Latihan Mengajar sudah berakhir 5 hari yang lalu. Maknanya, sudah 4 hari saya tidak bertugas di sekolah. Saya teragak-agak sebenarnya untuk menulis entri terakhir Diari Cikgu ini kerana saya kira, entri sebelumnya seperti sudah berbau penutup. Tapi tidak puas pula melihat Diari Cikgu tidak diakhiri dengan baik.
"Hah, enti LM sem ni, nanti tarik mad'u ramai-ramai", kata seorang sahabat.
Tidak pasti kata-katanya itu arahan atau gurauan. Saya hanya membalasnya dengan gurauan juga. Sukar untuk merancang apa-apa ke arah itu kerana medannya sendiri belum jelas.
Seminggu pertama LM, saya masih belum dibenarkan untuk mengajar. Itu peraturan yang fakulti tetapkan bagi kami menyiapkan ROS (Rancangan Orientasi Sekolah). Maka, kesempatan ini saya luangkan untuk membiasakan diri dengan persekitaran, tempat-tempat penting, guru dan PELAJAR. Ya,pelajar!
Solat
Sedang duduk-duduk di perpustakaan, datang beberapa pelajar masuk ke dalam. Kelihatannya sedang bergurau-gurau. Sangat hampir dengan meja saya. Saya menegur seorang pelajar dengan berntanya soalan biasa sebagai tanda perkenalan.
"subuh pagi tadi awak solat tak?", saya meneruskan bertanya.
"Tak.", jawabnya selamba.
"Kenapa tak solat?", saya tak suka untuk bertanya kenapa dan mengapa tapi, hanya itu yang terkeluar ketika itu.
"Bangun lambat." jawabnya lagi dengan ketawa. Seolah-olah saya sedang meraikan dirinya yang tidak solat itu.
"Lima waktu sehari, waktu apa je yang awak solat?", saya meneruskan perbualan.
"Maghrib je kot." kali ni, ketawanya sudah hilang mungkin sudah menjangka akan 'diceramah' sebentar lagi.
Saya mencapai pen dan kertas. Saya menulis namanya di atasnya.
"Ok, sekarang jom kita selesaikan masalah awak!" dengan serius saya berkata.
matanya sudah lari ke jari saya yang bersedia untuk menulis.
"Sekarang kita ada satu masalah. Masalahnya ialah, awak tak solat." saya menulis perkataan tidak solat dengan besar di bawah namanya diikuti dengan garisan seperti peta minda.
"Kita senaraikan sebab awak tak solat. Kita pergi setiap waktu....."
Perbualan berterusan dengan soalan-soalan yang saya ajukan dan dia menjawab sambil tangan saya melakarkannya di kertas tadi. Kami bincangkan bersama sebab dia tidak solat, jalan penyelesaian, kepentingan solat, dan lain-lain hinggalah kertas tadi penuh. Akhirnya, saya serahkan kertas tersebut kepadanya.
"nah, ambil kertas ni, tampal di dinding."
"Terima kasih cikgu!"
Entah uslub dakwah apalah yang saya gunakan. Ianya berlaku spontan. Tidak pernah merancang sememangnya itu ilham yang Allah kurniakan ketika itu. Sememangnya saya tidak meletakkan pengharapan besar untuk pelajar itu berubah dan kesannya, setiap kali dia terserempak saya di sekitar sekolah dia akan membuat laporan "Cikgu, hari ni saya solat subuh!"
Hanya itu dakwah yang saya mampu di waqi' ini. Jumpa lagi beberapa orang, tanya pasal solat. Tidak terkecuali pelajar yang saya ajar kelasnya. Bukan mudah untuk mencabut jahiliyah dalam diri seseorang sekaligus. Ia bukan sekadar usaha. Mengubah seorang remaja bukan hanya kisah SEORANG. Tapi, ramai orang di sekitarnya. Siapa ibunya, siapa bapanya, siapa adik-beradiknya, siapa kawan-kawannya, di mana dia tinggal dan banyak lagi pihak yang bertanggungjawab 'merosakkan' remaja tersebut. Berani untuk saya katakan ini kerana antara sebab yang saya jumpa mengapa mereka tidak solat ialah kerana ibu bapanya juga tidak solat apatah lagi menyuruhnya solat!
Guru qudwah
Sebelum LM, risau sungguh saya. Mengenangkan diri yang serba kekurangan bukan mudah sebenarnya untuk membina sebuah keyakinan. Ia perlukan kekuatan dan keazaman yang tinggi buat insan lemah seperti saya. Saya post di fb status berbau LM demi mencari nasihat dan motivasi daripada sahabat-sahabat. Mengajar apa yang ada dalam silibus itu mungkin mudah, tapi menjadi role model itu mungkin payah. Sangat bimbang jika tidak mampu membawa imej Islam yang sebenar kepada mereka. Bimbang jika ada perangai yang tidak baik, maka itu yang akan dicontohi oleh pelajar.
Seharusnya kerisauan ini yang lebih utama sebagai seorang guru. Guru ialah qudwah. Baik atau buruk semuanya bakal diserap oleh pelajar makanya, lengkapkanlah diri dengan kebaikan semoga ilmu yang bakal diajar itu sempurna. Kerana ilmu yang baik hanya sesuai untuk diajar oleh orang-orang baik. Siapa? gurulah! Mulakan dengan hipokrit semoga ia akan sebati menjadi cara hidup.
Kelas terakhir
Jamuan dan hadiah. Semuanya diuruskan oleh anak murid kelas yang saya mengajar dan 'kelas angkat' sepenuhnya. Macam-macam kad ucapan malah ada juga yang sempat membuat vlog sempena perpisahan ini.
"Terima kasih ye semua, belanja makan.. Saya minta maaf kalau ada terkasar bahasa, tergarang, termarah, terpukul (ada ke?) dan lain-lain yang mengguris perasaan, saya minta maaf sangat-sangat. Jumpa lagi, Insya Allah di facebook! " ucapan ringkas saya.
Saya lihat muka seorang demi seorang anak murid saya. Cina, melayu, lelaki, perempuan, yang suka bercakap, yang pendiam, yang main-main, yang baik, yang pandai, yang biasa-biasa, yang ingin dapatkan perhatian (baca:kurang kasih sayang).Siapa pun mereka, merekalah anak murid saya. Anak didik saya. Dan sudah menjadi bekas anak murid kini. Aduhai.. 3 bulan 10 hari, hati mana yang tak sedih, hati mana yang tak sayu. Air mata saya tidak mampu dibekukan.
Itulah 11 kisah yang sempat saya catatkan. Menunjukkan betapa lemahnya istiqamah saya dalam menulis. 3 bulan 10 hari hanya 11 sahaja entri. Banyak lagi pengalaman yang tidak ditulis di sini. Latihan Mengajar bukan sekadar gred dan skill. Ia lebih dari itu. Inilah ruang untuk kelikhlasan itu diuji. Ikhlas yang bakal memandu corak sikap seorang guru kepada muridnya. Jika pendakwah perlu berminat kepada manusia, maka guru juga perlu minat kepada anak murid. Guru adalah pendakwah, dan pendakwah adalah guru.
Maaf seandainya Diari Cikgu ini terlalu mengisahkan hal peribadi saya dan tidak boleh dijadikan iktibar. Inilah hasil tulisan insan kerdil seperti saya.
Buat semua guru dan bakal guru, bersyukur dan beringatlah. Inilah tugas mulia mengajar umat dan berat sekali taklifannya.
Buat yang bukan guru, semua orang hakikatnya adalah guru. Jika mereka pernah menyampaikan sesuatu ilmu walau sebaris ayat.
Semoga Allah redha! Insya Allah..
Wassalam :)
1 comments:
Hati terasa cemburu, cemburu sangat sebab tak berkesempatan bertegur dan menjadi salah seorang anak murid cikgu yang hebat. huhu.. *nangis*
Post a Comment