• RSS

01 December 2010

Wo Ai Ni Allah



Tajuk: Wo Ai Ni Allah
Penulis: Vanny Chrisma W
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Bilangan muka surat: 292
Novel ini saya baca dua kali untuk saya benar-benar hayati isinya. Ini adalah novel spiritual. Kisah penderitaan keluarga Ateis dalam mencari siapakah tuhan yang sebenar.
Tan Tio seorang penjenayah yang pernah terlibat dengan pelbagai kes rompakan, pembunuhan dan pengedaran dadah sehinggalah dia tiba-tiba sahaja bercakap-cakap mengenai tuhan. Dan dia mendakwa berkali-kali dia bertemu Tuhan dalam mimpinya juga sering menyuruh orang di sekelilingnya agar bertaubat kerana dunia itu bersifat sementara. Maka itu, Ah Liong yang merupakan ketua penjenayah itu menghalaunya keluar daripada kumpulan mereka dan menganggap Tan Tio gila!
Mei Hwa merupakan isteri Tan Tio. Wanita cantik yang berkerjaya dan insan yang paling keras mengatakan tuhan itu tidak wujud. Pergaduhan sudah biasa dalam keluarga mereka. Dia terlalu tertekan dengan suaminya yang dianggap sebenarnya menghidapi penyakit skizofrenia dan gila.
Amei Chan gadis kecil berumur 14 tahun. Dia selalu jadi mangsa pergaduhan ayah dan ibunya dan selalu bersama ayahnya dalam mencari jawapan siapa sebenarnya Tuhan.
 Novel ini membawa kisah penderitaan mereka dalam mengenal siapa itu Tuhan. Bagaimanakah bentuknya, adakah ia boleh disentuh, dihat dan sebagainya. Ya. Mereka derita. Derita batin. Pelbagai agama mereka temui. Puas juga mereka bertemu Fransiscus yang beragama kristian, Sami Chin beragama Buddha dan bersoal jawab dengan Ustaz Rohim di masjid. Sebenarnya Ustaz Rohim telah memberi jawapan yang terbaik. Namun, apabila Tuan Tio mencari tuhan itu secara  logik dan memikirkan Zat tuhan, sudah pasti jawapan ustaz tersebut tidak memberi kepuasan baginya.
Misi mencari tuhan itu pada mulanya hanyalah usaha Tan Tio. Kemudian, diikuti anaknya Amei dan akhirnya Mei Hwa juga turut mencari tuhan. Bagaimana masyarakat Islam, Buddha dan kristian  menangani golongan ini digambarkan dalam beberapa episod. Hanya sedikit reaksi negatif itupun yang ditunjukkan oleh Ustaz Ibnu di awal bab. Selainnya seperti  Ustaz Rohim dan isterinya Siti Maimunah hingga syahid ketika melindungi Mei Hwa, Husain dan Amir doctor psikiatri  yang merawat Amei Chan dan lain-lain lagi semuanya bersikap sewajarnya.
Pelbagai lagi konflik yang digarapkan penulis dalam novel ini bagi mengusik emosi pembaca. Insya Allah jika ia dibaca dengan hati, kita akan bertambah syukur kepada Allah kerana dilahirkan sebagai seorang muslim dan berusaha untuk membuktikan Islam bukanlah sekadar agama keturunan.
Secebis lembaran dalam novel ini,   
“……Dari hubungan, timbulnya perasaan . daripada perasaan timbulnya idaman. Daripada idaman timbulnya tamak. Daripada tamak, timbulnya kejadian. Dari kejadian, timbulnya kelahiran. Dari kelahiran, timbulnya usia tua, kematian, dukacita, ratapan, perasaan sakit, kekesalan dan keputusasaan. ……” ujar Sami Yan Chin.
“…Ambillah sepuluh macam ramuan. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaduk atau kerendahan hati, jadikanlah padanya tumbuhan taubat, taruhlah ke dalam lompang keredhaan, dan tumbuklah dengan penumbuk qanaah. Lalu simpan di kuali taqwa, tuangkanlah padanya air malu, didihkanlah dengan api mahabbah, tuangkanlah ke gelas syukur, kemudian kipasilah dengan kipas harapan, lalu minumlah dengan sendok pujian. Sesungguhnya jika kamu melakukan hal itu, maka akan menjadi ubat bagi segala penyakit dan bencana di dunia dan akhirat…” ucap Ustaz Rohim.

1 comments:

husna said...

Subhanallah...suka kata2 uztaz Rohim tu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...