• RSS

21 March 2014

Usrah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Duduk rapat-rapat dalam satu bulatan. Lutut bertemu lutut. tangan kemas memegang tafsir Al-Quran berwarna-warni.

"Assalamualaikum. Sihat semua? sebelum pergi jauh, mari kita buka majlis dengan al-Fatihah"

Dan selepas itu, naqibah memulakan bicara. Lalu disambut pula dengan hujah dan huraian ahli-ahli usrah yang lain.

Apabila sampai di ayat renungan, amaran semua berwajah muram. Gundah. Insaf.

Dan apabila sampai di bahagian suka, ceria, semua berwajah gembira, syukur.

Terasa ukhuwah apabila sama-sama berkongsi kesedihan dan meraikan kegembiraan bersama.

Saya tidak berhajat untuk menerangkan apa itu usrah, rukun usrah dan sebagainya. Cuma, apa yang saya tahu, saya tak pernah rasa diri saya yang terbaik ketika dalam usrah. Pengalaman selama menjadi naqibah dan ahli usrah penuh dengan pahit manis. Dan pada saya tiada istilah gagal atau berjaya dalam membawa usrah. Asalkan ia berjalan maka tiadalah label yang patut diletakkan kepadanya. Yang penting adalah usaha. Usaha untuk mengikat ukhuwah. Usaha untuk berdakwah. Usaha untuk mendisiplinkan diri. Usaha untuk meng'isi' diri dengan ilmu dan seribu usaha dan mujahadah yang ditutuntut dalam diri bagi mengalahkan sifat malas, takut dan mudah mengalah dalam diri.

Saya hanya orang biasa. Dan tak pernah menjadi hebat. Mad'u saya pernah lari. Mad'u saya pernah menyakitkan. Siapa yang tidak 'sakit' jika tiba-tiba dapat sms begini,

"Kak Linda, saya minta maaf. Saya tak boleh ikut usrah"

Siapa yang tak terguris hati bila mad'u melarikan diri apabila terlihat naqibahnya seperti lori sampah.

Tapi saya terima itu semua sebagai medan untuk tarbiyah diri. Ya mungkin penyampaian saya yang tak best. Atau saya sememangnya orang yang 'busuk' yang tak mampu untuk menjadi seorang daie.

Tapi, kalau kita bicara soal kemampuan, sampai mati pun hakikatnya kita rasa tak mampu.

dan bila mati nanti apa yang mahu dijawab kepada Allah jika kita ditanyakan soalan "apa yang kamu buat sebagai seorang ahli harakah islamiyah di kampus?

Allahurobbi..

Sungguhpun, saya pernah jatuh dengan usrah, tapi saya teruskan juga dengan penuh kekuatan yang saya minta dari Allah. Sungguh, Alhamdulillah. kehadiran adik-adik yang masih mahu menerima diri ini menjadi sebahagian daripada mereka sungguh menjadi suatu rahmat bagi saya.

Alhamdulillah 'ala kulli hal. :)

03 March 2014

Seringkali daie itu terlupa..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Secara fitrahnya semua orang suka kepada kebaikan. Dan definisi baik itu berbeza-beza pada setiap golongan manusia. Ada orang, pada dia memakai tudung dengan baju lengan pendek itu sudah cukup baik. Dan ada juga orang tidak pernah merasa dirinya baik hatta dia sudah memakai niqab.

Kebiasaannya, apabila seseorang itu geng-geng kopiah dan tudung labuh , maka semua orang akan nilai perbuatannya. Makanya, di zaman facebook yang sedang menggila ini, itu sahajalah medium yang dirasakan terbaik untuk menilai manusia.

[1]
Suhana baru sahaja mahu berjinak-jinak memakai tudung. Syukurnya pada Allah yang telah memberi hidayah kepadanya untuk menutup aurat. Padanya, inilah pencapaian terbaiknya sepanjang dia hidup mencecah umur tiga puluhan ini. Tapi, biasalah. Suhana ni jenis orang yang suka ambil gambar. Bukan mahu menunjuk tapi sekadar suka-suka. Dimana-mana sahaja berselfie. Macam-macam fesyen tudung digayakan. Maklumlah dia mampu untuk itu. Sikit pun dia tidak rasa keburukan pada hobinya itu kerana apa yang dia faham, apa salahnya ambil gambar dan post di instagram dan  fb. Bukankan gambar itu aku menutup aurat?

[2]
Sofia sudah lama istiqamah dengan pakaian lengkap menutup auratnya. Alhamdulillah syukurnya pada Allah tidak terhingga kerana lahir dalam keluarga yang mementingkan soal tarbiyah Islamiyah sejak dari dalam kandungan lagi. Dia juga seorang daie. Selain aktif berpersatuan, dia juga aktif berfacebook. Medium dakwah katanya. Maka di akaunnya memang penuh dengan kata-kata hikmah. Nilai angka rakannya juga meningkat ribuan. hampir setiap hari ada sahaja rakan baru. Entah kenal atau pun tidak asalkan ada mutual friend seorang pun dia approve. Mad'u katanya. Hampir setiap hari, ada sahaja peringatan yang dikongsikan di statusnya. Bagus. Dan ada juga peringatan yang bunyinya agak sinis dan menyindir. Padanya, pandai-pandailah mahu terasa. Semoga insaflah siapa yang membacanya.

Status itu berbunyi begini, "Ada orang dia rasa dirinya dah cukup baik pakai tudung. tapi dia lupa pada satu sifta malu. Ya. sifat malu yang menjadi perisai seorang wanita solehah itu. Kepada semua perempuan yang suka berselfie tu, silalah bertaubat. Tak payah nak tunjuk sangat lah kecomelan muka tu. Nanti kat kubur dimakan ulat juga"

Suhana salah seorang rakan Sofia. Bukan rakan baik tapi pernah baik. Dia terasa hati sungguh. Segera dia unfriend Sofia. Dan membalas 'bom' di statusnya.

"Eh. Aku punya fb, aku punya sukalah. Aku tak susahkan kau pun. Aku nak post gambar aku, sebab aku bangga aku mampu pakai tudung. Siapa kau untuk control aku?"

 Suhana tidak membacanya. Dan sampai bila-bila pun dia tidak tahu Sofia terasa hati dengannya.

Maka hiduplah Sofia dengan penuh kebencian dan dendam. Tenggelam dengan suatu pandangan skeptik terhadap mereka geng-geng Islamik yang suka menghukum dan melabel.

Dan begitu juga hidup Suhana. Berasa bangga dan berjaya mengaku metode dakwahnya berjalan sempurna.

Padahal, hakikatnya sebaliknya.

Seringkali daie itu terlupa. Bahawa marhalah dakwah itu ada tiga iaitu taarif, takwin dan tanfiz. Daie juga terlupa lagi, bahawa kebaikan yang dinyatakan pada situasi dan keadaan yang salah, tidak mampu menjadi penawar malah mungkin bisa menjadi racun. Lagi-lagi daie itu terlupa pada santunnya sifat Rasulullah dalam menasihati para sahabat yang berbagai watak dan kefahamannya dalam ISlam.

Jika tidak, masakan jawapan Rasulullah tatkala apabila didatangi sahabat yang bertanya mana satukah amalan yang paling baik, jawapannya berbeza-beza. Ada sahabat pertama, Nabi jawab, Beriman kepada Allah dan RasulNya, berjihad di jalan Allah dan menunaikan ibadat haji yang mabrur. Manakala apabila Ibnu Mas'ud pula yang bertanya apakah amalan yang terbaik, Nabi saw pula menjawab solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah.

Mengapa jawapan kepada Ibnu Mas'ud berbeza dan sedikit high level?

 Kerana beliau merupakan sahabat Nabi yang terawal memeluk Islam.

Nah. marilah kita mengaplikasikan dakwah gaya Nabi.

Wallahu'alam. Mohon tegur salah silap.

12 December 2013

Eskapisme

Kes 1

"Keleting!"

Dering mesej di whatsapp.

"Tahniah! anda telah terpilih untuk menjadi ajk makanan untuk Kem Bina Fikrah hujung minggu akan datang. Sila reply Ya untuk setuju dan Innalillah untuk tidak."

Hati berbelah bagi untuk membuat keputusan. Untuk terima, dia sudah berjanji dengan keluarganya untuk pulang menonton "Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang" di pawagam hujung minggu itu. Untuk menjawab tidak, dia rasa bersalah yang amat. Akhirnya, dia ambil keputusan untuk tidak membalas memberikan apa-apa jawapan. Mesej dipadam.

Kes 2

Mim: "Korang dah siap assignment yang kena hantar esok?"

Lam: "Belum"

Jim: "Adeyh.. jangan tanya. Aku tengah stress ni.". Jim jawab sambil tangannya mengambil bantal menekup muka.

Nun: "Aku pun tengah pulun siapkan ni. Kalau siap malam ni, aku hantar. Kalau aku tak siap, aku drop subjek ni."

Mim: "Ermm.. macam mana ni? Haaa apa kata, aku mesej Dr, minta dia postpone deadline."

Lam, Jim, & Nun: "yearghh!!"

Kes 3

"Sayang, teman I masuk dalam kedai kasut hujung tu boleh?"

"You ni, berapa banyak kedai You nak masuk? Tadi kedai baju dekat sejam 55 minit You try 28 pasang baju. You ingat I ni apa?"

"Alah, You ni, kedekut la! Kalau tak ada duit, cakap je la takde duit. tak payah nak kutuk-kutuk I macam tu!"

"Ok fine! Lepas ni, You tak payah cari I lagi!"

Lelaki itu mengambil keputusan drastik dengan terjun ke bawah dari tempat dia berdiri dari aras 18. Mati serta merta. Si perempuan tak sempat menangis, dia pengsan.

********************

Baiklah. Kisah-kisah di atas bukan kisah dongeng. Tak caya?

Kes 1, cuba toleh kanan kiri, jenguk depan belakang. Anda kenal sesiapa yang berperangai macam ni?

krik..krik..krik..

Kes 2, (sambil telan air liur terasa pasir) itulah kisah kami budak master. Huuuuuu serius buruk perangai! Tapi, yang nak drop subjek tu bukan sayalah. Saya yang tukang pujuk-pujuk lecturer tu.. Hehe. Ya saya tahu. memang tak patut pun buat macam tu...

Entahlah. Sebenarnya, tak ada niat pun nak buat kerja saat akhir, bodek-bodek pensyarah, ni semua. Dan kami dah pun buat audit kenapa masalah-masalah buat tugasan di saat akhir ni selalu jadi. Ada yang kata, sebab tak cukup masa, ada yang kata, dia banyak komitmen, ada yang kata, dia tak boleh buat tugasan awal-awal. Tiada tekanan. tak best. Cis!

Apa-apa pun, sebab utama ialah, kami masih belum dapat adapt dengan bi'ah master yang memerlukan komitmen yang lebih untuk mentelaah assignment yang tak senang, yang perlukan banyak bahan bacaan dan kajian.

 Allahurobbi..

Kes 3, hasil imaginasi kisah di sini http://tengoktvonline.blogspot.com/2013/12/maut-terjun-bangunan-shopping-kompleks.html 

********************

Apa itu eskapisme? Satu ajaran atau fahaman untuk cubaan melarikan diri dari sesuatu perkara. Cuba kita tengok semula diri kita, dah berapa kali kita buat keputusan kurang bijak untuk lari daripada masalah. Kalau tak ada, baguslah. Kalau ada, anda kena istighfarlah..

Setiap tugasan, perkara dan masalah perlu dihadapi dengan tenang dan diselesaikan. Bukan lari.

Kalau kita lari dari masalah, boleh selesaikan masalah ke?

Kalau tak sanggup pegang taklifan, beritahu awal-awal. Walau berat untuk memberi jawapan, jangan sampai menyusahkan sahabat-sahabat jundullah yang lain.

Assignment, banyak atau sikit, kena cuba buat juga. Salah atau betul belakang cerita. Bukan duduk depan laptop sambil buat muka cicak tertelan lekor chip lepas tu tidur. Dan kemudian,Ting! keajaiban berlaku, malaikat tolong buat assignment. Banyak chantekkk!!

Dan mungkin ramai orang cakap, banyak sangat masalah, baik mati saja. Seriously baik? Best ke mati? Bajet banyak pahala letttew..

Muhasabahlah diri. Kita ni mengaku bawa Islam. Tapi tengok perangai kita, sudahkah betul-betul Islam?

Astaghfirullahalazim..

“tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

(Al-Anbiya’: 35)

Imam Ibnu Katsir Rahimahullah berkata:

"Makna ayat ini, Kami menguji kamu (wahai manusia) terkadang dengan bencana dan terkadang dengan kesenangan agar Kami melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang ingkar serta siapa yang bersabar dan siapa yang putus asa."

Wallahualam. 

01 December 2013

masih ada yang sayang

Saya ada baca satu jurnal. Dalam jurnal itu didapati sekitar tahun 2006-2009, 234,647 orang bayi luar nikah dilahirkan di seluruh Malaysia. Maknanya, dalam sehari 83 orang bayi luar nikah dilahirkan.

Luar nikah, maknanya anak hasil rogol dan zina.

Justeru, jika soalan mengenai penyelesaian tentang masalah ini dilontarkan di facebook, maka jawapan yang akan keluar antaranya ialah seperti ini.

"Selagi hudud tak tertegak di muka bumi ini, maka kes-kes seperti ini akan terus berleluasa." kata seorang ahli politik parti Islam.

"Kita kat sini duk gaduh isu pilihanraya kampus. Mad'u kita kat luar tu, hanyut dengan maksiat ada siapa nak ambil kisah?" kata seorang naqib.

"Kita sepatutnya wujudkan sekolah khas untuk ibu-ibu muda yang sudah mengandung ni. Supaya mereka masih berada di bawah perlindungan. Atau mungkin juga kita boleh buat edaran kondom percuma kepada remaja lelaki di sekolah menengah." Kata seorang ahli politik parti XXY.

*****

Dan apabila ditanya soalan "siapakah yang memainkan peranan penting dalam hal ini?"

jawabnya..

"Mak bapak sangat penting. Diorang la yang kena ajar ilmu agama pada anak-anak supaya tak ada lah masalah-masalah macam ni berlaku"

"Ini semua salah cikgu. Cikgu tak ajar betul-betul anak murid. mana taknya, datang sekolah sibuk berniaga tudung Fareeda"

"Ini semua salah kerajaan. Sape suruh tak jalankan hukum hudud. Kan dah jadi macam-macam bencana"

"Sebenarnya, ini semua salah kita. Kita duk fikir masalah pembawakan jemaah tak habis-habis. Sedangkan, mad'u kita sudah benar-benar tenat di luar sana akhi."

*****

sementara mereka saling berbalah mengaku cara masing-masing yang terbaik, peratus kelahiran bayi tidak sah taraf, semakin meningkat dan terus meningkat.

Maka dicelah-celah hiruk pikuk perbalahan itu, muncullah beberapa insan mulia bermurah hati menghulurkan bantuan kepada gadis muda yang sudah terlanjur. Memberi mereka selimut agama untuk mereka berlindung. Membalut putus asa mereka dengan harapan. Keyakinan yang tinggi agar mereka tidak terus menjerumuskan diri ke lembah penghinaan.

*****

Itu kisah bayi comel di Baitus Solehah

Di Raudatul Maryam, lain pula ceritanya.

19 orang anak-anak masih bersekolah dikumpulkan dalam satu rumah. Diberi peluang untuk menikmati kesenangan dan kesukaran bersama-sama.

Mereka dihantar oleh ibu bapa mereka kerana sebab yang pelbagai. Ada yang kesempitan hidup tidak mampu memberi kebahagiaan buat anak mereka, ada yang kerana bercerai dan mahukan perlindungan buat anaknya dan macam-macam lagi. Tujuan ibu bapa ini hanya satu. Mahukan yang terbaik untuk anak-anak.

******

Kata kuncinya, masalah sosial. Kurang ilmu agama.

Kita ada dua cara iaitu mencegah atau merawat. Jika benar ingin mencegah, perlu cegah dari akar umbi. Jika benar ingin merawat, siapa yang perlu didahulukan untuk dirawat?

Allahuarobbi..

Kadang-kadang, kita terlalu lantang bersuara. Mencadangkan itu dan ini. Menuduh pihak itu dan ini sebagai punca segalanya.

Tapi...

Pernah tak kita terfikir, jika ada seorang gadis yang sedang sarat mengandung datang kepada kita meminta bantuan. Apakah yang akan kita lakukan ketika itu? mahu beri usrah kepada dia? mahu marah lelaki yang merosakkannya? mahu apa?

Jika didatangkan dengan sebeban masalah di hadapan mata, belum tentu kita mampu selesaikan.

Manusia seringkali membuat kesilapan. Bezanya cuma kecil atau besar. Mereka tidak langsung layak menerima cercaan dan hinaan. Kerana sekiranya taubat mereka sehari-hari itu didengari Allah, ternyata mereka lebih suci daripada kita yang sibuk menghukum manusia di sana-sini.

Beruntungnya insan-insan yang menghidupkan Baitus Solehah dan Raudahtul Maryam. Besar saham akhiratnya. Memberi pengharapan kepada yang benar-benar memerlukan. Semoga Allah sentiasa pelihara insan-insan ini.

Harapan selalu ada. Walaupun masyarakat tidak memandang, tapi di sini, MASIH ADA YANG SAYANG..

Bila kita rasa lelah dengan ujian, sesekali lihatlah kepada mereka yang diberi ujian yang lagi berat daripada kita. Semoga boleh meningkatkan rasa syukur kepada Allah.


Ammar dan Zafran anak-anak Baitus Solehah

Warga Raudatul Maryam

Memey menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 6. Warga Raudatul Maryam

Nota:
1. Baitus Solehah merupakan rumah penjagaan gadis-gadis yang mengandung muda. Sesiapa ingin menyumbang bolehlah hubungi Pengasasnya iaitu Umi Mona
2. Raudahtul maryam merupakan rumah penjagaan anak-anak yatim/ kurang berkemampuan/ masalah keluarga. Selang dua rumah dengan Baitus Solehah. 






26 November 2013

Seorang suami dan seekor harimau

Di suatu zaman, tinggallah sepasang suami isteri di sebuah kampung.Si suami kerjanya mencari kayu api di hutan. Maka setiap hari, dia akan ke hutan untuk mencari kayu api. Manakala si isteri pula suri rumah sepenuh masa.

Suatu hari, ketika si suami ke hutan mencari kayu api seperti biasa, isterinya di rumah didatangi oleh seorang lelaki.

"Tuk, tuk, tuk!" bunyi ketukan pintu.

"Siapa?"tanya si isteri dari dalam rumah.

"Saya si polan bin si polan. Saudara suami kamu" jawab lelaki itu.

"Owh. Suami saya itu sedang mencari kayu api di hutan. Entah hidup entah kan tidak, pergi mampus la dia" kata si isteri dengan marah sekali.

lelaki itu sangat terkejut. Tegar benar seorang isteri mengeluarkan kata-kata kesat pada suaminya di hadapan seorang saudaranya.

Sementara menunggu kepulangan si suami, si isteri tersebut terus menerus menceritakan keaiban si suami dan mengutuk suaminya.

Lelaki itu hanya diam.

Tidak lama kemudian, pulanglah si suami ke rumah. Pulangnya dia bukan seorang diri. Tapi dia dibantu oleh seekor harimau yang membawa seberkas kayu api di belakangnya. Sampai di muka pintu, si suami mengambil kayu di belakang harimau dan berkata pada harimau tersebut "Barokallahufik!" kemudian berlarilah harimau tersebut kembali ke hutan.

Saudara lelaki itu sangat terkejut. Hatinya kagum dengan kehebatan saudaranya ini yang mampu menjinakkan harimau yang liar membantunya. tapi dia hanya diam tidak berani bertanya. Dia meminta izin untuk bermalam di rumah saudaranya.

Ketika menjamu selera, dia melihat, isteri saudaranya tidak berhenti-henti memarahi, mengutuk suaminya. Tapi saudaranya itu hanya diam dan bersabar.

Siang menjelma, lelaki itu meminta izin pulang.

***********************************************************************

Setahun kemudian, lelaki itu datang kembali menziarahi saudaranya.

"Tuk, tuk, tuk!" bunyi ketukan pintu.

"Siapa?"tanya si isteri dari dalam rumah.

"Saya si polan bin si polan. Saudara suami kamu" jawab lelaki itu.

"Owh. Suami saya itu sedang mencari kayu api di hutan. Tunggulah sebentar."jawab si isteri dengan sopan.

Sementara menunggu kepulangan suaminya, dia tidak henti-henti menceritakan kebaikan suaminya kepada saudaranya itu.

Lelaki itu hanya diam.

Tidak lama kemudian, pulanglah si suami ke rumah. Kali ini dia seorang diri. Seberkas kayu api dipikulnya sendiri di belakangnya. Tiada lagi harimau yang membantu.

Ketika menjamu selera, dia melihat, isteri saudaranya tidak berhenti-henti memuji kebaikan suaminya.

Siang menjelma, lelaki itu meminta izin pulang.Tapi sebelum dia melangkah, sempat dia bertanya.

"Apa telah terjadi kepada harimau yang membantumu dahulu? ke mana isterimu yang dahulu?"

"Saudaraku, Allah telah menjinakkan seekor harimau kerana berkat kesabaran aku terhadap isteriku yang menyakitkan hatiku. Dan apabila Allah telah menganugerahkan aku seorang isteri yang solehah, maka Allah ambil kembali harimau yang membantuku"

Bersabarlah wahai si suami. Kerana isteri itu hakikatnya kurang akalnya. Dan banyak nafsunya.

Tatkala kita bersabar, nescaya pertolongan Allah akan tiba. Allah Maha Pengasih memberi kita ujian dan nikmat bersilih ganti. apabila ditambah dengan suatu nikmat, maka Allah akan mengurangkan suatu nikmat yang lain. Sebagai tanda Dia mahu kita sentiasa berharap padaNya.

petikan hikayat kitab Muhimmah  karangan Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...