• RSS

03 April 2012

Diari Cikgu 3





Assalamualaikum wbt.. Selawat dan salam buat baginda Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda.
Allah yang mempunyai sifat Maha Bijaksana itu sememangnya kaya mempunyai segala-gala jenis ilmu. Antara ilmu yang tidak mungkin dimiliki oleh manusia biasa ialah ilmu mengenai masa akan datang. Seawal sesaat selepas ini pun, kita tidak pernah tahu apa yang akan terjadi pada diri kita sama ada baik atau buruk. Apatah lagi jika kita berfikir siapa kita 10 tahun yang akan dating. Memang, kita adalah pelukis yang mencorak masa depan. Namun, dengan kudrat yang sangat terbatas ini sungguh tidak mampu mengalahi peratus besar ketentuan yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala. Selayaknya kita hanya perlu berusaha semampunya, berdoa dan bertawakal kerana Maha Penentu itu mempunyai Rahmat yang terlalu banyak buat hambanya..

Di awal perkenalan saya dengannya, tidak menyangka sungguh dia peramah begini. Sekadar bertegur sapa di fakulti itu biasa. Hinggalah kami bertukar nombor telefon sebelum bermula latihan mengajar di UTM.
Setelah segala usaha pencarian rumah sewa berakhir, kami berpakat untuk berkongi menyewa bilik. Itu sahaja jalan yang dirasakan terbaik untuk orang yang tidak berkenderaan seperti kami, faktor jarak rumah dengan sekolah itu perkara wajib yang perlu diambil kira.

Baru dua minggu mengenali dirinya, kami sudah berkongsi pelbagai perkara. Keluarganya 5 orang adik beradik. Anak ketiga. Suka warna ungu tapi banyak baju kurung warna coklat (my favourite). Agamanya Kristian. Rajin beribadah. Sebelum tidur dibaca buku agamanya. Setiap ahad wajib ke gereja. Jumaat ini katanya, good Friday. Maka dia akan berpuasa daripada memakan makanan pepejal.

Kami banyak persamaan. Minatnya kepada buku-buku motivasi dan suka menulis.

Menariknya dirinya yang tidak suka alkohol dan daging khinzir. Sangat memahami kebajikan saya yang tidak makan makanan yang diragui kehalalannya seperti kedai kek dan restoran Cina. Hatta ketika membeli mee segera, dia terlebih dahulu memeriksa tanda halal untuk saya.  

Agama kami berbeza. Bangsa kami juga berbeza. Tapi kami percaya adanya Tuhan yang menciptakan segala makhluk. Setiap kebaikan yang dibalas dengan kebaikan, usaha yang menjanjikan kejayaan dan kesusahan yang ada kesenangan. Dia percaya Jesus itu mati pada hari jumaat dan hidup semula pada hari ahad. Dan saya percaya nabi Isa itu akan turun ke dunia ketika menjelang tibanya hari kiamat. Kami juga percaya keburukan seseorang itu bukan melambangkan agamanya.  

Kata paderi di gerejanya, “ Orang yang mengaku dirinya Kristian tetapi tidak patuh kepada agamanya itu, maka dia bukan seorang Kristian”

Saya turut menyokong,” Sama juga seperti Islam. Tidak semua Orang Islam kini mengamalkan Islam sepenuhnya. Contohnya seperti anak murid saya yang mengaku tidak solat zohor kerana penat”

Seumur hidup saya, belum pernah saya mempunyai rakan berlainan aqidah serapat ini. kami saling menghormati agama masing-masing dan berusaha untuk menjadi hamba yang patuh pada agama masing-masing.

Kami menggelengkan kepala bersama-sama. Masing-masing memikirkan masalah umat.
Semoga tempat bermustautin ini menjadi daerah barokah seperti yang diharapkan. Insya Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...