• RSS

24 October 2011

Panduan untuk Wanita

Tajuk: Panduan Untuk Para Wanita
Penulis: Bediuzzaman Said Nursi
Terjemahan: Ustazah Marsufah
Penerbit: Persatuan Kebudayaan Malaysia Turki ( MATURCA)
Bilangan muka surat: 173
Sumber : Kak Ummu Hazimah

Menurut Kak Ummu, buku originalnya adalah dalam bahasa Turki dan telah mendapat tempat di sekelian Negara lalu diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Arab, Indonesia dan Melayu.
Saya coretkan beberapa isi di dalam buku ini

“ secara fitrahnya, seorang wanita akan menjauhkan diri daripada muhrimnya dan merasa tidak selesa terhadap 18 orang daripada 20 orang lelaki yang bukan muhrimnya. Manakala seorang lelaki pula, mungkin berasa tidak selesa memandang seorang sahaja dari 100 wanita yang bukan muhrimnya”

Seorang lelaki sekiranya terpesong demi mendapatkan kelazatan sekadar 8 minit, dia tidak akan rugi apa-apa melainkan sekadar beberapa sen. Sedangkan seorang wanita membayar harga kenikmatan 8 minit tersebut dengan bebanan selama 8 bulan serta menggalas tanggungjawab mendidik amali tanpa ayah tersebut selama 8 bulan. Maksudnya, kemaksiatan seorang wanita tidak sampai ke tahap kemaksiatan lelaki tetapi dia dibalas berkali ganda daripada balasan yang diterima lelaki

sesungguhnya ikatan yang teguh dan cinta yang mendalam antara lelaki dan wanita bukanlah timbul dari kehendak kehidupan dunia semata-mata. Wanita bukanlah sahabat lelaki di dunia ini sahaja bahkan adalah merupakan temannya dalam kehidupan yang kekal abadi”

“ suaminya yang mukmin itu tidak mengehadkan kecintaannya hanya kehidupan dunia sahaja. Bahkan kasih sayang yang diberikan adalah berkekalan tidak setakat waktu muda dan cantiknya bahkan berkekalan hingga ke tua dan hilangnya kecantikan tersebut”

 “ apa yang dituntut oleh syara’ ialah seorang suami mestilah sekufu dengan wanita itu. Ia bermaksud kesesuaian dan persamaan. Sekufu yang paling cantik pula ialah dari sudut agamanya. “



18 October 2011

Kesan Dosa dalam Hidup







Tajuk: Kesan Dosa Dalam Hidup
Penulis: Ibnu Qayyim
Terjemahan: Ustaz Ahmad Asri Lubis
Penerbit: An Bakri Publika
Bilangan muka surat: 180
Harga: Sem. Malaysia RM23.00 Sabah/Sarawak RM26.00

“ bagi orang awam yang sering berbuat dosa, dia melihat dosa itu sekecil lalat yang hinggap di atas hidung dan boleh dihalau begitu saja manakala bagi orang muttaqin dia melihat dosa itu sebesar gunung yang akan menimpa kepalanya.”

Bahaya dosa kepada sekalian manusia ia akan menjadi virus kepada setiap ibadah. Ibarat tong sampah yang ditutup rapat. Pada zahirnya ia tampak sempurna tidak berbau. Namun, apabila ia dibuka sangat jelek. Kotor, busuk. Begitu jugalah dengan hati manusia yang penuh dengan dosa. Zahirnya perlakuannya semuanya sempurna. Namun hatinya yang kotor itu tidak boleh dilihat sesiapa melainkan dirinya yang merasakan kerosakan itu.

Namun, Allah itu maha Penyayang dan Maha Pengampun. Setiap dosa hambanya mampu untuk diampunkan dalam sekelip mata. Itulah kebesaran kuasa pencipta kita.
Berkata sebahagian Ulama

jika pemuda menangisi dosa-dosa yang dilakukannya, mengakui kecelaan dan kelemahan dirinya di sisi Tuhan dan Kekasihnya dan mengatakan: ‘ Wahai Tuhanku, aku telah melakukan kejahatan.’ Allah swt akan menjawab: ‘Aku telah menutupi dan menyembukan (kejahatanmu daripada pengetahuan orang lain).’

Pemuda tersebut berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah menyesal.”
Allah akan menjawab: “ Aku telah mengetahuinya.”
Pemuda itu berkata lagi: “wahai Tuhanku, aku telah kembali bertaubat.”
Allah swt akan menjawab: “ Aku telah menerimanya.”

Dalam sebahagian Atsar didapati:

Sesungguhnya Allah swt telah berfirman (dalam hadith qudsi) seraya berkata : “ Wahai hamba-Ku, apabila engkau telah bertaubat kemudian engkau membatalkan ikrarmu, maka janganlah merasa malu untuk kembali kepada Kami buat kali kedua. Dan apabila engkau melanggar janjimu buat kedua kalinya maka janganlah engkau terhalang oleh perasaan malu untuk mendatangani Kami kali ketiga.kembalilah kepada kami waaupun untuk keempat kalinya. Kerana Aku adalah Tuhan Yang Maha Pemurah tidak pernah bersifat kikir sama sekali. Aku adalah Tuhan yang Maha Pemaaf dan Lambat marah (Halim) tidak suka bergegas dalam memberikan seksaan dan balasan. Aku Tuhan yang suka menutupi dan menyembunyikan (aib) orang yang berbuat maksiat, sentiasa menerima orang yang ingin bertaubat.memaafkan orang yang melakukan kesalahan, menaruh belas kasihan terhadap orang yang menyesali kesalahannya. Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengasihdaripada semua yang bersifat pengasih. Siapakah yang pernah mendatangi pintu rahmat Kami lalu Kami tolak? Siapakah yang pernah memohon perlindungan Kami lalu Kami usir? Siapakah yang bermaksud bertaubat kepada Kami lalu Kami menghampakannya? Siapakah yang memohon keampunan daripada dosa yang dilakukannya lantas Kami tidak memberi keampunan kepadanya? Aku adalah Tuhan yang mengampunkan segala dosa, menyembunyikan cacat cela, menghulurkan bantuan kepada orang yang ditimpa malapetaka (termasuk bencana noda dan dosa), menaruh belas kasihan terhadap orang yang menangisi dan meratapi dosanya. Dan Aku adalah Tuhan yang Maha Tahu perkara yang ghaib. 

14 October 2011

Kem Kembara Muslim '11 ; Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi dengan kurniaan limpah rahmatNYA dapatlah program tahunan anjuran Persatuan Mahasiswa iaitu Kem Kembara Muslim (KKM’11)  diadakan pada 7-9 Oktober yang lalu bertempat di Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang Johor.

Seramai 28 orang mahasiswa mahasiswi tahun 1 telah menyertai KKM’11 kali ini. Walaupun begitu, ramai juga mahasiswa mahasiswi yang telah berdaftar dengan PMI berasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti kem ini kerana terlibat dengan program di kolej dan tidak kurang juga yang terpaksa menghadiri program di fakulti masing-masing.

KKM pada tahun ini bertemakan “Mahasiswa Berkualiti Pemangkin Generasi Rabbani” tampil dengan modul pengisian yang menarik dan bersifat membina keyakinan diri  di samping aktiviti outdoor yang begitu mencabar mental dan fizikal para peserta.

Berikut adalah kronologi aktiviti yang telah dilakukan sepanjang KKM’11:

7 Oktober 2011 (hari pertama)

Semua peserta dan ajk KKM’11 telah berkumpul  di perhentian bas FAB pada jam 5.30 petang untuk menunggu bas yang bakal membawa kami ke Pusat Motivasi Sri Tengah, Kluang. Disebabkan terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi, perjalanan mengambil masa sedikit panjang daripada perancangan asalnya. Namun, ini semua tidak sedikit pun mematahkan semangat dan kesungguhan peserta yang sentiasa menunjukkan sikap postif. Kami tiba di rumah penginapan kira-kira jam 9.30 malam dan segera menunaikan solat isya’ dan maghrib secara jamak dan qasar. Seterusnya, peserta dihidangkan dengan pengisian Kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Muhajirih dengan tajuknya “Penghayatan Budaya Ilmu”. Penceramah menggunakan pendekatan yang ringan dan lebih realistik sebagai seorang mahasiswa. Mereka juga dibius dengan semangat supaya tidak merasa kecewa dengan bilangan peserta yang sikit kerana apa yang lebih bermakna bukanlah pada kuantiti tetapi pada kualiti.

Usai minum malam, peserta kembali segar. Dengan itu, ia memudahkan lagi perlaksanaan modul pertama iaitu Ice Breaking. Modul yang dikendalikan oleh saudari Noor Hamizah disambut ceria oleh peserta. Perlaksanaannya sangat mudah. Peserta diminta berkumpul mengikut bulan kelahiran, saiz kasut dan hobi yang sama. Kemudian mereka diminta untuk mengingat nama semua ahli kumpulan setiap kategori tadi. Seterusnya, peserta diberikan satu kertas dan diminta untuk melukis wajah diri sendiri. pelbagai reaksi peserta yang mencuit hati dapat dilihat. Semuanya melukis dengan gembira. Kemudian, mereka membaling lukisan di tengah-tengah bulatan dan mengambilnya semula secara rawak dan meneka siapakah kepunyaan lukisan yang mereka dapat. Modul ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta mengenai kepentingan untuk kita mengenal diri sendiri dan Pencipta.

 8 Oktober 2011 (hari kedua)

Seawal 5.00 pagi semua ajk dan peserta telah bangun untuk qiamulail dan solat subuh secara berjemaah. Selepas bacaan Al-Ma’thurat, peserta diberikan sedikit pengisian jiwa. Tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudara Mohd Khairul b Abdullah Halim yang bertajuk Islam vs Jahiliyah benar-benar memberi kesan kepada para peserta. Mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam pada sesi 2009/2010 ini juga banyak memberi input-input baru yang berguna.

Usai sarapan dan membersihkan diri, saudari Norazlinda menjalankan penyelarasan kuliah yang bertajuk “Penghayatan Budaya Ilmu”. Objektif utama penyelarasan ini adalah untuk memberi kefahaman yang lebih menyeluruh kepada peserta mengenai tajuk tersebut. Slot ini dimulakan dengan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang semuanya. Mereka diarahkan untuk mereka nama syarikat akhbar dan menghasilkan akhbar tersendiri berdasarkan tema isu semasa, sukan, artis dan hiburan dan sirah Rasulullah saw. Masing-masing diberikan tugas sebagai editor, penulis, pereka grafik, kartunis dan pembaca berita. Alhamdulillah para peserta nampaknya dapat memahami objektif yang ingin disampaikan adalah pengetahuan mengenai Sirah baginda seharusnya lebih banyak berbanding tiga tema yang lain.

Setelah diberi masa untuk solat sunat dhuha dan minum pagi, Ustaz Aminudin Hehsan telah memberikan kuliah kedua yang bertajuk “Aqidah Islam dan Cabaran Semasa”. Para peserta khusyuk mendengar kuliah tersebut memandangkan Ustaz banyak menggunakan gambar dan video untuk menarik perhatian peserta.
Slot seterusnya dikendalikan oleh saudara Muhammad Hazim. Peserta ditayangkan dengan satu video mengenai masalah keruntuhan akhlak dikalangan remaja. Kemudian, peserta diminta untuk memikirkan apakah permasalahan yang dapat dikesan di dalam video tersebut dan cara menyelesaikan masalah tersebut. Percambahan idea dan pengetahuan peserta dapat dikesan melalui sesi pembentangan selepas solat jamak zohor dan asar.



Walaupun hujan turun dengan lebat dan menyebabkan suasana hingar, namun ia tidak sedikit pun menganggu  saudari Noor Hamizah untuk mengendalikan modul seterusnya yang dinamakan “Akulah yang Betul”. Para peserta masih duduk dalam berkumpulan tetapi ahli yang berlainan.   

Usai solat maghrib dan isyak secara berjema’ah Saudara Mohd Zaki b Haron selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam sesi 2010/2011 menyampaikan tazkirah yang bertajuk isu-isu semasa di dalam kampus. Beliau berpesan supaya menjadi lebih cakna akan permasalahan yang berlaku di sekitar kampus. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa bersama-sama membantu untuk membendung dan memperbaiki keadaaan ini.

Seterusnya, saudara Muhammad Hazim pula mengambil alih dengan meneruskan modul yang diberi nama “ Siapa paling cantik?” di sini, peserta diminta untuk membincangkan mengenai adab berpakaian dan akhlak yang cantik sebagai seorang Islam. Dapat dilihat, para peserta mengambil kesempatan sebaiknya dengan berbincang dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai sesuatu hukum berpakaian.

Sebelum melelapkan mata, sesi sharing moment diadakan. Di sini, peserta diberi ruang untuk berkongsi masalah, rasa, perasaan dan pendapat bersama-sama ajk. Para ajk juga banyak memberikan kata-kata semangat dan suntikan motivasi daripada ayat-ayat hiburan daripada Al-Quran.

9 Oktober 2011 (hari ketiga)

Selesai solat subuh berjemaah, tazkirah pass baton diadakan. Sekali lagi peserta diuji mengenai ilmu pengetahuan berkaitan isu semasa. Kebanyakkan peserta sudah bertambah yakin dalam penyampaian dan isi yang disampaikan menunjukkan kematangan dan cakna mereka terhadap isu di persekitaran mereka, samaada di dalam atau luar kampus .

Hari ini merupakan hari yang mencabar buat para peserta. Pukul 9.00 pagi, semua peserta berkumpul dan bersiap sedia untuk melakukan aktiviti “rempuh halangan” yang diketuai oleh saudara Ahmad Syazwan  selaku Pengerusi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMI. Terdapat lima halangan yang mesti peserta tempuhi kesemuanya termasuk flying fox. halangan-halangan ini bukan sahaja berbentuk latihan fizikal malah ada juga halangan yang memerlukan strategi dan kaedah tertentu bagi melepasinya. Di sinilah kemahiran berfikir para peserta digunakan sepenuhnya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana berjaya menempuhi kesemua halangan.







 Aktiviti ini tamat pada jam 1.00 tengah hari. Selepas melepaskan penat, membersihkan diri, mengisi perut dan solat, sampailah kepada slot terakhir iaitu resolusi dan majlis penutup. Hasil daripada perbincangan dan perkonsian pendapat sesama peserta, mereka telah bersepakat untuk mewujudkan Generasi-3 (Gen-3) yang mana ianya adalah merupakan sistem batch yang diperkenalkan pada tahun lepas iaitu sejak KKM ’09. Penubuhan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta Kem Kembara Muslim yang dianjurkan oleh Lujnah Pendidikan & Kepimpinan PMIUTM. Selain itu,mereka juga berfungsi sebagai penggerak dalam menjayakan program-program PMIUTM akan datang.


Seterusnya adalah majlis penutup. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan oleh penghulu merangkap  Pengerusi Gen-3, saudara Mohd Asyraf, Pengarah Program KKM ’11 saudara Mohd Hafiz Latif. Majlis disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian penutup oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, saudara Mohd Zaki b Haron. Kira-kira jam 3.00 petang, kesemua peserta dan ajk meninggalkan tapak program menaiki bas yang disediakan. Diharap kesemua peserta memperoleh banyak ilmu bagi menjalani kehidupan sebagai individu muslim daripada kem ini. 


   

.::KKM '11::.

.::KKM '10::.


.::KKM '09::.



.::KKM '08::.

20 September 2011

Bogel Menuju Tuhan


Begini.

Kamu lengkap berpakaian, sedang berjalan. Memandang terus ke hadapan, tidak ada pilihan untuk berpatah balik, kecuali Tuhan benarkan system kiraan waktu ke belakang.

Iaitu, contoh- selepas rabu ialah Selasa. Selepas jam 7 ialah jam 6.

Tidak wujud hukum itu. Bukan hukum alam.

Yang tadi, memang lengkap berpakaian. Dari atas kepala jatuh ke kaki.kemas, segak, cantik, anggun, ayu, hensem, kacak, cun, macho, cun, sweet, cute dan semua adjektif positif. Tanpa mengira gender.

Kerana bila kita mula mengenali pemikiran sendiri, mula menggunakan otak, mula peka dengan sosial kehidupan, waktu itu umur sudah lebih kurang besar.

Seperti baru terjaga dari tidur. Waktu itu bangun dari katil adalah keputusan sendiri, angkat tangan adalah keputusan sendiri, capai tuala adalah keputusan sendiri. tidak seperti mimpi yang kita sendiri pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menggerakkan plot mimpi tadi.

Sebab itu sedar-sedar, kita sudah berjalan. Bukan baru melangkah mula.

Jadi, dengan lengkapnya berpakaian yang sedang berjalan, itulah kehidupan. Terus berjalan. Namun kejap-kejap berjalan, rambut kita ditiup angin. Habis rosak gayanya.

Itulah halangan. Kita jalan lagi terusnya. Dengan gaya rambut malapetaka.

Kejap-kejap kita jalan lagi, kasut kita terpijak lumpur. Itu juga salah satunya halangan. Kita jalan lagi dengan kasut berlumpur.

Kejap-kejap kita jalan lagi, baju tercarik terkena benda tajam. Habis terburai menampakkan bahagian badan. Atau aurat. Kita berhenti untuk mengenal pasti apakah halangan yg mencarikkan baju kita tadi. Kita jerit, kita marah, kita menangis dek baju yang tercarik robek. Betul-betul marah kenapa dicarikkan!

Kita perlu jalan lagi. Kalau baju itu tercarik kecil, kita pasangkan lagi ke badan. Kalau cariknya besar, kita tanggalkan saja. Walau tak berbaju, kita  harus berjalan.

Kejap-kejap kita jalan lagi, seluarnya ditarik. Putus butang di pinggang. Langsung londeh ke bumi. Baju tadi sudah dibuang maka separa bogel meninggalkan seluar yang londeh habis.

Mahu pulang ke belakang sekarang? Ingat, tiada hukum pukul tujuh jadi enam selepasnya. Tiada.

Tidak ada jalan lain, samada pegang seluar itu atau tanggalkan sahaja.

Begitulah lengkapnya pakaian ditarik, dicarik, disentap oleh ekhidupan. Satu-persatu dirosakkan, diambil.

Kita perlu terus ke hadapan, walau tiada baju, walau tiada seluar. Jikalau harus berbogel untuk sampai ke hujung, akan aku lakukan.

Kerana dihujung itu mati.

Di hujung itu Pencipta yang menunggu kita.

Dan siapa yang sedar, rupanya yang menarik, mencarik lengkapnya pakaian tadi, adalah Tuhan. Iaitu dugaanNya.

Baju dan seluar tadi cumalah modeniti, duniawi status latar zaman yang langsung tidak bernilai, kerana yang akhirNya ialah kita (yang berbogel sendirian) dan amalan kepadaNya.

Inilah perjalanan hidup berdugaan, penuh kesakitan, sebelum menuju Tuhan.




Tajuk: Bogel Menuju Tuhan
Penulis: Zahiril Adzim
Penerbit: Orange Dove Sdn Bhd
Harga: Sem. Malaysia RM30.00
Bilangan muka surat: 87
Sumber: MPH Skudai

Nota:
1.   Ini adalah himpunan sajak dan catatan Zahiril Adzim, pelakon popular Juvana
2. Abaikan tajuknya. ambil isinya.



18 September 2011

La Ikro Ha Fiddin



Siri drama ini saya baru dapatkan daripada abang saya. Rupa-rupanya ia sudah pun lama ditayangkan di salah satu siaran di Astro. Menarik untuk ditonton bukan sahaja kerana pelakonnya Sharifah Amani memakai tudung labuh, tapi kerana nilai dan moralnya sarat menegur segelintir masyarakat Islam yang benci kepada mereka yang berlainan agama tanpa sebab.

  Dr Edward seorang doktor di sebuah perkampungan masyarakat melayu berkhidmat di klinik desa di situ. Kampong ini didiami oleh pelbagai agama dan bangsa. Ada Imam Toha dan anaknya Norlia, Sister Maria seorang biarawati di gereja, Madam Wong penghidap sakit buah pinggang dan ada Dorai si buta yang berbangsa India. Semuanya hidup saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, dalam kemajmukan itu ada juga Samiri yang berwatak antagonis yang bertindak menghasut orang kampong untuk membenci Dr Edward.

Norlia memiliki ijazaha Sarjana muda lulusan Al-Azhar. Berkhidmat sepenuhnya di kampong untuk mengajar mengaji dan kelas-kelas agama. Dr Edward meminati Norlia kerana agamanya. Dr Edward sememangnya sedang mencari-cari kehidupan beragama. Mencari siapa Tuhan dan ketenangan.   

Ini bukan kisah cinta kosong. Tapi sarat dengan pengajaran. Berlemah-lembutlah dengan kafir zimmi supaya moga-moga hidayahAllah menjadi milik mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...