• RSS

25 October 2012

9 Zulhijjah 10 Hijrah: Khutbah Terakhir Rasulullah saw

Assalamualaikum wbt..

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. Bersyukurlah kerana dengan titik darah dan penat lelah bagindalah kita semua mampu menjadi seorang Islam saat ini.

9 Zulhijjah. Tarikhnya diketahui umum sebagai hari Arafah. Maka di dinding-dinding facebook dan laman sosial yang lain lahirlah jutaan pendakwah yang menyebarkan tentang hadith dan fadhilat berpuasa pada hari arafah ini. Tidak ketinggalan juga yang menulis niat berpuasa serta maksudnya sekali. Tahniah diucapkan. Namun, tidak seharusnya kita lupakan satu lagi peristiwa penting yang berlaku ketika hari arafah pada 10 tahun Hijrah dahulu. Iaitulah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh Kekasih Allah, Nabi kita, Muhammad saw.

Sebelum saya meneruskan penulisan, izinkan saya untuk mengajak kita semua bermuhasabah. Memandangkan banyak riwayat hadith yang menyatakan fadhilat puasa ini kebanyakkannya adalah berkenaan pengampunan dosa, maka cuba tanyakan soalan-soalan ini kepada diri sendiri. Apakah niat sebenar untuk kita berpuasa sunat? Adakah kita benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah? atau kita sebenarnya mengharapkan puasa sunat ini sebagai 'instant repent' untuk dosa yang kita telah atau bakal lakukan?

Maaf, saya bukan golongan anti-hadith yang menafikan fadhilat berpuasa sunat hari arafah.

Jawapan yang mungkin anda berikan ialah:

"Apa salahnya kita merebut pahala puasa sunat? Kita sebagai manusia yang selalu berbuat khilaf, mestilah selalu mencari peluang untuk menambah pahala dan cara untuk menghapus dosa kan?"

Ya. Memang betul. Tapi, sejauh mana kita berusaha untuk mengamalkan cara hidup Islam dalam diri kita? dan sejauh mana kita bermujahadah untuk menghindari diri daripada melakukan dosa? Berapa kalikah kita melafazkan kata-kata taubat kepada Allah swt?

Apa yang dimaksudkan dengan 'instant repent' ialah apabila seseorang itu sudah jelas terang dan nyata lagi bersuluh melakukan dosa seperti berzina, membuka aurat, dan sebagainya lalu dia berpuasa sunat hanya dengan melihat kepada fadhilat puasa ini mampu menghapuskan dosa-dosanya dengan segera. Mungkin juga terpengaruh dengan cara pemikiran generasi Y yang semuanya mahu disegerakan. Termasuklah dari sudut pengampunan dosa?? Astaghfirullahalazim..

sedangkan inti taubat itu haruslah penuh dengan penyesalan, tangisan, taubat menghina diri, dan keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita menghayati kisah menyayat hati khutbah Rasulullah saw pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir di sini pada hari ini."

Rasulullah sememangnya sudah dapat merasakan hajinya pada tahun itu adalah yang terakhir. Suasana sepi. Para sahabat sudah berasa sayu. Mereka sedar, tubuh mulia di hadapan mereka ini bakal meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Suasana suram mula menyelubungi. Semua diam untuk mendengar setiap patah mutiara yang bakal keluar dari mulut kekasih Allah ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas  segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan semi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.


Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Tawa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.


Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. itulah Al-Quran dan Sunnahku.


Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampakan pula kepada orang lain. semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan RisalahMu dan kepada Hamba-hambaMu. 


Dan sekarang, cuba tanyakan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita menyempurnakan wasiat nabi yang terakhir ini dalam kehidupan kita? Adakah kita benar-benar mengamalkan apa yang sudah terpatri dalam Al-Quran dan Sunah? Ini adalah antara soalan umum sebagai muhasabah.

Dan mari kita tanyakan soalan yang lebih khusus kepada diri kita. Kita yang mengaku Umat Rasulullah yang kononnya menggelar diri sebagai pendakwah ini, sejauh manakah kita mengajak masyarakat Islam di tempat kita untuk kembali ikut perintah Allah? Kita yang mengaku nuqaba' ini, sejauh manakah kita tidak culas dalam melaksanakan usrah? Kita yang kononya menggelar diri sebagai amilin, jundullah ini sejauh manakah kita berlumba-lumba untuk menjadi AJK program jema'ah? Kita yang mengaku sebagai pemimpin ini, sejauh manakah kita melaksanakan amanah yang benar-benar ditaklifkan?

Teruskanlah hidup ini wahai sahabat-sahabat. Teruskan kehidupan ini dengan kelalaian. Teruskan sikap bermalas-malasan antum dalam jema'ah. Teruskan sikap menangguh-nangguh kerjamu wahai para amilin. Teruskan sikap antum yang culas dengan masa.Teruskan sikap antum yang sukakan hal-hal 'gosip baitul-muslim' itu berbanding gerak kerja jema'ah. Teruskanlah dengan 'tabiat-tabiat selesa membuang masa' yang antum buat sekarang. Teruskan sikap egomu wahai yang mengaku pemimpin.

Teruskanlah!

Lihatlah ke kanan dan kiri, lihatlah dalam diri kita, keluarga kita, rakan-rakan kita, masyarakat sekeliling kita, pemimpin kita, apakah keadaan mereka sekarang? Sudahkah mereka Islam dengan sepenuhnya? Jika belum, apakah yang telah kita lakukan dengan tangan dan lisan kita untuk mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar?

Persoalkanlah dalam hati kita. Hanya kita sendiri yang mampu menjawab soalan tersebut.

Maaf salah silap. Sama-sama kita bermuhasabah. Saya penulis berdosa terpaksa menulis semua ini kerana tidak mahu antum semua turut berdosa seperti saya.

Wallahu'alam.



22 October 2012

Air

Dengan Nama Allah Yang maha Pemurah lagi maha Penyayang..

Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad, Rasulullah saw..

Tempoh hari, saya dan rakan-rakan 4SPM yang mengambil minor kimia seramai 10 orang telah ke Pusat Rawatan Air di SAJ, Kota Tinggi bertemankan Dr Alias selaku pensyarah untuk subjek Kimia Alam Sekitar SSC2223. Sebenarnya, lawatan ini adalah idea Dr Alias untuk melihat sendiri proses rawatan air yang dilakukan seperti yang dipelajari dalam kuliah teori. Jadi, dengan kersungguhan Dr untuk memberi kefahaman kepada kami, maka lawatan ini pun berlangsung dengan jayanya.

Pusat Rawatan Air SAJ di Kota tinggi ini mampu menyalurkan 318000 meter padu ke Johor Baharu, Pontian, Bukit Jelutong dan Skudai. Air yang disalurkan ini ialah berpangkalan dari Sungai Johor yang terletak di Kota Tinggi.

Proses merawat air yang bersalur terus daripada sungai ini tidaklah mengambil masa yang lama. Kira-kira 45 minit sahaja air itu dirawat maka ia sudah pun boleh digunakan dengan selamat iaitulah yang keluar daripada paip air di rumah kita.

mudah bukan?

Ya memanglah mudah kerana kita tidak pernah tahu disebalik tabir kesusahan para pekerja di pusat rawatan air ini. Walaupun proses rawatan ini bukanlah dilakukan secara manual, namun perincian untuk memastikan 'setting machine' bersesuaian dengan tahap kekeruhan atau kekotoran air sungai bukan mudah. En Halim selaku pegawai di pusat rawatan memberitahu hanya tiga orang sahaja yang akan menjaga bilik kawalan utama untuk sekali waktu shift. Bayangkan betapa besarnya tanggungjawab mereka bagi memastikan air yang dirawat adalah benar-benar selamat untuk diminum ianya diperincikan dari sudut pH iaitu 6.5 hingga 9, tahap kekeruhan, warna, kandungan aluminium, ferum, ammonia, manganese, klorin dan florin yang mana diperlukan dalam tubuh badan kita. Ianya sudah pun ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun air dikategorikan sebagai  'non living things' dalam sains, namun ia tetap dikategorikan sebagai makhluk Allah yang tidak pernah ingkar suruhan Tuhannya.

Asy-Syu'ara:  63

"Lalu Kami wahyukan kepada Musa, "pukullah laut itu dengan tongkatmu." Maka terbelahlah lautan itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar."

Air patuh suruhan Allah demi menyelamatkan Nabi Allah Musa a.s.

begitu juga dalam Firman Allah yang lain dalam surah Fussilat: 39

"Dan sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya pasti dapat menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia MahaKuasa atas segala sesuatu"

Air itu makhluk Allah yang turun dan membasahi bumi dan menjadi sumber kepada makhluk Allah yang lain untuk terus hidup. Maka dengan itu, kita sebagai makluk Allah yang mempunyai akal fikiran yang cerdik seharusnya menggunakan air dengan sebaiknya. Jika kita pandang air sebagai makhluk Allah, maka kita akan rasa bertanggungjawab untuk menggunakannya dengan berhemah.

Bukan sekadar soal integriti, tapi Nabi sudah mengajar kita untuk berjimat ketika menggunakan air. Bukankah nabi pernah menegur seorang sahabat yang membazir ketika berwudhu' walaupun dengan menggunakan air sungai yang mengalir.

Oleh itu para pembaca sekalian, sayangilah air sebagai makhluk Allah yang amat berjasa kepada kita. Insya Allah semoga hidup kita diredhai sentiasa..:)





07 October 2012

kosong

Hampir sejam saya melihat skrin laptop. Cuba untuk menulis. Tapi hampa. Otak dan minda diperah namun, hampa. Mood cuba diseru dengan pelbagai jampi, namun juga hampa..

Saya cuba menulis ketika masa benar-benar diperuntukkan untuk menulis. Tapi jelas hampa. Saya cuba menulis ketika idea tiada, hasilnya hampa. Saya juga cuba menulis ketika mood tiada. Nyata semuanya sia-sia.

Maka matlamat untuk menulis gagal sama sekali. Hanya satu yang tercapai. Iaitulah mengibas habuk di blog ini. Sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...