• RSS

29 August 2013

Syawal. Perlu ke sedih?


Syawal biasanya disambut dengan mood sedih. Iklan-iklan di tv selalunya menceritakan anak-anak tak balik raya, anak perantauan raya bersendirian, dan lain-lain. Ditambah pula lagu-lagu raya bernada melankolik yang mampu membuatkan manusia menangis mendengarnya.

Sungguh pun sedih, manusia masih mampu terlompat-lompat merayakan syawal yang Allah telah anugerahkan. Buktinya, lagu anugerah syawal di media prima.

Dua emosi jelas bertentangan. Manusia mampu sedih dan gembira dalam syawal. Apa yang membezakan kedua emosi itu ialah nilai. Sejauh mana manusia menjadikan kedua-duanya bernilai dalam hidup. Sedih dan gembira yang bukan kerana hasil tarbiyah media. Tapi hasil tarbiyah ramadhan. Semoga Allah redha!

Raya 1993

Raya 1998

Raya 2001

Raya 2008

Raya 2009

Raya 2010

Raya 2011. abang andak tunang. 

2012 tak sempat nak ambil gambar sama-sama. sibuk buat persiapan walimah abang

Raya 2013. abang andak tak terer tangkap gambo.



19 July 2013

Doa

Doa itu suatu permintaan daripada hamba kepada Tuhan. Sebuah komunikasi ghaib yang hanya boleh dibenarkan dengan iman. Meminta agar dipenuhi segala kemahuan, dihilangkan segala kekusutan, diberi petunjuk segala keraguan, diberi jawapan segala persoalan, ditabahkan segala ujian.

Hamba meminta dan terus meminta. Disulami dengan esak tangisan. Di sebalik tangis itu hamba mencari kekuatan. Kekuatan untuk terus berdoa dan menanti jawapan dari Tuhan.

Ar-Rahman itu tidak pernah tidur. Tidak pernah jauh. Malah sentiasa dekat dengan hambaNya. Lebih dekat daripada urat nafas. Dia suka mendengar rintihan hamba. Sentiasa sayang akan hamba. Doa yang dipinta, hajat yang dipohon sentiasa dimakbulkan. Kemahuan hamba diganti dengan keperluan. Kekusutan diganti dengan ketenangan. Keraguan diganti dengan keyakinan. Persoalan diberi jalan. Dan ujian diberi kesabaran.


Meminta pada Tuhan memang tiada ruginya. Meminta pada makhluk mungkin bisa mengundang kecewa. 

18 July 2013

I'm home!


Allahumasolli’ala Muhammad wa barik wasalam ‘alaih..

Alhamdulillah wa syukru lillah.. Berada di rumah adalah perasaan yang sangat ‘heaven’ buat semua mahasiswa. Apatah lagi jika dia seorang mahasiswa yang jarang balik kampong dan sudah tamat pengajian. Diam tak diam, sudah sebulan saya duduk di rumah secara tetap. Sekejap saja masa berlalu.

Orang selalu tanya saya, cuti ni buat apa je? Saya katakan pada mereka, “ duk berzikir je lah”. Kelihatan poyo tapi itu perkataan yang lebih baik daripada menganggur. Terkesan juga sebenarnya melihat rakan-rakan sekuliah saya yang terus mencari kerja sebagai guru ganti di sekolah. Sudah pastinya, lumayan dan mampu bermewah syawal nanti. Tak semua rakan saya yang menjadi guru ini. Hanya dua orang. Dan mereka ni, bakal mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Makanya, memang patut pun mencari duit itu adalah lebih awla bagi mereka.

Bukanlah bermaksud saya tidak mahu menjadi guru ganti kerana malas, bukan jua kerana tidak ada peluang. Tapi, saya rasa saya nak berehat. Serabut tesis dulu pun, belum hilang lagi. Emak tidak memaksa saya berkerja. Tidak pula menyuruh. Semuanya terpulang kepada saya. Makanya, saya lebih selesa menjadi suri rumah buat masa sekarang. Berkhidmat untuk mak, cuba untuk meringankan beban selagi termampu. Insya Allah..


Ramadhan kali ini, azamnya luar biasa. Azam ramadhan versi dapur saya, “katakan TIDAK pada bazaar ramadhan”. Kami berusaha untuk memasak sendiri semua makanan.  Dan emak juga menyokong penuh azam ini. Alhamdulillah setakat ni, belum sekali pun menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan dan moga ia kekal hingga ke akhirnya. Azam ini adalah berkaitan mendidik nafsu. Didik nafsu supaya merasa cukup dengan rezeki yang sudah ada. Banyak kelebihan yang saya dan mak dapati dari azam ini. Antaranya ialah jimat. Saya bagi contoh. Dengan wang RM2 kita hanya boleh mendapat paling banyak, 6 biji karipap. Sedangkan harga sepaket tepung cap sauh adalah RM2.40 dan setengah paket tepung boleh menghasilkan kira-kira 20biji karipap. Dengan azam ini juga, maka peluang terbaik saya untuk mengasah skill memasak termasuklah kuih-muih. Hidangan keluarga saya biasa-biasa saja. Masakan kampung, orang jawa, tradisional, dan yang penting berkhasiat. Maka, tiadalah chicken chop, spageti, pavlova, dan lain-lain itu. 

Malamnya pula, kebiasaannya berterawih di Masjid kampung. 20 rakaat, surah lazim. Dua orang Imam, bergilir setiap malam. Tiada perubahan. tiada transformasi. semenjak saya berumur 7/8 tahun hinggalah menjangkau 23 tahun. semuanya sama saja. Tiada langsung usaha untuk Ihya' ramadhan di masjid ini. Tiada iftar jamaie. Tiada moreh. tiada tazkirah. semuanya seolah-olah acara ritual yang diadakan saban tahun. Sepatutnya JAIJ buatlah sesuatu. Pantau masjid-masjid di kampung dan berikan peruntukan untuk menjemput Imam tahfiz atau mana-mana ustaz yang boleh memberikan pengisian rohani kepada jemaah masjid. Tidak perlulah sentuh isu-isu besar seperti Mesir, syria dan sebagainya. Sekurang-kurangnya makcik-makcik ini faham merapatkan saf itu satu kesempurnaan solat berjemaah! Itu belum lagi Imam yang solat seperti berlari 100meter ketika solat terawih. Laju sungguh! solat seperti nak cepat habis. Nak kejar apa, saya pun tak tahu. Malu saya berimamkan orang UMNO seperti ini. 

 Allah.. saya rindu dengan suasana terawih di UTM. Bacaan Imam Hafiz yang meniru gaya bacaan Syeikh  Rashid Mishary itu mampu menitiskan air mata jika dihayati..

Cuti kali ini juga, saya belajar memandu. Ambil lesen secara sah. 

Seperkara lagi..

Mohon doakan saya diberikan jawapan atas segala kebuntuan. Tiba masanya Allah menguji. Dan ketika itulah kita sedar betapa lemahnya kita sebagai hamba untuk membuat keputusan. Dan, kita ini sebenarnya terlalu hina dan tiada daya untuk menentukan nasib sendiri walau dalam kadar sekelip mata. 

Lahawlawala quwwata illa billah..

Ramadhan Al-Mubarak. Celakalah orang yang tidak diampunkan dosanya ketika tamat Ramadhan nanti. Nauzubillah.

Oh ya. Hadith mengenai ramadhan itu diawalnya rahmat, ditengahnya pengampunan dan diakhirnya pembebasan itu bersifat dhaif. Sila rujuk artikel Dr Zaharuddin Abdul Rahman. Rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada dosa itu tidak berfasa. Allah berikan semuanya pakej dalam bulan ini.

Wallahualam. 

24 June 2013

Pergi

Allahumma solli'ala Muhammad wabarik wasallim..

Kita merancang, Allah merancang. Namun perancangan Allah Ta'ala itu tersangat hebat. Selesai urusan menghantar tesis untuk dijilid, segera saya menguruskan perjalanan ke sebuah program.

"akak gerak dengan saya malam ni lepas maghrib" mesej seorang sahabat yang menganggap dirinya adik.

Lega. Kebetulan, kiranya perjalanan ini tidak menyusahkan.

Sedang mengemas barang-barang petang itu, saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang ingin datang untuk meminta saya menjadi orang tengah dalam konflik percintaan tiga segi mereka.

Allahurobbi.

Hasrat hati ingin menolak. Memandangkan diri ini yang tiada apa pengalaman dan juga tidak layak untuk memberi nasihat. Tapi apabila ia adalah sebuah pertolongan maka saya cuba menerima dan memberi sekadar mampu. Mungkin Allah datangkan ini untuk saya mengambil ibrah daripadanya.

"Ok. Datang dalam pukul 6 petang ni ya." saya menghantar mesej kepada sahabat ini.

6.30 dia sampai. Lewat. Saya mempersilakan dia duduk. Saya beristighfar di dalam hati. Mencari kekuatan daripada Allah. Cuba untuk bersifat neutral. Tidak mahu menyebelahi sesiapa. Saya minta dia ceritakan hal yang sebenar dan semuanya berlaku pantas dan ringkas. Di akhir perbualan, saya memintanya teruskan istikharah dan letakkan pergantungan sebenar-benarnya kepada Allah yang menentukan jodoh manusia. Kalau kita benar-benar percaya dengan kuasa Allah, maka tiada apa yang perlu kita risaukan seandainya lelaki itu bukan milik dia. Saya tidak mahu sahabat saya ini, mencintai lelaki itu melebihi cinta kepada Allah. Itu jelas. Kelihatan dia senyum dan berkata "Insya Allah". Harap dia faham.

Usai maghrib, adik itu sampai. Dalam kereta, dia sudah mengadu macam-macam. Saya hanya beristighfar.

Sampai sahaja ke tempat program, saya terus masuk meeting satu unit. Kelihatan ada mata yang terkejut seperti tidak mengalukan. Ada juga yang senyum sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan. Dan ada juga yang tersenyum meleret tanda lega senior dah datang. Memang itu saya sudah jangka kerana saya memang sengaja merahsiakan hasrat untuk datang ke program itu. Saya ikuti perbincangan tersebut dan agak terkejut dengan pembawakan yang dibincangkan. Saya cuba membantah dengan memberikan hujah rasional. Nampak seperti diterima. Tapi kemudiannya saya keliru kerana apabila perlaksanaannya tidak selari dengan hasil perbincangan.

Sepanjang berada dalam program, saya cuba memberi yang terbaik. Memberi nasihat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman 4tahun berada dalam sepak terajang program seperti itu. Tapi, tidak pastilah sejauh mana ianya mahu diterimapakai oleh generasi baru ini.

Kerisauan terus melanda diri. Bimbang tahap keseriusan generasi baru ini untuk belajar. Adakah mereka ini generasi idealis sehingga tidak mahu mengintai ibrah silam. Sepanjang program, terus bimbang.

Sehinggalah malam itu.

Berlaku satu kemalangan yang tidak dijangka. Semua ajk terkedu. Saya sudah mahu menjerit tapi cuba mengawal diri. Bengang kerana masing-masing lambat bertindak. Dan akhirnya mereka ke klinik. mendapatkan rawatan.

Tiba-tiba seorang adik menangis teresak-esak. Dia trauma dengan kejadian itu. Tiba-tiba lemah semangatnya. Tangannya sejuk tanda dia takut. Dia tidak habis-habis menyalahkan diri dan tidak mustahil akan meninggalkan gerak kerja lepas ini. Allah.. Dengan kekuatan yang ada, saya cuba tenangkannya. Menyabarkan dirinya sedangkan saya sendiri risau dengan nasib sahabat yang sedang dalam perjalanan dirawat itu.

Saya menaip mesej untuk bertanya situasinya kepada seorang sahabat yang menghantarnya, tapi saya batalkan bimbang dia sendiri sibuk menguruskan dan masa ketika itu sudah lewat malam benar.    

Dan alhamdulillah, sahabat itu ok.

Allahuakbar. Entah apalah yang saya cuba sampaikan sebenarnya dalam entri ini. Bercampur baur. Seminggu terakhir sebelum meninggalkan UTM ini, ia dihiasi dengan peristiwa-peristiwa ibrah. Program yang tak berapa menjadi mungkin kerana dosa yang ada pada diri. Pandangan yang tidak dirai mungkin kerana diri yang tidak thiqah dan tidak layak untuk memberi. Dan kisah cinta tiga segi sahabat itu, seolah-olah memberi amaran kepada saya supaya jangan lagi menceburkan diri. Cukuplah hanya sekali.

Atas semua yang telah terjadi, saya melangkah dengan perasaan yang bercampur baur begini. Menangis keharuan. Sungguh pun selepas ini mungkin akan datang kembali, tapi medannya sudah berbeza.

Selamat tinggal universiti tarbiyah.
Terima kasih atas ukhuwah,
Allahumma bariklana fi hazihil jama'ah.
Uhibbukum fillah..

18 June 2013

PakSoM 3

Assalamualaikum wbt. Allahumma solli 'ala Muhammad wa barik wa salim 'alaih

Seingat saya, kali terakhir saya menulis mengenai PakSom ialah bulan march lalu. Ya. Ketika bengang dengan orang KPM tu.. 21 march saya hantar permohonan ke eprd. 20 April surat tiba di rumah. Tarikh dalam surat 9 April. Lamanya la posmen hantar surat. Maka dapat sahaja surat dari KPM maka surat itu dibawa pula ke JPN untuk JPN pula keluarkan surat untuk kebenaran ke sekolah. Dan mujur JPN berjaya menyiapkan surat dalam tempoh sehari. Alhamdulillah. Tamatlah sudah proses melayan birokrasi pihak kementerian. Demi sehelai surat dan harga segulung ijazah maka keluhan yang dilepaskan, dihirup semula.

Maka, berlakulah siri-siri berziarah ke sekolah. Terima kasih kepada JaNAh dan NaeBaK yang sudi menyusahkan diri. Sedih betul bila terpaksa menyusahkan sahabat untuk kepentingan diri ni. Allah.. Semoga Allah mempermudahkan urusan kalian juga.

Standard prosedur pergi sekolah, jumpa Pak Guard, beritahu nak jumpa Guru Besar atau GPK. Kemudian, masuk pejabat, jumpa kerani dan minta izin nak jumpa Guru Besar dan nyatakan tujuan kedatangan. Kemudian, guru LINUS pun muncul dan menjawab soalan kaji selidik. Ada yang mudah. Ada yang sukar. Ada yang hilangkan soal selidik. Dan ada yang jawab acuh tak acuh. Ada yang terlalu bersungguh jawab hingga menyukarkan saya untuk menganalisa kemudiannya. Apa-apa pun, terima kasih kerana telah menunjukkan sikap guru yang sebenar ketika menjawab soalan tersebut. Berminggu jugalah bermandi hujan dan meredah terik mentari, menebalkan muka ke sekolah-sekolah.

Ada dua kisah di sekolah yang agak menarik.

Kisah 1
Dua hari sebelum PRU13
Melangkah masuk ke pejabat, Guru besar perempuan sudah ada di hadapan pintu. Lalu memandang saya atas hingga bawah. Sambil tersenyum menyambut mesra membawa saya ke biliknya. Belum sempat saya menyatakan tujuan datang untuk kebenaran membuat kajian, dia terlebih dahulu bertanya soalan bertubi-tubi.  Duduk mana, belajar mana, kos apa, tahun berapa, Itu soalan standard. Mak ayah kerja apa, adik beradik berapa orang, berapa orang dah kahwin, anak yang ke berapa, Itu soalan pelik sikit. Dan soalan seterusnya......... Dah bertunang? dah ada boyfriend? Saya hanya menjawab dengan ketawa beberapa harkat.

"Kalau awak takde sesiapa lagi, tu hah anak lelaki saya ada. Dia tentera laut. masih bujang." Laju tuturnya sambil menunjukkan gambar anaknya yang lengkap berseragam tentera laut.

Dengan penuh bahasa beralas yang terbaik yang mampu saya fikirkan ketika itu, saya katakan padanya" owh.. Insya Allah, jodoh tu, di tangan Allah. Yelah zaman sekarang ni, susah nak tahu lelaki baik. Yang solat penuh, pandai baca Al-Quran dan paling penting boleh jadi imam. Yalah. kan syurga kita di bawah kaki suami" saya bercakap hampir satu nafas tanpa titik.

Guru besar itu terdiam sebentar. Dan segera menyegerakan urusan saya "owh.. hehe.  Kejap ya. Saya panggilkan guru LINUS yang boleh awak jumpa untuk kajian awak tu."

Phew. lega..tentera laut? Allah.. PSM pun tak setel lagi.

Kisah 2
Hari pertama pasca PRU13.
Melangkah masuk ke pintu pejabat, kelihatan guru besar sedang bercakap dengan telefon. Bukan orang lain. bekas guru sekolah rendah saya. Kini menjadi guru besar di sekolah lain. Selesai sahaja meletakkan telefon, saya berjalan mendekatinya. Belum pun sempat saya bertanya khabar dan menyatakan tujuan kehadiran, beliau terlebih dahulu bertanya,

"Amacam semalam, menang tak?"

"Menang? BN menang la.." Sambil menjawab dengan senyuman plastik.

"Haaa tulah awak. kenapa tak tolong kempen untuk BN. Ni duk pegang payung PAS buat apa.."

"Hehe.. itulah. Cikgu, saya datang ni, nak buat kajian untuk tesis. Boleh tak kalau....." belum pun sempat menghabiskan ayat, beliau memotong.

"Kita ni, selaku kakitangan kerajaan kenalah sokong kerajaan. tambah lagi awak masih belajar. bla..bla..bla.."

Dalam hati, nak je balas dengan jawapan-jawapan yang logik dan rasional. Tapi bimbang tertinggi suara dan ketika itu saya beremosi. Maka, bagi mengelakkan dicop kurang ajar dan mungkin akan menjejaskan nama baik mak saya dan keluarga, memandangkan dia kenal dengan keluarga saya, maka saya diam dan berikan senyuman yang benar-benar terpaksa.

Dan dia sudahi ucapan dengan " Err.. hari ni cikgu LINUS ramai tak ada. Awak datang hari lain je lah ye."

Ceyh. Sia-sia je.


Selesai data dikutip, maka berlakulah pula proses seterusnya iaitu memasukkan data dalam SPSS. Again. Terpaksa menyusahkan sahabat. Cik Mizah. Nak buat macam mana, beliau yang volunteer nak tolong. Maka satu malam disimpan khas untuk berSPSS. Saya tukang key-in, Mizah tukang baca. Dan sampai satu tahap, kira-kira 3 pagi. ketika Mizah sedang membacakan data, tangan saya tidak mampu menyahut dengan taipan. Dan tiba-tiba terdengar Mizah gelak sehingga mengejutkan saya.

"Dah, dah g tido. biar aku sambung" katanya..sambil gelak-gelak meriah. Lalu membaling bantal kepada saya.

Oh tidak!! saya terlelap 3 saat. Sungguh memalukan.  Keletihan sebenarnya. Siang non-stop.

Itu kisah key-in data.

Dan seterusnya, malas nak cerita. Pendek kata, saya berjaya hantar kepada supervisor saya bertarikh 24 Mei. Dua hari tak tidur malam. Satu kepuasan yang tidak tergambar. Alah baru draft pertama je pun.

Kemudian, fokus exam. Dan mula bersilat lagi untuk persediaan viva yang baru selesai tadi. Alhamdulillah. Soalan berjaya dijawab walaupun salah. Komen diterima tanda banyaknya pembetulan yang perlu dibuat. Pengalaman melihat pembentang sebelumnya, penilai memang akan tanya soalan yang kita tak boleh jawab. Dan walaupun jawapan yang saya berikan betul, mereka masih akan ragukan sehingga kita pun akan terpengaruh. Maka, sila berlakon kental. Pastikan senyum dan jangan menangis.

Selepas ini, fokus pembetulan, print dan jilid.

Mohon doanya. Esok 'dating' dengan supervisor jam 11 untuk melaporkan komen-komen yang diterima ketika viva tadi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...