• RSS

26 June 2014

Solehah

Apa ye erti solehah? Terlalu banyak tafsir dan kaedah untuk mentafsir. Dua gaya tafsiran yang paling popular ialah dengan mengangkat dirinya atau menafikan orang lain. Tidaklah juga saya tahu yang mana satu usul tafsir yang sebenar. Maklumlah orang jahil juga saya ini. Cuma apa yang saya kongsikan di bawah ini ialah maksud solehah menurut kaca mata saya.

Pada saya, solehah itu ialah apabila muslimah...
1. Yakin, dirinya cantik dan tidak pernah membandingkan dirinya dengan orang lain kerana dia bersyukur dengan pemberian Allah yang terbaik itu.
2. Menjaga kebersihan dirinya, mewangikan dirinya sekadarnya supaya selesa untuk dipeluk dan dicium ketika bersama-sama sahabat-sahabat sejantinanya dan yang halal untuknya.
3. Sedar akan kekurangan ilmu dalam diri dan seterusnya menyahut seruan kewajipan menuntut ilmu.
4. Berasa bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa/ atok neneknya yang sudah uzur kerana tahu keperluan dirinya untuk membantu mereka ketika wudhuk dan solat.
5. Jika dia sudah tiada bapa, dia membantu ibunya mencari wang untuk menyara adik-adiknya yang masih sekolah.
6. Yang turun ke medan masyarakat, ambil tahu jiran sebelah yang mengandung anak luar nikah, jiran depan rumah yang kurung anak OKU, jiran sebelah kiri yang tak sekolah sebab tak cukup duit bayar yuran dan jiran belakang yang setahun tak dapat posting.
7. Yang tahu jaga diri walau dalam sunyi atau pun dalam ramainya manusia. (turun berdemo dan jaga ikhtilat VS duduk dalam bilik tapi berchatting  'galok' dengan lelaki bukan mahram)
8. Yang menundukkan pandangan ketika terlihat lelaki kacak dan tidak berapa kacak. Samada di jalanan ataupun di alam maya.
9. Meningkatkan kemahiran memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya ketika cuti di rumah. Bukan yang mengadap fb 24jam dengan alasan dakwah dan sanggup biar mak yang buat semua kerja tu.
10. Yang sedar kewajipan dakwah pada keluarganya penting. Sama penting dengan kepentingan dakwah di lapangan masyarakat.
11 Berusaha untuk menghindarkan diri dari menjadi fitnah, sungguhpun tujuan perbuatannya baik. (Keluar malam dengan bertemankan muhrim dan tidak pulang terlalu lewat)
12. Yang rajin buat assignment (T_T)
13. Yang tidak membiarkan emak atau ayah dahulu yang telefon menanyakan khabarnya.
14. Yang pulang menziarahi emak ayah selalu (T_T)
15. Jika mereka sudah berkahwin, yang tidak selalu berkongsi gambar-gambar atau aktiviti-aktiviti 'sweet' bersama pasangannya kerana ia sedikit sebanyak mengganggu hati-hati orang bujang (ibarat makan di hadapan orang puasa di siang hari)
16. Yang tahu pilihan pakaian yang menutup aurat kewajipan atasnya bukan buat sebab nak jaga hati muslimin.
17. Yang meminta izin bakal suaminya untuk berkerja demi membayar hutang PTPTN dan membalas jasa abang-kakak, mak-ayahnya yang telah menyaranya ketika belajar.
18.Yang tidak merasa dirinya paling solehah (sesaat merasa diri suci, maka bermulalah kejahilan dalam diri)
19. Yang penuh dengan nilai common sense.
20. Yang hormat orang tua dan mudah didekati masyarakat.

Sebelum tulis, ada terfikir banyak benda. Tapi bila dah tulis jadi sikit lah pula. Saya yang menulis maksud solehah di atas ini sedang berusaha untuk mencapai maksud tersebut. Mohon doanya..

Saya tahu, contoh ikutan wanita solehah itu sudah pastinya adalah daripada ister-isteri Rasulullah, puterinya dan para sahabiah. Namun, saya tetap juga mencari-cari contoh wanita-wanita solehah yang ada di depan mata untuk menenangkan jiwa hamba yang fitrahnya mahu mencari ini.

Saya pernah berjumpa dengan Isteri Sheikh Rohimuddin dari Indonesia. Wanita berniqab, pakainnya jubah putih biasa. Tudungnya dililit menutup dada dan pinggul. Ketika kami ingin bergambar, dibuka niqabnya tanda mahu dikenali dengan lebih rapat nanti-nanti dan diminta supaya tidak disebarkan gambar tersebut.

Saya juga pernah berjumpa dengan Isteri Ustaz Muhadir Haji Joll ketika Karnival Mahabbah IKIM di Angsana JB tempoh hari. Pakaiannya juga biasa-biasa. Sekilas pandang, kecil molek seperti Ustazah Naemah Pusat Islam UTM. Ustazah memakai baju kurung bunga-bunga biru kehijauan sedondon tudung labuhnya. Dipin kemas brooch kilat tapi tidak silau di dagunya. Kemas. Sungguhpun tidak memakai niqob di muka, tapi beliau meniqobkan akhlaknya. Berjalan-jalan sekitar booth jualan ketika suaminya sedang menyampaikan tausiyah di pentas. Namanya yang indah itu seindah juga bahasanya menyantuni kami. (kalau nak tahu namanya yang sedap itu boleh pm)

Hakikatnya, solehah itu tidak penting pada definisi. Tapi cukup sekadar memaksudkannya dengan akhlak.

wallahu'alam.

# kredit kepada sahabat yang membuatkan diri rasa nak menulis di sini semula setelah sekian lama. Uhibbukifillah :) 

21 March 2014

Usrah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Duduk rapat-rapat dalam satu bulatan. Lutut bertemu lutut. tangan kemas memegang tafsir Al-Quran berwarna-warni.

"Assalamualaikum. Sihat semua? sebelum pergi jauh, mari kita buka majlis dengan al-Fatihah"

Dan selepas itu, naqibah memulakan bicara. Lalu disambut pula dengan hujah dan huraian ahli-ahli usrah yang lain.

Apabila sampai di ayat renungan, amaran semua berwajah muram. Gundah. Insaf.

Dan apabila sampai di bahagian suka, ceria, semua berwajah gembira, syukur.

Terasa ukhuwah apabila sama-sama berkongsi kesedihan dan meraikan kegembiraan bersama.

Saya tidak berhajat untuk menerangkan apa itu usrah, rukun usrah dan sebagainya. Cuma, apa yang saya tahu, saya tak pernah rasa diri saya yang terbaik ketika dalam usrah. Pengalaman selama menjadi naqibah dan ahli usrah penuh dengan pahit manis. Dan pada saya tiada istilah gagal atau berjaya dalam membawa usrah. Asalkan ia berjalan maka tiadalah label yang patut diletakkan kepadanya. Yang penting adalah usaha. Usaha untuk mengikat ukhuwah. Usaha untuk berdakwah. Usaha untuk mendisiplinkan diri. Usaha untuk meng'isi' diri dengan ilmu dan seribu usaha dan mujahadah yang ditutuntut dalam diri bagi mengalahkan sifat malas, takut dan mudah mengalah dalam diri.

Saya hanya orang biasa. Dan tak pernah menjadi hebat. Mad'u saya pernah lari. Mad'u saya pernah menyakitkan. Siapa yang tidak 'sakit' jika tiba-tiba dapat sms begini,

"Kak Linda, saya minta maaf. Saya tak boleh ikut usrah"

Siapa yang tak terguris hati bila mad'u melarikan diri apabila terlihat naqibahnya seperti lori sampah.

Tapi saya terima itu semua sebagai medan untuk tarbiyah diri. Ya mungkin penyampaian saya yang tak best. Atau saya sememangnya orang yang 'busuk' yang tak mampu untuk menjadi seorang daie.

Tapi, kalau kita bicara soal kemampuan, sampai mati pun hakikatnya kita rasa tak mampu.

dan bila mati nanti apa yang mahu dijawab kepada Allah jika kita ditanyakan soalan "apa yang kamu buat sebagai seorang ahli harakah islamiyah di kampus?

Allahurobbi..

Sungguhpun, saya pernah jatuh dengan usrah, tapi saya teruskan juga dengan penuh kekuatan yang saya minta dari Allah. Sungguh, Alhamdulillah. kehadiran adik-adik yang masih mahu menerima diri ini menjadi sebahagian daripada mereka sungguh menjadi suatu rahmat bagi saya.

Alhamdulillah 'ala kulli hal. :)

03 March 2014

Seringkali daie itu terlupa..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw.

Secara fitrahnya semua orang suka kepada kebaikan. Dan definisi baik itu berbeza-beza pada setiap golongan manusia. Ada orang, pada dia memakai tudung dengan baju lengan pendek itu sudah cukup baik. Dan ada juga orang tidak pernah merasa dirinya baik hatta dia sudah memakai niqab.

Kebiasaannya, apabila seseorang itu geng-geng kopiah dan tudung labuh , maka semua orang akan nilai perbuatannya. Makanya, di zaman facebook yang sedang menggila ini, itu sahajalah medium yang dirasakan terbaik untuk menilai manusia.

[1]
Suhana baru sahaja mahu berjinak-jinak memakai tudung. Syukurnya pada Allah yang telah memberi hidayah kepadanya untuk menutup aurat. Padanya, inilah pencapaian terbaiknya sepanjang dia hidup mencecah umur tiga puluhan ini. Tapi, biasalah. Suhana ni jenis orang yang suka ambil gambar. Bukan mahu menunjuk tapi sekadar suka-suka. Dimana-mana sahaja berselfie. Macam-macam fesyen tudung digayakan. Maklumlah dia mampu untuk itu. Sikit pun dia tidak rasa keburukan pada hobinya itu kerana apa yang dia faham, apa salahnya ambil gambar dan post di instagram dan  fb. Bukankan gambar itu aku menutup aurat?

[2]
Sofia sudah lama istiqamah dengan pakaian lengkap menutup auratnya. Alhamdulillah syukurnya pada Allah tidak terhingga kerana lahir dalam keluarga yang mementingkan soal tarbiyah Islamiyah sejak dari dalam kandungan lagi. Dia juga seorang daie. Selain aktif berpersatuan, dia juga aktif berfacebook. Medium dakwah katanya. Maka di akaunnya memang penuh dengan kata-kata hikmah. Nilai angka rakannya juga meningkat ribuan. hampir setiap hari ada sahaja rakan baru. Entah kenal atau pun tidak asalkan ada mutual friend seorang pun dia approve. Mad'u katanya. Hampir setiap hari, ada sahaja peringatan yang dikongsikan di statusnya. Bagus. Dan ada juga peringatan yang bunyinya agak sinis dan menyindir. Padanya, pandai-pandailah mahu terasa. Semoga insaflah siapa yang membacanya.

Status itu berbunyi begini, "Ada orang dia rasa dirinya dah cukup baik pakai tudung. tapi dia lupa pada satu sifta malu. Ya. sifat malu yang menjadi perisai seorang wanita solehah itu. Kepada semua perempuan yang suka berselfie tu, silalah bertaubat. Tak payah nak tunjuk sangat lah kecomelan muka tu. Nanti kat kubur dimakan ulat juga"

Suhana salah seorang rakan Sofia. Bukan rakan baik tapi pernah baik. Dia terasa hati sungguh. Segera dia unfriend Sofia. Dan membalas 'bom' di statusnya.

"Eh. Aku punya fb, aku punya sukalah. Aku tak susahkan kau pun. Aku nak post gambar aku, sebab aku bangga aku mampu pakai tudung. Siapa kau untuk control aku?"

 Suhana tidak membacanya. Dan sampai bila-bila pun dia tidak tahu Sofia terasa hati dengannya.

Maka hiduplah Sofia dengan penuh kebencian dan dendam. Tenggelam dengan suatu pandangan skeptik terhadap mereka geng-geng Islamik yang suka menghukum dan melabel.

Dan begitu juga hidup Suhana. Berasa bangga dan berjaya mengaku metode dakwahnya berjalan sempurna.

Padahal, hakikatnya sebaliknya.

Seringkali daie itu terlupa. Bahawa marhalah dakwah itu ada tiga iaitu taarif, takwin dan tanfiz. Daie juga terlupa lagi, bahawa kebaikan yang dinyatakan pada situasi dan keadaan yang salah, tidak mampu menjadi penawar malah mungkin bisa menjadi racun. Lagi-lagi daie itu terlupa pada santunnya sifat Rasulullah dalam menasihati para sahabat yang berbagai watak dan kefahamannya dalam ISlam.

Jika tidak, masakan jawapan Rasulullah tatkala apabila didatangi sahabat yang bertanya mana satukah amalan yang paling baik, jawapannya berbeza-beza. Ada sahabat pertama, Nabi jawab, Beriman kepada Allah dan RasulNya, berjihad di jalan Allah dan menunaikan ibadat haji yang mabrur. Manakala apabila Ibnu Mas'ud pula yang bertanya apakah amalan yang terbaik, Nabi saw pula menjawab solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah.

Mengapa jawapan kepada Ibnu Mas'ud berbeza dan sedikit high level?

 Kerana beliau merupakan sahabat Nabi yang terawal memeluk Islam.

Nah. marilah kita mengaplikasikan dakwah gaya Nabi.

Wallahu'alam. Mohon tegur salah silap.

12 December 2013

Eskapisme

Kes 1

"Keleting!"

Dering mesej di whatsapp.

"Tahniah! anda telah terpilih untuk menjadi ajk makanan untuk Kem Bina Fikrah hujung minggu akan datang. Sila reply Ya untuk setuju dan Innalillah untuk tidak."

Hati berbelah bagi untuk membuat keputusan. Untuk terima, dia sudah berjanji dengan keluarganya untuk pulang menonton "Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang" di pawagam hujung minggu itu. Untuk menjawab tidak, dia rasa bersalah yang amat. Akhirnya, dia ambil keputusan untuk tidak membalas memberikan apa-apa jawapan. Mesej dipadam.

Kes 2

Mim: "Korang dah siap assignment yang kena hantar esok?"

Lam: "Belum"

Jim: "Adeyh.. jangan tanya. Aku tengah stress ni.". Jim jawab sambil tangannya mengambil bantal menekup muka.

Nun: "Aku pun tengah pulun siapkan ni. Kalau siap malam ni, aku hantar. Kalau aku tak siap, aku drop subjek ni."

Mim: "Ermm.. macam mana ni? Haaa apa kata, aku mesej Dr, minta dia postpone deadline."

Lam, Jim, & Nun: "yearghh!!"

Kes 3

"Sayang, teman I masuk dalam kedai kasut hujung tu boleh?"

"You ni, berapa banyak kedai You nak masuk? Tadi kedai baju dekat sejam 55 minit You try 28 pasang baju. You ingat I ni apa?"

"Alah, You ni, kedekut la! Kalau tak ada duit, cakap je la takde duit. tak payah nak kutuk-kutuk I macam tu!"

"Ok fine! Lepas ni, You tak payah cari I lagi!"

Lelaki itu mengambil keputusan drastik dengan terjun ke bawah dari tempat dia berdiri dari aras 18. Mati serta merta. Si perempuan tak sempat menangis, dia pengsan.

********************

Baiklah. Kisah-kisah di atas bukan kisah dongeng. Tak caya?

Kes 1, cuba toleh kanan kiri, jenguk depan belakang. Anda kenal sesiapa yang berperangai macam ni?

krik..krik..krik..

Kes 2, (sambil telan air liur terasa pasir) itulah kisah kami budak master. Huuuuuu serius buruk perangai! Tapi, yang nak drop subjek tu bukan sayalah. Saya yang tukang pujuk-pujuk lecturer tu.. Hehe. Ya saya tahu. memang tak patut pun buat macam tu...

Entahlah. Sebenarnya, tak ada niat pun nak buat kerja saat akhir, bodek-bodek pensyarah, ni semua. Dan kami dah pun buat audit kenapa masalah-masalah buat tugasan di saat akhir ni selalu jadi. Ada yang kata, sebab tak cukup masa, ada yang kata, dia banyak komitmen, ada yang kata, dia tak boleh buat tugasan awal-awal. Tiada tekanan. tak best. Cis!

Apa-apa pun, sebab utama ialah, kami masih belum dapat adapt dengan bi'ah master yang memerlukan komitmen yang lebih untuk mentelaah assignment yang tak senang, yang perlukan banyak bahan bacaan dan kajian.

 Allahurobbi..

Kes 3, hasil imaginasi kisah di sini http://tengoktvonline.blogspot.com/2013/12/maut-terjun-bangunan-shopping-kompleks.html 

********************

Apa itu eskapisme? Satu ajaran atau fahaman untuk cubaan melarikan diri dari sesuatu perkara. Cuba kita tengok semula diri kita, dah berapa kali kita buat keputusan kurang bijak untuk lari daripada masalah. Kalau tak ada, baguslah. Kalau ada, anda kena istighfarlah..

Setiap tugasan, perkara dan masalah perlu dihadapi dengan tenang dan diselesaikan. Bukan lari.

Kalau kita lari dari masalah, boleh selesaikan masalah ke?

Kalau tak sanggup pegang taklifan, beritahu awal-awal. Walau berat untuk memberi jawapan, jangan sampai menyusahkan sahabat-sahabat jundullah yang lain.

Assignment, banyak atau sikit, kena cuba buat juga. Salah atau betul belakang cerita. Bukan duduk depan laptop sambil buat muka cicak tertelan lekor chip lepas tu tidur. Dan kemudian,Ting! keajaiban berlaku, malaikat tolong buat assignment. Banyak chantekkk!!

Dan mungkin ramai orang cakap, banyak sangat masalah, baik mati saja. Seriously baik? Best ke mati? Bajet banyak pahala letttew..

Muhasabahlah diri. Kita ni mengaku bawa Islam. Tapi tengok perangai kita, sudahkah betul-betul Islam?

Astaghfirullahalazim..

“tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

(Al-Anbiya’: 35)

Imam Ibnu Katsir Rahimahullah berkata:

"Makna ayat ini, Kami menguji kamu (wahai manusia) terkadang dengan bencana dan terkadang dengan kesenangan agar Kami melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang ingkar serta siapa yang bersabar dan siapa yang putus asa."

Wallahualam. 

01 December 2013

masih ada yang sayang

Saya ada baca satu jurnal. Dalam jurnal itu didapati sekitar tahun 2006-2009, 234,647 orang bayi luar nikah dilahirkan di seluruh Malaysia. Maknanya, dalam sehari 83 orang bayi luar nikah dilahirkan.

Luar nikah, maknanya anak hasil rogol dan zina.

Justeru, jika soalan mengenai penyelesaian tentang masalah ini dilontarkan di facebook, maka jawapan yang akan keluar antaranya ialah seperti ini.

"Selagi hudud tak tertegak di muka bumi ini, maka kes-kes seperti ini akan terus berleluasa." kata seorang ahli politik parti Islam.

"Kita kat sini duk gaduh isu pilihanraya kampus. Mad'u kita kat luar tu, hanyut dengan maksiat ada siapa nak ambil kisah?" kata seorang naqib.

"Kita sepatutnya wujudkan sekolah khas untuk ibu-ibu muda yang sudah mengandung ni. Supaya mereka masih berada di bawah perlindungan. Atau mungkin juga kita boleh buat edaran kondom percuma kepada remaja lelaki di sekolah menengah." Kata seorang ahli politik parti XXY.

*****

Dan apabila ditanya soalan "siapakah yang memainkan peranan penting dalam hal ini?"

jawabnya..

"Mak bapak sangat penting. Diorang la yang kena ajar ilmu agama pada anak-anak supaya tak ada lah masalah-masalah macam ni berlaku"

"Ini semua salah cikgu. Cikgu tak ajar betul-betul anak murid. mana taknya, datang sekolah sibuk berniaga tudung Fareeda"

"Ini semua salah kerajaan. Sape suruh tak jalankan hukum hudud. Kan dah jadi macam-macam bencana"

"Sebenarnya, ini semua salah kita. Kita duk fikir masalah pembawakan jemaah tak habis-habis. Sedangkan, mad'u kita sudah benar-benar tenat di luar sana akhi."

*****

sementara mereka saling berbalah mengaku cara masing-masing yang terbaik, peratus kelahiran bayi tidak sah taraf, semakin meningkat dan terus meningkat.

Maka dicelah-celah hiruk pikuk perbalahan itu, muncullah beberapa insan mulia bermurah hati menghulurkan bantuan kepada gadis muda yang sudah terlanjur. Memberi mereka selimut agama untuk mereka berlindung. Membalut putus asa mereka dengan harapan. Keyakinan yang tinggi agar mereka tidak terus menjerumuskan diri ke lembah penghinaan.

*****

Itu kisah bayi comel di Baitus Solehah

Di Raudatul Maryam, lain pula ceritanya.

19 orang anak-anak masih bersekolah dikumpulkan dalam satu rumah. Diberi peluang untuk menikmati kesenangan dan kesukaran bersama-sama.

Mereka dihantar oleh ibu bapa mereka kerana sebab yang pelbagai. Ada yang kesempitan hidup tidak mampu memberi kebahagiaan buat anak mereka, ada yang kerana bercerai dan mahukan perlindungan buat anaknya dan macam-macam lagi. Tujuan ibu bapa ini hanya satu. Mahukan yang terbaik untuk anak-anak.

******

Kata kuncinya, masalah sosial. Kurang ilmu agama.

Kita ada dua cara iaitu mencegah atau merawat. Jika benar ingin mencegah, perlu cegah dari akar umbi. Jika benar ingin merawat, siapa yang perlu didahulukan untuk dirawat?

Allahuarobbi..

Kadang-kadang, kita terlalu lantang bersuara. Mencadangkan itu dan ini. Menuduh pihak itu dan ini sebagai punca segalanya.

Tapi...

Pernah tak kita terfikir, jika ada seorang gadis yang sedang sarat mengandung datang kepada kita meminta bantuan. Apakah yang akan kita lakukan ketika itu? mahu beri usrah kepada dia? mahu marah lelaki yang merosakkannya? mahu apa?

Jika didatangkan dengan sebeban masalah di hadapan mata, belum tentu kita mampu selesaikan.

Manusia seringkali membuat kesilapan. Bezanya cuma kecil atau besar. Mereka tidak langsung layak menerima cercaan dan hinaan. Kerana sekiranya taubat mereka sehari-hari itu didengari Allah, ternyata mereka lebih suci daripada kita yang sibuk menghukum manusia di sana-sini.

Beruntungnya insan-insan yang menghidupkan Baitus Solehah dan Raudahtul Maryam. Besar saham akhiratnya. Memberi pengharapan kepada yang benar-benar memerlukan. Semoga Allah sentiasa pelihara insan-insan ini.

Harapan selalu ada. Walaupun masyarakat tidak memandang, tapi di sini, MASIH ADA YANG SAYANG..

Bila kita rasa lelah dengan ujian, sesekali lihatlah kepada mereka yang diberi ujian yang lagi berat daripada kita. Semoga boleh meningkatkan rasa syukur kepada Allah.


Ammar dan Zafran anak-anak Baitus Solehah

Warga Raudatul Maryam

Memey menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 6. Warga Raudatul Maryam

Nota:
1. Baitus Solehah merupakan rumah penjagaan gadis-gadis yang mengandung muda. Sesiapa ingin menyumbang bolehlah hubungi Pengasasnya iaitu Umi Mona
2. Raudahtul maryam merupakan rumah penjagaan anak-anak yatim/ kurang berkemampuan/ masalah keluarga. Selang dua rumah dengan Baitus Solehah. 






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...