Tajuk: Contengan Jalanan
Penulis: Hlovate
Harga: RM21.00
Bilangan muka surat: 583 helai
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Bahagian pertama : Fend
“ the man who decided to change on the 12th hour will die on the 11th “
Bahagian pertama novel ini penulis menggunakan latar masa bulan Ramadhan. Maka ia menjadi nilai tambah untuk saya lebih hayati wataknya ketika membacanya . Fend, Chad, K2 merupakan watak utama. Melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Hidup mereka sebagai mahasiswa jurusan seni, tidak kurang daripada menjadikan studio sebagai rumah kedua. Studio untuk menghasilkan projek lukisan grafik dan juga studio yang lagi satu.. studio jamming! Fend lebih cenderung kepada photo-sketch dan fotografi. Maka, yang selalu dibawanya bersama ialah sketchbook dan Nikon kesayangannya. Di mana ada idea, ilustrasi yang cantik semua sebolehnya ingin dipegunkan.
Hidup remaja di tahap umur yang baru mencapai ‘umur boleh mengundi’ ditambah pula dengan godaan bi’ah yang sangat mencabar iman, ramai yang tidak mampu bertahan. Suka untuk saya andaikan seperti berapa ramai yang mampu mengekalkan basahnya air wudhu’ di tengah panas yang gersang.
Namun, semuanya bisa berubah. Hanya dengan sekeping cd yang bertajuk “ the man who decided to change on the 12th hour will die on the 11th “ mampu membuatkan Fend berfikir mengenai hidup.
Namun, semakin difikir semakin kabur. Sehinggalah Allah mengilhamkan Chad sepupunya untuk mengajak
Fend ataupun nama sebenarnya Affendy mengembara di bumi Australia bersamanya.
Di bumi Australia mereka beriktikaf di sebuah masjid. Mengisi Ramadhan buat kali pertamanya sebagai seorang muslim yang sebenar. Solat dan puasa dirasakan sangat mahal harganya dibandingkan sebelum ini.
Fend tersungkur kembali mengenal Tuhannya di bumi Australia. Pulangnya ke tanah air membawa misi untuk mengajak sahabatnya K2 untuk turut merasai seperti yang Fend rasai.
Bahagian kedua: K2
“ Erti hidup yang beda”
Fend menyerahkan cd ‘keramat’ itu kepada K2. Besar pengharapan Fend supaya K2 juga turut diberi hidayah.
K2 berambut panjang. Sebahagian dirinya adalah muzik. Pandai bermain alat muzik yang pelbagai. Jamming di studio itu hobinya.
Fend berubah menjadi pendiam dan suka menyendiri selepas kematian Chad pada satu syawal tempoh hari. Sedih melampau. Mana tidaknya, Chad sangat berjasa dalam membantu Fend kembali mengenal Tuhannya. Perlakuan Fend yang murung dibiarkan K2 kerana sangkanya sukar untuk Fend melupakan sahabat yang dia selalu bersama.
Fend mengajak K2 ke daerah di mana dia pernah menghabiskan masa bersama dulu. Australia. diajak K2 si drummer itu duduk beriktikaf di masjid sepanjang mereka berada di sana. Menghabiskan masa beribadah dan melawat tempat-tempat yang sama seperti dengan Chad dulu. K2 berasa amat kekok. Jiwanya meronta-ronta untuk pulang. Tapi demi sebuah persahabatan, dan jika ini yang Fend mahukan untuk mengubat kerinduannya pada Chad maka K2 turutkan sahaja temannya itu. Di masjid ini juga, K2 bertemu dengan Bapak Tono yang memperkenalkan Jakarta padanya.
“Kotanya hidup. Erti hidup yang beda” ujar Bapak Tono
Pulang dari Australia, Fend akur. Hati manusia Allah yang pegang. K2 tidak merasa apa-apa ketika beradanya mereka di sana. Cd yang Fend berikan dulu pun tidak membawa bekas walau sekelumit dalam hatinya.
Beberapa hari pulang ke Malaysia, K2 kembali lincah dalam arenanya. Muzik dan seni yang berkaitan. Hikayat Pendawa Lima karya sastera itu salah satu yang sedang bermain di mindanya. Sedang ralit memerhati lakaran watak tersebut di sketchbooknya, tiba-tiba didatangi idea untuk ke bumi Jakarta. Mungkin mencari benarnya kata-kata Bapak Tono “Jakarta kotanya hidup”.
Fend sempat bekalkan sketchbook dan tafsir Quran mini padanya.namun yang dibawa K2 ialah hanya sketchbook. Sketchbook yang dibekalkan bukan kosong. Tapi penuh lakaran serta maksud ayat-ayat tertentu yang dipetik dalam Quran. Semoga bermanfaat dan sesuai dengan jiwa K2. Read and heed.
K2 bermusafir di Jakarta. Dipertemukan Indra seorang yang berjiwa seniman sepertinya juga. Mereka sekepala. Perkenalan singkat, terus menjadikan mereka akrab sehingga di pertengahan musafir barulah K2 tahu yang Indra beragama kristian. Berhari-hari berjalan bersama, Indra tergerak hati untuk bertanyakan K2 mengenai solat. Berderau darah K2. Pertanyaan itu membuatkan K2 berfikir panjang. Seorang kristian boleh menyuruhnya solat. Sedangkan dirinya langsung tidak mempunyai kesedaran itu. Sketchbook pemberian Fend memang berguna. Seolah-olah memberi jawapan kepada persoalan-persoalan hidup yang K2 fikirkan. Sehinggalah akhirnya dia menyesal kerana tidak mengambil tafsir Quran mini yang turut Fend berikan dahulu. Dan akhirnya dia membelinya di sebuah kedai di Jakarta. Tempat dia bermusafir.
Alhamdulillah.. contengan jalanan yang membawa perubahan. Contengan melakar hidup yang sementara. Tidak berguna jika hidup tanpa Tuhan.
0 comments:
Post a Comment