• RSS

24 June 2013

Pergi

Allahumma solli'ala Muhammad wabarik wasallim..

Kita merancang, Allah merancang. Namun perancangan Allah Ta'ala itu tersangat hebat. Selesai urusan menghantar tesis untuk dijilid, segera saya menguruskan perjalanan ke sebuah program.

"akak gerak dengan saya malam ni lepas maghrib" mesej seorang sahabat yang menganggap dirinya adik.

Lega. Kebetulan, kiranya perjalanan ini tidak menyusahkan.

Sedang mengemas barang-barang petang itu, saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang ingin datang untuk meminta saya menjadi orang tengah dalam konflik percintaan tiga segi mereka.

Allahurobbi.

Hasrat hati ingin menolak. Memandangkan diri ini yang tiada apa pengalaman dan juga tidak layak untuk memberi nasihat. Tapi apabila ia adalah sebuah pertolongan maka saya cuba menerima dan memberi sekadar mampu. Mungkin Allah datangkan ini untuk saya mengambil ibrah daripadanya.

"Ok. Datang dalam pukul 6 petang ni ya." saya menghantar mesej kepada sahabat ini.

6.30 dia sampai. Lewat. Saya mempersilakan dia duduk. Saya beristighfar di dalam hati. Mencari kekuatan daripada Allah. Cuba untuk bersifat neutral. Tidak mahu menyebelahi sesiapa. Saya minta dia ceritakan hal yang sebenar dan semuanya berlaku pantas dan ringkas. Di akhir perbualan, saya memintanya teruskan istikharah dan letakkan pergantungan sebenar-benarnya kepada Allah yang menentukan jodoh manusia. Kalau kita benar-benar percaya dengan kuasa Allah, maka tiada apa yang perlu kita risaukan seandainya lelaki itu bukan milik dia. Saya tidak mahu sahabat saya ini, mencintai lelaki itu melebihi cinta kepada Allah. Itu jelas. Kelihatan dia senyum dan berkata "Insya Allah". Harap dia faham.

Usai maghrib, adik itu sampai. Dalam kereta, dia sudah mengadu macam-macam. Saya hanya beristighfar.

Sampai sahaja ke tempat program, saya terus masuk meeting satu unit. Kelihatan ada mata yang terkejut seperti tidak mengalukan. Ada juga yang senyum sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan. Dan ada juga yang tersenyum meleret tanda lega senior dah datang. Memang itu saya sudah jangka kerana saya memang sengaja merahsiakan hasrat untuk datang ke program itu. Saya ikuti perbincangan tersebut dan agak terkejut dengan pembawakan yang dibincangkan. Saya cuba membantah dengan memberikan hujah rasional. Nampak seperti diterima. Tapi kemudiannya saya keliru kerana apabila perlaksanaannya tidak selari dengan hasil perbincangan.

Sepanjang berada dalam program, saya cuba memberi yang terbaik. Memberi nasihat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman 4tahun berada dalam sepak terajang program seperti itu. Tapi, tidak pastilah sejauh mana ianya mahu diterimapakai oleh generasi baru ini.

Kerisauan terus melanda diri. Bimbang tahap keseriusan generasi baru ini untuk belajar. Adakah mereka ini generasi idealis sehingga tidak mahu mengintai ibrah silam. Sepanjang program, terus bimbang.

Sehinggalah malam itu.

Berlaku satu kemalangan yang tidak dijangka. Semua ajk terkedu. Saya sudah mahu menjerit tapi cuba mengawal diri. Bengang kerana masing-masing lambat bertindak. Dan akhirnya mereka ke klinik. mendapatkan rawatan.

Tiba-tiba seorang adik menangis teresak-esak. Dia trauma dengan kejadian itu. Tiba-tiba lemah semangatnya. Tangannya sejuk tanda dia takut. Dia tidak habis-habis menyalahkan diri dan tidak mustahil akan meninggalkan gerak kerja lepas ini. Allah.. Dengan kekuatan yang ada, saya cuba tenangkannya. Menyabarkan dirinya sedangkan saya sendiri risau dengan nasib sahabat yang sedang dalam perjalanan dirawat itu.

Saya menaip mesej untuk bertanya situasinya kepada seorang sahabat yang menghantarnya, tapi saya batalkan bimbang dia sendiri sibuk menguruskan dan masa ketika itu sudah lewat malam benar.    

Dan alhamdulillah, sahabat itu ok.

Allahuakbar. Entah apalah yang saya cuba sampaikan sebenarnya dalam entri ini. Bercampur baur. Seminggu terakhir sebelum meninggalkan UTM ini, ia dihiasi dengan peristiwa-peristiwa ibrah. Program yang tak berapa menjadi mungkin kerana dosa yang ada pada diri. Pandangan yang tidak dirai mungkin kerana diri yang tidak thiqah dan tidak layak untuk memberi. Dan kisah cinta tiga segi sahabat itu, seolah-olah memberi amaran kepada saya supaya jangan lagi menceburkan diri. Cukuplah hanya sekali.

Atas semua yang telah terjadi, saya melangkah dengan perasaan yang bercampur baur begini. Menangis keharuan. Sungguh pun selepas ini mungkin akan datang kembali, tapi medannya sudah berbeza.

Selamat tinggal universiti tarbiyah.
Terima kasih atas ukhuwah,
Allahumma bariklana fi hazihil jama'ah.
Uhibbukum fillah..

1 comments:

Anonymous said...

Moga semuanya baik2 aja..entri ni ada makna yang mendalam.sgt dalam bg y memahami dn mengetahui..entri ni,mnceritakan pengalaman,y sukar dlupakan..moga trus thabat dlm perjuangan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...