solat.
Ampuni aku Ya Allah..
Nabi dulu Mazhab apa?
1 week ago
0 comments:
Post a Comment