• RSS

27 July 2012

Lesen dunia vs lesen akhirat

Tiga minggu sebelum ramadhan, saya menemankan emak ke klinik berjumpa doktor untuk appointment ujian darah. Alhamdulillah tiada kencing manis tekanan darah tinggi juga semakin baik walaupun masih tinggi. Dalam perjalanan pulang, setibanya di satu persimpangan....

Aduhai...roadblock!!

Saya bukan pendatang asing. Bukan juga seorang penjenayah. Tapi saya sedang melakukan kesalahan. Saya tak ada lesen!

Emak di belakang sudah cemas. Nak patah balik, risiko untuk dikejar sangat tinggi memandangkan jarak sudah dekat.

"Tak apa mak, rilex2.."

"Genggaman emak pada baju saya semakin kuat." Jelas menunjukkan kerisauan.

Berbekalkan keyakinan pengalaman lalu setelah dua kali melepasi road block tanpa lesen, saya yakin kali ni pasti selamat lagi daripada disaman. Selawat dibaca di dalam hati. Saya melalui dengan bismillah. 

Tiba-tiba, polis 'melambai-lambai' tangan menyuruh saya ke tepi dan berhenti.

"Adeyh....." Saya sudah membayangkan RM300 yang bakal 'dirompak'.

"Tunjuk lesen dik." Kata Pak Cik polis berhati mulia.

Saya senyap.

"Linda!" Dia memanggil saya.

"Ha sudah. Mana dia tahu nama aku? Owh, jaket PMI..."saya terlupa yang saya pakai jaket PMI masa tu. 

"Ye saya!"

"Mana lesen awak...?"

"Err.. tak ada." Saya menjawab jujur.

"Kenapa tak ada.. awak ni... Belajar lagi ke dah kerja?" Polis kembali menyoal.

"Belajar."

"Kat mana?

adeyh.. Soalan ni termasuk dalam formaliti seorang polis trafik ke?

"UTM Skudai" dalam hati menjawab, UTM sanjungan bangsa. hehe

"Alah.. Encik.. Saya baru balik hantar mak pergi klinik ni.. Kejap je..."Saya cuba memberikan alasan. Walaupun betul, tapi hakikatnya niat tak menghalalkan cara. Nasib baik polis ni tak jawab macam tu.  

"Habis tu, ni motor siapa?"

"Motor abang."

"Hmm,,Lain kali ambil la lesen. P pun jadi la. Ok!"

"Insya Allah.. Terima kasih encik!.."

Vroomm....

Saya memulas minyak. Emak tak henti-henti mengucapkan syukur di belakang.

Alhamdulillah. RM300 masih terselamat. 

Begitulah. Hakikatnya hidup di dunia ini, semuanya memerlukan lesen. Kebenaran untuk memiliki dan menggunakan dengan bebas. Kenderaan, Senjata api, kedai, syarikat semuanya perlukan lesen. Lesen diberikan setelah kita memohon dan melepasi syarat piawaian, pengetahuan, perjanjian atau bayaran tertentu. Ini untuk mengawal tindak tanduk manusia supaya tidak menyalahgunakan antara perkara yang saya sebutkan tadi.

Lesen dunia. Hubungan kita manusia dengan manusia. Hablu min an-naas.

lahir ke dunia sahaja, jika ibu bapanya Islam, maka kita sudah Islam. Membesar dan menbesar, sehinggalah boleh berjalan, berlari, makan dan minum sesuka hati. Apabila sudah baligh dan mukalaf kita diwajibkan untuk menyempurnakan rukun Islam yang lima. Terutamanya solat dan puasa. Juga pelbagai kewajipan yang lain iaitu menuntut ilmu, menutup aurat, dan sebagainya. Ramai yang sedar inilah kewajipan sebagai seorang muslim. Tapi, ramai juga yang tidak sedar ini adalah sebuah kewajipan. Masih ramai masyarakat di luar sana yang masih lalai tidak solat, puasa dan juga mendedahkan aurat. Hidup dengan gembira tanpa ada rasa takut kepada Allah walaupun hakikatnya kewajipan itu sudah lama diketahui. 

Mengapa manusia hanyut dalam maksiat?
Kerana kita hidup di dunia secara PERCUMA. Oksigen memasuki paru-paru dengan sendirinya tanpa dibayar, mata yang mampu memandang tanpa bayaran jarak pandangan, jantung yang tidak perlu diupah untuk mengepam darah, akal yang mampu berfikir dan seluruh nikmat nyawa ini diberi percuma. Hidup tanpa sekatan. Dengan nikmat nyawa, kesihatan dan kesenangan inilah yang membuatkan manusia itu semakin lalai.  Terlupa dengan pemberi nikmat lalu menggunakan barang pinjaman ke jalan maksiat.

Tatkala malaikat maut ingin menjemput, barulah tersedar mahu bertaubat. Namun semuanya sudah terlambat.   Jika masih mampu menyebut nama Allah, itu pun sudah sangat bersyukur. Lalu, diazablah si mati tadi di dalam kubur hingga kiamat dek kerana tiada amalan yang dibawa bersama.

Astaghfirullah. Nauzubillah..

Para pembaca sekalian, segala kewajipan dan amalan yang Islam syariatkan itulah lesen kita untuk ke akhirat. Amalan berdasarkan piawaian yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunah. Manakala para nabi dan ulama' adalah polis di dunia yang sentiasa mengajarkan. Di samping polis ghaib yang mencatat segala amalan untuk dihisab. Dengan izin Allah mereka berkerja mencatat kebaikan dan keburukan. Jika hamba itu bertaubat, maka akan dipadam keburukan tersebut dengan perintah Allah. Itulah malaikat rokib dan atid. Hanya mereka yang ingat akan negeri akhirat sahaja yang sedar akan lesen-lesen yang mesti kita miliki untuk melepasi kebenaran Allah untuk mendapat kesenangan di negeri abadi kelak. Taman syurga di kubur juga mahligai mewah di syurga.

Lesen akhirat. Hubungan kita dengan Allah, hablu min Allah.

Semoga bermanfaat buat saya dan kita semua.




20 July 2012

Cakar Ayam

Sedari tadi Hakim mencangkung di situ. Di tepi sungai tempat dia dan anak kampong selalu bermain menghabiskan masa. Matanya memerhatikan air sungai yang tenang dengan harapan ketenangan itu dapat merawat hatinya yang sedang remuk, namun setelah sejam berlalu, usahanya hanya sia-sia. Hakim mendongak pula. Dia mencari kelibat burung yang dapat dilihat bayangnya di air tadi. Ceria sekali burung itu terbang bebas. Mungkin ia baru sahaja pandai terbang memandangkan saiznya yang masih kecil. Hakim merenung tajam burung itu.

 “Arghhhh!, kau menambahkan lagi sakit hati aku, burung!” Hakim menjerit memarahi burung yang tidak berdosa itu sambil tangannya membaling batu ke arah burung tersebut. Mujur burung kecil itu pantas mengelak.

 “Huh!”, Hakim mendengus setelah sedar sasarannya tidak mengena.

 Dia kembali menunduk. Dia sudah penat. Lututnya yang tadi rapat ke dada kini dilonggarkan. Dia duduk bersila pula. Kedua tapak tangannya dikembangkan. Dia merenung kedua belah tapak tangannya dengan hati yang benar-benar kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri.

 Dia teringat kejadian di sekolah tadi. Guru Bahasa Melayunya, En Sarpan mengajar mereka murid darjah tiga simpulan bahasa baru. Sememangnya Cikgu Sarpan akan memulakan pengajarannya setiap hari dengan menulis satu simpulan bahasa baru di papan hitam. Semua murid akan menyalinnya di dalam buku tulis khas untuk simpulan bahasa sahaja. Usaha ini bukanlah idea Cikgu Sarpan sebaliknya, inilah cadangan daripada Guru Besar untuk memastikan semua murid di sekolah itu mengekalkan kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika UPSR di darjah enam nanti.

 “Murid-murid, simpulan bahasa yang kita akan belajar pada hari ini ialah cakar ayam. Maksud cakar ayam ialah tulisan yang buruk.” Cikgu Sarpan menerangkan maksud simpulan bahasa itu setelah menulisnya di papan hitam.


 “Contoh ayatnya ialah, tulisan Hakim yang macam cakar ayam itu, amat sukar dibaca oleh sesiapa pun.” Cikgu Sarpan memberikan contoh sambil memandang Hakim.


 Satu kelas kemudiannya riuh dengan ketawa terbahak-bahak. Semua memandang Hakim dengan pandangan hina. Rakannya, Lukman yang duduk di sebelahnya menolak-nolak kepala Hakim. Cikgu Sarpan terpinga-pinga. Dia tidak sedar yang dia sudah tersalah ketika menggunakan contoh nama bagi ayat tadi. Dia terlupa yang Hakim sememangnya mempunyai tulisan yang buruk.


 Hakim berlagak selamba. Dia hanya menyalin apa yang cikgunya tulis di hadapan papan hitam ke dalam buku. Kelas kembali senyap setelah ditenangkan oleh Cikgu Sarpan. Sesekali dia memandang Hakim ingin tahu reaksinya. Bimbang juga dia jika kata-katanya sebentar tadi melukai muridnya itu. Namun, Hakim tetap seperti biasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cikgu Sarpan berasa lega.


 Hati Hakim bagai dicincang-cincang. Amat pedih sekali. Dia menekup mukanya dengan kedua tapak tangannya sambil menangis tersedu-sedu. Dia mengutuk dan memaki dirinya.


 “kenapa tulisan aku buruk? Kenapa tulisan aku tak cantik? Kenapa? Aku cacat ke?”, berdengung bunyinya. 
Hakim menangis sambil mengherdik dirinya. Tangannya masih menutup mukanya. 


 Hakim sedar, tulisan tangannya memang tak cantik. Saiz satu huruf dengan huruf yang lain tidak sama. Kejap kecil, kejap besar. Susunannya juga terabur. Kadang kala senget. Kadang kala tegak. Bentuk dan susunan yang tidak sama itulah yang membuatkan tulisan Hakim benar-benar buruk. Puas dia berlatih untuk mencantikkan tulisannya. Ibunya siap menyediakan buku khas untuk anaknya itu berlatih menulis supaya tulisannya berubah menjadi cantik dan kemas sejak dia darjah satu tapi, itu semua tidak menunjukkan perubahan positif kepada Hakim. 


 Hakim benar-benar tertekan. Dengan apa yang telah terjadi di dalam kelas tadi, menambahkan lagi bengangnya. Dia nekad untuk berbuat sesuatu yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. Hakim menoleh ke kanan dan kiri bagi memastikan dia hanya seorang diri di tepi sungai itu. Dengan pantas, Hakim mengeluarkan sebilah pisau lipat.


"Zapppp!!!"


Hakim mengaduh kesakitan. Dia menggosok-gosok tangannya yang pijar. Mujur, Cikgu Sarpan sempat menepis. Pisau yang dipegang Hakim tercampak ke dalam sungai.


Rumah Cikgu Sarpan memang dekat dengan sekolah. Hanya memakan masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki. Dia memang selesa berjalan walaupun dia mempunyai sebuah kereta. Sedang dia berjalan tadi, tiba-tiba dia terdengar suara kanak-kanak menangis itu yang membuatkannya sempat menyelamatkan Hakim daripada mengelar tangannya.


"Astaghfirullahalazim, Hakim!! apa yang awak cuba buat ni?" Cikgu Sarpan bertanya dengan suara yang kuat. 

"Ss.. saya..saya..." Hakim tergagap mahu menjawab. Gerun benar dia melihat guru bahasa melayunya itu. Pertama kali melihat wajahnya marah begitu.

"Saya..saya kecewa dengan diri saya, cikgu! tulisan saya tak cantik...." Hakim memberi jawapan sambil mengelap hingusnya yang mula meleleh.

"Jadi, dengan mengelar tangan, dapat mencantikkan tulisan awak?" suara Cikgu Sarpan rendah sedikit tetapi masih tegas.

Hakim hanya menggeleng. Dia sendiri tidak percaya dengan keputusan berani yang dia lakukan itu. Lumrah kanak-kanak di peringkat umur mumaiyiz yang tidak berfikir panjang ketika membuat keputusan.

"Hakim, saya ke yang menyebabkan awak berkelakuan begini.." Cikgu Sarpan rasa bersalah. Egonya direndahkan demi menebus kesalahannya kepada anak muridnya itu.

"Cikgu tak salah.. Saya yang.... Argh!!tulisan saya memang buruk! hodoh!" Hakim kembali menjerit.

"Hakim, Hakim..Mari sini, dengar cikgu nak cakap." Cikgu Sarpan memaut bahu Hakim yang kecil itu. Lalu memimpinnya untuk duduk. Hakim hanya menurut.

"Hakim, dalam peperiksaan pertengahan tahun hari tu, berapa markah awak dalam matematik?" Cikgu Sarpan menyoal lembut.


"90", Jawab Hakim perlahan.


"Sains?"


"84"


"Agama Islam?"


"100"


"Bahasa Melayu?"


"80"


"Hampir semua mata pelajaran awak dapat gred A, betul?" Cikgu Sarpan meneruskan soalan. 


Hakim hanya membalas dengan anggukan.


"Pernah tak awak ucapkan alhamdulillah dengan setiap A yang awak dapat tu?"


Tanpa menunggu jawapan Hakim, Cikgu Sarpan meneruskan lagi.

"Ucapan Alhamdulillah adalah sekecil-kecil tanda kita bersyukur kepada Allah. Allah dah kurniakan pelbagai jenis nikmat kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Allah dah kurniakan Hakim nikmat kehidupan, kepandaian, dan ke'handsome'an malah banyak lagi nikmat yang Allah dah beri.." kata Cikgu Sarpan sambil mencuit hidung Hakim.

Hakim tersenyum mendengar perkataan 'kehandsomean' itu.


Cikgu Sarpan terus menyambung " tapi kenapa Hakim masih mengeluh dan tak berpuas hati dengan satu sahaja ujian yang Allah berikan iaitu tulisan yang tak cantik? Hakim nak salahkan Allah sebab beri kekurangan ni kepada Hakim?


Hakim hanya diam membisu.


"Ingatlah Hakim. Barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, Allah akan tambah lagi nikmat. tapi jika kita kufur akan nikmat Allah, hati-hatilah dengan azab yang Allah akan berikan." Tambah Cikgu Sarpan. Dia teringat akan kata-kata Naqib usrahnya di kampus. Sering kali mengingatkan firman Allah ini setiap kali memulakan usrah.


"Dengan melukakan tangan awak, tak dapat mengubah sikit pun tulisan awak nanti. Malah, awak dah dikira berdosa sebab menzalimi diri awak sendiri!"


Hakim mulai insaf. Dia sedar, dia hampir melakukan perkara yang paling bodoh sekali dalam hidupnya.  Dia memeluk Cikgu Sarpan sekuat hati.


"maafkan saya, cikgu! saya tak nak diazab oleh Allah..." Hakim teresak-esak kembali menangis.


Cikgu Sarpan mengusap-usap kepala Hakim."sudahlah tu, Hakim. Insya Allah, semua yang baik dan buruk datang daripada Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti bersyukur dan bersabar. Hakim anak soleh kan!," 




  


13 July 2012

Konvensyen Fiqh Ummah Zon Selatan 2012: Bukan sekadar ilmu

Assalamualaikum wbt..

Mari kita bersyukur di atas nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita. Dengan nikmat itulah saya masih mampu menulis dan anda masih boleh membaca di sini. Alhamdulillah, itulah sebaik ucapan.

Terpilih menjadi salah seorang volunteer K-Fiqh cukup untuk menjadikan saya gembira. Malam sebelum di'observe' pensyarah, saya menerima panggilan telefon daripada En.Farouk wakil K-Fiqh. Katanya, saya terpilih. Alhamdulillah.. Terus saya hubungi Hamizah untuk meraikannya bersama.

Sangat terkilan juga kerana tidak banyak yang saya mampu bantu sebagai seorang sukarelawan. Kerana kekangan, 3 Julai baru saya memunculkan diri di UTM, tempat konvensyen diadakan.

Alhamdulillah, masih ada rupanya kerja yang masih boleh dibantu menjelang hari konvensyen ini iaitu menjual tiket di Persada, Jb.

Hj Aki
Di sinilah saya bertemu dengan Hj Aki. Atau nama sebenarnya Hj Akhiruddin Abd Wahab. Usianya 50 tahun berkerja di sebuah syarikat Proton. Beliau yang membawa saya dan Hamizah untuk bersama-sama menjual tiket di Persada.

"Hamizah, ini novel remaja pertama yang saya tulis. Bacalah!", Hj Aki menunjukkan bukunya kepada Hamizah yang duduk di hadapan. Saya segera menjengah kepala ingin melihat juga buku yang dimaksudkan. Pantang mendengar tentang buku. Apatah lagi penulisnya di hadapan mata. Saya meneliti di kulit sisi. Tertulis senarai buku yang pernah beliau tulis dan syarikat penerbitan, Karnadya

"Jom Hidupkan Roh Haji", saya membacanya di dalam hati. Rasanya seperti familiar..

Sah! Rupa-rupanya buku beliau "Jom Hidupkan Roh Haji" itu telah diselia oleh abang saya ketika beliau berkerja sebagai editor buku di Karnadya beberapa tahun dahulu! Subhanallah.. Kecilnya dunia..

Dengan itu, bermulalah sesi perkongsian tips menulis oleh insan hebat ini. Hj Aki seorang yang cergas dan sangat aktif dalam dakwah di masjid juga majlis ilmu di sekitar Johor selain daripada seorang penulis yang telah menulis  beberapa buah buku motivasi, Islamik dan karya yang masih dalam penulisannya, novel islamik. Katanya, "Susah juga saya nak menjiwai watak remaja, dan cinta ni.."

7 dan 8 Julai
Saya ditugaskan dalam unit dewan. Menjaga pintu masuk untuk memastikan semua peserta memakai 'badge'
yang menandakan mereka sudah menunjukkan tiket di kaunter pendaftaran, mengiring peserta ke tempat duduk dan memastikan kelancaran konvensyen dengan baik. Alhamdulillah, mudah sahaja. Semuanya berjalan dengan baik. Walaupun saya tidak mampu mencerap setiap patah ilmu yang dicurahkan, namun dapat berada di dalam majlis konvensyen ini sudah cukup membina kepuasan bagi saya. Walaupun hakikatnya tenaga saya dalam k-fiqh ini hanyalah ibarat sebatang lidi dalam sebatang penyapu. Bertemu muka dengan para asatizah, bergerak kerja dengan Pengarah, Brother Syarief yang hebat dengan ilmu hadithnya, Pn Zuraidah yang bijak menyusun protokol, Hj Aki yang penuh sifat kebapaan, dan seluruh ajk dan sukarelawan. Kami berkerja dengan penuh kegembiraan dan tiada stress yang mengiringi sedangkan lumrah sesuatu program tidak pernah lari daripada masalah.

Alhamdulillah.. Ilmu dapat, ukhuwah pun dapat!



Nota:
1.Saya tak tahu kenapa abang saya jealous sebab dia tidak terpilih menjadi volunteer kali ni. Sedangkan dia dah jadi volunteer masa K-Fiqh di PWTC..huhu
2. Kelembapan internet di kampung. Maka, tiada gambar untuk dimasukkan di sini.

06 July 2012

Diari Cikgu 11: Akhir

Assalamualaikum wbt..

Latihan Mengajar sudah berakhir 5 hari yang lalu. Maknanya, sudah 4 hari saya tidak bertugas di sekolah. Saya teragak-agak sebenarnya untuk menulis entri terakhir Diari Cikgu ini kerana saya kira, entri sebelumnya seperti sudah berbau penutup. Tapi tidak puas pula melihat Diari Cikgu tidak diakhiri dengan baik.

"Hah, enti LM sem ni, nanti tarik mad'u ramai-ramai", kata seorang sahabat.
Tidak pasti kata-katanya itu arahan atau gurauan. Saya hanya membalasnya dengan gurauan juga. Sukar untuk merancang apa-apa ke arah itu kerana medannya sendiri belum jelas.

Seminggu pertama LM, saya masih belum dibenarkan untuk mengajar. Itu peraturan yang fakulti tetapkan bagi kami menyiapkan ROS (Rancangan Orientasi Sekolah). Maka, kesempatan ini saya luangkan untuk membiasakan diri dengan persekitaran, tempat-tempat penting, guru dan PELAJAR. Ya,pelajar!

Solat
Sedang duduk-duduk di perpustakaan, datang beberapa pelajar masuk ke dalam. Kelihatannya sedang bergurau-gurau. Sangat hampir dengan meja saya. Saya menegur seorang pelajar dengan berntanya soalan biasa sebagai tanda perkenalan.

"subuh pagi tadi awak solat tak?", saya meneruskan bertanya.
"Tak.", jawabnya selamba.
"Kenapa tak solat?", saya tak suka untuk bertanya kenapa dan mengapa tapi, hanya itu yang terkeluar ketika itu.
"Bangun lambat." jawabnya lagi dengan ketawa. Seolah-olah saya sedang meraikan dirinya yang tidak solat itu.
"Lima waktu sehari, waktu apa je yang awak solat?", saya meneruskan perbualan.
"Maghrib je kot." kali ni, ketawanya sudah hilang mungkin sudah menjangka akan 'diceramah' sebentar lagi. 


Saya mencapai pen dan kertas. Saya menulis namanya di atasnya. 
"Ok, sekarang jom kita selesaikan masalah awak!" dengan serius saya berkata.
matanya sudah lari ke jari saya yang bersedia untuk menulis.
"Sekarang kita ada satu masalah. Masalahnya ialah, awak tak solat." saya menulis perkataan tidak solat dengan besar di bawah namanya diikuti dengan garisan seperti peta minda.
"Kita senaraikan sebab awak tak solat. Kita pergi setiap waktu....."

Perbualan berterusan dengan soalan-soalan yang saya ajukan dan dia menjawab sambil tangan saya melakarkannya di kertas tadi. Kami bincangkan bersama sebab dia tidak solat, jalan penyelesaian, kepentingan solat, dan lain-lain hinggalah kertas tadi penuh. Akhirnya, saya serahkan kertas tersebut kepadanya.

"nah, ambil kertas ni, tampal di dinding."
"Terima kasih cikgu!"

Entah uslub dakwah apalah yang saya gunakan. Ianya berlaku spontan. Tidak pernah merancang sememangnya itu ilham yang Allah kurniakan ketika itu. Sememangnya saya tidak meletakkan pengharapan besar untuk pelajar itu berubah dan kesannya, setiap kali dia terserempak saya di sekitar sekolah dia akan membuat laporan "Cikgu, hari ni saya solat subuh!"

Hanya itu dakwah yang saya mampu di waqi' ini. Jumpa lagi beberapa orang, tanya pasal solat. Tidak terkecuali pelajar yang saya ajar kelasnya. Bukan mudah untuk mencabut jahiliyah dalam diri seseorang sekaligus. Ia bukan sekadar usaha. Mengubah seorang remaja bukan hanya kisah SEORANG. Tapi, ramai orang di sekitarnya. Siapa ibunya, siapa bapanya, siapa adik-beradiknya, siapa kawan-kawannya, di mana dia tinggal dan banyak lagi pihak yang bertanggungjawab 'merosakkan' remaja tersebut. Berani untuk saya katakan ini kerana antara sebab yang saya jumpa mengapa mereka tidak solat ialah kerana ibu bapanya juga tidak solat apatah lagi menyuruhnya solat!

Guru qudwah
Sebelum LM, risau sungguh saya. Mengenangkan diri yang serba kekurangan bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah keyakinan. Ia perlukan kekuatan dan keazaman yang tinggi buat insan lemah seperti saya. Saya post di fb status berbau LM demi mencari nasihat dan motivasi daripada sahabat-sahabat. Mengajar apa yang ada dalam silibus itu mungkin mudah, tapi menjadi role model itu mungkin payah. Sangat bimbang jika tidak mampu membawa imej Islam yang sebenar kepada mereka. Bimbang jika ada perangai yang tidak baik, maka itu yang akan dicontohi oleh pelajar.

Seharusnya kerisauan ini yang lebih utama sebagai seorang guru. Guru ialah qudwah. Baik atau buruk semuanya bakal diserap oleh pelajar makanya, lengkapkanlah diri dengan kebaikan semoga ilmu yang bakal diajar itu sempurna. Kerana ilmu yang baik hanya sesuai untuk diajar oleh orang-orang baik. Siapa? gurulah! Mulakan dengan hipokrit semoga ia akan sebati menjadi cara hidup.

Kelas terakhir
Jamuan dan hadiah. Semuanya diuruskan oleh anak murid kelas yang saya mengajar dan 'kelas angkat' sepenuhnya. Macam-macam kad ucapan malah ada juga yang sempat membuat vlog sempena perpisahan ini.




"Terima kasih ye semua, belanja makan.. Saya minta maaf kalau ada terkasar bahasa, tergarang, termarah, terpukul (ada ke?) dan lain-lain yang mengguris perasaan, saya minta maaf sangat-sangat. Jumpa lagi, Insya Allah di facebook! " ucapan ringkas saya.

Saya lihat muka seorang demi seorang anak murid saya. Cina, melayu, lelaki, perempuan, yang suka bercakap, yang pendiam, yang main-main, yang baik, yang pandai, yang biasa-biasa, yang ingin dapatkan perhatian (baca:kurang kasih sayang).Siapa pun mereka, merekalah anak murid saya. Anak didik saya. Dan sudah menjadi bekas anak murid kini. Aduhai.. 3 bulan 10 hari, hati mana yang tak sedih, hati mana yang tak sayu. Air mata saya tidak mampu dibekukan.

Itulah 11 kisah yang sempat saya catatkan. Menunjukkan betapa lemahnya istiqamah saya dalam menulis. 3 bulan 10 hari hanya 11 sahaja entri. Banyak lagi pengalaman yang tidak ditulis di sini. Latihan Mengajar bukan sekadar gred dan skill. Ia lebih dari itu. Inilah ruang untuk kelikhlasan itu diuji. Ikhlas yang bakal memandu corak sikap seorang guru kepada muridnya. Jika pendakwah perlu berminat kepada manusia, maka guru juga perlu minat kepada anak murid. Guru adalah pendakwah, dan pendakwah adalah guru.

Maaf seandainya Diari Cikgu ini terlalu mengisahkan hal peribadi saya dan tidak boleh dijadikan iktibar. Inilah hasil tulisan insan kerdil seperti saya.

Buat semua guru dan bakal guru, bersyukur dan beringatlah. Inilah tugas mulia mengajar umat dan berat sekali taklifannya.

Buat yang bukan guru, semua orang hakikatnya adalah guru. Jika mereka pernah menyampaikan sesuatu ilmu walau sebaris ayat.

Semoga Allah redha! Insya Allah..

Wassalam :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...